22.11.07

Menghitamkan Pulau Batu Putih

"Kalau Singapura benarkan kita menggunakan Arkib Nasional mereka, sudah pasti Pulau Batu Putih/Pedra Branca itu akan jadi milik kita tanpa persoalan."

- Petikan kata daripada seorang pengkaji sejarah yang sedang membuat buku sejarah JPN.

Kerana di sana terletak begitu banyak dokumen mengenai Tanah Melayu, Negeri-negeri Selat dan apa saja maklumat sepanjang zaman penjajahan British. Semasa beliau ingin membuat penyelidikan mengenai rekod-rekod pendaftaran negeri-negeri Tanah Melayu dan Negeri-negeri Selat suatu ketika dahulu, pihak Arkib Singapura telah membuat pelbagai halangan dan sekatan yang tidak munasabah sedangkan dia tidak berniat langsung untuk mencari dokumen mengenai Pulau Batu Putih/Pedra Branca atau apa-apa saja dokumen berkaitan. Beliau cuma mahu mendapatkan dokumen mengenai pendaftaran kelahiran, kematian, perkahwinan dan perceraian dan mungkin pendaftaran pengenalan diri yang tersimpan dalam arkib tersebut sebagai rujukan sejarah. Beliau menjumpainya setelah berusaha menerangkan niat sebenarnya kepada pihak Arkib Singapura. Rupanya JPN boleh dianggap sebagai Jabatan kerajaan pertama di Malaysia kerana rekod pendaftaran telah wujud sejak 1868. Malah kalau hendak dikaji lebih jauh, rekod kelahiran, kematian, perkahwinan dan perceraian sudah wujud sejak zaman Portugis lagi. Tetapi memandangkan secara asasnya undang-undang dan peraturan yang digunakan semasa zaman Portugis, Belanda dan Inggeris adalah berlainan, maka beliau memutuskan untuk merujuk kepada undang-undang zaman British sahaja memandangkan undang-undang yang terpakai sekarang adalah berdasarkan undang-undang British.

Jadi apa kaitan Pulau Batu Putih/Pedra Branca dengan semua ini? Secara umumnya semua orang yang belajar sejarah pasti tahu bahawa semasa penjajahan British, Singapura dianggap Ibu Negeri bagi negeri-negeri Selat dan mungkin juga pusat pemerintahan sentral British bagi seluruh Tanah Melayu. Sehingga 1896 atau 1906 (aku sudah lupa), Pusat pemerintahan British seluruh Tanah Melayu adalah di Singapura. Selepas dari itu saja Kuala Lumpur dinaik taraf sebagai Ibu Negeri Tanah Melayu. Tetapi 'keistimewaan' Singapura sebagai pust pemerintahan sentral empayar British di Tanah Melayu tidak pernah berubah. Secara umumnya juga, setiap rekod mengenai apa yang berlaku di Tanah Melayu dan Singapura akan disimpan di Singapura. Maka dokumen perjanjian/penaklukan/pengambilan Pulau Batu Putih/Pedra Branca sudah pasti turut ada disana. Itu yang Malaysia tidak ada untuk membuktikan hak pemilikan Pulau Batu Putih/Pedra Branca.

Kalau dilihat hujah Singapura terhadap pemilikan Pulau Batu Putih/Pedra Branca, ianya cuma berdasar kepada fakta bahawa mereka telah berada disitu sejak 1847. Manakala Kerajaan Malaysia baru membuat 'claim' pada tahun 1979. Ianya sama seperti setinggan yang mengaku mereka telah berada tempat mereka puluhan tahun dan berhak atas tanah tersebut. Kerana sebelum ini tiada orang yang mahu mengusaha atau membuat 'claim' keatasnya, maka wajar mereka dianggap pemilik tanah tersebut. Malaysia pula menghujahkan bahawa Pulau Batu Putih/Pedra Branca adalah milik kerajaan Johor dan lebih khususnya Kesultanan Melayu Johor. Sama seperti Singapura yang diberikan kepada British oleh Johor, maka Pulau Batu Putih/Pedra Branca juga dianggap oleh Singapura diberikan sebegitu. Aku pasti Singapura akan menang dalam kes ini kerana infrastruktur, hujah dan segala bukti yang mereka adalah jelas dan kukuh.

