27.6.08

Membina Perpaduan Kaum Dengan Pembangunan Tamadun

Suatu masa dahulu, aku adalah antara golongan yang pasti akan kritik apa saja projek mega yang kerajaan buat. Bagi aku semuanya itu merugikan dan ada baiknya disalurkan kepada yang lebih memerlukan.

Sehinggalah aku diajar berfikir secara kreatif dan keluar dari kotak. Buka tempurung yang menutupi aku dan lihat dengan lebih jelas keadaan yang sebenar. Sekarang aku faham kenapa dan aku tidak akan sewenang-wenangnya mengkritik apa saja projek mega yang dilaksanakan tanpa memikirkan positif dan negatifnya terlebih dahulu.

Dahulu orang persoalkan kenapa perlu Jambatan Pulau Pinang sedangkan feri sudah ada dan ianya nampak membazir. Memang betul awalnya aku nampak tidak ada yang baik kerana sewaktu pertama kali melaluinya, kos tol adalah mahal dan amat kurang kenderaan melaluinya. Cuba kamu laluinya sekarang. Oh ya, orang Pulau Pinang pasti tidak sabar-sabar menantikan siapnya jambatan kedua. Sebenarnya aku fikir secara pembinaannya, nasib baik kerajaan tidak bertindak membina jambatan jenis jambatan gantung yang jauh lebih cantik dan lebih senang untuk dilalui oleh kapal di bawahnya. Kos tinggi. Jambatan yang ada sekarang merugikan laluan perjalanan kapal tapi kos jauh lebih murah.


Aku terbaca komen seorang pengunjung laman web Chedet.com. Katanya Putrajaya adalah projek gajah putih yang membazir. Kalau hendak difikir secara langsung, mungkin ianya membazir buat masa sekarang. Tapi sejak aku bekerja di sini dari penghujung 2004 hingga kini, aku nampak perbezaan yang pembangunan yang berlaku. Suatu malam hujung minggu yang lalu sengaja aku bersiar-siar ke dataran Putra berhadapan Masjid Putra. Puluhan kereta dan ratusan orang mengunjunginya dan bukan setakat berkunjung, mereka berkelah, bermain, melayan karenah anak-anak, mengambil gambar dan melakukan banyak perkara lagi tanpa perlu risau dengan gangguan trafik dan kesesakan jalan raya. Kamu cuba lakukannya di Kuala Lumpur.

Ini pusat pentadbiran kerajaan persekutuan. Memang bangunan-bangunan yang dibina di sini agak 'hebat' senibinanya dan kosnya. Tapi kamu lihat dari satu sudut. Kamu tahu berapa ramai pengunjung (pelancong) yang datang setiap hari? Itu ideanya secara tidak langsung; menjadikan Putrajaya tempat tumpuan pelancong dan aku rasa ianya sudah semakin berjaya. Cuma kaedah pengangkutan masih kurang berkesan. Aku tidak langsung menganggap ianya projek gajah putih. Ianya seperti pembangunan Washington D.C., Canberra dan Brasillia. Perlu untuk masa hadapan.



Aku tidak perlu komen mengenai KLIA kerana secara logik, lapangan terbang bertaraf dunia tidak sepatutnya dikelilingi oleh perbandaran padat. Buruk akibatnya nanti. Lagipun, berapa ramai orang Subang yang akan komplen? Kamu mahu jawab apa pada mereka?


Langkawi. Kalau dicurahkan berbilion lagi pun ke Pulau Langkawi, aku tidak kisah. Asalkan jangan rosakkan keindahannya dan jangan bina terlalu banyak lebuhraya. Suka aku memandu di Langkawi kerana jalannya yang 'winding' dan permandangan disekeliling adalah cantik.

Kamu salahkan kerajaan kerana anak-anak muda minum arak secara bebas di Langkawi, itu hal kamu. Sedang kamu sendiri tahu bahawa itu bergantung kepada diri sendiri untuk menentukannya. Tanggungjawab kita mencegah, tapi kenapa marahkan kerajaan? Marahkan saja orang yang minum. Kita bukan negara Islam pun lagi.


KLCC. Kalau kamu rajin menjelajah internet dan membaca, kamu akan tahu betapa orang serata dunia kagum dan sentiasa berangan-angan untuk datang menyaksikannya. Biarpun Dubai sibuk membina bangunan-bangunan yang jauh lebih tinggi, tapi orang masih memperkatakan mengenai KLCC kerana keunikannya yang tersendiri. Sebenarnya KLCC adalah sebuah simbol. Simbol kehebatan Malaysia ketika itu dan mungkin hingga sekarang.



Sama seperti mengapa Empire State Building dan Sears Tower serta Teipei 101 dibina; simbol kemegahan sesebuah bangsa dan negara. Pak Arab tidak semata-mata membina bangunan tertinggi di dunia kerana banyak duit. Mereka lebih melihatnya adalah sebagai sumber kemegahan mereka.

Kenapa penting kemegahan bangsa dan negara? Kerana ianya mewujudkan perpaduan. Ya, idea bodoh tapi itulah realitinya sejak zaman berzaman. Firaun tidak bina Piramid semata-mata untuk menunjukkan kuburnya yang besar tapi untuk menunjukkan simbol kemegahan dan keagungan bangsanya. Begitu juga orang-orang Roman dan Greek serta empayar China.

Kalau kamu sebuah bangsa yang hebat dan berjaya, kamu perlu ada suatu tanda atau simbol untuk membuktikannya. Kamu tidak hanya mahu ianya tertulis dalam lipatan sejarah, kamu juga mahu ianya terpapar jelas di mata manusia lain.

Kenapa? Bongkak? Angkuh dan diktatorial? Tidak. Tapi kerana kemegahan bangsa dan yang paling utama adalah perpaduan bangsa. Kamu tidak setuju? Baiklah. Fikirkan ini.

Selain daripada Mekah dan Madinah, apa yang kamu boleh buktikan (objek-objek fizikal) sebagai tamadun Islam? Kota Samarkand, Universiti Al-Azhar, Kota Andalusia, Dome of Rock, kota Baghdad dengan perpustakaan besarnya sebelum dibakar oleh Mongol dan beberapa monumen-monumen lagi. Nah, lihat. Adakah sengaja semua itu dibina? Kamu lihat kota Andalusia dan kamu mungkin akan fikir betapa membazirnya mereka membina bangunan yang dipenuhi oleh tiang-tiang didalamnya (menyempitkan ruang).  Taman air yang hebat dan gerbang masjid yang begitu gah. Itu adalah simbol sebenarnya. Kemajuan dan keagungan sesuatu tamadun.

