31.8.08

Death Magnetic


Metallica kembali! Album baru mereka, Death Magnetic akan mula dijual 16 September nanti. Atas adalah salah satu lagu yang terdapat dalam album tersebut berjudul The Day That Never Comes.

Pertama kali aku dengar aku agak keliru dengan konsepnya. Tapi hari ini bila aku dengar balik, dalam hati seperti.. ahh... Metallica sudah kembali. Seperti berada di penghujung 80an dan awal 90an sewaktu mereka popular dengan album Ride The Lightning, Master of Puppets, And Justice For All dan Black Album. Semuanya seperti digabung dalam satu lagu ini.

Tidak seperti album St. Anger, petikan gitar solo Kirk Hammet sudah kembali. Begitu juga dengan gitar harmoni yang membuat aku terpengaruh dengan Metallica, sudah juga kembali. Cuma entah kenapa, ketukan dram Lars Ulrich hampir tidak berubah sejak dari St. Anger. Aku lebih suka seperti awal lagu ini dimana ketukan dram Lars sama seperti dalam album And Justice For All, smooth.

Ya, memang aku peminat besar Metallica. So What?

Menilai Hidup Ini - Babak 4

"Saya akan pulang ke kampung esok. Ada apa-apa yang hendak dipesan?"
"Apa yang menarik di sana?"
"Ada labu sayong. Itu saja kot." Kemudian aku sambung lagi.

"Jemputlah datang ke rumah, berbuka puasa di sini dengan keluarga saya."
"Ishh.. Awak, Saya tak reti ke rumah lelaki. Malu."
"Saya cuma jemput kalau awak nak rasa makanan orang Perak."

Sebenarnya aku simpati terhadapnya. Mungkin bagi dirinya sebagai anak yatim piatu adalah perkara yang sudah biasa. Aku jemput dengan harapan, dia dapat merasai kemesraan keluarga, emak dan ayah sewaktu berbuka puasa. Aku tahu emak dan ayah sentiasa suka menerima sesiapa saja untuk berbuka bersama kami sekeluarga.

"Takpelah. Kalau bulan puasa nanti awak ada dekat Putrajaya waktu hampir berbuka, beritahulah ye. Boleh saya ajak berbuka."
"Terima kasih sudi jemput saya ke Kuala Kangsar. Kalau saya di Putrajaya, saya bagitau ye."

Begitu suasana malam sebentar tadi, walau hanya berkata-kata melalui SMS. Ianya seperti berbicara di hadapan mata. Kamu tahu, setiap kali berbicara, senyuman takkan lepas dari wajahnya. Itu gaya seorang eksekutif pemasaran, sentiasa mesra dengan pelanggan.

Sejak mula dulu, amat senang hati aku melihat wajahnya. Malah kelmarin aku memujinya kerana semakin 'berseri'. Mungkin kerana sudah beberapa bulan aku tidak menemui dia, jadi aku sudah lupa wajahnya.

29.8.08

Menilai Hidup Ini - Babak 3

"Selamat malam. Semoga damai sentiasa."

"Selamat malam kembali..."

Menilai Hidup Ini - Babak 2

Kemudian, kami terus berbual lagi mengenai hal-hal peribadi dan termasuklah cliche kehidupan. Pandangan lelaki terhadap perempuan dan sebaliknya. Bagaimana realitinya banyak lelaki yang berbuat perkara jahat tapi apabila mencari pasangan hidup, mahu mencari yang paling baik dan paling terpuji.

Juga bagaimana apabila berkahwin nanti, watak-watak cliche suami isteri dimainkan atas nama harmoni sebuah rumahtangga; sang suami bekerja (dan kini selalunya isteri turut bekerja), pulang kerumah isteri menyiapkan makanan, membasuh baju dan menyediakan segalanya untuk si suami yang duduk di sofa membaca surat khabar (sedang dalam hati bersyukur kerana tidak perlu lagi bersusah payah mengemas rumah dan lain-lain) sambil menonton berita atau rancangan TV. Ya, segalanya yang cliche tentang perihal suami isteri. Tidak semua begitu tapi kebanyakkan.

Aku tidak berpegang kepada pendirian tersebut. Kalau selama berbelas tahun aku boleh hidup sendiri, basuh kain sendiri, masak makanan sendiri (walau hanya mee segera) dan gosok baju sendiri, kenapa selepas kahwin aku tidak terus melakukannya? Kenapa mengharapkan isteri? Aku yakin, ramai lelaki yang berkahwin, salah satu yang ditunggu-tunggu adalah kebebasan daripada melakukan semua itu. Perkara leceh bagi mereka.

Masalahnya pula, si isteri juga berfikiran sebegitu. Apabila kahwin kelak, mereka mahu melayan suami mereka sebaik mungkin; sediakan makan minum, bersihkan pakaian dan lain-lain lagi. Seperti satu suis dalam badan mereka tiba-tiba ON selepas berkahwin supaya mereka menjadi 'suri rumah'. Kalau mereka si isteri tidak mampu melakukan semua itu, pada fikiran mereka sendiri, diri mereka bukanlah isteri yang baik. Kenapa begitu? 

Itu yang aku bualkan bersama kenalan aku kerana dia menceritakan pengalaman hidupnya semasa bercinta dahulu. Sedikit sebanyak aku sedar bahawa dia sendiri dalam fikirannya, dia tidak sempurna menjadi seorang isteri kiranya semua itu dia tidak mampu lakukan. Nah, sebenarnya sifat-sifat cliche suami isteri sudah tertanam secara automatik dalam diri kita, mungkin sajalah.

Ada yang rebel. Ada yang tidak mahu terpasung dalam keadaan sebegitu. Pada fikiran mereka, mereka lebih liberal dan terbuka. Tapi tidak ramai. Malah kadang-kadang ada yang akui mereka liberal tapi sebenarnya mereka tidak lebih, masih sama dengan keadaan cliche yang aku sebutkan tadi.

Hidup ini sentiasa ada pilihan. Itu prinsip aku. Sebab aku rabun warna, jadi aku sentiasa tiada kepastian terhadap sesuatu perkara. Jadi aku perlu lebih peka dan lebih banyak membuat penilaian terhadap sesuatu warna. Aku cuma mahu pastikan bahawa warna merah yang aku hendak guna adalah benar-benar merah, bukan pink atau coklat. Itu contoh.

Hidup aku, aku sentiasa beri pilihan untuk aku. Ada perkara, penilaian aku boleh lakukan dengan pantas. Tapi ada waktunya aku perlukan masa.

Kenalan aku mungkin masih ada banyak cerita yang hendak dikongsi. Tapi masa ketika itu sudah terlalu mencemburui kami berdua. Ketika aku berjalan naik ke pejabat aku terfikir. Kalau manusia ini sebenarnya sentiasa diberi pilihan; baik atau jahat, kaya atau miskin, rajin atau malas, diam atau bising... apa saja, kenapa ada di kalangan kita yang masih mahu mengongkong orang lain dari membuat pilihan? Masih tidak faham bahawa manusia ini adalah istimewa dan akal fikiran manusia juga adalah istimewa.

Adakah selama ini kita membataskan ruang hidup kita berdasarkan kepada beberapa set peraturan baik dari segi agama mahupun undang-undang hanya untuk kita terus hidup?

Kalau peraturan dan undang-undang tidak ada dan yang ada hanya pilihan dalam hidup kita, apa yang kamu pilih pada setiap pilihan dalam hidup kamu?

Jadi, kalaulah ketika berjalan naik ke pejabat aku sedang membuat penilaian sebegitu, adakah aku akan berpusing dan pergi dapatkan kenalan aku lalu berkata,

"aku sukakan kamu..."

