Buat Kak Nor.
Sesungguhnya dialah sahabat sejati. 10 tahun lalu dia pergi meninggalkan dunia ini. Sehingga kini tidak pernah sekali aku berkunjung ke pusaranya. Cerita ayahnya mengenai dalam liang lahatnya terjumpa batu yang berwarna-warni dan beliau mampu tersenyum dan berkata-kata sebelum beliau menghembuskan nafas terakhirnya masih dalam ingatan.
Beberapa tahun Kak Nor menderita penyakit yang tidak diketahui. Dua minggu sebelum beliau meninggal dunia, aku menziarahi beliau. Kurus kering tidak bermaya, hanya terdampar di pembaringan. Tiada suara untuk berkata-kata, tiada kudrat untuk bangun. Namun matanya tetap bersinar seindah sewaktu sihat beliau.
Ketika itu Kak Nor seperti cuba memberitahu aku sesuatu. Aku tidak memahaminya sehinggalah dua minggu kemudian.
Suatu ketika ketika kudratnya masih ada dan suaranya masih boleh berbisik, Kak Nor menulis dan menyatakan harapannya agar dapat kembali beliau berbual bicara denganku seperti saat-saat dulu. Ianya cuma tinggal harapan.
Kerana itu aku sentiasa sedar, hidup ini aku tidak boleh meletak seribu harapan, buat sesiapa pun. Aku boleh berdiri dan bersama untuk saat ini; esok hari entah apa lakarannya nanti. Kak Nor banyak mengajar aku mengenai erti hidup. Membuka mata aku dan melihat dari perspektif yang berbeza. Mengajar aku untuk tidak marah, tidak berdendam dan tidak bersangka buruk terhadap orang lain walau mereka memijak-mijak kepala ini. Kerana kalau tidak kerana perbuatan kita, tidak mereka lakukannya kepada kita. Itu ingatan beliau untuk aku setiap masa.
Sebab itu, aku menjadi seorang yang amat sukar untuk melontarkan kemarahan dengan kata-kata dan perbuatan. Aku simpan kemarahan itu dalam hati dan pudarkannya dengan masa. Kalau hendak dikata hati ini tenang, ya, tenang apabila mengingatkan sinar mata beliau saat hidupnya dihujung nyawa. Masih ada makna.
Maka catatan ke-500 blog ini adalah hanya untuk Kak Nor. Kerana asal mula semua ini adalah kerana Kak Nor jua.
al-Fatihah buat Kak Norkumalaisari Abdul Mubin.
No comments:
Post a Comment