3.9.08

Awal Ramadhan

Sehari dua bercuti, sambil menikmati Ramadhan, aku juga sibuk mencari lagu-lagu lama yang aku minati sekitar 80an dan 90an dulu. Ya, aku sudah tua. Bayangkan, semua ada; Metallica, Manowar, Roxette, Lionel Richie, U2, Richard Marx, Phil Collins dan banyak lagi. Ada juga lagu melayu. Tapi aku mencari-cari lagu bahasa Inggeris lama. Banyak yang aku sudah lupa tajuknya. Banyak juga penyanyi yang aku lupa. Bila melihat Wikipedia barulah aku teringat kembali.

Semasa tamat SPM dulu, aku bekerja sementara di Arab-Malaysia Securities, sebuah syarikat urus niaga saham. Perkara pertama aku beli apabila memperolehi gaji pertama adalah sebuah Sony Walkman berharga hampir RM400. Amal mahal ketika itu. Juga amat-amat canggih. Bateri rechargeable dan segala macam fungsi yang hanya boleh diidamkan saja sebelum ini. Pergi kerja dan balik kerja dengan bas mini bernombor 41 dari Taman Sri Gombak, earphone pasti terlekat di telinga. Seperti orang lain di awal 90an, aku beli sepasang track suit paling hebat, cuma peliknya aku pilih warna putih. Mungkin terpengaruh dengan track suit pasukan bolasepak England.

Juga aku beli sehelai Levi's 505 original dan sepasang but 'legend' dengan rantai besi di kompleks Campbell berhampiran Jalan Tunku Abdul Rahman. Seluar Levi's amat selesa. Tapi peritnya memakai sepasang but yang runcing di hujung kerana kaki aku memang aslinya lebar. Awal pakai sebulan dua memang berdarah kaki. Tapi tetap tahan semata-mata untuk bergaya. Tidak lupa sehelai t-shirt hitam lengan panjang. T-shirt sama yang aku guna semasa mengambil keputusan SPM di maktab awal 1993.

Aku juga sempat membeli sebuah basikal lumba entah jenama apa berharga RM500. Ini sinambungan aku aktif berbasikal lumba semasa di maktab dulu. Ya, aku tak beli motosikal atau kereta tapi aku beli basikal lumba. Pelik. Tapi itu realiti aku.

Mungkin kerana aku selesa dengan bas mini yang boleh jadi alasan untuk berhimpit-himpit dengan awek semasa pergi dan pulang dari kerja. Haha. Tapi aku selesa jadi orang biasa, mungkin. Aku hanya berselipar, seluar trek dan t-shirt untuk ke Kuala Lumpur. Aku kena tegur dengan pakcik aku kerana itu. Katanya aku selekeh dan tidak bergaya. Ketika itu, peduli apa aku. Sebenarnya hingga kini aku begitu. Ada waktunya aku cuma berseluar trek, t-shirt dan kasut Crocs tiruan. Cukup untuk aku berjalan-jalan. Kecuali aku pergi dating dan pastinya itu perkara yang sudah amat lama aku tidak lakukan.

Aku langsung tidak mengikuti perkembangan fesyen, itu realitinya. Ketika sekolah, sekejap saja aku berseluar ketat mengikut rakan-rakan yang terpengaruh dengan kumpulan rock ketika itu. Aku upah Joke sebanyak RM5 untuk mengecilkan kaki seluar aku. Tapi apabila naik tingkatan 4 dan 5, aku pakai seluar slack biasa. Baju kemeja T tangan panjang. Aku tidak lagi berfesyen. Cuma rambut aku saja ketika itu panjang di hadapan. Amat panjang. Cikgu tak pernah perasan sebab dahi aku luas. Kalau sekarang kau buat begitu, amat pelik.

Kalau kamu lihat aku sekarang, aku suka memakai t-shirt yang tertera ayat-ayat pelik di dada. Berseluar jeans... aku sudah kembali pakai seluar jeans setelah hampir 10 tahun. Aku suka jadi orang yang biasa. Aku tidak suka dipuji berpakaian hebat. Aku tidak mahu orang memandang rambut aku tegak dengan warna warni. aku biarkan saja rambut aku begini, beruban. Uban kerana terlalu banyak berfikir dan terlalu banyak kerja.

Berat ideal aku adalah sekitar 70kg. Berat aku sebelum tahun 2000 adalah sekitar 63 - 70kg saja. Berat aku sekarang adalah 88kg. Sudah lebih 18kg dari berat ideal. Sebelum bulan puasa tiba berat aku ada mencecah 90kg. Berat bukan? Bukan takat overweight, ini sudah dikira obese tahap 2. Bukan tahap 1.

Setelah dua hari berpuasa, aku congak-congak yang aku sudah kurangkan 700gram dari berat aku sehari sebelum puasa. Jadi maknanya dalam sehari berpuasa aku mampu kurangkan 350gram. Kalau 30 hari aku berpuasa ini aku kekalkan dengan rejim pengurangan berat badan aku, menjelang hari raya nanti berat aku akan jadi lebih kurang 78kg, insyaAllah. Azam aku ialah takkan makan nasi sepanjang Ramadhan ini. Setakat dua hari ini aku sudah berjaya.

Sasaran aku adalah untuk mencapai berat lebih kurang 75kg. Cukup. Tidak perlu terlampau kurus. Jadi aku perlu kurangkan sebanyak 13kg lagi. Boleh...

3 comments:

Renny said...

Tak payah la susah2 nak kurangkan berat badan sampai tak makan nasi... You look fine just the way you are...

Anonymous said...

Amacam Bro..29ramadhan dan jadi berapa kg??

frossonice said...

Tak sampai 78kg seperti dirancang. Tapi hampir sampai 80kg. Kira ok la tu kan.

Post a Comment