Pelik juga bila aku fikirkan bahawa orang asing lebih berminat untuk mengkaji asal usul orang Melayu sedang para pengkaji sejarah di Malaysia dengan mudah membuat kesimpulan asal usul orang Melayu. Aku mahu lebih lanjut. Aku tidak peduli kalau asal usul orang Melayu itu dari Taiwan, Filipina, Mongoloid, Selatan India atau mana saja. Sekurang-kurangnya aku tahu dan bukannya hasil dari kesimpulan mudah.
Cuba kamu fikir, untuk 600 tahun cukup. 600 tahun dari bermulanya empayar Melaka hingga kini, tentu banyak perkara yang terjadi di sekitar tanah Melayu. Tapi apabila kita merujuk buku sejarah, sekitar 1400 hingga hingga 1500 boleh dikatakan penuh dengan sejarah Melaka. Tapi selepas dari itu apa yang berlaku. Aku tahu Portugis menawan Melaka. Tapi apa yang berlaku antara tahun 1511 hingga 1640? Seterusnya apa yang berlaku dari 1640 hingga penghujung 1790an? Kenapa tiada kajian yang mendalam mengenai waktu-waktu ini.
Kenapa perlu? Kerana bermula dari empayar Melaka, secara umumnya dianggap pencetus kebangkitan Islam di kalangan orang Melayu. Jadi selama 500 - 600 tahun kemudian, apa yang menyebabkan Islam menjadi begitu dominan di tanah Melayu sehingga setiap aspek kehidupan dipengaruhi. Memanglah ianya suatu jangkamasa yang lama. Itu juga menjadi persoalan. Kamu fikir, dari 1500 hingga penghujung 1800an, terlalu sedikit atau tiada tokoh-tokoh Islam yang muncul dikalangan orang Melayu. Kenapa?
Sebenarnya aku agak keliru dengan sejarah. Itu saja. Melihat artikel di Wikipedia dan National Geographic juga, aku terpandang beberapa etnik Melayu yang terpisah dari etnik besar Melayu. Seperti orang Moken di Thailand dan Myanmar dan Orang Laut di Riau. Kamu ingat cerita Hikayat Hang Tuah. Dia Orang Laut, bukan? Dia dilantik menjadi Laksamana Melaka. Mengikut kajian, Orang Laut juga dikenali oleh orang Melayu sebagai Lanun, Celates atau Orang Selat. Mereka menguasai perairan di sekitar Selat Melaka dan amat-amat berpengaruh dalam suasana politik kerajaan-kerajaan Melayu lama. Jadi, bukan kebetulan Hang Tuah dilantik menjadi Laksamana. Itu andaian aku. Tapi aku tak baca pun buku sejarah mengenai semua itu.
Apa yang kita tahu Hang Tuah adalah pahlawan Melayu gagah perkasa, keris Taming Sari dan segala cerita mengenai kehebatannya. Kemudian beliau hilang di sungai. Cuma bila kita buka sikit mata baru kita sedar, sejarah Melayu jauh lebih menarik dari itu.
Aku fikir pengkaji sejarah Melayu perlu berusaha dengan lebih gigih untuk mengkaji sejarah sebegini. Sudah tiba masa orang Melayu dibuka mata dengan informasi asal usul mereka yang jelas dan tersusun.
Baru-baru ini aku dan rakan pejabat (ada projek khas) membuat lawatan ke Perpustakaan Negara Malaysia di Jalan Tun Razak. Salah satu ruang yang aku tengok adalah koleksi Melayu lama. Mungkin petugas disitu tidak mahir dengan tugasnya atau tidak cukup ilmu pengetahuan. Apabila ditanya ada atau tidak koleksi manuskrip lama dalam tulisan Pallava atau Sanskrit, beliau tidak faham dengan apa yang aku maksudkan. Puncanya kerana ada pemeran manuskrip Melayu lama bertulisan jawi/arabik. Jadi aku ingin tahu sekiranya ada yang lebih tua dari itu.
Memanglah Perpustakaan Negara bukan tempat yang sesuai untuk bertanya. Namun sekurang-kurangnya mereka perlu tahu kerana mereka sanggup membina model batu bersurat Terengganu di situ, jadi mereka juga perlu sanggup pergi lebih jauh dengan memperlihatkan tulisan-tulisan lama dalam bentuk Pallava atau Sanskrit, kalau ada. Masalahnya, manuskrip Melayu lama yang dipamerkan itu pun tidak diletakkan tarikh dan apabila ditanya, mereka sendiri tidak tahu. Dari pemerhatian aku, ianya tidak lebih dari 200 - 300 tahun. Berdasarkan tajuk setiap satu manuskrip tersebut, ianya adalah berkaitan agama Islam dan kemungkinan besar mengenai hukum-hukum dan peraturan dalam Islam. Tiada penerangan jelas. Kamu pergi sendiri ke Perpustakaan Negara jika kamu berminat untuk melihatnya.
Aku bukanlah peminat sejarah atau pengkaji sejarah. Aku cuma berminat untuk tahu dan ingin menambah pengetahuan. Ilmu takkan habis. Jadi setiap masa kita perlu cari. Di waktu kamu berhenti mencari ilmu dan berkata sudah, waktu itu patutnya kamu mati saja.
2 comments:
assalamualaikum, cik idan.
lama tak menjengah. belum terlambat rasanya untuk mengucapkan selamat berpuasa, tapi rasanya awal lagi kot untuk ucapkan Selamat Hari Raya?
saudara boleh try cari manuskrip di arkib negara jalan duta...
kebanyakan sejarah tanah melayu pasca melaka...e.g w.o winstead etc.. ada di British Lib. Library di Amsterdam dan even di US.
saya ada mencari2 jugak di UK.. cuma terjumpa rekod2 yg lebih lama dari saudara fikirkan.. contohnya rekod tentang.. tamadun kedah tua.. gangga negara dsb... tak sangka jgk... di British Meusem.. ada bebrapa artifak dari Malaysia....
Post a Comment