Namun begitu sebenarnya Singapura cuba bermain api dengan jiran-jiran mereka. Singapura kurang rasa hormat terhadap jiran mereka sendiri. Realiti Singapura tahu berdasarkan sejarah Pulau Batu Putih/Pedra Branca itu sememangnya milik Kesultanan Melayu Johor. Malah Singapura itu sendiri adalah milik Kesultanan Melayu Johor. Apa yang Singapura lakukan tidak leih daripada memberi validiti penjajahan British keatas Tanah Melayu dan menggunakan hak penjajahan British tersebut untuk memenangi kes ini. Hak orang lain tidak dipedulikan. Ianya sama seperti merampas tanah dan hak dari pribumi Australia dan Amerika. Semuanya atas nama penjajahan. Singapura mahu memberi 'valid' keatas pemilikan mereka terhadap Pulau Batu Putih/Pedra Branca berdasarkan penjajahan British keatas Tanah Melayu. Perlu diingatkan bahawa menurut sejarah, Johor tidak pernah dijajah oleh British. Maka hak tanah sekeliling Johor adalah hak Kesultanan Melayu Johor. Logiknya, Pulau Batu Putih/Pedra Branca yang cuma 12 batu nautika dari Johor juga adalah milik Johor. Kenapa mahu menafikannya? Apa ingat orang Johor buta ke tak nampak pulau tersebut depan mata selama ini? Atau fikir orang Johor kata pulau itu cuma pulau kecil dan tiada bermakna.

Singapura sepatutnya melihat kesan jangka panjang. Sekiranya mereka menang kes ini, ianya akan membuka seribu kemarahan dari jirannya, bukan sahaja Malaysia malah mungkin Indonesia. Jangan fikir Amerika atau kuasa lain dunia akan selamanya membelakangi Singapura. Signfikan Singapura adalah cuma sebagai sebuah pulau dan pelabuhan yang amat-amat maju. Selebih dari itu, ianya tidak memiliki apa-apa kelebihan. Secara politiknya, ianya tidak sepenting Kuwait yang memiliki telaga-telaga minyak. Sebab itu Singapura berusaha bersungguh-sungguh untuk memajukan tentera mereka bagi menghadapi kemungkinan diserang oleh jiran-jirannya. Itu hak mereka, tiada sesiapa boleh menafikannya. Tapi kalau mereka (Singapura) sendiri cuba bermain-main atau mengacuh-acuh api kepada jirannya, apa jirannya hanya mahu duduk diam dibakar api? Pasti suatu masa nanti mereka akan menjadi begitu marah dan bertindak membalas kembali.

Singapura yang degil, itulah seperti yang dilihat oleh jiran-jirannya. Fikirnya hanya mereka yang betul. Perlu diingatkan kembali, tertubuhnya Singapura adalah hasil penjajahan British keatas Tanah Melayu dan hasil disingkirkan dari Malaysia oleh Tunku Abdul Rahman. Mungkin itulah tindakan paling bodoh pernah dilakukan oleh Tunku. Tapi sejarah tetap sejarah. Cuma jangan mempergunakan sejarah untuk kepentingan diri sendiri. Singapura sepatutnya tahu, tanah yang mereka duduk itu adalah milik orang lain. Ini sebenarnya sudah jadi kes, sudah dapat betis, nak peha. Singapura perlu merendah diri sekali sekala. Itu budaya orang nusantara ini.

1 comment:

tuahcc said...

AKu paling setuju kau punya point.
Tapi, semalam aku ada jumpa Dato' SRri Syed Hamid kat kg aku (bagus datuk ni, orang jemput utk kenduri anak sunat pun dia datant) sekali lalu dia brief kat aku peluang kita memang ada (50-50) dan mereka dah buat the best thing that they could. Yang penting kita sebagai hamba Allah hanya boleh berdoa dan semoga kebenaran itu tetap di tunjukkan olehNya. Amin

Post a Comment