Atau aku teruskan saja perjalanan naik ke pejabat, dan duduk, dan mengadap iMac dan meneruskan kerja-kerja aku?

Heh...

Menilai Hidup Ini - Babak 1

Tengahari semasa di pejabat tadi, aku duduk makan bersama-sama seorang kenalan. Dia bukan kerja di tempat yang sama. Dia kenalan luar yang dikenali kerana urusan niaga kira-kira setahun lepas. Sehingga tadi aku tidak tahu apa status dia dan dia juga sebenar tersalah sangka status aku yang pada fikirannya sudah berkahwin dan punyai anak seorang atau dua.

Begitulah keadaan apabila hal-hal peribadi tidak pernah disentuh walaupun ada masanya kami berbual-bual mengenai kehidupan. Tersentuhnya cerita semua itu tadi hanya kerana seorang kakak yang kami kenal datang duduk bersama untuk makan dan bertanya bila kenalan aku ini mahu berkahwin (dia seorang perempuan). 

"Engkau bila nak kahwin Jah?"
"Ala Kak Jas ni, kenapa la tanya soalan macamtu?"
"Aku cuma nak tahu. Aku kenal engkau dah lama. Engkau dah macam anak aku jugak."

"Belum ada sesiapa lagi la Kak. Saya dah lama putus."
"Haa, bagus la macamtu. Ni si Dan ni ada." Sambil menunjuk ke arah aku. Aku cuma tersenyum sedang dalam fikiran memikirkan kakak seorang ni cuma bergurau.

"Eh, Kak, dia dah kahwin la. Dah ada anak satu!" Jelas kenalan aku dengan muka berkerut kekeliruan.
"Mana ada, belum lagi la..." Aku jawab spontan.
"Hishh.. Engkau ni Jah. Dia bujang lagi la." Kak Jas menyampuk.

"Bukan ke awak bagitau saya dulu yang awak dah kahwin ada anak seorang... atau dua?"
"Mana pernah saya bagitau macamtu. Saya belum kahwin."

"Ada la... Saya ingat awak ada cakap awak dah kahwin. Sebab itu kadang-kadang saya takut nak hantar mesej kepada awak waktu malam. Takut ganggu."
"Tidak. Belum ada lagi. Awak salah orang ni." Aku cuba mempertahankan diri.

"Ye ke? Mati-mati saya ingat awak dah kahwin dan ada anak... Kalau saya tahu awak masih bujang, mahu saja saya apply."  Aku pasti ayat terakhir itu dia cuma bergurau.

"Ha, apa lagi Dan. Si Jah dah nak tu." Sampuk Kak Jas yang masih belum habis makan nasi ayam kampungnya.
"Sesedap rasa je Kak Jas ni. Dia bergurau je la tu."

Lama sesudah Kak Jas selesai makan dan beredar, aku dah kenalan aku masih duduk berbual berceritakan hal-hal kehidupan. Tentang peribadi dia dan juga aku. Itulah pertama kali setelah lebih setahun kenal, kami berbual-bual mengenai hal-hal peribadi. Aku fikir kalau tidak kerana Kak Jas membuka cerita, aku dan kenalan itu takkan berbual hal-hal sebegitu.

Sebenarnya aku begitu. Jarang sangat aku berkenalan dengan seseorang dan bertanyakan tentang hal peribadi beliau. Jarang sangat. Kecuali sudah rapat kenal, mungkin barulah sedikit-sedikit diselitkan mengenai hal-hal peribadi. Mungkin kerana hal peribadi aku sendiri tidak ada yang menarik untuk diceritakan. Jadi aku tidak berminat untuk tahu hal peribadi orang lain. Rasanya begitu.

Atas sebab sikap aku begini jugalah aku banyak kerugian. Rugi melihat beberapa orang yang aku fikir sesuai untuk aku terlepas begitu saja. Ada yang pernah marah kepada aku 2 minggu sebelum dia berkahwin kerana aku lambat bertindak. Aku cuma boleh tergamam dan terdiam. 

Mungkin juga benar kata-kata si Aliah; aku memilih. Tapi memilih dari segi apa, aku tak tahu. Cuma rasanya aku agak lambat bertindak. Terlalu banyak yang difikirkan, yang dinilai, seolah-olah membuat penilaian terhadap sesuatu. Bila selesai menilai, mereka sudah lama pergi meninggalkan aku. Aku rasa begitu. Bukan memilih tetapi terlebih menilai.

Menilai dari segi apa? Bukan cantik paras rupa walaupun aku takkan nafikan itu antara yang aku lihat. Aku menilai kemampuan diri aku sendiri sebenarnya. Kemampuan semasa. Itulah masalah aku. Jadi apabila aku lihat aku tidak stabil, aku takkan cuba mahu mengikat orang lain dengan kesusahan aku.

Betul apa orang cakap; susah sama susah, senang sama senang. Tapi susah aku ini dalam keadaan sekarang tidak akan boleh menyenangkan sesiapa. Itulah yang aku fikir. Aku pasti orang lain berbeza pandangannya.

27.8.08

Melimpah

Aku sedang dilimpahi kenangan-kenangan lama, dari kecil hingga beberapa tahun lalu. Fuh... 

Entah pintu mana dalam otak aku ini tiba-tiba terbuka.

Obses

Siang tadi bermain ping pong sebelum pulang dari kerja. Mungkin itulah pertama kali aku bermain ping pong lebih dari 5 minit. Aku kurang minat dengan ping pong walaupun aku minat menonton pertandingannya.

Jadi aku benar-benar tidak tahu bermain ping pong. Itulah realitinya. Cuma, ramai mungkin tidak tahu yang aku adalah jenis orang yang cepat belajar. Setelah dua set bermain aku sudah mahir menahan smash lawan. Aku sudah mula belajar membuat hantaran bola yang pantas dan juga bermain sepenuh gelanggang. Memang kalah. Tapi kalau beberapa kali lagi aku bermain, InsyaAllah aku boleh mencatatkan sesuatu yang menarik. Sama seperti bermain karom.

Cuma bila diajak oleh rakan-rakan di pejabat bermain, aku selalunya menolak. Puncanya kerana aku tidak mahu jadi mahir lalu gian bermain. Ianya akan mengganggu hidup aku. Bila aku bagus dengan sesuatu, aku akan obses dengan perkara tersebut hingga aku bosan. Dua-dua permainan itu, ping pong dan karom sedang dimainkan semasa rehat dan sebelah petang selepas waktu kerja di ruang pejabat aku. Aku menolak untuk bermain kerana aku tidak mahu jadi obses.

Tapi sekali sekala seperti siang tadi, apa salahnya. Mungkin aku takkan jadi obses (padahal di dalam benak otak ini terfikir sudah untuk bermain esok petang). Sepatutnya aku obses berjogging untuk kuruskan badan. Tapi masalahnya jogging tiada persaiangan seperti ping pong dan karom. Jadi jogging tidak akan mendatangkan apa-apa obses kepada aku.

Juga sekarang, aku perlu tidur.

26.8.08

Selamat Malam

Sudah 2.45 pagi. Hujan sedang turun lebat di luar. Mata semakin layu. Badan semakin letih. Kerja sudah disiapkan. Syukur. Aku mahu tidur. Pagi nanti ada mesyuarat.

Permulaan minggu yang meletihkan.

23.8.08

Membukukan Cerita Kamu

Tengah malam buta semalam aku terima satu panggilan. Jody dan Selina Bee ajak minum sedang aku sudah terbaring di atas tilam dengan batuk yang tak sudah-sudah sejak seminggu yang lalu. Akhirnya aku setuju pergi. Jumpa mereka di Cyberia, Cyberjaya dan duduk di kedai mamak hingga jam 4 pagi, berbual-bual. Apa lagi yang hendak dibualkan dengan sahabat-sahabat lama kalau tidak kenangan-kenangan lama.

