28.10.11

TV Baru Untuk Menimba Ilmu Baru

Televisyen baru kami, inshaAllah. Panasonic Viera TH-L42U30K dipilih kerana pertama, Zura boleh beli pada harga diskaun (yang agak banyak. :D) dan kedua, ada fungsi network dan WiFi. Jadi bila nanti mahu sambungkan ke internet, tiada masalah.

Syukur juga kerana kami boleh bayar secara ansuran bulanan tanpa faedah (interest free). Bukan guna kad kredit tetapi kerana Zura ada seorang bos yang sangat Islamik, walaupun beliau beragama Hindu. Bos Zura menegah kami membeli secara ansuran di kedai seperti Courts atau Seng Heng kerana kedai-kedai ini mengenakan kadar faedah yang tinggi dan itu membazir katanya.

Bos Zura ini walaupun seorang yang berbangsa Tamil, tetapi semangat 1Malaysia sangat kuat. Kami berkunjung ke rumah terbukanya semalam. Dia awal-awal lagi memesan makanan secara katering dari syarikat katering halal. Gelas dan pinggan mangkuk pakai buang digunakan. Tetapi apa yang menarik adalah apabila melihat kawan-kawan anak bongsunya datang beramai-ramai. Mereka ada orang India, Cina dan Melayu; lelaki dan perempuan. Mereka pada aku tidak kena apa itu rasisme, apa itu Hindraf, Perkasa atau parti-parti politik yang menggunakan bangsa dan agama sebagai agenda politik mereka.

Aku tahu ada Melayu Muslim yang tidak mahu datang ke rumah orang bukan Islam hanya semata-mata tidak mahu 'dicemari' dengan benda-benda yang dianggap haram atau tidak suci. Ada yang datang tetapi tidak mahu makan bila dijemput makan walaupun dalam budaya Melayu ianya suatu perbuatan yang biadap. Tetapi bagi sesetengah Melayu Muslim ianya tidak mengapa kerana tuan rumah itu seorang non-muslim.

Malah, ada antara kita kini yang melarang anak-anak kita dari bersahabat dengan non-muslim kerana risaukan 'dicemari' secara fizikal dan mental. Maka terpuruklah kita sesama kita dan dalam masa yang sama menimbulkan persepsi negatif terhadap orang non-muslim.

Aku masih ingat ketika kecil, aku bermain bolasepak dengan ramai sahabat berbangsa India dan Cina. Kami tidak faham apa itu perkauman, apatah lagi perkara yang boleh dan tidak boleh dalam Islam. Aku fikir, bagaimana pendakwah Islam suatu masa dulu menyebar agama Islam kepada 'golongan kafir' jika mereka dibatasi dengan perkara-perkara yang tidak boleh dilakukan. Paksaan? Aku pasti di tanah Melayu ini bala tentera Islam tidak datang memaksa penduduknya menukar kepada agama Islam. Malah pendakwah Islam datang berniaga dan berdakwah secara aman.

Aku tidak boleh bayangkan suatu waktu bila anak aku (inshaAllah jika ada rezeki) besar kelak, beliau 'terpaksa' berada di lingkungan bangsanya yang beragama yang sama saja. Aku tidak dapat bayangkan bila mana suatu masa nanti beliau terpaksa berbaris di barisan yang berbeza untuk memesan makanan atau membeli barang hanya kerana orang lain itu dianggap 'tidak bersih'.

Aku hairan sebenarnya. Kita beli TV besar-besar. Melanggan Astro dengan pelbagai siaran. Ada rencana, ada filem yang ada antaranya menceritakan perkara-perkara yang baik. Tetapi mengapa orang ramai antara kita yang otaknya masih dibelenggu seperti orang bodoh?

27.10.11

A Thousand Years


Christina Perri - A Thousand Years

A dedication for my beloved wife, Maszura Ahmad who keep telling me that I'm not as loving as before.

Dear, I love you so much and I think this song can explain it more than I can show it to you.

<3

20.10.11

Mad World


Gary Jules - Mad World


All around me are familiar faces
Worn out places, worn out faces
Bright and early for their daily races
Going nowhere, going nowhere
Their tears are filling up their glasses
No expression, no expression
Hide my head I want to drown my sorrow
No tomorrow, no tomorrow

And I find it kinda funny
I find it kinda sad
The dreams in which I'm dying
Are the best I've ever had
I find it hard to tell you
I find it hard to take
When people run in circles
It's a very, very mad world mad world

Children waiting for the day they feel good
Happy Birthday, Happy Birthday
And I feel the way that every child should
Sit and listen, sit and listen
Went to school and I was very nervous
No one knew me, no one knew me
Hello teacher tell me what's my lesson
Look right through me, look right through me

And I find it kinda funny
I find it kinda sad
The dreams in which I'm dying
Are the best I've ever had
I find it hard to tell you
I find it hard to take
When people run in circles
It's a very, very mad world ... mad world
Enlarging your world
Mad world

19.10.11

Bakal Ibu

Zura dengan Haziq, anak saudara.
Semenjak Zura mengandung, dia selalu kurang sihat. Alahan biasa ketika mengandung. Ada waktunya, balik dari kerja dia terus tertidur kerana sakit kepala, kepenatan atau perut berasa kurang selesa. Pergerakan juga terbatas.