Bagi aku, pembangunan mega adalah perlu selagi ianya memberi manfaat kepada manusia dan meningkat imej tamadun yang membinanya. Sebelum kita mengkritik sesuatu perkara, perlu juga kita kaji positif dan negatifnya. Kalau lebih banyak positif, kita terima ianya adalah suatu perkara yang baik. Kita tidak perlu bersusah payah untuk cuba juga mencari negatifnya. Kalau ianya banyak negatif, pastikan perkara-perkara negatif itu adalah amat-amat banyak hingga menjadi majoriti mutlak, barulah kita anggap ianya negatif.

Cuma, manusia ini selagi boleh mahu mencari salah orang dan tidak pernah mahu berfikir pada keadaan itu dimana dia sedang berdiri. Selagi penuh fikiran-fikiran negatif dalam benak otak kita, selagi itu kita takkan nampak apa baiknya di dunia ini, biarpun ianya putih sesucinya...

Asyikin



Happy 24th Birthday My Lovely Angel... 

23.6.08

Kita Bercakap Berlain Bahasa

Beberapa hari lepas, sedang aku beratur untuk membeli tiket wayang, aku perhatikan keadaan sekeliling. Pelbagai bangsa dan bertutur dalam pelbagai bahasa. Meriah sungguh Malaysia kerana kebebasan untuk mengamalkan budaya, bertutur dalam bahasa ibunda bangsa sendiri tidak pernah dikekang.

Cuma yang ralatnya, aku lihat orang melayu bertutur dengan orang melayu lain bahasa melayu, orang cina bertutur dengan rakan mereka dalam bahasa cina dan orang india bertutur dengan rakan mereka bahasa tamil. Seterusnya bangsa-bangsa lain. Aku tidak nampak pergaulan antara bangsa-bangsa. Tidak ada suatu kelompok pelbagai bangsa yang berbual mesra sesama mereka dalam satu bahasa.

Kalau ada beberapa orang mengatakan kepada aku satu bahasa tidak akan dapat mengeratkan bangsa-bangsa di Malaysia ini, aku rasa samada orang itu tidak pernah beratur beli tiket menonton wayang atau memang sepanjang masa dia berada depan TV dan depan meja kerjanya sambil menulis artikel tersebut berdasarkan fakta-fakta bisu.

Kamu lihat filem Hollywood. Tidak kira apa bangsa pun yang ada dalam babak, sekiranya ianya adegan itu di dalam negara Amerika Syarikat sendiri, mereka pasti akan berbahasa inggeris, kecuali kalau majoritinya orang-orang dari Amerika Tengah. Kamu tidak nampak orang Irish berbual dalam bahasa Irish (ya, mereka ada bahasa mereka sendiri), aku tak nampak orang Italian berbual dalam bahasa Itali. Mereka berbual dalam satu bahasa, bahasa inggeris dan tidak mempersoalkannya.

Bahasa Inggeris bukan bahasa ibunda mereka-mereka yang berketurunan Itali, Jerman, Irish dan Afrika di Amerika Syarikat tapi mereka boleh menerimanya dan dijadikan bahasa utama. Kerana mereka sedar mereka hidup dalam sebuah negara yang majoriti asal penduduk adalah orang-orang Inggeris (suatu ketika dahulu). Aku tak kata penduduk asal, aku cuma kata majoriti.

Kemudian kamu lihat Malaysia. Sejak 1957, bahasa Malaysia telah diangkat menjadi bahasa rasmi. Namun kerajaan memberi kebebasan untuk sesiapa saja bertutur dalam bahasa ibunda mereka tanpa halangan.

Aku hairan kenapa bangsa lain tidak boleh terima kedudukan bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi di Malaysia. Kenapa mereka tidak cuba mahu bertutur dalam bahasa Malaysia di sini. Nasib ini bukan Indonesia yang memaksa bangsa-bangsa asing menggunakan nama yang berbunyi sama dengan masyarakat tempatan.

Apa salahnya kalau semua orang Malaysia bertutur dalam bahasa Malaysia dan bangga dengannya. Kenapa masih perlu sekolah-sekolah jenis kebangsaan yang terang dan nyata menolak bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar? Macamana mahu wujud integrasi kaum kalau kita sendiri hadapi masalah untuk berkomunikasi antara satu sama lain kerana perbezaan bahasa?

Kamu lihat Michael Essien, Claude Makelele, Zinadine Zidane, Ruud Gullit ramai lagi pemain bolasepak di Eropah. Bahasa apa yang digunakan semasa ditemu bual? Bukankah bahasa negara mereka seperti Perancis dan Belanda? Kenapa tidak saja mereka bertutur dalam bahasa Arab dan bahasa-bahasa lain yang melambangkan asal usul etnik mereka?

Jelas bahasa satu bahasa dalam satu negara sebenarnya mampu menyatukan bangsa-bangsa yang berbeza dalam negara tersebut. Lihat China dan kamu akan faham dengan jelas. Kenapa tidak saja parti komunis membiarkan etnik-etnik yang berbeza di dalam negara tersebut bertutur dalam bahasa masing-masing untuk segala urusan? Ianya akan menyukarkan semua pihak. Maka satu bahasa dipilih dan tujuan utama adalah untuk  mewujudkan integrasi kaum, tidak lebih dari itu. Sama seperti yang Indonesia lakukan. Sama seperti Australia dan banyak negara lain.

Cuma aku tak faham kenapa bangsa-bangsa (aku lebih suka tumpukan kepada Cina dan India kerana mereka dominan) di Malaysia ini tidak faham? Atau memang sengaja tidak mahu faham. Adakah mereka lebih patriotik dari bangsa-bangsa di negara asal mereka?