Mereka 'puji' aku kerana banyak ingat kenangan lama dan aku ceritakannya di ruang blog ini. Aku cuma kata aku ingat apa yang aku nak ingat. Kemudian ianya membuat aku terfikir siang tadi.

Bukan orang lain tidak ada ingatan yang baik atau sudah lupa apa yang berlaku dahulu. Cuma ramai antara mereka yang tidak pandai untuk huraikannya dalam bentuk tulisan seperti ini. Kalau kamu dengar apa yang Jody dan Selina cerita semalam, aku fikir mereka lebih banyak ingat perkara-perkara lalu berbanding dengan aku. Cuma mungkin, mereka tidak mahir hendak jelaskannya dalam bentuk penulisan dan akibatnya, mereka tidak sedar bahawa mereka juga ingat banyak perkara. Aku pasti ramai antara kamu juga begitu.

Aku fikir begini, tapi ini adalah cadangan saja. Kalau kamu berminat, kita boleh teruskan. Cuma ini khas buat MRSM BP 89ers saja ye. Aku mahu bukukan koleksi cerita-cerita kamu semasa di maktab dulu. Pasti setiap orang dari kamu ada cerita yang menarik hendak diceritakan dan kalau aku dapat satu cerita dari setiap orang, kita sudah ada lebih 100 cerita. Bagaimana?

Rumit ya? Begini, kamu tidak semestinya mengarang cerita. Mungkin saja boleh disediakan dalam bentuk point-point yang kemudiannya kita sama-sama boleh terjemahkan dalam bentuk penulisan. Kemudian apabila sudah cukup kelak, kita boleh bukukan dan jual sesama kita. Kalau tiada modal untuk bukukannya dalam bentuk hardcopy, kita boleh jadikannya dalam bentuk PDF saja. Aku pasti setiap kali kamu membacanya nanti, itulah waktu kamu akan tersenyum, ketawa, menangis, sedih, kecewa dan semuanya.

Jadi, ini projek kita boleh buat sama-sama kalau sudi. "Koleksi Cerita-Cerita 89ers". Aku tahu, tajuknya kurang menarik. Boleh difikirkan nanti. Ideanya begini;
  1. Setiap orang mengirimkan cerita masing-masing mengenai kenangan semasa di maktab, tidak kira apa jua keadaannya. Setiap orang boleh hantar lebih dari satu cerita.
  2. Kalau tak pandai menulis, cukup saja dalam bentuk point begini. Kemudian kita olah bersama hingga menjadi rangkap-rangkap cerita yang menarik.
  3. Tiada satu cerita yang sama. Maksudnya kalau ada lebih dari seorang yang menyumbang cerita yang sama, kita akan kreditkan penulisan itu kepada seberapa orang yang menceritakan cerita tersebut.
  4. Setelah cukup 50 (atau mungkin 100), kita akan bukukan dan kirimkan secara percuma kepada setiap orang 89ers (yang boleh dihubungi dalam bentuk PDF. Kalau kita boleh cetak dalam bentuk buku, kita terpaksa cas harga yang minima. Mungkin Faris Fahmi boleh tolong dengan hal percetakan. 
  5. Kita hasilkan dalam bentuk volume sekiranya banyak, dan aku pasti ianya banyak.
  6. Aku boleh uruskan hal kumpul dan susun hingga jadi buku/PDF.
Apa motif semua ini?
  • Aku (dan kamu juga) sudah tidak cukup muda untuk ingat semuanya. Kalau ada buku ini nanti, sekurang-kurangnya di masa mendatang, ia menjadi kenangan buat kita. Aku mahu tersenyum bila membacanya suatu masa nanti.
  • Aku teruja dengan cerita Jody mengenai apa yang berlaku dalam kelas seperti mengusung meja dan kerusi setiap kali masuk kelas, usikan-usikan bebudak lelaki terhadap bebudak perempuan dan banyak perkara lagi. Aku sudah lupa perkara itu sebenarnya.
  • Aku sedari kamu juga ada cerita menarik hendak diceritakan tapi mungkin tidak tahu bagaimana hendak menceritakannya atau di mana. Jadi buku/PDF ini adalah solusinya.
Satu yang aku sedar apabila menulis cerita-cerita mengenai kenangan lalu. Kamu tidak boleh sembunyikan perkara-perkara penting dalamnya. Lagipun ianya sudah terlalu lama berlalu dan kalaupun cerita tersebut ada yang menyebabkan orang lain sakit hati, sedih, marah dan lain-lain, kita perlu ingat, ia adalah cuma kenangan lalu. Cerita yang kita hendak ceritakan adalah kenangan dan ianya tidak selalu indah. Jadi kalau kamu masih malu atau gusar, aku akan cakap jangan risau. Sehabis teruk pun nanti, orang akan cuma menjeling. Kemudian dia pasti akan tersenyum.

Aku mahu usahakan sesuatu untuk kenangan kita. Harapnya kamu sudi untuk turut serta. Kirimkan email atau post saja di yahoogroups 89ers atau tinggalkan komen pada blog aku dengan setiap cerita ditandakan sebagai cerita yang hendak kamu kirim.

Gambar-gambar reunion tempohari meninggalkan seribu kenangan. Cerita yang kamu baca bakal meninggalkan seribu senyuman, InsyaAllah. Oh ya, aku fikir tajuk yang sesuai,

Nostalgia 89ers... atau cukup sekadar Nostalgia.

21.8.08

Ini Blog Peribadi, Bukan Blog Politik

Sudah, jangan ajak aku bincang hal politik. Aku sedang batuk dan sudah entah berapa banyak ubat yang aku telan.

Kemudian aku perlu siapkan juga Laporan Tahunan. Sudah siap, cuma nak kemaskan sana sini sikit-sikit. Tapi sebelum tunjuk kepada Bos Besar, aku perlu hasilkan beberapa design lagi (design je, bukan content) untuk memuaskan hati beliau. Itulah, bukan maksudnya dia demanding tapi kita bagi dia pilihan. Aku tengok kadang-kadang orang buat kerja, satu contoh je bagi. Kalau kerja tu menaip surat, bolehlah. Tapi kalau kerja melibatkan seni grafik dan susunatur, orang lain mungkin ada pandangan sendiri. Jadi lebih baik bagi beberapa cadangan dari bagi satu je. Tidak pula nanti orang ingat kita syok sendiri.

Setahu aku, memang ramai office mate dan old school mate yang baca blog ini. Ada yang sudi meninggalkan sepatah dua kata walaupun tidak meletak nama sebenar/nama samaran, sekadar menggunakan tag 'Tanpa Nama'. Mungkin aku boleh ubah tag tersebut kepada 'Saya Yang Pemalu'. Apa-apa pun, aku ucapkan terima kasih.

Tapi kamu perlu ingat (ini aku tujukan kepada office-mate), ini BLOG AKU. Kiranya macam diari aku yang aku boleh tulis sesuka hati. Jangan pula kamu guna apa yang aku tulis sini sebagai alat untuk kamu report kepada orang atasan. Aku tak marah tapi rasanya tidak 'baik' berbuat begitu. Kalau dulu ya, aku selalu kutuk JPN kerana aku tak kenal. Sekarang, kamu boleh search guna www.google.com/blogsearch dan taip kata kunci MyKad. Kalau ada blog orang lain yang berceritakan mengenai JPN dan produknya, mungkin ada yang aku telah tinggalkan sepatah dua kata baik dari segi ucapan terima kasih kerana memuji JPN ataupun memberi penerangan ringkas, setakat aku tahu. Aku buat atas dasar tanggungjawab, bukan ada sesiapa yang suruh.

