Ya, Putrajaya ada pulau. Bermula dari Kementerian Kewangan dan Putrajaya Holding berhampiran masjid Putra hingga sebelum jambatan berhadapan PICC adalah pulau yang dikelilingi oleh tasik buatan.
3 tahun dulu, untuk kemana-mana di Putrajaya ini amat sukar. Bas memang terlalu sedikit dan menjelang senja, perkhidmatan bas sudah habis. Tiada langsung bas dari luar yang datang ke Putrajaya. Hinggalah pertengahan 2005 baru bas Sri Indah dan Metro mengadakan perkhidmatan dari KL ke Putrajaya.
Sekarang, aku boleh anggap perkhidmatan pengangkutan awam di Putrajaya hampir lengkap. Bas sentiasa ada walaupun ada waktunya terpaksa tunggu lama. Kita kena faham dengan karenah pemandu perkhidmatan awam di Malaysia ini. Mereka 'berhak' menentukan masa perjalanan bas mereka. Mereka 'berhak' marah kamu dan mereka juga 'berhak' untuk jalan ikut jalan mana yang mereka suka. Penumpang hanya perlu bayar tiket, duduk atau berdiri dan harap dapat tiba di destinasi dengan selamat.
Memang ada projek monorel di Putrajaya walaupun sekarang sedang ditangguhkan. Kamu boleh lihat beberapa struktur binaan yang memang khas untuk monorel sudah siap terbina. Contohnya jambatan gantung (satu-satunya jambatan gantung berbentuk klasik) di belakang Wisma Tani adalah jambatan untuk laluan monorel. Kalau pergi ke Putrajaya Sentral, kamu boleh lihat trek dan stesen monorel sudah disiapkan. Malah kalau kamu berjalan-jalan di jambatan sebelah masjid Putra, kamu akan dapat lihat tanda arah ke stesen monorel di bawah.
Cuma buat masa sekarang, aku tidak nampak keperluan monorel kerana jumlah pengguna tidaklah seramai mana. Mungkin apabila Putrajaya siap dibangunkan sepenuhnya, barulah monorel sesuai digunakan. Bukan bermakna tidak perlu dibinakan sekarang tapi bagi aku tidak perlu dibina sepenuhnya. Bina di kawasan yang perlukannya. Contohnya dari kawasan kuarters kerajaan sekitar Putrajaya ke tempat kerja mereka. Tidak perlu ke taman-taman dan lokasi yang belum dibangunkan seperti di Presint Diplomatik dan PICC.
Satu kelebihan Putrajaya buat masa sekarang adalah bas yang digunakan untuk pengangkutan sekeliling Putrajaya menggunakan tenaga NGV. Ini jauh lebih jimat dan bersih dari petrol. Tapi sebagai langkah yang lebih baik masa akan datang, aku fikir amat sesuai kalau kerajaan perkenalkan bas berkuasa elektrik atau hidrogen di Putrajaya. Biar ianya menjadi contoh untuk bandar-bandar lain. Lebih baik juga diperkenalkan bas 'double-decker' sebagai daya penarik khususnya untuk pelancong.
Sebenarnya untuk kawasan perbandaran terancang seperti Putrajaya ini, satu kaedah pengangkutan awam yang menarik dan amat sesuai dibina adalah tram. Tram menggunakan jalan sedia ada dan ada jenis tram yang tidak perlukan kabel elektrik merentangi atas jalan tetapi masih menggunakan tenaga elektrik.
Ada beberapa kelemahan dengan sistem pengangkutan awam di Putrajaya. Pertamanya yang paling jelas adalah di sepanjang Persiaran Perdana tiada langsung pondok menunggu bas berbumbung. Aku agak perancang bandar yang memikirkan tidak perlu letak hentian bas berbumbung ini tidak pernah naik bas di Malaysia. Mereka tidak fikir hujan yang boleh tiba-tiba datang dan mereka juga tidak fikirkan panas terik cuaca di Malaysia ini. Ada kalanya orang terpaksa berteduh di bawah pokok di sepanjang persiaran. Nasib ada pokok. Hendak berteduh di bangunan-bangunan sepanjang persiaran, ianya agak jauh dari tepi jalan. Siar kaki di Persiaran Perdana adalah luas dan selesa tapi tidak membantu pengguna perkhidmatan pengangkutan awam. Aku faham, mungkin kerana perancang bandar ini memikirkan tidak perlu kerana nanti ada stesen monorel yang dibina di bawah tanah. Masalahnya sekarang belum ada. Jadi binalah dulu hentian bas mudah alih.