Biasanya di rumah, Zura akan menggosok pakaian kerja di waktu malam atau waktu subuh hari. Ada waktu jika dia langsung tidak larat, aku membantu menggosok pakaian kerja. Ini bukan masalah langsung. Dulu waktu bujang aku lakukannya sendiri. Sekarang skil masih belum hilang. :D

Begitu juga dengan kerja dapur, kecuali memasak. Aku tidak memasak. Kurang tahu. Jadi tugas aku biasanya adalah mengemas dapur setelah Zura tidur. Aku tidak lakukan waktu dia masih terjaga kerana dia pasti akan datang ke dapur dan melarang aku melakukannya. Waktu dia tidur, aku cuci pinggan mangkuk. Esok pagi dia mengeluh kerana aku lakukan semuai itu. Ini bukan masalah langsung. Dulu waktu bujang aku lakukannya sendiri. Sekarang skil masih belum hilang. :D

Ya, aku ulang cakap yang sama.

Poin aku di sini, jangan berkira sangat bila sudah bersuami isteri. Jangan letakkan syarat itu ini dan jangan hadkan apa-apa. Kalau kita rasa kita boleh buat, kita buat. Kalau kita rasa kita mahu buat, kita buat. Bukan buat kerana terpaksa. Zura selalu tanya kepada aku apa yang hendak di makan di waktu makan malam kelak (biasanya hari kerja). Jawapan aku paling standard,

"Buat apa saja, asal yang senang."

Ya, aku pernah ceritakan hal ini. Keep it simple. Kadang-kadang Zura telefon aku dari pejabatnya (waktu kerja). Soalan pertama yang sering aku tanya adalah,

"Apa cerita dengan TV baru?"

TV di rumah sudah hampir rosak sepenuhnya. Kami dalam perancangan membeli TV baru. Zura mahu beli melalui akaun syarikat, dapatlah harga yang sedikit murah. Sejak awal lagi dia kata dia mahu dapatkan senarai harga. Aku yang sudah tunggu lama, ada masanya rasa kurang sabar. Biasalah. Aku bukan mendesak tetapi sekadar bergurau bila aku tanyakan hal TV setiap kali Zura telefon. Zura pun faham dengan gurauan aku itu. Dia tidak melenting, malah kadang-kadang dia akan ketawa mendengar soalan aku itu.

Tempohari aku berbual-bual dengan baby di dalam kandungan (like you guys never did it! :P). Sering kali bila aku berbual, aku mengadu hal 'mama' pada anak. Kata mama busuk sebab belum mandi atau mama tak sayang baby sebab belum minum susu 'maternity'. Atau ketika Zura pening, aku akan berkata kepada baby dalam kandungan agar tidak menyusahkan mama sampai buat mama sakit kepala.

Ya, kami ada berbalah sekali sekala tetapi bukan kerana marah. Ianya lebih bersifat tidak sama pendapat.

Benar, bila lalui keadaan sebenar, baru tahu bahawa menghadapi saat mengandung adalah sukar dan mencabar. Dalam satu waktu, kita mahu bersimpati dengan keadaannya. Tetapi cuma setakat itu. Bila Zura kata bau badan aku terlalu wangi selepas mandi kerana aku pakai terlalu banyak sabun, aku kurangkan penggunaan sabun. Cubalah, mana tahu boleh membantu. Deria bakal ibu biasanya akan 'porak peranda' ketika mengandung. Tawar boleh jadi manis. Bayangkan air minuman botol dikata manis. Pedas tidak terasa dan kalau sebelum ini sekadar wangi, sekarang sudah jadi terlebih wangi.

Kamu lelaki terutama yang masih baru dengan keadaan ini perlu faham dan bijak menghadapinya. Jangan cepat naik angin bila waktu isteri mengandung, beliau lebih banyak tidur dari melayan kita. Itu normal. Jangan cepat marah bila makanan kita yang biasanya pedas, tiba-tiba jadi masin. Jika menunggu anak pertama, lebih baik kamu beli saja makanan di luar dan biar isteri kamu berehat dengan secukupnya. Atau jika isteri kamu masih bertegas mahu masak, jangan minta yang bukan-bukan. Ringankan beban isteri kamu seboleh mungkin.

Jika isteri kamu mahu beli asam 24 botol kemudian dia makan cuma sebotol dan selebihnya kata beliau sudah tidak berselera, apa lagi, kamulah yang habiskan!

18.10.11

Jalan Lain (Memberi Respon di Facebook)

Selalu baca status wall orang di Facebook?


