17.6.09

Mana Setangginya - Rebiu Tahap Pasar

Aku sebenarnya tidak pernah tahu mengenai Mana Setangginya karya Datuk Noordin Hassan yang dipentaskan di Istana Budaya sekarang. Malam kelmarin aku dijemput oleh seorang sahabat untuk menontonnya secara percuma. Itu untungnya ada ramai kawan, ya? Aku perlu contohi dia.



Ini kesimpulan aku mengenai teater Mana Setangginya (kerana aku malas hendak membuat karangan):

Menarik -
  • Set yang besar dengan penggunaan prop yang hampir menutupi seluruh pentas. Reka bentuk set mengingatkan aku dengan filem-filem klasik barat sekitar tahun 60an mengenai empayar Roman dan Greek. Ianya juga tidak ubah seperti menonton Indiana Jones apabila set Provinsi Gemilang dipaparkan.
  • Runut bunyi yang menarik. Menurut kata Pengurus Produksi, runut bunyi ini diilhamkan dari filem Lord of The Rings. Memang ada namun tidak semuanya. Aku kurang selesa apabila set dram biasa digunakan. Ia secara tiba-tiba menjadi agak moden.
  • Pari-pari berterbangan. Ya, berterbangan walau hanya ada tiga pari-pari. Kata mereka, itulah pertama kali efek ini digunakan di Istana Budaya dan ianya dibawakan khas dari Chicago, Illinois. Nampak memang cool kerana dengan mood cahaya yang sesuai, tali yang mengikat pelakon (setebal 1.25 cm, diameter mungkin) tidak langsung kelihatan. Cuma pergerakan pari-pari agak terbatas. Mungkin mereka masih perlu belajar untuk membiasakan diri dengan gerak geri di awangan.
  • Lakonan yang hebat daripada Shaharudin Thamby yang membawa watak Hawar dan Azizah Mahzan yang membawa watak Mira. Watak lain seperti Uzza, Subat dan Ibra begitu hidup dan bertenaga.
  • Penggunaan efek lain seperti api dan bahan letupan di tongkat Silbi mampu membuat orang terperanjat. Cuma letupan di tongkat Silbi bunyinya agak halus dan tidak meninggalkan impak yang besar. Mungkin itu tujuannya tapi bagi aku, tiada motif.
  • Efek visual lain seperti latar video di belakang serta pencahayaan juga agak menarik walaupun ada sedikit "overdone".
Kurang Menarik -
  • Lakonan Tony Eusoff dan Sabrina Ali yang masing-masing membawa watak utama Juda dan Iriam agak kaku dan kurang berkesan, terutama Sabrina Ali. Juda juga tidak membawa emosi yang jelas mengenai sifat talam dua mukanya. Nampak sama saja. Mungkin itu tujuannya, untuk mengaburi mata penonton. Cuma, akibat daripada itu, Juda menjadi agak tawar. Manakala watak Iriam nampak monotone sepanjang masa.
  • Watak sampingan lain seperti orang kampung dan nelayan sebenarnya baik. Namun begitu suara mereka agak kurang berkesan untuk dihayati dan tidak mampu memberi impak yang jelas bagi keseluruhan cerita.
  • Penggunaan visual video yang kurang berkesan dan tidak sepenuhnya membantu penceritaan. Mungkin video sebagai latar belakang hanya sebuah perlambangan namun ianya tidak dihasilkan dengan baik dan nampak seperti copy and paste saja.
  • Babak percintaan Juda dan Iriam sewaktu pari-pari menari dan terbang seperti tidak "flow" dengan keseluruhan persembahan. Itu yang aku rasa. 
Aku tidak nampak banyak yang negatif atau kurang menarik. Teater Mana Setangginya ini adalah sebuah teater menarik yang mampu membuat penonton berfikir sepanjang pementasan. Cuma aku tidak sarankan kamu bawa kanak-kanak kerana mereka tidak akan faham dengan cerita yang cuba disampaikan. Malah, pada malam itu, aku dengar mereka berdengkur tidur.

Mana Setangginya adalah sebuah teater berat yang mendesak penonton untuk berfikir dan meneliti setiap baris kata yang dituturkan oleh pelakon. Namun agak mengecewakan tidak ramai penonton yang datang. Agaknya tiket RM30 (paling murah) masih dianggap mahal. 

Kalau hendak diberi rating, aku berikan 7/10. Kamu tidak akan rugi menonton Mana Setangginya.

1 comment:

normaya said...

Ish..jeles!..lama tul tak tgk teater...

Post a Comment