5.10.07

Puasa Yang Dulu



Inilah suasana berbuka puasa di kampung bersama ayah, emak, adik beradik dan pakcik. Aku rasa ini gambar tahun 90an. Sudah lama. Aku pun tak pasti gambar ini diambil di rumah yang mana satu. Mungkin kuarters kerajaan sebelah stesen keretapi Kuala Kangsar.

Selalunya pasti ada cucuk udang yang emak sendiri buat dan juga kadang-kadang bubur. Semua orang dalam keluarga sudah ada tempat masing-masing untuk duduk dan makan. Ayah pasti di tengah mengadap TV. Emak pasti dipaling hujung berhampiran dengan air minuman. Aku pastinya di hujung lagi satu atau di mana saja ada ruang. Sebenarnya sejak aku berumur 14 tahun, aku amat jarang berada di rumah. Aku bersekolah jauh dan selepas SPM, terus aku sambung merantau bekerja di Kuala Lumpur. Jadi kalau sekali sekala balik, emak akan sediakan makanan yang lebih banyak. Biasanya ayah pada jam 5 petang akan keluar dengan motosikal bersama salah seorang adik aku atau berseorangan untuk ke pasar ramadan membeli kuih muih, lauk dan air. Selebihnya emak masak. Kalau adik perempuan aku balik, mereka akan tolong masak. Kalau adik lelaki aku si chef jadi rajin, dia akan masak masakan pelik.

Jarang sekali makan di meja makan. Selalunya di lantai kerana keluarga kami besar. Cuma waktu aku balik tempohari sempat makan di meja. Aku fikir lebih baik di meja kerana cuma ada 5 orang yang makan. Menyusahkan pula untuk makan di lantai kemudian makanan lebih perlu diangkat ke atas meja.

Aku akan balik beraya mulai 11hb ni, maka aku akan sempat berpuasa di kampung selama 2 hari. Ok tu. Kiranya secara total, aku berpuasa selama 5 hari di kampung untuk tahun ini. Itu sudah kira amat banyak. Gabungan 2 tahun puasa sebelum ini pun masih tak cukup 5 hari.

Kalau aku balik kampung untuk berpuasa, aku mesti ke pasar ramadan untuk membeli murtabak pakcik pendek (aku lupa gelarannya) dan laksa. Harapnya sempat aku buat nanti.

2 comments:

EviLea said...

apa lagi buat kat situ ??
buat apa tenung skrin apple 20" tu?

bangun .. amik kunci kereta ..
balik Kuala Kangsar ...

go go go ...

Selamat Hari Raya !!

Grungemann said...

Hang ingat time buka puasa kat maktab, bukan ambik air sirap, mandi air sirap...

89111 - Orang Tua

Post a Comment