18.10.11

Jalan Lain (Memberi Respon di Facebook)

Selalu baca status wall orang di Facebook?


Ada yang sangat menarik dan ada yang sangat bodoh. Apa pun, itu perasaan mereka dan mereka luahkan agar dikongsi bersama dengan orang lain, sekurang-kurangnya dengan orang yang dikenali mereka. Kita boleh komen apa yang mereka perkatakan, betul?

Kadang-kadang aku dapati komen yang ditulis begitu negatif dan seperti menghukum. Entah kenapa. Mungkin manusia senang untuk memalukan orang lain dengan cara begitu. Aku pun pernah melakukannya. Tidak, aku tidak mohon maaf. Sebaliknya aku berdiplomasi. Memberi maksud yang positif kepada kenyataan asal yang negatif. Janganlah malukan diri sendiri balik. Sebaik-baiknya guna kebijaksanaan anda, jika perlu.

Namun begitu, ada juga manusia yang menggunakan Facebook (atau laman sosial lain) sebagai tempat melempiaskan perasaan marah, bengang atau kecewa mereka. Lebih sukar hendak dimengertikan apabila mereka secara langsung mengaitkan pihak yang mereka marah, bengang atau kecewa di dalam post mereka di wall. Hello kawan, Facebook ada lebih setengah bilion pengguna. Kemungkinan orang yang kamu marah, bengang atau kecewa itu terbaca walaupun bukan dalam senarai kawan kamu adalah tinggi.

Lagi-lagi kalau orang yang kamu marahkan itu adalah seorang bos. Kerja gila. Betapa kamu marah sekalipun, jangan sesekali lontarkan di tempat umum. Silap-silap jika bos itu terbaca walaupun bos itu tidak menjadi bos secara langsung kepada kamu, naya akibatnya. Berhati-hati adalah cara terbaik.

Sebab itu sekarang aku komen di wall Facebook aku secara santai. Jika aku marah sekalipun, ianya tidak ditujukan khusus. Lebih bersifat umum dan kalau boleh, biar boleh buat orang lain ketawa. Bukan buat lawak, tetapi cuma mahu 'sedikit gembira dalam hidup'.

Sebab ramai sangat manusia yang 'up-tight' di luar sana. Sudahlah yang tidak religius merasa diri terlebih religius hanya kerana mereka dengar ceramah agama dari penceramah yang mereka suka. Atau manusia yang hidupnya sentiasa dalam mod 'control freak', maka hidup orang lain pun mahu dikawal. Atau manusia yang sangat mudah 'menilai' orang lain seperti di dahi setiap orang yang ditemuinya ada 'Nutritional Facts' yang perlu dibaca dan diulas setiap masa. Ya, manusia uptight begitu sangat ramai.

Bukan apa, kadang-kadang niat mereka di hati dirasakan bagus; mahu menasihati, mahu membimbing atau mahu memperbetulkan. Tetapi tidak ramai antara kita yang belajar bagaimana berinteraksi dengan baik dan akibatnya, one size fits all. Satu cara dan semua orang agaknya boleh terima cara itu. Take it or leave... Bukan, take it or be damned by it!

Jadi, bila kita terbaca status seorang rakan di Facebook kita yang baru tukar status dari in relationship kepada single, janganlah pula kita asyik datang nasihat dia supaya sabar dan tabah hadapi hidup. Aku tidak fikir mereka mahu itu semua. Lagipun aku pasti sudah ada 10 orang yang akan cakap perkara sama.

Habis nak respon bagaimana? Aku cadang kamu bagi link ke video ini,


Hehehe...

No comments:

Post a Comment