Contohnya Tun Dr. Mahathir (TDM). Kamu lihatlah banyak cacatan blog dan banyak komen yang menghina, menghentam, mengungkit asal usul beliau dan segala keburukan dirinya. Aku sendiri tidaklah menyokong 100% TDM tapi aku tidak pula membenci. Seingat aku dalam hidup aku, tidak sekali pun dia pernah sakiti aku secara langsung. Tidak pernah dia datang ugut aku itu ini atau dia tarik balik rezeki aku (kerana aku sedar rezeki itu di tangan Tuhan). Malah, kalau banyak sekalipun buruk dia, aku mahu nampak yang baik saja. Apa yang baik beliau telah berikan kepada aku (aku tak kisah rakyat Malaysia lain). Pastinya orang akan berkata aku sebenarnya sukakan TDM dan memujanya. Kamu tanyalah emak aku, dia tahu betapa marahnya aku terhadap TDM ketika Anwar dipecat dan ditangkap dulu. Aku pula yang bergaduh dengan emak kerana marahkan TDM.
Kamu tahu kenapa aku tidak mahu lihat yang buruk pada TDM? Tiada guna. Apa lagi yang kita dapat kalau kita cungkil segala buruk orang lain? Kamu lihat kata-kata Anwar Ibrahim sendiri bila ditanya apa akan berlaku jika beliau berjumpa dengan TDM. Anwar kata dia akan menyambutnya seperti biasa. Anwar lebih berlembut daripada kita kerana Anwar faham apa itu silaturrahim sesama Islam. Kenapa kita tak boleh begitu juga? Aku tidak pedulilah apa yang bermain di hati Anwar, tapi jawapannya memperlihatkan jalan yang sepatutnya manusia ini lalui.
Kamu berdendam, okay. Aku faham. Mungkin terjadi akibat dari sesuatu yang buruk telah menimpa kamu dan kamu salahkan orang lain. Jadi, orang lain itu adalah punca dendam kamu. Kalau pemerintah, TDM dan sekarang Pak Lah. Maka segalanya adalah terletak dibahu mereka. Ada hak kamu hendak berdendam dan membenci. Tapi mengapa? Mengapa perlu membenci dan berdendam sesama manusia? Kamu, aku dan sesiapa saja adalah sama saja. Darah pun sama. Isi pun sama, kulit pun sama, akal fikiran pun sama.
Aku selalu fikir, manusia ini amat mudah untuk nampak keburukan orang lain tapi amat sukar untuk melihat kebaikan orang tersebut. Susah sangat ke hendak nampak kebaikan orang? Atau ianya sesuatu yang taboo untuk melihat kebaikan orang dan dendam serta benci adalah norma? Begitu? Siapa ajar kamu? Cuba beritahu aku dalam agama mana yang menyatakan dendam kesumat, benci dan amarah itu adalah perkara yang baik dan perlu disebarkan sementara kebaikan dan budi itu adalah taboo dan tidak layak dipandang.
Ya, fikiran aku terlalu utopian, tapi tak salah bukan? Orang sibuk untuk mencipta emosi dalam robot, kita sibuk mengembangkan emosi marah dan benci kita terhadap orang lain. Orang sibuk mencipta suasana yang lebih mesra alam dan damai, kita sibuk memporak peranda hidup.
Aku suka saja kalau kerajaan bertukar tangan. Aku mahu PR diberi peluang untuk memerintah dan buktikan kemampuan mereka. Kalau mereka berjaya, aku akan terus sokong. Tapi kalau gagal, aku cari alternatif lain. Itu demokrasi. Jadi aku tak berpihak kepada sesiapa, okay.
Perkara pokok yang aku bincangkan sekarang adalah kenapa manusia atau lebih spesifik rakyat Malaysia ini terlalu mudah membenci dan berdendam? Baik terhadap individu, terhadap agama mahupun terhadap sesuatu bangsa.
Persoalannya, bagaimana hendak kita bina BANGSA MALAYSIA kalau kita masih membenci dan berdendam terhadap agama dan bangsa orang lain? Aku tak fikir sesiapa pun buat masa sekarang boleh menyatukan bangsa di Malaysia kerana bangsa utama di Malaysia ini terlalu banggakan semangat bangsa mereka. Kenapa aku berkata begitu? Melayu yang tidak mahu lepas daripada semangat keMelayuan dan ketuannya. Cina dan India yang tidak mahu lepaskan semangat bangsa mereka juga termasuk sekolah aliran kebangsaan (yang pernah aku perkatakan sebelum ini). Masing-masing mahu menegakkan tiang tapi di dalam sempadan masing-masing. Berebut-rebut membina rumah, tapi dalam kandang mereka sendiri. Apabila di tolak kekandang neutral, semua bercakaran dan bertengkar. Betul kan?
Jangan kamu hendak salahkan orang lain. Jangan kamu hendak salahkan TDM, Tun Razak, Tun Tan Cheng Lock, Sambanthan, Tunku Abdul Rahman atau sesiapa saja. Lihat dalam diri sendiri dulu. Bersediakah kita untuk melihat kebaikan orang lain? Bersediakah kita untuk berkongsi dengan orang lain? Bersediakah kita untuk sama-sama masuk dalam dunia yang neutral, sama-sama angkat tiang dan dirikan bangsa Malaysia? Mahukah kita tolak/buang songkok, kopiah, cheong sam, sari dan segalanya yang menunjukkan kita entiti berbeza dan jadi neutral?
Aku teringat orang pergi ke Mekah semasa menunaikan haji. Aku faham sekarang kenapa perlunya berpakaian Ihram; kain putih semata-mata. Agaknya kalau setiap bangsa didunia ini dibenarkan berpakaian ikut budaya masing-masing, maka Mekah itu akan porak peranda semasa musim haji atau bila-bila masa pun. Kalau disitu kita boleh jadi seorang yang neutral, seorang yang dalam dirinya cuma berpaksikan ISLAM, kenapa tidak boleh kita lakukan yang sama di Malaysia ini?
2 comments:
Ya, setuju. Muhasabah diri dlm setiap perkara itu adalah yg terbaik perlu ada pd setiap manusia. Terutama kita, yg berpegang pd ajaran islam ni..
Kita belum boleh lakukan yang sama kat Malaysia ni sebab bangsa utama dalam Malaysia ni tak tulus ikhlas sepenuh jiwa berpaksikan Islam dalam kehidupan. Setakat pilih perkara dalam Islam yang memenuhi citarasa dan kehendak dan kesenangan diri.
Post a Comment