Bas-bas Nadi Putra di Putrajaya ini juga cuma menggunakan nombor untuk pemberitahuan laluan bas. Masalahnya bukan semua orang tahu apa destinasi nombor-nombor laluan tersebut. Kadang-kadang pemandu bas juga tidak membantu. Kita tanya samada pergi atau tidak ke Putrajaya Sentral, dia akan jawab ya. Kemudian baru kita sedar yang bas tersebut sedang mengelilingi Putrajaya sebelum sampai ke Putrajaya Sentral. Ada bas lain yang destinasinya terus ke Putrajaya Sentral tanpa perlu tawaf Putrajaya.
Aku tidak perlu cerita mengenai teksi di Putrajaya. Kamu juga tidak perlu menggunakan teksi di Putrajaya melainkan kamu benar-benar tidak tahu kemana destinasi kamu. Kalau naik dari Putrajaya Sentral, kamu agak selamat kerana ianya menggunakan sistem kupon. Walaupun agak mahal tapi sekurang-kurangnya harga adalah sama setiap masa. Dari Putrajaya Sentral ke JPN, tambang teksi adalah RM7. Naik bas Nadi Putra, 50sen. Naik bas RapidKL, RM2 (guna sepanjang hari untuk laluan antara-bandar).
Sekarang agak selesa hidup di Putrajaya. Suasana malam juga semakin ceria. Pawagam sudah ada di Alamanda walaupun aku sedari yang Alamanda semakin sesak setiap hari terutama hujung minggu. Dataran Putrajaya pun semakin ramai pengunjung. Malam hujung minggu penuh dengan keluarga. Ibu bapa melayan karenah anak-anak mereka; berkelah, ajar anak naik basikal, main kereta kontrol dan duduk berbual-bual. Kamu tidak dapat itu di Kuala Lumpur.
Agak rugi tasik sekeliling Putrajaya tidak digunakan sepenuhnya. Tidak ada aktiviti yang signifikan di tasik melainkan waktu-waktu tertentu. Aku cadang wujudkan aktiviti sukan air seperti berkayak (aku tahu ada tapi tidak menyerlah), jet-ski dan bot pisang. Atau galakkan orang sekitar Putrajaya melibatkan diri dengan aktiviti akua dengan kadar bayaran yang berpatutan. Hendak juga aku lihat perahu-perahu layar memenuhi tasik Putrajaya. Tentu menarik.
Perlu juga diwujudkan sebuah lagi kompleks membeli-belah terutamanya dikawasan pulau. Kawasan berhampiran tempat kerja. Alamanda itu sebenarnya sudah hampir di penghujung Putrajaya. Tengah-tengah putrajaya sekarang cuma pejabat-pejabat kerajaan. Aku yakin pasaraya, MacDonald's, KFC dan lain-lain boleh hidup di kawasan pulau ini. Ramai orang awam yang berkunjung ke sini setiap hari. Sekurang-kurangnya mereka ada tempat untuk pergi sekira masih ada masa terluang.
Aku fikir Perbadanan Putrajaya perlu berfikir lebih kreatif. Putrajaya boleh maju tapi perlu ada pembaharuan dan perlu ada kesesuaian.
2 comments:
erm...setuju sgt dgn your opinion,nak buat semua memang boleh,tp memerlukan kos y byk,drpd mbazir dgn benda y xberfaedah,baiklah disalurkan ketempat y berfaedah..kata bandar dlm taman,tp mcm xidup jer suasana tue...bknyer robot.....klu x, xguna rakyat mhabiskan separuh pendapatannye dgn mbyar cukai mcm2...tol x?so, teruskan perjuanganmu ahmad sharidan...
Salam.
Saya mula bertugas di Putrajaya awal tahun 2002. Kini sudah 7 tahun berlalu.
Dalam tempoh 7 tahun bangunan pejabat yang baru bertukar lusuh, sana-sini rosak, bilik air selalu tersumbat, ada masa tiada air, lif juga kerap rosak.
Tahun-tahun awal di sini seronok berkunjung ke Alamanda, tapi kini tak berminat lagi. Mungkin terlalu jemu kerana itu saja tempat yang kerap di tuju.
Macam juga Masjid Putra yang dikunjungi hari Jumaat setiap minggu. Tapi kini bunga-bungaan di dataran Masjid Putra sudah dibaikpulih, terasa ceria juga.
Tak dinafikan sistem pengangkutan awam Nadi Putra nampaknya sangat baik dan selesa pengguna.
Tapi kita yang tinggal di Kuala Lumpur, bangun seawal jam 5.30 pagi, tiba di pejabat jam 7.25 pagi, menjelang 5.00 petang bersiap sedia meninggalkan Putrajaya.
Nampaknya Putrajaya untuk kami hanyalah dari jam 7 pagi hingga 5 petang sahaja. Inilah masa puncak untuk kami menikmati pembangunan Putrajaya.
Post a Comment