Ada yang sangat menarik dan ada yang sangat bodoh. Apa pun, itu perasaan mereka dan mereka luahkan agar dikongsi bersama dengan orang lain, sekurang-kurangnya dengan orang yang dikenali mereka. Kita boleh komen apa yang mereka perkatakan, betul?

Kadang-kadang aku dapati komen yang ditulis begitu negatif dan seperti menghukum. Entah kenapa. Mungkin manusia senang untuk memalukan orang lain dengan cara begitu. Aku pun pernah melakukannya. Tidak, aku tidak mohon maaf. Sebaliknya aku berdiplomasi. Memberi maksud yang positif kepada kenyataan asal yang negatif. Janganlah malukan diri sendiri balik. Sebaik-baiknya guna kebijaksanaan anda, jika perlu.

Namun begitu, ada juga manusia yang menggunakan Facebook (atau laman sosial lain) sebagai tempat melempiaskan perasaan marah, bengang atau kecewa mereka. Lebih sukar hendak dimengertikan apabila mereka secara langsung mengaitkan pihak yang mereka marah, bengang atau kecewa di dalam post mereka di wall. Hello kawan, Facebook ada lebih setengah bilion pengguna. Kemungkinan orang yang kamu marah, bengang atau kecewa itu terbaca walaupun bukan dalam senarai kawan kamu adalah tinggi.

Lagi-lagi kalau orang yang kamu marahkan itu adalah seorang bos. Kerja gila. Betapa kamu marah sekalipun, jangan sesekali lontarkan di tempat umum. Silap-silap jika bos itu terbaca walaupun bos itu tidak menjadi bos secara langsung kepada kamu, naya akibatnya. Berhati-hati adalah cara terbaik.

Sebab itu sekarang aku komen di wall Facebook aku secara santai. Jika aku marah sekalipun, ianya tidak ditujukan khusus. Lebih bersifat umum dan kalau boleh, biar boleh buat orang lain ketawa. Bukan buat lawak, tetapi cuma mahu 'sedikit gembira dalam hidup'.

Sebab ramai sangat manusia yang 'up-tight' di luar sana. Sudahlah yang tidak religius merasa diri terlebih religius hanya kerana mereka dengar ceramah agama dari penceramah yang mereka suka. Atau manusia yang hidupnya sentiasa dalam mod 'control freak', maka hidup orang lain pun mahu dikawal. Atau manusia yang sangat mudah 'menilai' orang lain seperti di dahi setiap orang yang ditemuinya ada 'Nutritional Facts' yang perlu dibaca dan diulas setiap masa. Ya, manusia uptight begitu sangat ramai.

Bukan apa, kadang-kadang niat mereka di hati dirasakan bagus; mahu menasihati, mahu membimbing atau mahu memperbetulkan. Tetapi tidak ramai antara kita yang belajar bagaimana berinteraksi dengan baik dan akibatnya, one size fits all. Satu cara dan semua orang agaknya boleh terima cara itu. Take it or leave... Bukan, take it or be damned by it!

Jadi, bila kita terbaca status seorang rakan di Facebook kita yang baru tukar status dari in relationship kepada single, janganlah pula kita asyik datang nasihat dia supaya sabar dan tabah hadapi hidup. Aku tidak fikir mereka mahu itu semua. Lagipun aku pasti sudah ada 10 orang yang akan cakap perkara sama.

Habis nak respon bagaimana? Aku cadang kamu bagi link ke video ini,


Hehehe...

14.10.11

Pergi Kerja, Balik Kerja

Selesai kerja di petang Jumaat. Kita berhujung minggu lagi. Aku dan Zura masih belum ada perancangan khusus di hujung minggu nanti. Melihat keadaan Zura, aku lebih selesa berada di rumah saja. Biar dia rehatkan diri setelah penat bekerja sepanjang minggu. Zura sering mengadu kerja di pejabatnya sangat banyak.

Biasanya petang jumaat begini, sama ada aku akan balik awal, seawal mungkin. Atau aku akan balik lewat menjelang maghrib. Puncanya, aku mahu mengelak kesesakan jalanraya sepanjang LDP, terutama di Puchong berhampiran IOI Mall. Hujung minggu kereta lebih banyak dari biasa. Mungkin orang lain mahu cepat pulang ke rumah atau ada destinasi lain yang hendak dituju.
Sesak di LDP, perkara biasa - Foto MStar
Rimas memandu sebenarnya. Jika ada pengangkutan awam yang efisien, sudah lama aku menggunakannya. Dulu ketika HQ pejabat ini terletak di PJ, aku berulang alik dari rumah di Kerinchi dengan LRT. Mudah dan cepat, walaupun kadang-kadang LRT boleh jadi bengap tak tentu pasal. Namun begitu, untuk perjalanan dari Bandar Sunway ke Putrajaya, tiada alternatif pengangkutan awam yang sesuai.