Apa jenis blog ini? Aku tulis apa yang aku rasa aku mahu tulis. Tapi aku takkan tulis mengenai politik kerana buat masa sekarang politik di Malaysia, macam tong sampah. Jadi biasanya aku selalu menulis apa yang berkaitan dengan aku dan apa yang berlaku disekeliling aku. 

Contohnya ayam... erm, salah contoh. Aku sudah lama tidak nampak ayam hidup. Ayam betul la.

Contohnya bunga api tempohari. Atau aku makan di Carl's Jr. Atau seminggu aku penuhi dengan posting mengenai alumni MRSM Balik Pulau. Ada masanya begitu banyak idea yang datang hingga aku tidak sempat menulis semuanya di blog ini.

Sejak beberapa bulan yang lalu aku lebih berikan tumpuan meletakkan gambar dan bercerita berdasarkan gambar-gambar tersebut. Cuma beberapa hari ini aku langsung tidak menyentuh kamera dan tidak mengambil gambar. Jadi semua posting hanya tulisan semata-mata dan ia amat membosankan. Seperti yang sedang aku lakukan sekarang.

Satu kaedah aku menulis blog adalah menulis terus di ruang posting dalam blogger. Aku tidak buka TextEdit (perisian seperti Notepad dalam Apple OSX) atau MS Word untuk menaip dan kemudiannya di paste kembali di ruangan posting blogger. Aku terus menulis. Kalau aku kekurangan idea, aku akan berhenti dan save. Atau aku biarkan saja skrin tempat menulis ini terbuka seberapa lama sehingga aku dapat kembali idea. Jadi biasanya kamu akan terjumpa dengan ejaan-ejaan yang salah serta susunan ayat yang tidak masuk akal. Kalau aku rajin, aku akan baca balik dan bila terjumpa kesilapan yang aku sebutkan, aku akan ubah. Atau aku biarkan saja.

Kamu hendak menulis blog? Silakan. Tapi aku tahu ayat pertama yang keluar dari mulut kamu,

"Tapi aku tak tahu apa nak tulis..."

Kamu boleh tulis apa saja. Contohnya kamu boleh tulis pasal err... ayam.

Contoh;
Siang tadi di Hotel Residence Uniten Bangi (tidak, aku tidak pergi berjumpa Saiful), aku singgah makan malam di sana dengan office mate. Menu biasa hotel ini pasti ada ayam. Gulai ayam, nampak macam sedap tapi aku cuma ambil beberapa ketul kentang. Aku sudah muak dengan ayam. Kalau difikirkan balik, sudah berapa lama aku tidak nampak ayam-ayam yang hidup. Semuanya yang sudah mati samada di rak-rak sejuk pasaraya, gerai makanan menjual nasi ayam atau di hotel ini....

Lebih kurang begitu. Kamu perlu spontan. Tidak perlu sangat dengan peraturan dan skema. Kalau suatu masa kamu sudah bersedia untuk menambah seni dalam blog kamu, maka mulakan. Tapi awal-awal ini kamu perlu bebas menulis apa saja kerana, satunya untuk membina keyakinan. Kedua adalah untuk membiasakan diri kita dengan keadaan dan peralatan yang ada.

Kamu jangan bandingkan dengan blog orang lain. Itu kerja sia-sia. Sebaliknya jadikan blog orang lain sebagai inspirasi. Aku ingat, ketika Rudy Bluehikari amat popular dahulu, semua orang mahu menulis seperti beliau. Bahasa melankolik beliau itu mungkin menyebabkan orang teruja apabila membacanya. Tapi kebanyakkan mereka itu sekarang samada sudah berhenti menulis atau tidak lagi meniru gaya Rudy.

Sama seperti beberapa orang yang mahu meniru gaya penulisan aku. Boleh, tapi tiada originality, apa yang menariknya nanti? Satu yang paling penting dalam blogging ini, kamu perlu minat menulis. Kalau kamu sekadar minat membaca tapi amat malas untuk menulis, baik kamu terus saja membaca blog-blog orang lain. Tidak perlu menulis.

Sampai bila aku akan menulis? Kamu tahu, pertama kali aku menulis belum hampir 10 tahun lalu, aku menggunakan Macromedia Dreamweaver iaitu perisian membuat laman web. Maknanya setiap artikel yang aku keluarkan ada fail webnya sendiri dan aku perlu update link sebelum dan selepas artikel tersebut seterusnya upload ke server dalam internet sebelum boleh dibaca oleh orang, seperti SINI

Jadi, aku akan terus menulis selagi terdaya. InsyaAllah. Kamu boleh terus membaca., okay.

20.8.08

Menghurai Bangsa

Ada seorang pengunjung bertanyakan soalan kepada aku mengenai post aku sebelum ini yang berkaitan dengan tunjuk perasaan pelajar UiTM. Kalau ikutkan aku tak mahu hendak jawab kerana satu, dia tidak menggunakan nama samaran atau nama sebenar, dan kedua, isu ini telah dipolitikkan oleh pihak-pihak tertentu (oleh semua pihak sebenarnya). Tapi biarlah aku jawab juga sebagai sebuah pandangan aku semata-mata.

Semasa aku belajar di MRSM Balik Pulau dulu yang kita tahu memang khas untuk pelajar bumiputra, ada cadangan untuk membenarkan pelajar bukan bumiputra masuk belajar sama sebagai 'percubaan'. Seingat aku hampir semua pelajar ketika itu membantah namun mereka tetap juga masuk sebagai junior.

Lama kelamaan kami sedar bahawa mereka tidaklah sehebat yang disangka. Mereka tidak lebih dari seorang pelajar, sama seperti orang lain. Mereka tidak lebih pandai dari orang bumiputra lain secara semulajadi. Mereka berusaha sama seperti kita berusaha, mungkin ada masanya kita nampak usaha mereka lebih sedikit dari kita.

Semasa belajar di ITM dulu (sebelum tukar nama jadi UiTM), suatu perkara yang aku sedar adalah betapa terasingnya kita sebagai orang Melayu dan bumiputra dengan bangsa-bangsa lain. Kita duduk dalam dunia kita sendiri.

Sampai bila perlu kita duduk di kalangan kita, sesama kita saja? Perlu ingat, aku dari sekolah menengah hingga ke universiti belajar di institusi yang menerapkan semangat bangsa yang tinggi. Aku menangis apabila nyanyikan lagu 'Anak Kecil Main Api' dan setiap malam 31 Ogos di sekolah, kami membakar bendera Union Jack hingga ditegur oleh British Council.

Tapi aku juga mahu UiTM dan kalau boleh MRSM dibuka untuk bangsa asing TAPI, dalam jumlah yang terhad. 10% adalah jumlah yang amat kecil bagi aku.

Kenapa? Kerana sudah sampai masanya bangsa-bangsa di dunia ini tidak lagi membezakan diri mereka antara sesuatu bangsa. Malah dalam Islam sendiri, tidak adalah istilah Islam Melayu, Islam Cina, Islam India dan Islam Arab. Cuma ada Islam.

Pernah dengar cerita Malcolm X berkunjung ke Mekah? Bagaimana selepas dari itu beliau sedar bahawa perjuangan beliau selama ini yang berteraskan bangsa tidak sama sekali betul dengan ajaran Islam. Kalau dalam Islam tiada segregasi, kenapa hidup kita sebagai rakyat di negara yang kita laungkan sebagai berjaya bersatu dengan pelbagai kaum perlu dipisahkan apabila kita mahu belajar?