Banyak persoalan. Orang akan bertanya, kenapa tidak guna bahasa Inggeris saja sebagai bahasa kebangsaan. Bagus persoalan tersebut tapi cuma aku pusing balik dan lihat 51 tahun yang lampau. Sedang negara ini sibuk untuk bebas dari cengkaman kuasa British, maka adakah logik mereka masih mahu kekalkan bahasa penjajah sebagai bahasa rasmi? Sudah tentu tidak. Maka diambil bahasa majoriti, bahasa Melayu.

Aku masih kekal dengan pendirian aku; integrasi kaum di Malaysia hanya boleh wujud sekiranya setiap dari kita bertutur dan berfikir dengan satu bahasa.

Buat Kerja!

Hoi orang-orang politik (biar aku biadap sikit)! Berhenti berpolitik. BUAT KERJA!

Pandai letak kain besar di Istana Keadilan suruh orang buat kerja tapi kamu masih sibuk berpolitik sana sini. Pilihanraya 5 tahun sekali, bukan hari-hari. Cukuplah berpolitik. Orang-orang muda sudah mual. Sudah lebih 3 bulan pilihanraya umum berlalu tapi masih tak habis-habis dengan isu-isu politik. Sudah tidak ada kerja lain ke?

Pergi selesaikan masalah rakyat pula. Selesaikan kemelut kenaikan harga minyak, harga barang dan kos hidup yang semakin tinggi. Kami tidak berminat untuk melihat kamu bercakaran untuk merebut jawatan itu ini, kerusi itu ini dan pangkat itu ini. Kami tahu biar parti mana sekalipun yang memerintah nanti, kelak ahli yang berpengaruh dalam parti itu akan mendapat keuntungan dari banyak segi. Kamu jangan fikir kami buta.

Sudah, pergi buat kerja. Kami sudah bosan berpolitik. Sekarang masa untuk kerja!

20.6.08

Adakah Kamu Pekak, Buta dan Bisu?

Media arus perdana di Malaysia sekarang sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk menjatuhkan maruah mereka sendiri. Kenapa?

Media arus perdana di Malaysia bukannya tak tahu ada media alternatif lain di internet yang di layari ratusan ribu rakyat Malaysia di seluruh dunia setiap hari, jauh lebih banyak pembaca dari jumlah akhbar yang mereka jual. Mereka masih menyiarkan berita-berita mengampu, memutar belitkan fakta dan meremehkan informasi dari sumber lain. Aku fikir ada baik mereka pecat sahaja penasihat dan pakar rujuk mereka (sekiranya ada) kerana ianya tidak akan langsung membantu mereka meningkatkan jualan akhbar dan jumlah penonton mereka.

Sampai bila mahu mereka terbelit dengan kekangan berita yang jelas tidak neutral dan amat mudah dipengaruhi oleh sesuatu pihak? Kalau itu mereka kata kebebasan media, maka betul juga kenyataan bila orang kata mereka sebenarnya adalah kayu semata-mata dan otak mereka dipenuhi dengan sekam.

2 juta pengunjung chedet.com dalam masa kurang 2 bulan jelas menggambarkan efisien dan pengaruh media internet sekarang. Ratusan ribu lagi yang mengunjungi media-media alternatif di internet, blog-blog tulisan orang yang berpengaruh di penuhi dengan ratusan komen setiap hari dan juga tidak lupa dengan berita-berita antarabangsa mengenai Malaysia yang amat mudah diperolehi di Google News dan lain-lain enjin carian.

Kamu masih mahu mengatakan bahawa media internet tiada kredibiliti? Jadi lain kali kamu juga tidak perlu memetik berita-berita dari AFP, Reuters, Bloomberg, CNN, Al-Jazeera dan lain-lain media arus perdana dunia yang kini sudah benar-benar 'embrace' internet. Tidak perlu kerana mereka tidak ada kredibiliti menyiarkan berita mereka di internet.

Maka betul juga aku boleh kata The Star Online, Utusan Online, Berita Harian Online, Bernama Online dan semua media arus perdana Malaysia yang ada versi online tidak ada kredibiliti. Kenapa? Kerana mereka menggunakan medium internet sebagai sebaran maklumat yang sentiasa didakwa oleh sesetengah orang yang berpengaruh sebagai sumber tidak 'reliable'.

Sekali lagi aku nyatakan, rakyat Malaysia sekarang sudah tidak seperti 20-30 tahun dahulu. Malah rakyat Malaysia sudah tidak seperti 5-10 tahun lalu. Media alternatif di internet kini adalah sebenarnya media arus perdana mereka. Nasib baik kebanyakkan orang luar bandar mengalami kesukaran untuk mencapai internet. Kalau tidak, mungkin orang kampung akan berbincang di kedai kopi mengenai berita-berita yang dibaca di MalaysiaKini atau Google News. Mungkin kedai kopi di kampung juga ada capaian WiFi untuk memudahkan pengunjung surfing internet di kedai kopi dengan laptop mereka. Hmm... nasib baik juga laptop berharga ribuan ringgit. Kalau ianya berharga RM80 seperti Astro, kamu media arus perdana sekarang semuanya akan bengkrap.

Teringin sangat aku mahu melihat media arus perdana menjadi media yang kritikal, berani dan terbuka. Berani, kritikal dan terbuka bukan kerana mengutuk dan menghentam kerajaan tetapi bersikap berkecuali dan tidak memihak kepada mana-mana pihak dalam menyampaikan maklumat. Malah aku mahu media arus perdana tidak pro-rakyat (menyokong kehendak rakyat) semata-mata. Mereka perlu kritis dan berani membongkar isu-isu semasa dari sudut profesionalisme kewartawanan mereka itu.

Selepas itu, baru aku anggap kamu media arus perdana.

Mendung Itu Sebenarnya Indah

Kamu pergi kedai kopi, restoran makanan segera, restoran mewah, gerai tepi jalan, food-court dan pantry di mana-mana pun di Malaysia ini. Duduk sebentar dan dengar apa yang diperbualkan oleh mereka yang berada di situ.

Aku yakin banyak yang kamu dengar adalah mengenai keburukan dan kelemahan orang lain. Cerita-cerita meremehkan orang lain dan apa saja kekurangan perbuatan dan sikap orang lain. Cerita ini diperbualkan dikalangan mereka yang sedang duduk makan (mungkin ada yang berdiri) dengan penuh emosi dan mungkin, hilai tawa.

