13.11.07

7 Tahun Lalu Aku Telah Blog

Baru aku sedar bahawa Oktober lepas aku telah post sebanyak 30 kali. Maknanya kalau dari segi perkiraan, 1 post sehari. Banyak tu. Mustahil sebenarnya, bagi aku. Kira tahniah untuk diri sendiri kerana berjaya menulis dengan banyak bulan lepas. Adakah ini bermakna aku perlu menulis dengan lebih banyak untuk bulan ini?

Sudah lama aku menulis blog. Sejak awal September 2001 mungkin. Malah aku ada cover mengenai 11 September dalam satu post aku. Begitu lama. Jadi aku bukan orang baru dalam blog. Sudah 6 tahun menulis. Tapi disebabkan aku sering tukar host dahulu, maka post-post aku bertaburan. Cuma sejak 2004 saja aku kekal di Blogspot. Ada juga idea untuk berpindah ke Wordpress. Namun aku fikir, yang sudah baik tidak perlu dikucar-kacirkan. Biarkan saja begitu.

Dalam sejarah blog ini juga, cuma ada seorang saja yang pernah dijemput untuk menulis disini, Asyikin. Itupun setelah aku puas memaksa beliau. Nanti aku carikan post tersebut. Blog ini juga pada permulaannya ditulis dalam bahasa Inggeris. Aku fikir kerana ia lebih cool. Agak payah juga ketika itu untuk aku menulis dalam bahasa Inggeris kerana pemikiran aku ketika itu lebih Melayu. Aku berubah kepada Bahasa Malaysia kerana aku fikir dan aku masih anggap bahasa Malaysia adalah bahasa yang indah dan amat sesuai digunakan untuk penulisan. Masih banyak perkataan yang belum digunakan. Masih banyak lenggok yang boleh diragamkan dengan ayat-ayat yang mahu kita luahkan.

Maka penghujung tahun 2007 ini kian menjelang, aku berfikir-fikir apa lagi yang aku boleh buat untuk tahun depan. Perlukah aku lakukan perubahan. Apa yang menarik untuk ditulis dan apa yang menarik yang boleh digunakan untuk menarik pembaca. Suatu kepuasan yang amat jelas bagi aku ialah kalau guna Google Search. Kalau dulu result yang keluar link ke web aku cukup susah nak jumpa. Tapi sekarang ianya amat senang dijumpa malah kadang-kadang boleh jadi top 5. Search pun kadang-kadang pelik saja. Antara yang pernah aku tengok orang yang buat search dan temui blog aku ialah mengenai

1. Proton Persona
2. Macamana hendak gemuk
3. Kerja Kerajaan
4. MRSM Balik Pulau
5. Makan

Menarik juga bila orang yang kita tak kenali datang baca mengenai kehidupan seharian kita. Ada yang tertarik, kira cukup bagus la tu. Ada yang mengutuk tak tentu pasal sedang aku cuba ceritakan hal lain.

Takpe, aku belum sampai tahap selebriti macam Kadir Jasin 'Scribe', Ahmad Kamal 'Semusim di Neraka' atau Ahirudin Attan 'Rocky's Bru'. Tak kisah. Aku menulis mengenai aku saja.

Kalau sudah nanti aku menjadi sepopular mereka, harapnya ads-ads yang aku selit sebanyak mungkin dalam blog aku pun dapat membantu mendapatkan wang untuk aku. Hehe. Semangat kapitalisme mesti tetap ada.

No comments:

Post a Comment