Ada bas Rapid KL yang perlu aku tunggu di awal pagi (lebih kurang 6.45 pagi) di stesen LRT Kelana Jaya dan sampai di pejabat hampir jam 8.00 pagi. Dulu tiket pergi balik cuma RM4.00. Sangat murah. Sekarang mungkin mahal sedikit tetapi masih berbaloi berbanding menggunakan kereta. Tol ada dua, pergi balik jadi empat kali tol aku perlu lalui; RM6.40. Anggaran petrol sehari adalah lebih kurang RM6.00 (15km/liter ~ 54km pergi balik). Itu belum masuk kos lain.

Tetapi untuk menggunakan bas tersebut, aku perlu bangun seawal jam 6.00 pagi. Keluar rumah selewatnya jam 6.30 pagi dan tunggu bas. Tiba di pejabat hampir jam 8.00 pagi setelah tukar bas di Putrajaya Sentral. Jika dengan kereta? Aku keluar rumah lebih kurang jam 7.20 pagi dan tiba di pejabat lebih kurang jam 7.50 pagi.  30 minit! Bas? hampir dua jam! Itu ertinya pengangkutan awam masih belum efisien.

Anehnya juga, untuk destinasi Kelana Jaya - Putrajaya, tiada ada alternatif pengangkutan selain daripada bas padahal jarak perjalanan tidak lebih 30km. Malah rancangan memanjangkan laluan LRT yang sedang sibuk dilakukan sekarang masih juga tidak melalui jalan utama dan ke kawasan kepadatan penduduk tinggi seperti di Bandar Sunway. Stesen LRT baru nanti akan berakhir di Puchong. Tidak sampai Putrajaya. Apabila kita membangunkan bandar-bandar baru, sepatutnya mereka turut merancang sistem pengangkutan awam yang bakal digunakan. Ini tidak. Lihat Putrajaya sendiri. Nampak begitu tersusun tetapi jika anda datang waktu pagi ketika orang sedang sibuk ke pejabat, jalannya tetap akan sesak teruk. Kenapa? Kerana sistem pengangkutan awam yang ada tidak mengambil kira kedudukan kepadatan penduduk. Main sedap rasa letak di mana suka, agaknya.

Namun begitu, jika ada pun bas awam, masalah lain akan timbul. Bas tetap akan lewat apabila memikirkan karenah pemandu di jalanraya masa sekarang. Tetapi itu cerita lain.

Selamat berhujung minggu.

13.10.11

Tukar!

Ada perbezaan?


Ya, aku sudah tukar template baru. Template Dynamic View ini merupakan template terbaru Blogger. Ada banyak limitasi buat masa sekarang. Skrip pihak ketiga (Nuffnang dan lain-lain) masih belum boleh digunakan apabila kita guna template ini. Tetapi aku yakin Blogger akan menambahbaik tidak lama lagi.

Aku terus guna template ini kerana dirasakan lebih menarik dan sesuai dengan peredaran masa dan kehendak pembaca. Ianya lebih mudah digunakan.

Kekurang tersangat banyak. Kamu sendiri boleh tengok, bukan? Ianya masih terasa basic.

Tidak mengapa. Lebih elegan.

Secara rasmi, Selamat Datang Ke Laman Web Ahmad Sharidan, Versi ke-11 (2011 - 2012)

10.10.11

Kereta Impian - Jika Tiada Halangan

Tempohari aku bercerita mengenai kereta,

http://frossonice.blogspot.com/2011/10/kereta-ku-lari-gagah-berani.html

Masalahnya, semua orang ada impian. Takkan nak pakai Kancil sampai pencen. Hendak juga beli kereta lain, jika berkemampuan. InshaAllah. Kalau ada rezeki, bolehlah usahakan. Lagipun sekarang aku sudah berkahwin. Perjalanan balik kampung yang dulunya tidak lebih 300km, sekarang sudah jadi hampir 600km. Sehala.

Namun begitu, jika bajet tidak menjadi halangan, kereta apa impian aku?

Aku boleh kata Ferrari, Lamborghini atau Lotus. Tetapi kereta begini tidak praktikal untuk pergi balik kerja sehari hari. Maka sekiranya wang bukan halangan dan ianya tidak melampau batas, ini beberapa kereta idaman aku. Maklum juga kereta yang aku senaraikan ini adalah yang sedang dipasarkan sekarang dan seboleh mungkin, ada dijual di Malaysia.

Kereta Pergi Kerja - Volkswagen Polo TSI

Kenapa? Purata penggunaan petrol adalah antara 5.3 - 7 liter per 100km. Cukup bagus. Sebenarnya aku mahukan yang berenjin diesel, Polo TDI yang lebih menjimatkan bahan bakar. Enjin diesel 1.6 Polo cuma menggunakan antara 4.6-4.7 liter bahan bakar per 100km. Jauh lebih jimat. Tetapi aku dapati ianya tidak dijual di Malaysia. Berapa harga VW Polo TSI 1.2l di Malaysia? Lebih kurang RM110 ribu.