Apa yang tidak menariknya cerita mengenai keburukan dan kelemahan orang lain? Ianya amat senang hendak diperkatakan dan amat menarik perhatian sesiapa saja yang mendengarnya. Mungkin boleh ditokok tambah oleh orang lain yang mendengarnya hingga menjadi akhirnya menjadi mitos yang boleh menyaingi Beowulf dan Hercules. Cuma Beowulf dan Hercules menceritakan kehebatan dan keagungan seseorang manusia dan dewa, tapi di Malaysia, mitos-mitos yang keluar dari mulut-mulut menusia yang menceritakan ini lebih bersifat keburukan dan kelemahan saja.

Aku sendiri akui aku selalu melakukannya. Namun sekurang-kurangnya aku sedar perbuatan aku dan dalam hati ini berazam untuk tidak melakukannya lagi, insyaAllah.

Kamu tahu kenapa? Dulu aku pernah lalui beberapa kursus. Antara lain dalam modulnya adalah menyenaraikan 10 kebaikan dan 10 kelemahan diri sendiri. Apa yang berlaku? Kita lebih senang mencari keburukan diri sendiri dan menemui kebaikan. Itu diri sendiri. Bukan orang lain lagi. Sebab mentaliti manusia memang sebegitu. Tiada pilihan (mungkin pilihan terakhir) untuk manusia berfikir secara terbuka dan menerima keadaan sekeliling yang dipenuhi halangan (obstacles) yang membataskan kesempurnaan hidup. Manusia suka mengambil halangan-halangan ini untuk dijadikan alasan (negatif) untuk membataskan kesempurnaan. Akibatnya manusia lebih mudah melihat kelemahan daripada kekuatan.

Kekuatan yang terlihat biasanya adalah dalam keadaan yang benar-benar jelas seperti betapa pandainya seseorang itu, betapa cantik, betapa segak, betapa gagah dan lain-lain yang boleh kita anggap 'super-human'. Kita tidak nampak perkara kecil sebagai kebaikan/kekuatan kerana ianya terbias dengan kelemahan yang jauh lebih besar (di mata kebanyakkan dari kita). Maka apabila seorang itu contohnya memiliki keistimewaan yang orang lain tidak ada tapi ianya cuma perkara kecil, kita katakan ianya adalah biasa. Kita katakan ianya normal. Semua keistimewaan kecil dalam hidup kita akhirnya menjadi perkara-perkara yang normal sahaja.

Aku teringatkan cerita Good Will Hunting; Apa bila Will Hunting bertanyakan kepada kaunselornya (lakonan Robin Williams - aku sudah lupa apa nama wataknya) apakah yang istimewa mengenai mendiang isterinya. Jawab kaunselor tersebut, perkara-perkara yang kecil yang kita lihat sebagai trivial, itu yang istimewa dan itu yang sentiasa akan mengingatkan beliau terhadap mendiang isterinya.

Mungkin ada betulnya. Kamu tidak pernah membincangkan berapa tan perahu yang diusung oleh Badang tapi kamu lebih membincangkan Badang memakan muntah untuk menjadi kuat. Kamu tidak membincangkan mengenai betapa handalnya Achilles tetapi lebih membincangkan kekurangan pada tumitnya yang mengakibatkan kematian beliau. Kamu tidak membincangkan kehebatan Hang Jebat sebagai pahlawan tetapi lebih membincangkan kehebatnya sebegai seorang rebel. Kamu lihat bagaimana negativiti menjadi lebih utama?

Kamu lihat kearah langit... Cuaca mendung dan hujan akan turun. Apa yang kamu fikirkan? Kerana aku suka melihat awan, perkara pertama aku lihat adalah betapa indahnya mendung itu. Buktinya? Lihat gambar bawah...



Kamu faham maksud aku sekarang?

19.6.08

Trivia

Oh ya, semalam di National Geographic, katanya mee atau jenis-jenis mee tu berasal dari tanah Arab. So, orang cina Malaysia patut sedar mee bukanlah berasal usul dari China. Orang yang suka makan spageti tu pun patut juga sedar.

Peliknya, aku tak pernah tengok pun orang Arab makan mee...

17.6.08

Senja



Hampir setiap petang sewaktu balik dari kerja aku melihat suasana ini. Beritahu aku apa yang tidak indah mengenainya? Semuanya indah belaka. Menenangkan hati dan perasaan setelah penat bekerja.

16.6.08

Galeri Gambar Amat Aktif

Banyak sungguh gambar aku upload ke dalam GALERI GAMBAR aku. Ada baiknya. Sudah lama aku mahu melakukannya tapi aku tidak jumpa ruang yang sesuai. Aku rimas dengan Facebook dan Friendster untuk melakukannya. Aku tidak minat Flickr dan Fotopages. Jadi aku guna Picasa kerana paling utama, ada tool mudah untuk aku upload direct gambar-gambar tanpa perlu aku ubah saiz setiap gambar. Kemudian Picasa juga adalah sebahagian daripada aplikasi Google, sama seperti Blogger yang aku guna untuk menulis blog dan GMail yang aku guna untuk email. Jadi aku tidak perlu bersusah payah untuk log in sana sini semata-mata untuk upload gambar, tulis email dan tulis blog. Satu email sudah cukup.

Jadi kalau kamu bosan dengan membaca semua ini, pergi tengok gambar.

14.6.08

Manusia Membenci

Kenapa manusia suka bermusuhan, suka berhasad dengki, suka menyimpan dendam dan suka kepada memperlihatkan keburukan orang lain?

Kenapa susah sangat manusia untuk memberikan kemaafan terhadap orang lain?

Kenapa manusia perlu menyakiti hati dan diri manusia lain?

Kenapa manusia sanggup biarkan manusia lain menderita hanya kerana untuk memuaskan hati mereka?

====

Aku lihat sekarang ramai yang saling membenci antara satu sama lain dan kebanyakkan darinya tidak langsung berpunca dari kesakitan dan kesusahan yang dialami. Sebaliknya benci hanya kerana emosi.

