14.10.11

Pergi Kerja, Balik Kerja

Selesai kerja di petang Jumaat. Kita berhujung minggu lagi. Aku dan Zura masih belum ada perancangan khusus di hujung minggu nanti. Melihat keadaan Zura, aku lebih selesa berada di rumah saja. Biar dia rehatkan diri setelah penat bekerja sepanjang minggu. Zura sering mengadu kerja di pejabatnya sangat banyak.

Biasanya petang jumaat begini, sama ada aku akan balik awal, seawal mungkin. Atau aku akan balik lewat menjelang maghrib. Puncanya, aku mahu mengelak kesesakan jalanraya sepanjang LDP, terutama di Puchong berhampiran IOI Mall. Hujung minggu kereta lebih banyak dari biasa. Mungkin orang lain mahu cepat pulang ke rumah atau ada destinasi lain yang hendak dituju.
Sesak di LDP, perkara biasa - Foto MStar
Rimas memandu sebenarnya. Jika ada pengangkutan awam yang efisien, sudah lama aku menggunakannya. Dulu ketika HQ pejabat ini terletak di PJ, aku berulang alik dari rumah di Kerinchi dengan LRT. Mudah dan cepat, walaupun kadang-kadang LRT boleh jadi bengap tak tentu pasal. Namun begitu, untuk perjalanan dari Bandar Sunway ke Putrajaya, tiada alternatif pengangkutan awam yang sesuai.

Ada bas Rapid KL yang perlu aku tunggu di awal pagi (lebih kurang 6.45 pagi) di stesen LRT Kelana Jaya dan sampai di pejabat hampir jam 8.00 pagi. Dulu tiket pergi balik cuma RM4.00. Sangat murah. Sekarang mungkin mahal sedikit tetapi masih berbaloi berbanding menggunakan kereta. Tol ada dua, pergi balik jadi empat kali tol aku perlu lalui; RM6.40. Anggaran petrol sehari adalah lebih kurang RM6.00 (15km/liter ~ 54km pergi balik). Itu belum masuk kos lain.

Tetapi untuk menggunakan bas tersebut, aku perlu bangun seawal jam 6.00 pagi. Keluar rumah selewatnya jam 6.30 pagi dan tunggu bas. Tiba di pejabat hampir jam 8.00 pagi setelah tukar bas di Putrajaya Sentral. Jika dengan kereta? Aku keluar rumah lebih kurang jam 7.20 pagi dan tiba di pejabat lebih kurang jam 7.50 pagi.  30 minit! Bas? hampir dua jam! Itu ertinya pengangkutan awam masih belum efisien.

Anehnya juga, untuk destinasi Kelana Jaya - Putrajaya, tiada ada alternatif pengangkutan selain daripada bas padahal jarak perjalanan tidak lebih 30km. Malah rancangan memanjangkan laluan LRT yang sedang sibuk dilakukan sekarang masih juga tidak melalui jalan utama dan ke kawasan kepadatan penduduk tinggi seperti di Bandar Sunway. Stesen LRT baru nanti akan berakhir di Puchong. Tidak sampai Putrajaya. Apabila kita membangunkan bandar-bandar baru, sepatutnya mereka turut merancang sistem pengangkutan awam yang bakal digunakan. Ini tidak. Lihat Putrajaya sendiri. Nampak begitu tersusun tetapi jika anda datang waktu pagi ketika orang sedang sibuk ke pejabat, jalannya tetap akan sesak teruk. Kenapa? Kerana sistem pengangkutan awam yang ada tidak mengambil kira kedudukan kepadatan penduduk. Main sedap rasa letak di mana suka, agaknya.

Namun begitu, jika ada pun bas awam, masalah lain akan timbul. Bas tetap akan lewat apabila memikirkan karenah pemandu di jalanraya masa sekarang. Tetapi itu cerita lain.

Selamat berhujung minggu.

No comments:

Post a Comment