Aku faham orang akan berkata, banyak universiti lain yang ada yang tidak membataskan orang bukan bumiputra belajar di sana. Sepatutnya kamu perlu bertanya kembali, kalau universiti lain boleh, kenapa UiTM tidak boleh? Apa hak kita sebagai manusia di Malaysia ini hendak menghalang bangsa lain belajar bersama? Bukankah kita sama-sama bangunkan Malaysia ini sehingga menjadi apa yang ada sekarang?

Apa yang aku nampak sekarang orang melayu memang berani dan memang hebat. Lihatlah mereka bersatu padu menentang CADANGAN membenarkan 10% BUKAN BUMIPUTRA belajar di UiTM. Samada dipaksa atau ikhlas, terpulang kepada masing-masing. Tapi kalau kita boleh bersatu padu begitu, apa yang hendak kita takutkan dengan 10% bukan bumiputra lain?

Tidak takut tapi kita mempertahankan hak kita? Hak apa itu? Cuba beritahu hak apa yang kita ada kalau duit yang kita guna untuk bangunkan UiTM itu adalah duit rakyat yang bukan 100% bumiputra. Melainkan kerajaan dengan bijak asingkan duit cukai bumiputra dan dikhaskan untuk UiTM. Jadi bolehlah kita claim bahawa UiTM dibangunkan oleh duit-duit orang bumiputra saja yang telah dengan teliti diasingkan dari duit-duit orang bukan bumiputra. Baru kamu boleh kata kita ada hak. Kalau tidak, baik kita jangan cakap apa-apa.

Ini cadangan aku. Bangun sebagai sebuah bangsa dan jadikan bangsa kita bangsa yang disegani dan dihormati. Bina empayar ekonomi bumiputra yang hebat dan cemerlang dan tidak berlandaskan usaha-usaha politik sentiasa. Jadikan bangsa bumiputra sebagai bangsa contoh (role model) yang boleh bila orang lain bicara, jadikan kita sebagai petunjuk aras kehebatan sesuatu bangsa; sama seperti bangsa Korea, bangsa Jepun dan bangsa Yahudi.

Kemudian kamu bermati-matianlah pertahankan institusi kamu. Orang tidak akan persoalkan. Sama seperti orang takkan persoalkan kenapa perlu berbahasa Jepun dengan orang Jepun dan kenapa perlu berbahasa Korea dengan orang Korea. Orang takkan persoalkan.

Kenapa sekali lagi aku setuju UiTM (aku tambah MRSM) dibuka 'sedikit' kepada bukan bumiputra?

  1. Supaya bukan bumiputra tidak anggap kita mengamalkan diskriminasi.
  2. Supaya bumiputra dapat menerima persaingan sihat sebelum menghadapi dunia realiti.
  3. Supaya kita sebagai bangsa Melayu Islam tidak lagi mempermainkan perjuangan bangsa sebagai wadah kita, sebaliknya menjadikan Islam (yang amat-amat terbuka sifatnya) sebagai wadah perjuangan.
  4. Supaya kita sedar bahawa negara kita ini adalah negara yang kita kongsi bersama dengan bukan bumiputra.
  5. Supaya kita sedar bahawa bukan bumiputra itu sebenarnya tidak sehebat mana, malah kita boleh jadi lebih hebat lagi.
Oh ya, aku juga berpegang kepada prinsip bangsa Malaysia. Jadi tiada lagi segregasi bangsa; bangsa Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban dan lain-lain. Letih nak tulis. Juga sudah tidak relevan. Aku tetap pertahankan bangsa dalam konteks individual; adat resam, asal-usul, budaya dan tradisi. Setakat itu. Aku tetap akan pertahankan sampai mati. Aku sayangkan lagu-lagu asli Melayu, tarian dan kesenian Melayu.

Tapi apabila bangsa asing bertanya siapakah aku, aku akan jawab
"Aku adalah bangsa Malaysia".

19.8.08

Yelena Isinbayeva

"The Tabasarans are an ethnic group who live mostly in Dagestan, Russia. Their population in Russia is about 132,000. They speak the Tabasaran language and share much of their culture and traditions with the Lezgins. They are mainly Sunni Muslims. Russian pole vaulter Yelena Isinbayeva is half Tabasaran." - Wikipedia

Rupanya begitu. Mungkin keturunan bapa Yelena Isinbayeva dulu beragama Islam. Nama bapanya sendiri ada sedikit unsur nama Islam, Gadzhi Gadzhiyevich Isinbayev. Tapikan, kalaulah Yelena itu sekarang beragama Islam, mungkin sukar untuk dia buat apa yang sedang dia buat sekarang, pemegang rekod dunia lompat bergalah yang malam semalam mencatatkan satu lagi rekod baru pada ketinggian 5.05 meter.

Aku bukan kata orang Islam tak boleh berjaya. Tapi kerana kita orang Islam sendiri sering menyempitkan diri. Ramai yang rajin menafsirkan Islam dalam bentuk yang amat-amat sempit. Terhalang dalam banyak segi.

Contohnya, seperti menafsirkan klon adalah haram. Pasti ada yang kata, sudah hukumnya begitu. Hanya Allah yang berkuasa tentang hidup dan mati. Sedang kalau difikirkan (dibuka sedikit akal fikiran kita), kembar seiras yang ada disekeliling kita adalah contoh mudah proses pengklonan. Salahkah mereka kerana mereka adalah klon? Aku fikir ianya tidak salah selagi kita sendiri tidak mencabar Tuhan. Kalau kamu sudah bangun dan mencabar kekuasaan Tuhan, barulah boleh kamu dianggap salah.

Berbalik kepada Yelena Isinbayeva, aku kagum dengan beliau sebagai seorang atlet. Seperti Usain Bolt, penuh dengan karektor dan kita tumpang gembira melihat mereka berjaya. Sepatutnya Lee Chong Wei juga begitu. Senyum, gembira dan bersemangat seperti Lin Dan. Emosi kadang-kadang penting untuk membina tumpuan dan keyakinan. Kalau musuh tengok kita murung, serius dan tidak keruan, mereka akan jadi amat-amat bersemangat. Mungkin itu silap Lee Chong Wei semasa perlawanan akhir.

Kamu lihat Yelena Isinbayeva. Sedang peserta lain sibuk membuat lompatan, beliau senang hati baring dan pejam mata di tepi sudut seperti mengejek peserta lain. Psikologi sebegitu yang sebenarnya membunuh pesaing-pesaing lain secara tidak langsung. Walau mungkin beliau tiada berniat untuk berbuat begitu, mungkin beliau cuma ingin mencari tumpuan dan berehat tapi ianya sudah cukup memberi penyataan kepada orang lain bahawa beliau tidak peduli berapa tinggi orang lain mahu lompat, beliau boleh lompat lebih tinggi.

Kerana itu, Yelena Isinbayeva patut menjadi idola atlet Malaysia lain, terutama Lee Chong Wei... Lagipun dia cantik. Hehe.

18.8.08

InDesign CS3

Baru lepas install Adobe InDesign CS3. Hehehe... Menarik. Lama sungguh aku menunggu. Kata orang yang sudah guna, ianya lebih bagus dari CS2.

Harapnya kerja aku semakin baik selepas ini.

Mengenai Kelmarin

Wall.e

Petang kelmarin sempat aku menonton Wall.e, sebuah animasi digital karya Pixar.  Menonton Wall.e seperti menonton sebuah filem yang penuh emosi sedang watak-watak utamanya adalah robot-robot dan seekor cengkerik kecil.

