1.12.11

Penghujung Tahun 1 - Mencari Arah Baru

Long and winding path of my life...

Sembilan tahun. Lamanya aku bekerja dengan kerajaan. Suatu cabang pekerjaan yang tidak pernah ada dalam pilihan aku suatu ketika dahulu. Tetapi sembilan tahun lamanya aku di sini. Hari-hari dilalui seperti baru semalam aku melapor diri di Petaling Jaya pada suatu pagi di bulan Ogos 2002.

Sembilan tahun. Jujurnya, tidak banyak yang aku perolehi selain daripada kenaikan pangkat pada tahun lepas. Itu saja. Pekerja cemerlang, sekali. Aku percaya aku terima anugerah tersebut kerana mantan Ketua Pengarah lama yang selitkan nama aku. Jika tidak, mungkin hingga hari ini masih belum terima apa-apa penghargaan.

Kerja dalam perkhdmatan awam ini sebenarnya menyiksa diri sendiri. Pulangannya tidak seberapa. Sedang orang lain di luar sana semakin senang hidupnya, kita setiap masa mengharapkan keajaiban, bila mana pemerintah sudi mengambil berat dan sekurang-kurangnya membantu meringankan beban yang ditanggung.

Bak kata orang, jika kita tidak berdiri di tempatnya, kita tidak tahu apa-apa. Aku pernah bekerja di sektor swasta untuk beberapa tahun. Aku tahu keadaannya bagaimana. Jika kita bagus, peluang untuk maju terbuka luas. Sebaliknya jika tidak, kita akan ditinggalkan. Tetapi jangan harap perkara yang sama berlaku di dalam perkhidmatan awam. Susun hirarki kita sudah ditetapkan sejak mula masuk kerja. Kita tidak boleh melompat sesuka hati akibat daripada kemahiran kita. Jadi buatlah kerja sebagus mana, paling bagus mungkin kita boleh dapat anugerah khidmat cemerlang. Jika mahu naik pangkat, mohon dan temuduga seperti orang lain.

Aku selalu fikir, bila umur aku 40 tahun nanti, sekurang-kurangnya hidup ini semakin kurang bebannya, semakin damai dan semakin mudah laluannya. Nampaknya tidak akan terjadi begitu. Banyak ketidakpastian. Banyak yang masih perlu ditempuhi.

Aku sebenarnya tetap bersyukur dengan rezeki yang telah dilimpahiNya. Kerja yang ada ini, cukup baik buat aku kerana aku tahu ramai orang di luar sana mahukan apa yang aku ada sekarang. Cuma aku fikirkan, aku boleh pergi lebih jauh. Aku boleh buat lebih dari sekarang dan aku boleh capai lebih dari yang telah dimiliki.

Tetapi bagaimana?

No comments:

Post a Comment