20.6.08

Mendung Itu Sebenarnya Indah

Kamu pergi kedai kopi, restoran makanan segera, restoran mewah, gerai tepi jalan, food-court dan pantry di mana-mana pun di Malaysia ini. Duduk sebentar dan dengar apa yang diperbualkan oleh mereka yang berada di situ.

Aku yakin banyak yang kamu dengar adalah mengenai keburukan dan kelemahan orang lain. Cerita-cerita meremehkan orang lain dan apa saja kekurangan perbuatan dan sikap orang lain. Cerita ini diperbualkan dikalangan mereka yang sedang duduk makan (mungkin ada yang berdiri) dengan penuh emosi dan mungkin, hilai tawa.

Apa yang tidak menariknya cerita mengenai keburukan dan kelemahan orang lain? Ianya amat senang hendak diperkatakan dan amat menarik perhatian sesiapa saja yang mendengarnya. Mungkin boleh ditokok tambah oleh orang lain yang mendengarnya hingga menjadi akhirnya menjadi mitos yang boleh menyaingi Beowulf dan Hercules. Cuma Beowulf dan Hercules menceritakan kehebatan dan keagungan seseorang manusia dan dewa, tapi di Malaysia, mitos-mitos yang keluar dari mulut-mulut menusia yang menceritakan ini lebih bersifat keburukan dan kelemahan saja.

Aku sendiri akui aku selalu melakukannya. Namun sekurang-kurangnya aku sedar perbuatan aku dan dalam hati ini berazam untuk tidak melakukannya lagi, insyaAllah.

Kamu tahu kenapa? Dulu aku pernah lalui beberapa kursus. Antara lain dalam modulnya adalah menyenaraikan 10 kebaikan dan 10 kelemahan diri sendiri. Apa yang berlaku? Kita lebih senang mencari keburukan diri sendiri dan menemui kebaikan. Itu diri sendiri. Bukan orang lain lagi. Sebab mentaliti manusia memang sebegitu. Tiada pilihan (mungkin pilihan terakhir) untuk manusia berfikir secara terbuka dan menerima keadaan sekeliling yang dipenuhi halangan (obstacles) yang membataskan kesempurnaan hidup. Manusia suka mengambil halangan-halangan ini untuk dijadikan alasan (negatif) untuk membataskan kesempurnaan. Akibatnya manusia lebih mudah melihat kelemahan daripada kekuatan.

Kekuatan yang terlihat biasanya adalah dalam keadaan yang benar-benar jelas seperti betapa pandainya seseorang itu, betapa cantik, betapa segak, betapa gagah dan lain-lain yang boleh kita anggap 'super-human'. Kita tidak nampak perkara kecil sebagai kebaikan/kekuatan kerana ianya terbias dengan kelemahan yang jauh lebih besar (di mata kebanyakkan dari kita). Maka apabila seorang itu contohnya memiliki keistimewaan yang orang lain tidak ada tapi ianya cuma perkara kecil, kita katakan ianya adalah biasa. Kita katakan ianya normal. Semua keistimewaan kecil dalam hidup kita akhirnya menjadi perkara-perkara yang normal sahaja.

Aku teringatkan cerita Good Will Hunting; Apa bila Will Hunting bertanyakan kepada kaunselornya (lakonan Robin Williams - aku sudah lupa apa nama wataknya) apakah yang istimewa mengenai mendiang isterinya. Jawab kaunselor tersebut, perkara-perkara yang kecil yang kita lihat sebagai trivial, itu yang istimewa dan itu yang sentiasa akan mengingatkan beliau terhadap mendiang isterinya.

Mungkin ada betulnya. Kamu tidak pernah membincangkan berapa tan perahu yang diusung oleh Badang tapi kamu lebih membincangkan Badang memakan muntah untuk menjadi kuat. Kamu tidak membincangkan mengenai betapa handalnya Achilles tetapi lebih membincangkan kekurangan pada tumitnya yang mengakibatkan kematian beliau. Kamu tidak membincangkan kehebatan Hang Jebat sebagai pahlawan tetapi lebih membincangkan kehebatnya sebegai seorang rebel. Kamu lihat bagaimana negativiti menjadi lebih utama?

Kamu lihat kearah langit... Cuaca mendung dan hujan akan turun. Apa yang kamu fikirkan? Kerana aku suka melihat awan, perkara pertama aku lihat adalah betapa indahnya mendung itu. Buktinya? Lihat gambar bawah...



Kamu faham maksud aku sekarang?

No comments:

Post a Comment