Memikirkan keupayaan emosi yang ada pada Wall.e, aku bayangkan masa hadapan di mana wujud dalam dunia ini robot-robot yang mempunyai emosi yang 'hidup' di kalangan kita. Bagaimana respon kita terhadapnya nanti?

Aku fikirkan David (A.I.), Andrew (Bicentennial Man) dan C3PO (Star Wars) yang berkata-kata seperti manusia biasa sedang mereka tidak lebih dari robot ciptaan manusia. Bayangnya sudah pun wujud masa kini. Lihat Asimo, keluaran Honda. Lihat iklan di bawah dan kamu dapat 'rasakan' emosi robot setinggi budak sekolah rendah ini. Aku pernah lihat dekat aksi Asimo dan memang aku kagum.


Bersediakah manusia untuk menerima robot dikalangan kita nanti?

Berbalik kepada Wall.e. Wall.e adalah seperti kucing. Sentiasa curious dan sentiasa cuba mencari jawapan. Kamu dapat rasakan sunyi hidup Wall.e selama 700 tahun di muka bumi dengan hanya bertemankan cengkerik kecil. Kamu lihat pula kerja bosannya setiap hari sebagai robot pemampat sampah. Kerana tugas yang diberikan, Wall.e terus melakukannya walau sudah 700 tahun tuannya iaitu manusia meninggalkan bumi kerana terlampau kotor dek sampah yang menimbun.

Kemudian Wall.e bertemu EVE, robot pencari hidupan yang didatangkan khas oleh manusia untuk melihat keadaan bumi samada sesuai untuk diduduki semula. Aku fikir, kenapa EVE disifatkan seperti seorang wanita? Aku faham kerana hanya wanita yang mampu bersabar untuk melakukan kerja-kerja seperti EVE.

Filem Wall.e sebenarnya tidak lebih dari perlakuan Wall.e yang mahukan suasana seperti dalam filem Hello Dolly! yang bermain di iPodnya. Wall.e mahu menggenggam tangan EVE. Itu saja dan kemudiannya mereka membawa penonton ke suatu perjalanan yang sungguh mengasyikkan.

Kamu lihat suasana manusia dalam kapal angkasa AXIOM yang gemuk dan 'pemalas' dan segalanya perlukan bantuan robot untuk berfungsi. Manusia tidak lagi berjalan kerana ianya memenatkan. Malah tidak melakukan apa-apa selain duduk di atas kerusi terapung dan berehat sepanjang masa. Mungkin orang berfikir, ini adalah gambaran salah mengenai manusia.

Cuma apabila diperhatikan balik betul-betul, aku sedari apa yang cuba ditayangkan adalah fungsi 'kontrol' yang diterapkan dalam pemikiran manusia agak manusia sentiasa 'santai' dan 'terkawal'. Kamu tentu sedar dan faham melihat suasana manusia disekeliling kamu bukan? Jika tiada kawalan dalam sebuah kapal angkasa, aku pasti dalam masa 700 tahun manusia berada di situ, semuanya manusia sudah lenyap.

Manusia juga digambarkan gemuk. Realitinya kerana tiada tekanan graviti, maka tidak mustahil manusia akan jadi seperti belon di angkasa.

Secara keseluruhnya aku berpuas hati denga filem Wall.e. Ia adalah standard baru untuk filem-filem sains fiksyen.

Bunga Api

Malam kelmarin juga aku sempat menonton persembahan bunga api di Putrajaya. Bezanya tahun ini dari tahun lepas, tahun ini lebih teratur dan lebih santai. Juga, tidak sesak seperti tahun lepas.

Cuma persembahan dari negara China agak membosankan. Mungkin betul cakap Lea, mereka sudah habiskan banyak bunga api semasa upacara pembukaan Sukan Olimpik tempohari.

Anehnya tahun ini, jalan tidak langsung sesak dengan kereta setelah selesai persembahan. Kalau tahun lepas, untuk sampai ke rumah mengambil masa 2 jam, kali ini cuma 30 minit. Jalan begitu lancar. Mungkin kerana ada pihak polis dan penguatkuasa Putrajaya yang berkawal sekeliling Putrajaya dan ada papan tunjuk arah yang jelas di persimpangan jalan.

Cuma aku agak terkilan melihat perlakuan penguatkuasa Putrajaya (Perbadanan Putrajaya). Mereka menggunakan kuasa mereka untuk memberi layanan VIP kepada saudara mara dan kakitangan mereka semasa persembahan. Sedang orang lain terpaksa meletak kenderaan di bahu jalan dan menonton dari jauh tepi tasik, orang-orang Perbadanan Putrajaya di beri tempat letak kereta istimewa dan dibolehkan melintasi empangan yang terletak berhampiran padang polo Putrajaya untuk pergi menonton persembahan bunga api dengan lebih dekat.

Aku pasti, ramai orang yang berada di tepi tempat kejadian merungut melihat karenah orang-orang Perbadanan Putrajaya ini. Sebenarnya aku tak kisah kalau orang Perbadanan Putrajaya mahu beri keistimewaan dikalangan orang-orang mereka. Tapi perlulah dalam keadaan discreet, sembunyi-sembunyi sikit dari orang ramai. Kamu tidak malu ke berjalan depan orang ramai tanpa segan silu dan ditumpangkan pula ke tengah empangan yang dikawal oleh pengawal untuk mendapat sudut pandangan yang lebih baik sedang orang awam lain dibiarkan terpinggir di tepi jalan?

Orang akan merungut kerana orang tahu untuk tempat yang berbayar cuma ada di PICC dengan bayaran yang mahal. Sedang tepi empangan adalah tempat awam dan kamu halang orang awam menggunakannya kerana mahu melayani saudara mara dan orang-orang Perbandanan Putrajaya.

Entahlah, itu masalah orang kita di Malaysia ini. Kurang sensitif.

Subway

Kamu pernah makan sanwich Subway? Kelmarin petang aku makan yang di bawah ini. Meatball Marinara.



Sedap. Makan roti dengan meatball dan sayur-sayuran lain serta sos yang pelbagai. Kamu patut cuba. Tapi jangan cuba meatball marinara dulu. Kamu patut cuba sanwic lain yang ada di Subway, lebih baik yang dari kategori klasik. Barulah kamu dapat nikmat yang asal memakan sandwic di Subway.

Aku ingat semasa aku bekerja di Petaling Jaya dulu, di AmCorp Mall sudah ada Subway tapi aku tidak pernah berkesempatan untuk mencubanya di situ. Pertamanya kerana aku skeptikal dengan Subway dan keduannya aku tidak berani. Malah semasa Subway pernah ada di Lot 10 dulu aku telah ingin mencubanya, tapi langsung tidak berani. Bila? 14 tahun lalu, mungkin.

Sekarang, selain Carl's Jr., Subway adalah makanan segera kegemaran aku. Oh, aku sudah meluat dengan McD dan KFC malah Kenny Rogers juga. Aku rasa aku pernah makan semua menu yang ada di McD, KFC dan Kenny Rogers. Sanwic Subway masih banyak pilihan yang belum aku cuba.

Kata Subway, sandwic mereka boleh membantu mengurangkan berat badan. Erm... Tapi realitinya tidak begitu mudah.
 
Hujung minggu aku. Puas? Apa yang hendak aku puas?

16.8.08

Emel

Aku mengembara balik ke masa lalu apabila melihat isi peti emel aku. Ada yang sudah hampir 10 tahun tersimpan. Aku bersyukur kerana aku ada kemampuan untuk menyimpan 'surat-surat' lama ini. Aku dapat baca kembali isinya dan tersenyum sendiri.

