20.6.08

Adakah Kamu Pekak, Buta dan Bisu?

Media arus perdana di Malaysia sekarang sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk menjatuhkan maruah mereka sendiri. Kenapa?

Media arus perdana di Malaysia bukannya tak tahu ada media alternatif lain di internet yang di layari ratusan ribu rakyat Malaysia di seluruh dunia setiap hari, jauh lebih banyak pembaca dari jumlah akhbar yang mereka jual. Mereka masih menyiarkan berita-berita mengampu, memutar belitkan fakta dan meremehkan informasi dari sumber lain. Aku fikir ada baik mereka pecat sahaja penasihat dan pakar rujuk mereka (sekiranya ada) kerana ianya tidak akan langsung membantu mereka meningkatkan jualan akhbar dan jumlah penonton mereka.

Sampai bila mahu mereka terbelit dengan kekangan berita yang jelas tidak neutral dan amat mudah dipengaruhi oleh sesuatu pihak? Kalau itu mereka kata kebebasan media, maka betul juga kenyataan bila orang kata mereka sebenarnya adalah kayu semata-mata dan otak mereka dipenuhi dengan sekam.

2 juta pengunjung chedet.com dalam masa kurang 2 bulan jelas menggambarkan efisien dan pengaruh media internet sekarang. Ratusan ribu lagi yang mengunjungi media-media alternatif di internet, blog-blog tulisan orang yang berpengaruh di penuhi dengan ratusan komen setiap hari dan juga tidak lupa dengan berita-berita antarabangsa mengenai Malaysia yang amat mudah diperolehi di Google News dan lain-lain enjin carian.

Kamu masih mahu mengatakan bahawa media internet tiada kredibiliti? Jadi lain kali kamu juga tidak perlu memetik berita-berita dari AFP, Reuters, Bloomberg, CNN, Al-Jazeera dan lain-lain media arus perdana dunia yang kini sudah benar-benar 'embrace' internet. Tidak perlu kerana mereka tidak ada kredibiliti menyiarkan berita mereka di internet.

Maka betul juga aku boleh kata The Star Online, Utusan Online, Berita Harian Online, Bernama Online dan semua media arus perdana Malaysia yang ada versi online tidak ada kredibiliti. Kenapa? Kerana mereka menggunakan medium internet sebagai sebaran maklumat yang sentiasa didakwa oleh sesetengah orang yang berpengaruh sebagai sumber tidak 'reliable'.

Sekali lagi aku nyatakan, rakyat Malaysia sekarang sudah tidak seperti 20-30 tahun dahulu. Malah rakyat Malaysia sudah tidak seperti 5-10 tahun lalu. Media alternatif di internet kini adalah sebenarnya media arus perdana mereka. Nasib baik kebanyakkan orang luar bandar mengalami kesukaran untuk mencapai internet. Kalau tidak, mungkin orang kampung akan berbincang di kedai kopi mengenai berita-berita yang dibaca di MalaysiaKini atau Google News. Mungkin kedai kopi di kampung juga ada capaian WiFi untuk memudahkan pengunjung surfing internet di kedai kopi dengan laptop mereka. Hmm... nasib baik juga laptop berharga ribuan ringgit. Kalau ianya berharga RM80 seperti Astro, kamu media arus perdana sekarang semuanya akan bengkrap.

Teringin sangat aku mahu melihat media arus perdana menjadi media yang kritikal, berani dan terbuka. Berani, kritikal dan terbuka bukan kerana mengutuk dan menghentam kerajaan tetapi bersikap berkecuali dan tidak memihak kepada mana-mana pihak dalam menyampaikan maklumat. Malah aku mahu media arus perdana tidak pro-rakyat (menyokong kehendak rakyat) semata-mata. Mereka perlu kritis dan berani membongkar isu-isu semasa dari sudut profesionalisme kewartawanan mereka itu.

Selepas itu, baru aku anggap kamu media arus perdana.

No comments:

Post a Comment