Kalau boleh aku mahu membenci, aku mahu membenci
  1. Semua pembunuh manusia
  2. Semua pembawa senjata perang yang menghancurkan orang tidak bersalah
  3. Karpal Singh kerana sengaja membawa api perkauman dan berdendam dengan semua yang beliau fikir menyusahkan.
  4. Parti-parti politik di Malaysia kerana merosakkan integrasi kaum.
  5. Yusuf Haslam yang tidak sudah-sudah membuat filem/drama melayu yang meloyakan.
  6. Polis Simpanan Persekutuan (FRU) yang tidak berperi kemanusiaan.
Tapi itu kalau boleh aku membenci. Aku susah untuk membenci apatah lagi untuk marah. Jadi aku biarkan mereka-mereka dengan hidup mereka.

Aku benci untuk menulis mengenai ini. Ianya tidak sepatut ditulis.

13.6.08

Koleksi Gambar

Aku sudah ada online photo album sendiri. Klik link sebelah kanan (KOLEKSI GAMBAR) atau klik SINI. Ada beberapa yang merupakan karya fotografi secara serius aku dan selebihnya adalah koleksi foto santai tanpa aku peduli aspek-aspek teknikal semasa mengambil gambar.



Sebenarnya, minat aku dalam fotografi adalah mengambil gambar-gambar lanskap alam, terutamanya awan dan senja. Aku kurang berminat untuk fotografi potret memandangkan aku tidak mahir untuk mendapatkan mood orang. Tidak pandai hendak mengarah orang bagaimana untuk beraksi kerana aku sukakan keadaan yang natural dan candid saja.



Satu subjek yang paling menarik untuk aku dipotretkan adalah kanak-kanak dan lebih spesifik lagi budak kecik yang berumur kurang 3 tahun. Mereka playful dan penuh dengan aksi tanpa mereka sedari. Mereka tidak akan 'berlakon' dengan kita untuk menggayakan aksi sama seperti orang dewasa yang kemaruk depan kamera. Mereka tidak akan faham apa yang kita sedang lakukan dan akan keliru melihat wajah mereka di skrin kecil kamera apabila ditunjuk. Namun kanak-kanak sentiasa akan memberikan mood yang paling menarik dalam apa jua keadaan.



Satu kekurangan aku dalam fotografi berbanding dengan orang lain adalah aku rabun warna. Jadi aku tidak dapat membezakan tona-tona warna yang membolehkan shot gambar yang diambil menjadi lebih menarik. Aku cuma dapat mengambil gambar yang pada aku, amat cantik di mata ini saja.

Namun kekurangan ini bukan penghalang bagi aku untuk terus meminati seni fotografi.

12.6.08

Semalam Melihat Senyum

Shot by Asyikin. Canon EOS 400D, 1/25, f/3.5, ISO 1600, Pizza Hutt KLCC.

Semalam aku bercuti. Ada urusan kewangan disamping bertemu dengan Asyikin. Sudah agak lama aku tidak melihat senyuman manis Asyikin. Banyak yang diceritakan. 

Tidak banyak yang hendak aku ceritakan. Aku malas untuk berkata-kata. Aku cuma mahu melihat wajah dan senyuman Asyikin. Itu saja.


Shot by frossonice. Canon EOS 400D, 1/13, f/4.0, ISO 1600, 30mm, average metering, flash off, Pizza Hutt KLCC.

Takkan nak ganggu orang dengan flash kamera...

10.6.08

Kerana Dia Aku Di Sini

Catatan ke-500.

Buat Kak Nor.

Sesungguhnya dialah sahabat sejati. 10 tahun lalu dia pergi meninggalkan dunia ini. Sehingga kini tidak pernah sekali aku berkunjung ke pusaranya. Cerita ayahnya mengenai dalam liang lahatnya terjumpa batu yang berwarna-warni dan beliau mampu tersenyum dan berkata-kata sebelum beliau menghembuskan nafas terakhirnya masih dalam ingatan.

Beberapa tahun Kak Nor menderita penyakit yang tidak diketahui. Dua minggu sebelum beliau meninggal dunia, aku menziarahi beliau. Kurus kering tidak bermaya, hanya terdampar di pembaringan. Tiada suara untuk berkata-kata, tiada kudrat untuk bangun. Namun matanya tetap bersinar seindah sewaktu sihat beliau.

Ketika itu Kak Nor seperti cuba memberitahu aku sesuatu. Aku tidak memahaminya sehinggalah dua minggu kemudian.

Suatu ketika ketika kudratnya masih ada dan suaranya masih boleh berbisik, Kak Nor menulis dan menyatakan harapannya agar dapat kembali beliau berbual bicara denganku seperti saat-saat dulu. Ianya cuma tinggal harapan.

Kerana itu aku sentiasa sedar, hidup ini aku tidak boleh meletak seribu harapan, buat sesiapa pun. Aku boleh berdiri dan bersama untuk saat ini; esok hari entah apa lakarannya nanti. Kak Nor banyak mengajar aku mengenai erti hidup. Membuka mata aku dan melihat dari perspektif yang berbeza. Mengajar aku untuk tidak marah, tidak berdendam dan tidak bersangka buruk terhadap orang lain walau mereka memijak-mijak kepala ini. Kerana kalau tidak kerana perbuatan kita, tidak mereka lakukannya kepada kita. Itu ingatan beliau untuk aku setiap masa.

Sebab itu, aku menjadi seorang yang amat sukar untuk melontarkan kemarahan dengan kata-kata dan perbuatan. Aku simpan kemarahan itu dalam hati dan pudarkannya dengan masa. Kalau hendak dikata hati ini tenang, ya, tenang apabila mengingatkan sinar mata beliau saat hidupnya dihujung nyawa. Masih ada makna.

Maka catatan ke-500 blog ini adalah hanya untuk Kak Nor. Kerana asal mula semua ini adalah kerana Kak Nor jua.

al-Fatihah buat Kak Norkumalaisari Abdul Mubin.

Dalam Hidup Ini

The Beatles - In My Life

There are places I remember
All my life though some have changed
Some forever not for better
Some have gone and some remain
All these places had their moments
With lovers and friends I still can recall
Some are dead and some are living
In my life I've loved them all

But of all these friends and lovers
There is no one compares with you
And these memories lose their meaning
When I think of love as something new
Though I know I'll never lose affection
For people and things that went before
I know I'll often stop and think about them
In my life I love you more

Though I know I'll never lose affection
For people and things that went before
I know I'll often stop and think about them
In my life I love you more
In my life I love you more

====

Catatan ke-499. Aku sengaja letakkan lagu The Beatles - In My Life sebagai penyeri catatan ini. Baca dan faham kenapa aku amat suka dengan lagu ini. Lirik dan iramanya amat menarik.