Kenapa Polo? Ianya kereta kompak yang sesuai untuk pergi balik kerja. Seperti yang aku tegaskan dalam post di atas, buat apa beli kereta besar sedangkan setiap cuma kita yang akan berada di dalamnya. Lebih baik beli kereta kecil yang ringan dan menjimatkan bahan bakar.

Kereta Pergi Kerja (Alternatif) - Citroen DS3
Jika tidak VW Polo TSI di atas, kereta pilihan aku untuk ke pejabat adalah Citroen DS3. Sebab paling mudah, designnya tersangat cool dan Jeremy Clarkson serta James Mat menyukainya. Citroen DS3 bakal dijual di Malaysia tidak lama lagi. Entah bila. Harganya mungkin terlalu mahal untuk sebuah kereta yang tidak dianggap mewah.

Kereta Pergi Kerja Hibrid - Lexus CT 200h
Dulu kalau orang kata Lexus menarik, aku mencebik. Aku fikir Lexus hanya sesuai untuk orang tua atau manusia yang tidak ada citarasa. Sekarang pun aku masih fikir begitu. Tetapi setiap hari bila terserempak dengan CT 200h di atas jalan, ianya sentiasa menarik minat aku. Stail yang menarik dan stance yang nampak cool, aku menjadi tertarik. Sudah tentu, ianya adalah hot-hatch bagi Lexus. Dengan enjin 1.8 liter digabungkan bersama fungsi hibrid, kereta ini mampu pergi sehingga 33km untuk seliter petrol! Sungguh menjimatkan.

Harga? Lebih kurang RM170 ribu. Mahal kerana ianya Lexus.  Berbaloi kerana Lexus diketahui ramai sangat baik dari segi kualitinya.

Kereta Pergi Kerja Hibrid (Alternatif) - Tesla Roadster
Tesla Roadster adalah supercar untuk kereta elektrik. Ya, bukan hibrid tetapi elektrik sepenuhnya. Tesla Roadster adalah kereta elektrik buatan Amerika Syarikat yang dibina berasaskan model Lotus Elise.

Sebenarnya aku tidak dapat fikirkan apa kereta hibrid yang lebih menarik.

Kereta Mewah Pilihan - Maserati Quattroporte Sport GT S
Kereta sport sedan. Itu saja. Bentuk yang menarik dan enjin berasal dari enjin Ferrari. Kereta lain membosankan kerana bentuk yang hampir sama. Maserati penuh dengan ciri-ciri Italinya; tidak pernah mahu ikut selera orang lain.

Kereta Sport Pilihan - Nissan GT-R


Godzilla! Dan James May suka. Fullstop.

Salut Untuk Seorang Genius

Aku ingat-ingat lupa bila pertama kali aku berkenalan dengan komputer Apple. Seingat aku sewaktu 1989, ketika tingkatan 2 di MRSM Balik Pulau. Ketika itu MRSM sudah mempunyai makmal komputer sendiri dan setiap orang pelajar didedahkan dengan pengetahuan mengenai komputer. Sebelum itu aku sudah berjinak-jinak dengan komputer di rumah seorang sahabat dan menyertai kelab komputer di sekolah.

Apple IIe

Kebanyakkan komputer di makmal tersebut adalah terdiri dari jenis IBM AT, tetapi ada beberapa buah komputer Apple II/IIe (seingat aku). Malah, jika tidak salah, ada Apple Macintosh dan mungkin Lisa. Kami diajar menggunakan bahasa pengaturacaan mudah seperti Basic dan Logo. Jangan tanya, aku sudah lupa semua itu. Tetapi sangat menarik apabila kami dapat menghasilkan arahan-arahan mudah melaluinya.

Lama selepas tamat belajar dan selepas habis universiti, barulah aku bertemu kembali dengan sebuah Mac. Ketika itu Mac tidak ada bezanya dengan komputer lain yang ada; monitor, CPU, keyboard dan mouse. Standard dengan warna beige yang membosankan. Ya, Apple pernah begitu membosankan suatu ketika dahulu. Cuma ketika itu, aku langsung tidak tahu menggunakannya. Maklumlah, ketika itu aku sudah didoktrinkan dengan penggunaan bermula dari Microsoft Windows 3.0 hinggalah yang popular ketika itu, Windows 98. Apple MacOS 8 dirasakan terlampau kompleks dan mengelirukan. Aku diminta untuk membuat editing gambar menggunakan Photoshop dan mencetaknya.
Apple PowerPC

Pertama, aku sendiri tidak tahu apa itu Photoshop (ketika itu) dan mencetak di Mac sama seperti seolah-oleh mencetak di kilang percetakan. Tersangat sukar. Atau mungkin ketika itu aku tidak tahu bagaimana hendak mengendalikan sebuah Mac.