Lama sungguh aku dalam internet ni ye. Sampai alamat emel pun mencecah 10 tahun. Emel pertama aku adalah idan_alias@yahoo.com. Kononnya nak sembunyi siapa sebenar aku la tu. Akhirnya aku guna ahmadsharidan@yahoo.com pada penghujung 1999 kerana aku fikir aku tidak peduli apa orang nak kata dan amat senang bagi aku untuk kenalkan diri aku kepada orang lain.

Pertengahan 2005, aku tukar ke Gmail, ahmadsharidan@gmail.com dan aku gunakannya hingga sekarang. Dulu aku memang ada banyak alamat emel. Aku pernah ada emel di Hotmail tapi aku memang tak suka dengan servis Hotmail. Entah kenapa.

Prisip aku, tak perlu delete kalau saiz kotak emel besar. Seingat aku, kotak emel Yahoo! dulu agak kecil dan ada limit. Jadi, banyak emel-emel lama yang terpaksa aku delete. Mungkin ada yang lebih lama tapi aku telah delete, kerana terpaksa. Sekarang hampir semua penyedia perkhidmatan emel beri saiz kotak emel yang amat besar. Gmail saja sudah 7GB. Ada yang bagi kotak tanpa had.

Tapi apa yang pasti, kamu perlu juga save emel kamu ke komputer sendiri untuk keselamatan. Mana kita tahu apa nak jadi kepada syarikat penyedia perkhidmatan emel. Tapi ini bukan cerita bagaimana nak mengendalikan emel.

Aku ceritakan emel-emel yang aku terima suatu ketika dahulu yang bila aku baca balik sekarang, aku tersenyum. Kalau aku forwardkan balik ke pengirim asal, mungkin mereka juga akan tersenyum. Atau sekurang-kurangnya merah padam muka, menahan malu. Bukan, takde gambar panas, cuma isi kandungan yang jiwang-jiwang. Hahaha.

Kalau kamu yang masih kenal aku dan mahu aku forward juga emel (yang mungkin kamu pernah berikan kepada aku), bagitau. Aku akan forwardkan. :-)

15.8.08

Jumaat Petang Tadi

Clone Wars


Malam semalam aku menonton Star Wars : The Clone Wars. Pada pendapat aku, filem ini jauh lebih baik dari Star Wars episod 1 hingga 3. Walaupun ianya cuma animasi, jalan ceritanya ada menarik dan aksinya sungguh menghiburkan. Aku begitu teruja ketika Anarkin dan Ahsoka bersama tentera klon menyerang sebuah monastery yang tinggi di puncak sebuah gunung(?). Efek dan selingan muzik yang amat menarik menyebabkan dalam kepala ini terfikir, kenapa George Lucas tidak filem sebenar begini.

Tidak ramai yang datang menonton walaupun di hari pembukaan. Jelas orang kita lebih suka untuk menonton Wall-e dan Susuk. Star Wars dalam bentuk animasi mungkin agak janggal bagi sesetengah orang.

Bagi aku, ianya penting kalau kita hendak faham apa yang berlaku antara episod 2 dan 3 dalam filem sebenar. Apa yang dibebelkan antara Obi Wan dan Anarkin dalam filem sebenar dijelaskan dalam The Clone Wars. Selepas dari filem The Clone Wars ini, akan ada pula siri animasi TV sebanyak 100 episod yang merupakan sambungan dari filem The Clone Wars. Khabarnya akan ditayangkan di Cartoon Network tidak lama lagi. Maka aku terpaksa melanggan siaran kartun di Astro nanti.

Filem seterusnya aku akan tonton di wayang adalah Wall-e. Esok lusa mungkin. Susuk? Kamu fikir aku apa?

Makan

Ada seorang sahabat yang mengadu hairan kenapa aku sudah tidak lama bercerita mengenai makanan di dalam blog ini. Aku bukan pengkritik makanan yang dapat membezakan makanan yang sedap dan tidak (kecuali yang amat-amat jelas). Aku cuma suka makan dan mungkin ini yang menyebabkan aku gemuk. :-p

Manusia I

Kalau di pejabat, seorang bos itu sebenarnya adalah manusia paling kerap dikutuk, dihina, dikritik dan dijadikan objek untuk melepaskan geram oleh orang-orang bawahannya. Namun, jarang sekali orang bawahan ini meluahkan semua itu di hadapan bos mereka sebagai tanda protes. Lebih selalu yang berlaku adalah mereka meluahkan kata-kata sinikal sesama mereka.

Bos aku menegur sesetengah orang bawahannya (ada yang bukan dari bahagiannya sendiri) kerana bermain karom dan internet waktu pejabat. Juga turut dibangkitkan adalah suasana bising yang ditimbulkan oleh mereka ketika bermain.

Akibat rasa tidak puas hati orang bawahannya ditegur sebegitu, mereka meluahkannya dengan kata-kata sinikal sesama mereka. Protes mereka dengan cara begitu.

Kamu tahu, aku juga amat-amat tidak senang dengan jeritan bising mereka. Mengganggu tumpuan aku dan masa rehat aku. Ya, masa rehat mereka juga. Tapi bukan bermakna waktu rehat mereka, mereka boleh mengabaikan hak orang lain. Cuma aku tak ingin bersuara. Kerana aku tahu dibelakang aku, banyak perkara buruk yang diperkatakan. Jadi kalau aku bersuara, maka makin buruklah bunyinya nanti.

Aku tak kisah kalau mereka hendak bermain. Mainlah sepuas hati mereka. Tapi jaga perasaan orang lain. Orang diam bukan bermaksud orang tak kisah. Orang diam kerana tidak mahu bersengketa kerana dan aku faham perangai mereka. Kebanyakkan dari mereka itu tidak senang bila ditegur.

Lagipun aku percaya sukan yang mereka kemaruk sekarang ini tidak lama bertahan. Lambat laun pasti akan bosan dan mereka berhenti bermain. Jadi, biar saja aku tunggu sampai waktu itu untuk aku berasa sikit damai waktu rehat. Itu juga punca kenapa aku kurang menulis sekarang. Idea terganggu dek jeritan mereka. Realitinya begitu.

Manusia II

Ada juga situasi di pejabat apabila kamu tidak lagi bertugas dalam unit tersebut, kamu begitu malas untuk 'menolong' bila diminta. Alasannya kamu sibuk di unit baru. Biar betapa rendah sekalipun gred kerja kamu, orang atasan unit lain masih ada kuasa terhadap kamu.

Aku sedar suatu ketika dahulu aku juga begitu. Namun aku tidak menunjuknya dihadapan pegawai atasan. Nasib baik. Kerana sekarang aku sedar risikonya.

Kalau kamu berpangkat rendah dalam sesuatu organisasi dan pernah bertugas di unit A dan kemudiannya bertukar ke unit B, suatu hari datang bos dari unit A meminta tolong dari kamu, jangan kamu kata dia tiada hak atas kamu. Jangan kamu meninggi suara kerana fikiran kamu dia sudah tidak bertanggungjawab keatas kamu. Itu perbuatan yang bodoh.

Bos itu ada mulut, ada mata dan boleh bertindak walau berapa jauh sekalipun dia dari kamu. Dia boleh saja menghukum kamu secara tidak langsung walau hanya dengan kata-kata dan aduannya. Cukup untuk menjatuhkan kamu sekelip masa. Kamu beruntung kalau dia seorang yang penyabar dan pemaaf. Kamu akan terasa berada di neraka jika sebaliknya.

Tunjuk Perasaan Pelajar UiTM

Aku alumni UiTM. Apa yang kamu buat sekarang adalah tindakan bodoh yang menggambarkan pemikiran cetek kamu sekarang. Itu saja.

