30.7.08

Sesudah Reunion - Part 3

KOLEKSI GAMBAR REUNION 89ERS MRSM BALIK PULAU <- Klik Sini

Sebelum aku sambung dengan majlis makan malam 89ers, aku mahu bawa kamu ke tempat lain sementara waktu.


Aku pasti kebanyakkan ex-MRSM BP yang lelaki masih ingat dengan masjid ini. Masjid paling hampir dengan maktab. Kalau masa di sana dulu, ada yang cuba datang awal ke masjid hanya semata-mata mahu menikmati makanan yang disedekahkan ke masjid. Kalau tidak dapat nasi, pulut atau kuih, cukup sekadar beberapa biji pisang. Masjid ini kecil dan biasa di hari Jumaat ianya akan dipenuhi oleh pelajar maktab. Selebihnya orang kampung sekeliling. Aku pernah kesitu sewaktu cuti semester dan memang kosong.


Pekan Balik Pulau. Hujung sana berhampiran dengan bulatan ada stesen bas lama yang kita guna untuk menunggu bas membawa kita ke Georgetown atau balik ke maktab. Penang Yellow Bus sudah lama menamatkan perkhidmatan mereka. Tiada lagi bas kuning dengan pemandu ala F1. Pekan Balik Pulau sekarang semakin sesak. Kalau dulu, kita masih boleh berjalan santai melintasi jalan (walaupun aku pernah dilanggar oleh motosikal di tepi jalan semasa cuba melintas), sekarang sudah ada traffic jam di tengah-tengah pekan. Tempat makan kita di sudut tepi bangunan masih ada. Tapi hujung minggu lalu ianya tutup.



Kemudian aku teruskan perjalanan ke Georgetown. Aku mahu ke Komtar. Komtar sekarang sudah amat-amat lengang. Sudah jauh berbeza dari zaman kegemilangannya dahulu. Mungkin kalau dibiarkan, beberapa tahun lagi Komtar hanya akan tinggal sebagai monumen sepi. Atau sarang penagih dadah.


KFC masih ada. Kamu ingat dahulu Komtar pernah ada pelbagai restoran yang menjadi kegemaran warga maktab setiap kali berkunjung ke Komtar. Aku masuk ke KFC dan cuma ada beberapa pelanggan.


MacDonald's sudah tutup. Tiada lagi restoran makanan segera yang amat ikonik di kalangan warga maktab. Tiada lagi ruang lepak tepi dinding cermin menghadap jalanraya di bawah. Kalau dulu aku masih ingat mereka bangga mempamerkan kenyataan bahawa McD itu adalah antara yang paling popular di Malaysia, kini cuma yang tinggal hanya logo McD yang lusuh di cermin.


Juga telah tiada, Pizza Hut. Seingat aku, semasa di maktab, cuma sekali aku pernah makan di situ. Sekarang yang ada menggantikan Pizza Hut adalah kedai makan ala kopitiam.


Bazaar di tingkat 2 dan 3 Komtar juga sudah semakin sepi. Aku pasti kebanyakkan yang ada adalah kedai-kedai lama yang mungkin kita pernah kunjungi. Aku masih dapat mengenalpasti kedai sukan yang aku beli boot bolasepak pertama aku. 


Kamu pasti ingat lorong ini. Sepanjang kiri dan kanan lorong ini pernah ada kedai-kedai permainan video yang sering kita kunjungi setiap kali ke Georgetown. Sekarang cuma tinggal sebuah pusat snooker dan kira-kira 2 buah kedai permainan video. Di dalamnya adalah permainan video usang yang pernah aku dan kamu gunakan. Kedai makan yang menjadi tarikan banyak warga maktab masih ada di situ. Cuma sekarang aku pasti kamu tidak akan berselera untuk makan disitu.


Hentian bas bawah Komtar, tempat kita turun dan menunggu bas balik ke maktab. Nun hujung sana di tepi pasaraya Yaohan, kita akan beramai-ramai menunggu bas dan berebut-rebut menaiki bas setiap kali bas tiba. Sekarang sudah lengang di hujung minggu dan cuma ada beberapa buah bas Rapid Penang. Aku dengar bas lain boikot stesen ini.



Kamu juga pasti masih ingat dengan Craven Cafe dan pasaraya Gama di luar Komtar. Aku tidak pernah seumur hidup makan di Craven Cafe tetapi selalu masuk ke Gama untuk membeli barang-barang keperluan yang lebih murah jika dibandingkan di Komtar. Ya, Craven Cafe dan Gama masih ada. Faris Fahmi masih membeli bajunya di Gama untuk di pakai semasa majlis makan malam 89ers. Aku cuma tersenyum. Bukan kerana beli di Gama, tapi lebih kerana nostalgianya.

Banyak tempat yang pada mulanya aku mahu berhenti dan ambil gambar tapi aku batalkan niat aku. Puncanya kerana tempat tersebut sudah banyak berubah. Aku sudah tidak mengenali keadaan asalnya lagi. Mungkin agak kecewa tapi aku rasa rasionalnya, setiap keadaan pasti akan berubah. Cuma bagi kita yang suatu ketika dahulu pernah menghabiskan masa di sana, kenangan melihat setiap tempat tersebut bercampur baur. Banyak pahit manisnya.

Oh ya, memang aku budak baik (kononnya) sewaktu di maktab. Jadi memang tiada gambar di lokasi-lokasi 'panas' yang sering jadi kunjungan kamu yang lain dulu. Masih ingat?

1 comment:

Wanie said...

rindu komtar yang dulu..tempat lepak2 saya dan kawan2 jugak..

Sekarang nak p sana pun takut sebab byk indon...

Post a Comment