Awal 2000, aku sering berkunjung ke pejabat seorang rakan yang merupakan seorang peguam. Kebetulan, pejabatnya berkongsi dengan sebuah syarikat yang menggunakan sistem komputer canggih Mac Pro dan Silicon Graphics. Aku sangat teruja melihat Apple Mac G4 berbentuk kiub ketika itu. Design yang sangat unik dan menarik.
Apple G4 Cube

Namun ketika itu aku masih tidak mengerti mengenai Mac dan aku fikir hanya pakar saja yang akan menggunakan komputer secanggih Apple. Apa tidaknya, sebuah komputer Apple harganya sangat mahal dan jarang dapat dijangkau oleh orang biasa seperti aku.

Pada tahun 2006 ketika bekerja di pejabat sekarang, aku ditawarkan oleh seorang bos untuk bekerja di bahagiannya dengan tugas spesifik, menghasilkan buletin, laporan tahunan dan buku-buku lain. Mulanya aku menggunakan komputer sendiri yang aku usung pergi balik dari rumah setiap hari. Lama kelamaan komputer aku sendiri hampir musnah akibat di'kerja'kan oleh aku. Lalu aku mengadu kepada bos. Bila ditanya komputer apa yang aku mahu bagi memudahkan kerja-kerja grafik aku, jawapan aku mudah.

Aku mahu sebuah Apple iMac.

Kenapa?

Kerana di tempat aku mencetak buku-buku yang dihasilkan, pereka grafik di sana menggunakan Apple iMac (ketika itu, sekarang mereka guna Mac Pro) untuk kerja-kerja mereka. Jadi alasan aku mudah, lebih baik beli sistem yang sama dengan tempat mencetak bagi memudahkan kerja.

Bos setuju.
Apple iMac (Polycarbonate body)

Maka pada pertengahan 2006, aku menjadi orang pertama yang mengendalikan sebuah Mac di pejabat ini. Malah, itulah satu-satunya Mac yang ada di pejabat ketika itu. Hari pertama aku berdepan dengan Apple iMac ini, aku tergamam. Aku langsung tidak ada pengalaman menggunakan Mac apatah lagi berdepan dengan Mac OSX 10.4 yang terpasang di dalamnya. Buka saja Mac, aku keliru. Apa yang hendak aku lakukan? Nasib baik ketika itu aku ditempatkan di dalam sebuah bilik atas sebab keselamatan (kerana iMac yang mahal), maka bos tidak tahu mengenai 'zero knowledge' aku tentang Mac.

Aku ambil masa lebih sebulan untuk memahirkan diri dengan iMac. Belajar selok belok melalui video dan bacaan dari internet. Lama kelamaan ianya menjadi sangat biasa dan mudah. Setiap rakan yang datang mengunjungi akan teruja melihat sebuah iMac di depan mata aku dan sering bertanya bagaimana aku boleh mengguna Mac sedangkan orang lain menggunakan PC biasa. Soalan ini masih aku terima sehingga hari ini.

Apple iMac (Aluminium Body)
Menjelang 2007, kami di pejabat ada sebuah program besar. Bos besar ketika itu memang seorang yang esentrik, sentiasa mahukan yang gah. Aku ditugaskan untuk menyiapkan slaid persembahan beliau. Dalam perbincangan, beliau mencabar kami supaya menghasilkan slaid persembahan yang boleh dipaparkan ke tiga buah layar sekaligus. Kami tergamam. Aku cadangkan agar dibeli dua buah lagi iMac supaya persembahan nanti nampak lebih menarik dan hebat. Beliau setuju atas dasar minat beliau sendiri terhadap Mac.

Seminggu selepas itu, datang dua buah Apple iMac baru berbadan aluminium yang aku guna hingga ke hari ini. Tahun ini tahun ke enam aku menggunakan komputer jenama Apple sebagai komputer kerja di pejabat. Ya, sudah enam tahun dan aku masih satu-satunya staf di pejabat yang menggunakan Apple secara eksklusif. Bukan menunjuk bagus tetapi kerana tugas yang memerlukan aku menggunakannya.


Apple MacBook Pro
Aku pernah membeli sebuah Apple MacBook Pro tetapi ianya telah dicuri setahun lepas. Turut hilang ketika itu, sebuah Apple iPod Shuffle yang aku guna ketika berbasikal.

Jika ditanya adakah aku akan guna komputer selain Apple, aku jawab Ya. Aku masih menggunakan komputer berOS Windows di rumah setiap hari. Tetapi jika diberi pilihan, aku lebih senang menggunakan Mac setiap masa. Suatu ketika dahulu aku paling suka memasang komputer sendiri; beli komponen komputer di Plaza Low Yat dan pasang hingga terbina sebuah PC. Sekarang, cukup jika aku dapat beli sebuah iMac dari kedai, bawa pulang, pasang kabel elektrik dan beberapa komponen lain dan tekan suis ON di belakang badan iMac. Walla! Tidak perlu 24 jam berhempas pulas menyiapkan sebuah PC yang akan diserang virus dalam masa sebulan selepas itu.
iPod Shuffle

Inilah tribute aku untuk Steve Jobs, pengasas Apple Inc. bersama-sama Steve Wozniak. Beliau meninggal dunia pada 5 Oktober 2011 setelah beberapa tahun melawan kanser. Kerana visi dan pandangan jauh beliau, komputer ada di hampir setiap rumah. Kerana beliau juga, PC menjadi semudah yang kita hadapi sekarang.

