29.7.08

Sesudah Reunion - Part 2


Sebelum kamu baca (kamu yang bertaraf MRSM BP 89ers), aku ingatkan dulu; kamu sepatutnya datang dan tidak perlu aku bersusah payah membuat kamu cemburu.


Kamu ingat, kita bermula di sini? Suatu ketika dahulu ianya tidak seindah begini. Ianya cuma dinding biasa dan tulisan nama maktab yang menjadi 'penjara' kita selama lebih kurang 4 tahun. Kini selepas 25 tahun, ianya memang gah. Seperti gahnya gerbang di pintu masuk MRSM Balik Pulau. Kerana anak-anak didiknya juga adalah mereka yang begitu bangga berpeluang untuk belajar di sini. Kau dan juga aku.


Kamu juga pasti ingat dewan besar ini. Seperti kota yang teguh berdiri, sehingga kini setiap kali aku melihatnya, aku sentiasa bayangkan bahawa ianya kota yang amat berkuasa. Cuma sekarang semua yang terlihat di maktab dirasakan lebih kecil dari dahulu. Mungkin kita sudah besar... dari segi fizikal. Heh.

Nash : "Aku ingat curam segitiga Shaari ni dulu lagi tinggi..."

Itu dulu Nash; kamu dan aku masih kecil. Sekarang yang besar mengenai maktab ini adalah hati kita terhadapnya. Kamu lihat, sejauh mana sekali pun kita berada, kita tetap mahu kembali kesini biar hanya untuk seketika. Kamu tidak sedar yang sebenarnya kamu sedang tersenyum sepanjang berada di dalamnya. Setiap ceruk yang terpandang oleh matamu mengingatkan sesuatu, perkara lalu. Biar betapa buruk pun perkara itu, kamu tetap tersenyum. Kerana itu adalah pengalaman kamu, peristiwa hidup kamu.

Aku mungkin agak kecewa dengan suasana di Medan Kasa yang sekarang sudah diberi nama Medan Usahawan. Biarkan, bagi aku ianya tetap Medan Kasa dengan meja dan dan kerusi batu bulat di bawah pohon pokok. Kerana di situ selalu aku menghela nafas setelah penat bersukan di padang. Sebab itu sekarang aku sudah gemuk; tidak ada Medan Kasa di pejabat.

Tetapi water-cooler belakang TV di dewan makan masih ada disitu. Aku melihatnya dan terdetik untuk menekan punat pancutan air. Aku mahu merasakan sejuk air water-cooler. Aku tahan diri aku. Ramai orang di dewan makan.




Kamu lihat wajah-wajah ceria dalam dua gambar di atas. Perlukah aku jelaskan perasaan mereka atau perlukah lagi aku rungkaikan kegembiraan mereka? Tidak perlu rasanya. Cukup kamu faham dari kegembiraan di wajah mereka.

Lihat tray besi? Kami makan dengannya tempohari. Aku fikir ianya adalah tray sama yang pernah kita gunakan suatu ketika dahulu. Nasi kawah dan gulai kawah masih dirasakan seperti dahulu.

Sebab itu aku kata awal tadi, kamu sepatutnya cemburu dengan kami yang hadir. Mungkin kamu sibuk dengan kehidupan. Tidak mengapa. Datanglah suatu masa nanti apabila tiba suasana sebegini. Kami akan lebih gembira kiranya kamu (yang tidak hadir) datang. Kami mahu berbicara dengan kamu mengenai hal yang dahulu. Mengenai kenakalan dan pengalaman pahit manis kehidupan kita di maktab. Kami tidak pedulikan kehidupan kamu sekarang (kamu boleh ceritakan kemudian, kami akan tetap mendengarnya), kami mahu mengenang saat-saat lalu. Saat kita gembira dan saat kita berduka.



Kemudian kita sama-sama bergerak meninggalkan kembali tempat itu. Kamu menoleh kebelakang dan kamu lihat deretan pohon palma. Itu adalah pohon yang sama suatu ketika dahulu, cuma sekarang sudah begitu besar. Perlu kamu bersedih? Terpulang. Segala emosi kamu ketika itu amat difahami. Kerana kita pernah berada di tempat yang sama.

Ini belum aku ceritakan mengenai guru-guru yang turut hadir... 

Bersambung.

No comments:

Post a Comment