Tiada sebab untuk menulis ketika waktu jam sudah menunjukkan 1.15 pagi. Aku masih terjaga walaupun hakikatnya aku masih keletihan setelah pulang dari kursus dan dengan majlis siang hari tadi.

Aku sedang memikirkan beberapa perkara...

Sudah lama aku tidak bercuti sendirian ketempat-tempat bercuti. Kali terakhir adalah ke Langkawi, sekitar 2004. Dulu, aku selalu bercuti ke Pulau Pinang. Aku suka sana kerana lautnya dan keadaannya yang sesuai dengan jiwa aku.

Ah, aku sudah tidak dapat memikirkan apa-apa lagi.

Catatan ini catatan kosong dari seorang yang sedang tidak keruan dengan hidup. Aku sedang mengenangkan seseorang. Seorang yang sudah lama pergi.

Sebuah nyanyian untuk dirinya...

8.6.08

Aku Pemain Bolasepak, Dulu...



Aku, berdiri dua dari kanan. Bukti aku dulu sebenarnya kurus dan seorang pemain bolasepak yang pernah menjadi johan negeri. Walaupun aku bukan pemain utama MRSM Bawah 15 tahun (1990), tetapi aku tetap memainkan peranan sebagai sebahagian daripada pasukan.

Awalnya masa tingkatan 2, pemilihan pemain untuk pasukan bawah 15 tahun telah pun diadakan dan telah dipilih. Aku tidak berminat sangat untuk bermain untuk maktab. Aku lebih menumpukan diri kepada ragbi.

Pada kejohanan bolasepak antara rumah sukan, aku bermain juga untuk rumah sukan aku, Purnama (merah) di posisi sayap kanan. Mungkin aku bermain dengan baik menyebabkan ada yang ajak aku join team maktab. Aku join dan kena tukar ke posisi sayap kiri sebab sayap kanan dah ada pemain yang lebih handal.

First tournament aku sertai adalah kejohanan bawah 14 tahun peringkat daerah, tahun 1989. Pasukan MRSM Balik Pulau telah menjadi johan. Satu yang paling aku tidak lupa adalah menggelecek penjaga gol sekolah St. George yang ketika itu adalah pemain bolasepak negara dan menjaringkan gol. Kira macam buli la.

Lepas pada tu, pasukan bolasepak MRSM Bawah 15 tahun tidak pernah tewas hingga ke perlawanan akhir antara sekolah peringkat negeri tahun 1990 di padang bandaran Butterworth. Kami menang menewaskan Sekolah Sains Tun Syed Sheikh Shahbuddin, Bukit Mertajam dengan jaringan 2-1. Aku nyaris menambah jaringan gol di saat-saat akhir, tapi dijatuhkan oleh pemain lawan dalam kotak penalti. Sepatutnya dapat sepakan penalti tapi pengadil datang kepada aku dan cakap, masa dah nak habis. Tensen je.

Esoknya hampir semua pelajar lelaki batch aku kena denda dalam kelas akibat ponteng kelas petang, pergi menyokong kami. Kami pemain tak kena denda, jadi kesian juga tengok member-member kena marah tak tentu pasal dengan cikgu-cikgu (semua ustaz dan ustazah). 

Kami menang kerana fitness level kami memang amat-amat tinggi berbanding dengan pasukan lain. Apabila pemain lawan sudah tercungap-cungap bawah terik matahari, kami masih berlari dengan laju dan bertenaga. Latihan dan senaman amat-amat intensif dan susah. Jam 4 petang sudah berlari 10 kali pusingan padang, kemudian stretching hampir sejam sebelum mula berlatih bermain bolasepak. Kami diajar dengan cara sepakan betul untuk seorang penyerang, pemain tengah dan pertahanan. Kami di ajar set-pieces yang rumit. Itulah hebatnya cikgu Ismail, coach kami.

Aku tak join team bawah 18 tahun maktab kerana lebih menumpukan perhatian kepada ragbi. Team ini juga telah menjadi johan negeri dan setakat yang aku tahu, kamilah satu-satunya team bolasepak MRSM Balik Pulau yang menjadi johan negeri.

Setakat dengar komen cikgu Ismail (coach) kata player sebelum kami lebih hebat, itu memang tak hairan. Dia memang kata kami tidak sehebat mana berbanding dengan player tahun-tahun sebelumnya. Tapi mereka tak menang jadi johan negeri, kami menang. Aku pasti tahun-tahun mendatang selepas kami meninggalkan maktab, cikgu Ismail akan menceritakan kehebatan pasukan bolasepak Bawah 15 tahun pada tahun 1990 dan Bawah 18 tahun pada tahun 1992 adalah pasukan bolasepak MRSM Balik Pulau yang terhebat sehingga kini. 

Aku masih ingat, rakaman perlawanan akhir bolasepak bawah 15 tahun peringkat negeri ada di dalam library maktab. Aku harap ianya masih ada tersimpan. Mungkin kalau aku datang reunion bulan depan, aku akan cari dan buat salinan.

5.6.08

Cameron Highlands - Lagi...


Destinasi seterusnya, Cameron Highlands (lagi...). Dulu masa tak dapat nak pergi Cameron Highlands, beria-ia nak pergi dan jeles dengan orang yang sudah pernah pergi. Tapi bila sendiri dapat peluang pergi hampir setiap bulan, dalam hati seperti berkata,

"Jadi, apa lagi yang ada..."

Tidak banyak yang menarik di Cameron Highlands melainkan kamu peminat bunga dan sayur-sayuran. Pencinta alam sekitar juga boleh tumpang menikmati alam walau semakin hari cuacanya aku rasa semakin panas dan keadaan semakin tidak menarik.

Tapi tiba waktu petang selepas hujan, cuaca sejuk dan awan mula berarak meliputi pemandangan sekeliling... ahhhh... syurga dunia. Cantik.

