2.6.08

Orang Melayu I

Aku menonton Musang Berjanggut di Astro semalam. Bukan menonton untuk berhibur tetapi untuk memahami sesuatu. Ada beberapa cerita lagi yang sesuai, filem melayu lama terutamanya. Aku faham sesuatu semalam.

Orang Melayu ini amat lembut hati dan perbuatannya. Sedang dalam sengketa masih boleh bermadah dan berpantun manis. Sedang dalam marah bahasanya masih teratur lembut. Sebab itu kalau hendak melihat kemarahan orang Melayu, lihatlah semasa dia mengamuk. Itulah kekuatan akibat dek dirasuk perasaan marah yang amat-amat sangat.

Maka apabila orang Melayu mula bertutur dengan bahasa-bahasa yang kasar, ianya nampak amat-amat kasar dan tidak berbatas. Mudah saja ayat-ayat itu memberi maksud yang berlainan dari maksud asal. Mungkin pada ketika itu, orang Melayu sedang marah namun tidak sampai tahap sehingga hendak mengamuk.

Jadi fahamilah sesuatu. Orang Melayu asalnya adalah orang yang lembut hati dan bersopan santun. Mereka amat peramah dan terbuka untuk menerima sesiapa saja. Jangan pula kamu salah guna keadaan ini untuk menuntut lebih dari apa yang kamu patut terima sebagai seorang tetamu. Kamu juga perlu faham apabila orang Melayu menganggap kamu tetamu, kamu itu sudah menjadi setaraf keluarga, sanak saudaranya.

Jadi sekali lagi, janganlah kamu menuntut sesuatu yang melebihi hak kamu sebagai seorang tetamu di bumi ini. Kamu tidak mahu melihat orang Melayu menjadi benar-benar marah. 

1 comment:

Mohd Asri said...

orang melayu akan bertindak disaat² akhir...

Post a Comment