Salut untuk seorang genius.

4.10.11

MS Anking

Aku pernah menulis mengenai sebuah kapal bernama Anking di dalam post aku sebelum ini,

Rahsia Diari Atok

MS Anking
Kapal Anking atau nama rasmi MS Anking pernah digunakan pada awal 1950an hingga pertengahan 60an sebagai kapal haji. Kapal inilah yang digunakan oleh arwah moyang aku, Abdullah bin Kechil untuk pulang setelah menunaikan haji di Mekah. Beliau meninggal dunia di atas kapal tersebut pada 11 Julai 1958.

Cacatan kematian moyang oleh atok di buku catatan beliau.
MS Anking dibina di United Kingdom pada tahun 1949 sebagai sebuah kapal pelayaran/perdagangan laluan Hong Kong - Singapura - Malaya.  Kapal MS Anking ini mempunyai sebuah kapal kembar, diberi nama MS Anshun. MS Anshun dibina pada tahun 1950 di Hong Kong dengan tujuan yang sama, pelayaran/perdagangan.

MS Anshun, Kembar Anking di pelabuhan Singapura.

MS Anking, dicat warna putih (warna pengendali kapal haji, Blue Funnel Line) ketika musim haji. 
Pada tahun 1953, kedua-dua kapal ini telah digunakan oleh pemerintah Malaya ketika itu sebagai kapal haji selama empat (4) bulan setiap tahun. Menjelang tahun 1960, kerajaan Malaysia ketika itu telah pun menyiapkan kapal baru yang lebih besar, MS Kuala Lumpur. Akhirnya kapal MS Anking dan MS Anshun telah dijual pada tahun 1970.

Itu serba sedikit sejarah kapal MS Anking, kapal haji yang pernah digunakan oleh arwah moyang aku sewaktu menunaikan haji pada tahun 1958. Sejak dari kecil aku sering mendengar cerita bagaimana moyang aku pergi menunaikan haji dengan menaiki kapal dan akhirnya meninggal dunia di atas kapal sewaktu dalam perjalanan pulang di Laut Merah. Setelah aku temui buku nota atok, barulah aku tahu kapal yang digunakannya, MS Anking.

Begitu serba sedikit catatan sejarah salasilah keturunan aku. Syukur melalui internet, aku temui informasi sebegini. Mungkin kamu yang membacanya juga akan teruja. Jika aku diamkan saja, ianya akan pudar dalam lipatan sejarah. Sekurang-kurangnya aku ceritakan secara ringkas di sini. Dapatlah sesama kita berkongsi kenangan.

Beginilah caranya aku mencari ilmu. Aku tidak berhenti di satu tempat bila aku sudah temui sesuatu. Pasti ada dalam setiap penemuan itu, perkara yang lebih menarik. Aku temui buku nota arwah atok dalam simpanan Pak Ndak. Di dalam buku nota tersebut tercatat peristiwa di atas kapal Anking. Akhirnya aku mencari sejarah kapal itu sendiri.

Damailah hidup kita sepanjang masa. InshaAllah.

Rujukan:
http://www.ssmaritime.com/CN-Anking-Anshun.htm
** Kredit kepada pemilik laman web SSMARITIME.

3.10.11

Kereta Ku Lari Gagah Berani!

Aku memandu sebuah Perodua Kancil ke pejabat setiap hari bekerja. Perjalanan sejauh lebih 25km dari Bandar Sunway ke Putrajaya aku lalui seorang diri. Jadi pada fikiran aku, Kancil adalah kenderaan yang sesuai untuk jarak perjalanan dan jumlah isi pengguna di dalam kereta tersebut. Maksud aku, tidak perlu memandu sebuah MPV besar untuk ke pejabat jika setiap masa ianya hanya akan diisi dengan orang manusia.
Perodua Kancil - Working Man Hero.
Aku dan Zura sejak awal kenal sering berkata bahawa akan tiba masa kami memerlukan sebuah kenderaan baru. Zura mahukan sebuah MPV kerana mudah untuk membawa barang dan mungkin, membawa saudara mara ke sana sini. Praktikal dan berfikir secara logikal. Aku lebih sukakan sebuah kereta saiz sederhana kerana memikirkan 90% daripada masa penggunaan kereta itu nanti, aku atau Zura akan bersendirian memandunya.
Proton Exora - pilihan ideal keluarga sederhana.
Lagi pun, biras aku sudah membeli sebuah Proton Exora walaupun anak masih seorang. Nampak selesa dan bila balik berhari raya tempohari, Exora itu sangat membantu membawa kami ke sana sini. Aku bertanya kepada biras, bagaimana keadaan selepas menggunakan Exora berbanding menggunakan Proton Waja sebelum ini. Kata beliau, ianya okay. Cuma kadar penggunaan minyak yang lebih tinggi dan kuasa enjin yang tidak sebagus Waja.