Kali ini bos besar sudah beli kamera digital SLR sendiri, Nikon D40. Jadi tak perlu lagi berebut nak guna kamera aku. Apa yang menarik nanti, aku dah cabar dia nak ambil gambar paling cantik di Cameron nanti. Jadi, kita akan lihat siapa yang menang, walaupun obviously aku akan kalah sebab, mana boleh lawan bos... (bukan sebab dia pandai ambil gambar ye!)

Siang tadi sibuk nak menyiapkan segala kerja yang belum siap sebelum aku pergi. Banyak dan agak meletihkan. Syukur siang tadi idea aku panjang berjela, jadi boleh guna sepanjang masa. Mungkin aku dapat tidur yang cukup. Entah.

Aku perlu tidur, esok ada perjalanan yang jauh dan berliku-liku. Jumpa lagi.

p/s: budak-budak MRSM BP kalau nak post mesej, wajib guna nombor maktab saja!

4.6.08

Alone


Do you understand something that I don't about me?...

2.6.08

Dari Larkin, Johor Ke Mazatlan, Mexico dan Kembali

Semasa di Terminal Bas Larkin tempohari, aku mencari-cari buku/majalah untuk dibaca. Aku merayau dari kedai ke kedai untuk mencarinya tetapi akhirnya aku kecewa. 90% daripada bahan pembacaan berbahasa Malaysia adalah berkaitan dengan agama, mistik hiburan dan novel-novel cinta. Sedang bacaan ilmiah langsung tidak aku temui. Selebihnya adalah buku-buku motivasi dan buku skim untuk menambah pendapatan/cepat kaya, majalah komputer serta majalah-majalah berkaitan sukan dan automotif.

Tertanya-tanya dalam hati, inikah saja yang orang Melayu kita baca? Hendak juga aku mencari buku-buku ilmiah yang mungkin berkaitan contohnya, alam sekitar, sejarah Johor (sebab aku berada di Larkin ketika itu), seni dan budaya atau apa saja yang boleh dikatakan ilmu yang lebih meluas ruang lingkupnya.

Bukan aku mengatakan buku-buku agama tersebut tidak baik, tapi kalau dari 100 buku, 90 daripada menceritakan hal yang sama, apa maksudnya? Adakah orang kita ini tidak faham sangat-sangat sehinggakan kita perlu beberapa buku untuk menerangkan perkara yang sama? Atau boleh dilihat dari satu sudut lagi, orang kita ini sebenar samada amat-amat kuat beragama kerana rajin membaca banyak buku agama atau amat lemah agamanya hingga perlu sebanyak-banyaknya buku agama untuk mendidik?

Sedang aku mencari-cari bahan yang hendak dibaca, ada dua orang perempuan Melayu datang dan mencari-cari sesuatu. Kemudian tersenyum apabila menemui majalah Mastika keluaran terbaru. Semuanya berkaitan hal-hal mistik yang mungkin boleh membantu mereka menjalani penghidupan mereka dengan lebih meriah. Aku memilih apa yang ada disebelah, Ridest Digest keluaran terbaru. Mahal. RM15.

Mungkin sebab itu. Majalah ilmiah adalah mahal. Lihat saja Anjung Seri, National Geographic dan lain-lain lagi. Malah buku-buku ilmiah berbahasa Malaysia sendiri pun adalah amat-amat mahal. Ada sebuah buku aku terlihat semasa di Puduraya mengenai bangsa-bangsa purba yang sudah pupus (sebenarnya sebuah buku agama juga), harga RM34. Aku terkedu. Mahal untuk sebuah buku yang agak nipis. Kalau masuk kedai buku, boleh dikatakan hampir kesemua buku ilmiah atau yang berkonsep penulisan yang menarik dalam bahasa Malaysia adalah mahal. Hampir semahal buku-buku bahasa Inggeris. Kenapa begitu?

Sebab itu aku jarang membeli buku. Ada sebab lain sebenarnya. Sebelah pejabat ada perpustakaan dengan begitu banyak buku ilmiah yang masih tidak terusik. Ada antaranya yang berusia puluhan tahun, sebelum merdeka lagi. Jadi aku masih tidak merasakan perlu untuk membeli buku setakat ini. Tapi aku beli majalah. Paling utama aku beli TopGear edisi Malaysia. Tapi sekarang aku mula berkira-kira untuk tidak membelinya lagi. Kenapa? Pertamanya editornya si Donald Cheah itu bagai seronok sendiri dan bersifat over exposure di dalamnya. Aku fikir, kalau seorang itu sanggup meletak potret diri dengan gaya metroseksual sekali ganda lebih besar dari potret Jeremy Clarkson di dalam majalah yang popular kerana Jeremy Clarkson, aku rasa dia ada isu. Aku mula bosan dengan berita mengenai koleksi jam yang tak masuk akal mahalnya. Juga aku bosan kerana semua review kereta yang beliau lakukan melihat masih kiasunya orang Malaysia terhadap kereta. Semua berkaitan Toyota dan Honda adalah terbaik. Eh.. melalut. You get my point.

Ada kalanya semasa di Larkin, akibat bosan menunggu bas, aku membaca kandungan nutrisi makanan-makanan McDonald's. Hingga setakat itu bosannya aku.

Nasib baik ketika sampai awal pagi di Larkin, semasa aku makan di McD, seorang mat saleh Amerika Syarikat sudi berbual-bual dengan aku. Puncanya, aku mengeluarkan kamera digital SLR dari beg untuk aku buat setting. Dia menegur dan bertanyakan mengenai kamera. Tidak sampai 2 minit, dia mengeluarkan kamera Olympus dan duduk di hadapan aku. Kami berbual-bual dari jam 4 pagi hingga menjelang subuh.

Umur beliau 67 tahun tetapi masih mengembara keserata dunia. Dia mahu melihat World Heritage Site, katanya. Aku pasti ianya tiada di Singapura, destinasi perjalanan beliau awal pagi tersebut. Aku kata dia patut ke Langkawi atau ke Sabah dan Sarawak untuk melihatnya. Tapi kamu faham kalau masyarakat barat sudah disogok dengan 'kehebatan' Singapura, dia kata dia mahu berehat di Singapura untuk sehari dua sebelum kembali ke Bangkok. Malaysia ini cuma laluan lintas saja. Aku tak salahkan dia. Agensi Pelancongan kita masih gagal sebenarnya.

