4.10.11

MS Anking

Aku pernah menulis mengenai sebuah kapal bernama Anking di dalam post aku sebelum ini,

Rahsia Diari Atok

MS Anking
Kapal Anking atau nama rasmi MS Anking pernah digunakan pada awal 1950an hingga pertengahan 60an sebagai kapal haji. Kapal inilah yang digunakan oleh arwah moyang aku, Abdullah bin Kechil untuk pulang setelah menunaikan haji di Mekah. Beliau meninggal dunia di atas kapal tersebut pada 11 Julai 1958.

Cacatan kematian moyang oleh atok di buku catatan beliau.
MS Anking dibina di United Kingdom pada tahun 1949 sebagai sebuah kapal pelayaran/perdagangan laluan Hong Kong - Singapura - Malaya.  Kapal MS Anking ini mempunyai sebuah kapal kembar, diberi nama MS Anshun. MS Anshun dibina pada tahun 1950 di Hong Kong dengan tujuan yang sama, pelayaran/perdagangan.

MS Anshun, Kembar Anking di pelabuhan Singapura.

MS Anking, dicat warna putih (warna pengendali kapal haji, Blue Funnel Line) ketika musim haji. 
Pada tahun 1953, kedua-dua kapal ini telah digunakan oleh pemerintah Malaya ketika itu sebagai kapal haji selama empat (4) bulan setiap tahun. Menjelang tahun 1960, kerajaan Malaysia ketika itu telah pun menyiapkan kapal baru yang lebih besar, MS Kuala Lumpur. Akhirnya kapal MS Anking dan MS Anshun telah dijual pada tahun 1970.

Itu serba sedikit sejarah kapal MS Anking, kapal haji yang pernah digunakan oleh arwah moyang aku sewaktu menunaikan haji pada tahun 1958. Sejak dari kecil aku sering mendengar cerita bagaimana moyang aku pergi menunaikan haji dengan menaiki kapal dan akhirnya meninggal dunia di atas kapal sewaktu dalam perjalanan pulang di Laut Merah. Setelah aku temui buku nota atok, barulah aku tahu kapal yang digunakannya, MS Anking.

Begitu serba sedikit catatan sejarah salasilah keturunan aku. Syukur melalui internet, aku temui informasi sebegini. Mungkin kamu yang membacanya juga akan teruja. Jika aku diamkan saja, ianya akan pudar dalam lipatan sejarah. Sekurang-kurangnya aku ceritakan secara ringkas di sini. Dapatlah sesama kita berkongsi kenangan.

Beginilah caranya aku mencari ilmu. Aku tidak berhenti di satu tempat bila aku sudah temui sesuatu. Pasti ada dalam setiap penemuan itu, perkara yang lebih menarik. Aku temui buku nota arwah atok dalam simpanan Pak Ndak. Di dalam buku nota tersebut tercatat peristiwa di atas kapal Anking. Akhirnya aku mencari sejarah kapal itu sendiri.

Damailah hidup kita sepanjang masa. InshaAllah.

Rujukan:
http://www.ssmaritime.com/CN-Anking-Anshun.htm
** Kredit kepada pemilik laman web SSMARITIME.

No comments:

Post a Comment