Aku sukakan Exora berbanding Perodua Alza. Alza pendapat aku terlalu kecil untuk dianggap MPV dan terlalu besar untuk berasa selesa memandu ke pejabat setiap hari.

Aku sebenarnya memikirkan, kenapa kita setiap hari membazir ruang, tenaga (minyak) di atas jalanraya semata-mata untuk kita ke pejabat dan balik seorang diri dalam sebuah kereta besar. Sangat jarang aku temui kereta yang penuh dengan orang di dalamnya melainkan van-van pengangkut pekerja asing yang entah halal atau tidak.
Smart ForTwo. Hasil kerjasama Mercedes-Benz dan pembuat jam, Swatch.
Sebab itu jugalah sering berlaku kesesakan di jalan raya. Ruang untuk kenderaan bergerak makin sempit dan setiap hari semakin banyak kereta baru yang dijual. Setiap kali aku melihat kereta Smart ForTwo, aku tersenyum. Ini contoh terbaik efisiensi sebuah kenderaan ulang alik ke pejabat. Tetapi dengan harga yang terlalu mahal, ianya tidak terjangkau oleh pekerja biaa seperti aku.

Smart ForTwo cuma ada dua tempat duduk. Sebuah enjin kecil yang cukup berkuasa untuk menggerakkan kereta secara ekonomi. Masalahnya cuma satu; harga terlampau mahal untuk sebuah kereta kecil begitu.
Tata Nano, lebih kecil dari Perodua Kancil. Enjin 300+ cc & tayar 12 inci. Sangat murah di India dan sangat mudah terbakar!
Aku nampak suatu jalan yang mungkin jika ada pemodal di Malaysia ini, boleh mencipta kereta kecil seperti Smart ForTwo atau Tata Nano misalnya. Jual pada harga yang sangat berpatutan, dalam lingkungan tidak melebihi RM25 ribu contohnya. Aku duga ianya mampu menarik minat pengguna seperti aku dan boleh secara logik menyelesaikan masalah kesesakan di jalan raya.
Gordon Murray (selebriti F1) mencipta kereta elektrik T.25. Pintu dibuka dari depan. Bayangkan kalau korang parking mengadap dinding, macamana nak keluar?
Lebih baik jika kereta itu menggunakan teknologi hibrid atau elektrik sepenuhnya seperti, Gordon Murray T.25. Kita tidak perlukan kereta yang besar untuk ke pejabat setiap hari. Kita cuma perlukan kereta yang berbumbung (maklum Malaysia selalu hujan), berhawa dingin (maklum Malaysia sangat panas) dan efisien.

Mungkin orang akan tanya, kenapa tidak gunakan motosikal saja.

Kamu tidak lihat statistik kemalangan jalanraya yang melibatkan motosikal setiap hari?

Perodua Kancil yang aku pandu sekarang mampu memberikan pulangan kira-kira 15 km per satu liter minyak. Jadi setiap hari aku menggunakan kira-kira empat liter minyak. Setangki penuh minyak aku mampu habiskan dalam masa kira-kira tiga setengah hari. Selalunya cuma tiga hari. Jadi aku membelanjakan kira-kira RM8 setiap hari untuk petrol. Itu tidak termasuk tol pergi dan balik sebanyak RM6.40.
G-Whizz, kereta elektrik yang dijual di UK
Aku duga sekiranya aku menggunakan kereta elektrik, kos pemanduan tidak termasuk tol sehari adalah lebih kurang RM2 sahaja. Aku sudah jimat hampir RM6.

Tetapi memandangkan harga kereta hibrid/elektrik masih mahal dan kereta kecil jenama seperti Smart adalah tersangat mahal, aku sebagai pekerja biasa terpaksa menanggu kos pengangkutan yang tinggi setiap hari. Di penghujung bulan, tiada lagi baki duit untuk berlibur atau untuk kegunaan sendiri.

Realitinya, kami berdua hanya mampu sekadar sebuah Proton Saga atau Persona, atau Perodua Viva, MyVi atau mungkin, Alza. Ke semua kereta ini adalah besar, menggunakan tenaga yang banyak. Viva walaupun masih kecil berbanding yang lain tetapi pada aku ianya masih tidak efisien dan menjimatkan ruang.

Mengambil kira faktor pengangkutan awam yang tidak mesra pengguna di Malaysia, aku fikir orang seperti aku yang terpaksa memandu untuk ke Putrajaya kerana bas hanya bergerak di awal pagi (bas seterusnya akan menyebabkan aku lewat ke pejabat setiap hari), maka penggunaan kereta kecil, berteknologi hibrid/elektrik dan dengan harga yang berpatutan adalah alternatif terbaik.

Tetapi, mana aku hendak cari kereta sebegitu?