Si Mat Saleh Amerika Syarikat yang pernah menjadi anggota tentera marin di Okinawa, Jepun dan kini menetap di Mazatlan, Western Mexico menjemput aku kesana untuk menikmati keindahan pantai Barat Mexico. Katanya sewa rumah adalah murah, cuma 8 - 10 dollar sehari, boleh memancing ikan-ikan besar sambil menikmati beer di tepi pantai menghadap lautan Atlantik. Ya, bab beer tu aku biarkan saja dia berbicara.

Menjelang jam 6 pagi, aku mencadangkan dia supaya pergi melihat bas yang boleh membawanya ke Kota Singa. Seketika kemudian setelah bersalaman, dia berlalu pergi. Sudah lama aku tidak berbual-bual dengan mat saleh. Kamu tahu apa? Seburuk mana sekali pun bahasa Inggeris kamu, mereka tidak akan pernah mengkritiknya. Malah mereka sanggup biarkan kita berkata-kata dengan perlahan agar mereka boleh faham apa yang kita maksudkan. 

Orang kita? Orang kita lebih berlagak dari mat saleh sendiri. Seorang PRO syarikat besar di Malaysia ini pernah cuba untuk berbicara di khalayak umum dengan gaya bahasa Inggeris Amerika Syarikat;

"So(r), I would(r) like to(r) welcome you(r) all to(r) th(r)is event..."

Grrrr... Marahnya aku. Cakap macam biasa sudah la.

Hmm... Apa kena mengena semua ini dengan cerita aku cari buku di Larkin? Takde kena mengena. Cuma aku fikir perlu diperbanyakkan buku-buku ilmiah dan hal-hal semasa di pasaran dalam bahasa Malaysia. Aku mahu membacanya. Kalau baik, aku akan beli. Tapi aku takde masalah untuk baca buku bahasa Inggeris. Ianya membantu aku dalam banyak perkara. Termasuk dari segi perbualan dengan bangsa asing walaupun agak berkarat. Mastika tidak akan dapat membantu kamu berbuat begitu, aku pasti. Cerita-cerita mistik dalamnya tidak akan membuatkan kamu mahir berbahasa Inggeris. :-)

Ya, kesimpulan bodoh.

Orang Melayu I

Aku menonton Musang Berjanggut di Astro semalam. Bukan menonton untuk berhibur tetapi untuk memahami sesuatu. Ada beberapa cerita lagi yang sesuai, filem melayu lama terutamanya. Aku faham sesuatu semalam.

Orang Melayu ini amat lembut hati dan perbuatannya. Sedang dalam sengketa masih boleh bermadah dan berpantun manis. Sedang dalam marah bahasanya masih teratur lembut. Sebab itu kalau hendak melihat kemarahan orang Melayu, lihatlah semasa dia mengamuk. Itulah kekuatan akibat dek dirasuk perasaan marah yang amat-amat sangat.

Maka apabila orang Melayu mula bertutur dengan bahasa-bahasa yang kasar, ianya nampak amat-amat kasar dan tidak berbatas. Mudah saja ayat-ayat itu memberi maksud yang berlainan dari maksud asal. Mungkin pada ketika itu, orang Melayu sedang marah namun tidak sampai tahap sehingga hendak mengamuk.

Jadi fahamilah sesuatu. Orang Melayu asalnya adalah orang yang lembut hati dan bersopan santun. Mereka amat peramah dan terbuka untuk menerima sesiapa saja. Jangan pula kamu salah guna keadaan ini untuk menuntut lebih dari apa yang kamu patut terima sebagai seorang tetamu. Kamu juga perlu faham apabila orang Melayu menganggap kamu tetamu, kamu itu sudah menjadi setaraf keluarga, sanak saudaranya.

Jadi sekali lagi, janganlah kamu menuntut sesuatu yang melebihi hak kamu sebagai seorang tetamu di bumi ini. Kamu tidak mahu melihat orang Melayu menjadi benar-benar marah. 

Chandan, Kuala Kangsar

Sewaktu aku balik kampung tempohari, aku sempat juga mengambil beberapa gambar sekitar istana Iskandariah, Kuala Kangsar. Cuaca kurang elok menyebabkan gambar jadi agak suram.

Jalan yang melingkari istana dilitupi dengan pohon-pohon besar dan redup. Daun-daun dibiarkan jatuh menambahkan rasa tenang.

Senja di tebing sungai Perak. Pemandangan bandar Kuala Kangsar jauh di hadapan. Aku berdiri di atas jeti lama yang sekarang menjadi tumpuan kaki-kaki pancing setiap masa. Sudut ini adalah antara pandangan paling menarik sungai Perak di Kuala Kangsar.

Jalan menuju ke Chandan di mana terletaknya masjid Ubudiah yang amat-amat terkenal, Muzium Di Raja Perak dan istana Iskandariah. Jauh di tepi kanan terletak jambatan Sultan Abdul Jalil, jambatan baru yang menghubungkan Bandar Kuala Kangsar dan Sayong.


Pemandangan sungai Perak dan Jambatan Sultan Abdul Jalil di tebing Bukit Kerajaan.

Ada beberapa gambar lagi. Nanti kalau ada kesempatan, akan aku upload ke sini.

Sesi Fotografi Lea & Sani


Pasangan Pengantin Lea-Sani

Ini yang aku buat semasa di Johor Bahru. Kerja fotografi kahwin pertama yang aku lakukan. Ianya tidak hebat dan tidak sebaik mana, tetapi suatu pengalaman yang menyeronokkan. Kata orang, memang susah apabila mahu mengambil gambar perkahwinan. Tambah susah kalau busana pengantin berwarna putih seperti di atas. Bagi aku ianya cabaran. Aku baru bermula.

Sepatutnya aku edit lagi gambar yang ada di atas ini. Tapi aku sudah terlalu letih dan malam sudah lewat. Jadi cukup sekadar aku cerahkan tone (kerana pengantin lelaki agak gelap) supaya nampak lebih sekata dan aku crop agar jadi lebih centre.

InsyaAllah kalau ada kelapangan, aku akan buat lagi. Itu pun kalau ada yang sudi mengundang.