30.7.08

Sesudah Reunion - Part 4

KOLEKSI GAMBAR REUNION 89ERS MRSM BALIK PULAU <- Klik Sini


Menjelang malam, Majlis Makan Malam 89ers pula diadakan di Hotel Copthorne Orchid. Ianya lebih mesra dan tidak formal. aku cuma berbaju T merah dengan gambar Clone Trooper dan berseluar jeans. Aku sempat mengambil beberapa keping gambar. Selebihnya aku lebih banyak berbual-bual dengan rakan-rakan yang sudah lama tidak bertemu. Tidak perlu aku bersusah payah mengambil gambar kerana sudah ada jurufoto dan juruvideo yang ditugaskan untuk mengambil foto. Aku cuma ambil beberapa yang perlu.

Tidak ada apa yang lebih penting malam ini dari bertanya khabar berita sahabat lama. Ada yang melucukan hendak dibicara kerana setiap ketika pasti ada kedengaran hilai tawa mereka.

Separuh dari kita tidak mengenali antara satu sama lain. Ada yang cuba mengagak dan cuma mengingatkan kembali wajah-wajah yang nyata sudah berbeza dari apa yang kita ingat suatu masa dahulu. Jadi biasanya perbualan pasti akan bermula begini,

"Aku ingat muka hang, tapi nama dah lupa"

"Dah tak ingat nama. Muka ingat lagi..."

"Aku dah tak pasti la."

"Rasa macam ingat..."

...dan macam-macam lagi. Pasti tiada siapa yang marah jika kita lupa namanya. Kita faham. 15 tahun adalah suatu jangkamasa yang amat lama.


Paling jelas bila aku perhatikan keadaan, kita masih ingat dengan nama-nama timangan yang kita berikan sesama kita lebih mudah dari kita ingat nama sebenar mereka.

"Siapa tu?"
"Itu la Tok Siak..."
"Oo... Dah beza ye. Nama betul dia apa ha?"
"Ntah, aku pun dah lupa"

Ramai yang begitu. Kita mudah ingat dengan nama timangan kerana nama itu adalah panggilan mesra semasa kita walaupun ada antara nama-nama tersebut yang bunyinya kasar dan menghina. Akhirnya kita tetap serasi dengan nama sebegitu. Mana yang kamu lebih ingat, Ngek atau Rozaidi? Jean Bulb atau Azrol? Maarop atau Shamsul Amar?


Kamu lihat, kita tidak lupakan sesiapa. Sesiapa saja yang pernah memijakkan kaki mereka di maktab. Jody ada. Izil ada walau mereka semasa form 4 sudah berpindah ke Taiping. Kita tetap jemput kerana mereka adalah sebahagian dari keluarga kita. Kamu tidak pernah dilupakan. Cuma amat sukar untuk bertemu begini dalam masa biasa. Masa-masa istimewa ini yang kita hargai dan kenang.


Homeroom Emas 89 bersama Ibu. Kononnya kami paling ramai dari satu homeroom yang sama. Pn. Fatimah, ibu kami masih kelihatan sama seperti dahulu. Begitu juga yang lain. Sama. Cuma saiz fizikal saja yang berbeza. Dan Pn. Fatimah juga tidak pernah melupakan kami.



Inilah keluarga besar 89ers MRSM BP. Termasuk beberapa orang guru dan bekas guru. Bergambar beramai-ramai sebagai kenangan untuk masa mendatang. Gambar yang kecil ini membawa makna yang besar.

5 Tahun lagi entah apa suasananya nanti. Mungkin lebih meriah dengan kehadiran kamu yang tidak dapat bersama. Jangan lupa tandakan dalam diari kamu; bila-bila masa perlu untuk kamu datang dan kita bertemu begini. Ianya pasti akan lebih menggembirakan. InsyaAllah.

Terima kasih keatas semua yang telah menjayakan majlis ini. Aku amat menghargainya. Sampai ketemu lagi.

No comments:

Post a Comment