Aku memandu sebuah Perodua Kancil ke pejabat setiap hari bekerja. Perjalanan sejauh lebih 25km dari Bandar Sunway ke Putrajaya aku lalui seorang diri. Jadi pada fikiran aku, Kancil adalah kenderaan yang sesuai untuk jarak perjalanan dan jumlah isi pengguna di dalam kereta tersebut. Maksud aku, tidak perlu memandu sebuah MPV besar untuk ke pejabat jika setiap masa ianya hanya akan diisi dengan orang manusia.
|
Perodua Kancil - Working Man Hero. |
Aku dan Zura sejak awal kenal sering berkata bahawa akan tiba masa kami memerlukan sebuah kenderaan baru. Zura mahukan sebuah MPV kerana mudah untuk membawa barang dan mungkin, membawa saudara mara ke sana sini. Praktikal dan berfikir secara logikal. Aku lebih sukakan sebuah kereta saiz sederhana kerana memikirkan 90% daripada masa penggunaan kereta itu nanti, aku atau Zura akan bersendirian memandunya.
|
Proton Exora - pilihan ideal keluarga sederhana. |
Lagi pun, biras aku sudah membeli sebuah Proton Exora walaupun anak masih seorang. Nampak selesa dan bila balik berhari raya tempohari, Exora itu sangat membantu membawa kami ke sana sini. Aku bertanya kepada biras, bagaimana keadaan selepas menggunakan Exora berbanding menggunakan Proton Waja sebelum ini. Kata beliau, ianya okay. Cuma kadar penggunaan minyak yang lebih tinggi dan kuasa enjin yang tidak sebagus Waja.
Aku sukakan Exora berbanding Perodua Alza. Alza pendapat aku terlalu kecil untuk dianggap MPV dan terlalu besar untuk berasa selesa memandu ke pejabat setiap hari.
Aku sebenarnya memikirkan, kenapa kita setiap hari membazir ruang, tenaga (minyak) di atas jalanraya semata-mata untuk kita ke pejabat dan balik seorang diri dalam sebuah kereta besar. Sangat jarang aku temui kereta yang penuh dengan orang di dalamnya melainkan van-van pengangkut pekerja asing yang entah halal atau tidak.
|
Smart ForTwo. Hasil kerjasama Mercedes-Benz dan pembuat jam, Swatch. |
Sebab itu jugalah sering berlaku kesesakan di jalan raya. Ruang untuk kenderaan bergerak makin sempit dan setiap hari semakin banyak kereta baru yang dijual. Setiap kali aku melihat kereta Smart ForTwo, aku tersenyum. Ini contoh terbaik efisiensi sebuah kenderaan ulang alik ke pejabat. Tetapi dengan harga yang terlalu mahal, ianya tidak terjangkau oleh pekerja biaa seperti aku.
Smart ForTwo cuma ada dua tempat duduk. Sebuah enjin kecil yang cukup berkuasa untuk menggerakkan kereta secara ekonomi. Masalahnya cuma satu; harga terlampau mahal untuk sebuah kereta kecil begitu.
|
Tata Nano, lebih kecil dari Perodua Kancil. Enjin 300+ cc & tayar 12 inci. Sangat murah di India dan sangat mudah terbakar! |
Aku nampak suatu jalan yang mungkin jika ada pemodal di Malaysia ini, boleh mencipta kereta kecil seperti Smart ForTwo atau Tata Nano misalnya. Jual pada harga yang sangat berpatutan, dalam lingkungan tidak melebihi RM25 ribu contohnya. Aku duga ianya mampu menarik minat pengguna seperti aku dan boleh secara logik menyelesaikan masalah kesesakan di jalan raya.
|
Gordon Murray (selebriti F1) mencipta kereta elektrik T.25. Pintu dibuka dari depan. Bayangkan kalau korang parking mengadap dinding, macamana nak keluar? |
Lebih baik jika kereta itu menggunakan teknologi hibrid atau elektrik sepenuhnya seperti, Gordon Murray T.25. Kita tidak perlukan kereta yang besar untuk ke pejabat setiap hari. Kita cuma perlukan kereta yang berbumbung (maklum Malaysia selalu hujan), berhawa dingin (maklum Malaysia sangat panas) dan efisien.
Mungkin orang akan tanya, kenapa tidak gunakan motosikal saja.
Kamu tidak lihat statistik kemalangan jalanraya yang melibatkan motosikal setiap hari?
Perodua Kancil yang aku pandu sekarang mampu memberikan pulangan kira-kira 15 km per satu liter minyak. Jadi setiap hari aku menggunakan kira-kira empat liter minyak. Setangki penuh minyak aku mampu habiskan dalam masa kira-kira tiga setengah hari. Selalunya cuma tiga hari. Jadi aku membelanjakan kira-kira RM8 setiap hari untuk petrol. Itu tidak termasuk tol pergi dan balik sebanyak RM6.40.
|
G-Whizz, kereta elektrik yang dijual di UK |
Aku duga sekiranya aku menggunakan kereta elektrik, kos pemanduan tidak termasuk tol sehari adalah lebih kurang RM2 sahaja. Aku sudah jimat hampir RM6.
Tetapi memandangkan harga kereta hibrid/elektrik masih mahal dan kereta kecil jenama seperti Smart adalah tersangat mahal, aku sebagai pekerja biasa terpaksa menanggu kos pengangkutan yang tinggi setiap hari. Di penghujung bulan, tiada lagi baki duit untuk berlibur atau untuk kegunaan sendiri.
Realitinya, kami berdua hanya mampu sekadar sebuah Proton Saga atau Persona, atau Perodua Viva, MyVi atau mungkin, Alza. Ke semua kereta ini adalah besar, menggunakan tenaga yang banyak. Viva walaupun masih kecil berbanding yang lain tetapi pada aku ianya masih tidak efisien dan menjimatkan ruang.
Mengambil kira faktor pengangkutan awam yang tidak mesra pengguna di Malaysia, aku fikir orang seperti aku yang terpaksa memandu untuk ke Putrajaya kerana bas hanya bergerak di awal pagi (bas seterusnya akan menyebabkan aku lewat ke pejabat setiap hari), maka penggunaan kereta kecil, berteknologi hibrid/elektrik dan dengan harga yang berpatutan adalah alternatif terbaik.
Tetapi, mana aku hendak cari kereta sebegitu?
No comments:
Post a Comment