14.8.08

Sehari Dalam Hidup

Aku sedari sekarang blog ini semakin banyak dibaca oleh staf pejabat aku sendiri. Baik dari pangkat bawah hingga ke pangkat yang tinggi. Mungkin puncanya dari mulut orang lain yang menceritakan. Mungkin juga apabila mereka membuat carian dalam internet, blog aku dengan isi kandungan mengenai pejabat aku antara paling senang ditemui.

Aku tak kisah sebenarnya. Cuma akibat dari itu, aku terpaksa lebih berhati-hati apabila menulis. Aku tidak lagi boleh menulis sesuka hati kerana implikasi yang boleh aku terima sekiranya aku kaitkan dengan individu tertentu. Bukan mereka tak faham ini blog aku dan aku boleh tulis apa saja. Mereka faham. Tapi tidak ada sesiapa pun yang suka dikritik. Sekurang-kurangnya kita pasti akan panas telinga atau geram apabila orang mengata kita.

Jadi aku cuma boleh menulis apa yang aku fikir selamat untuk aku tulis tanpa implikasi besar. Aku juga bercadang-cadang untuk mewujudkan sebuah lagi blog yang lebih peribadi dan aku boleh bicara apa saja tanpa kekangan keadaan. Tapi aku tak fikir aku ada banyak masa untuk melakukannya.

Aku juga mahu menulis novel. Aku masih tidak tahu dari mana hendak aku mula atau bagaimana untuk bermula. Genre? Aku ingin menulis mengenai kehidupan. Itu saja. walau fantasi atau aksi sekalipun, pastinya tumpuan lebih kepada kehidupan; kehidupan manusia. Aku mahu menulis seperti isi cerita Babel arahan Alejandro González Iñárritu atau Good Will Hunting karya Matt Damon dan Ben Affleck. Aku mahu ada sketsa manusia dalam keretapi yang sedang bergerak dan melihat dunia di luar seperti dalam Good Will Hunting dan Spirited Away. Aku mahu ada emosi dalam senyap dan sunyi. InsyaAllah ianya akan dimulakan tidak lama lagi.

Aku juga perlu siapkan sebuah buku yang menjadi sasaran aku sejak tahun lepas; 60 Tahun JPN. Sepatutnya ia sudah disiapkan tapi kerana tidak ada sokongan daripada pihak pengurusan, aku kuburkan hasrat aku itu. Cuma semalam barulah timbul kembali kerana permintaan oleh seorang konsultan. Beliau nampak kelebihannya. Jadi aku boleh mula balik. Buku bergambar menceritakan 60 tahun JPN.

Tapi hari ini aku perlu berehat. Aku kurang sihat. Malam ini mahu ke pawagam. Clone Wars akan bermula. Kalau tidak malam ini, bila-bila pun boleh. Aku bukan terlalu fanatik.

9.8.08

Hujung Minggu

Sukan Olimpik

Aku tak tengok upacara pembukaan secara live. Sibuk dengan menonton wayang, Meet Dave lakonan Eddie Murphy. Cerita yang menarik tapi meleret. Lawak pada mulanya memang gila tapi lama-lama dah bosan. Apa motif Meet Dave sebenarnya?

Berbalik kepada Sukan Olimpik. Aku rasa kali ini aku boleh ikuti dengan sepenuhnya. Pertama, aku ada Astro di rumah dan siang tadi aku sampai naik bosan dengan liputan sukan Olimpik. Mungkin belum ada acara yang menarik seperti olahraga dan renang.

Nampaknya China benar bersungguh-sungguh untuk anjurkan sukan Olimpik yang terhebat. Upacara pembukaan saja sudah cukup memukau. Pastinya hasil kerja hebat pengarah-pengarah filem terkenal China yang diupah untuk menghasilkannya. Melihat upacara pembukaan seperti melihat filem period China masa kini hasil karya Zhang Yimou dan Ang Lee. Hebat.

Kamu fikir Malaysia boleh buat sebegitu? Boleh. Tapi ruginya pasti kerana yang lebih ditonjolkan adalah budaya melayu dan sedikit-sedikit budaya etnik bangsa lain. Kenapa? Sebab realitinya bila upacara sebegini, yang menjadi ketua adalah Dato' Seri-Dato' Seri, Dato'-Dato' dan ketua-ketua jabatan yang ada kepentingan politik, dan semestinya 99% daripada mereka berbangsa melayu. Aku pun melayu juga tapi aku sedar yang dalam Malaysia ini bukan orang melayu saja yang ada seni dan budaya. Bangsa lain pun ada seni dan budaya yang menarik. Kamu lihat citrawarna dan apa saja upacara peringkat kebangsaan dan kamu pasti akan fikir,

"Takde bangsa lain ke di Malaysia ni?"

Ya, aku bosan dengan tarian Macinda (melayu, cina dan india) yang sering diperlihat dalam upacara rasmi kerajaan. Balik-balik benda yang sama.

Erm... Berbalik kepada sukan Olimpik. Apa peluang atlet Malaysia? Tak banyak sebenarnya. Melainkan mereka tiba-tiba dirasuk semangat yang tinggi atau mungkin memang mereka sudah benar-benar hebat seperti Nicol David (sayangnya Skuash bukan acara Olimpik), aku tak nampak macamana mereka boleh menang. Kamu lihat di mata atlet-atlet yang bertanding dan memang benar-benar hebat, jelas kita nampak mereka mahu dan akan lakukan sedaya upaya mereka untuk berjaya.

Carl's Jr.

Aku pernah ceritakan mengenai Carl's Jr. tidak lama dulu. Tadi siang aku pergi ke Sunway Pyramid untuk menjamah burger yang sedap di sana. Burger Carl's Jr. memang sedap. Itu tidak dinafikan. Cuma, aku pelik dengan saiz restoran Carl's Jr. Apa kes kecil sangat? Bukan di Sunway Pyramid saja, tapi di MidValley pun kecil. Nasib di Pavillion dan One Utama agak besar.

Mungkin pada fikiran pengusaha francais Carl's Jr. di Malaysia, orang kita akan keberatan nak makan burger yang berharga RM25. Aku ada. Aku makan burger RM25. Memanglah bukan selalu tapi aku tetap makan kalau ianya sedap dan memuaskan hati. Bukan aku saja, ramai lagi akan makan. Sehingga beberapa buah meja makan kamu akan sentiasa penuh kerana memang ramai orang Malaysia akan makan biarpun burger Carl's Jr. berharga RM25.

Oit, bangun! Orang Malaysia bukan berkira macam dulu. Buat restoran Carl's Jr. yang besar sikit. Aku faham keadaan restoran sekarang yang membataskan penambahan tempat makan kerana konsep tempat makan kamu tidak sama macam McD atau KFC. Restoran Carl's Jr. lebih bersifat American Deli yang bermeja besar dan berkerusi empuk. Itu yang menarik minat aku kesana, terutama kotak tisu yang klasik di setiap meja.

Sekarang, kalau nak makan Carl's Jr. tanpa perlu bersusah payah tunggu orang lain habis, pergi Pavillion. Besar dan selesa.

Cyber Cafe

Aku menaip post ini di kafe siber berhampiran rumah. Skrin PC ini cukup besar, LCD 19 inci.

Aku ingat pertama kali aku bekerja di sebuah kafe siber sekitar tahun 1998. Kecil saja dengan PC sebanyak 5 buah dan kesemuanya adalah PC 2nd-hand berkuasa Intel Pentium II dengan 256MB RAM. Skrin monitor CRT 14 inci. Ketika itu masih menggunakan Windows 95 dengan Internet Explorer 4.0 baru saja keluar. Netscape Navigator masih popular (aku hasilkan website pertama aku dengan Netscape Composer 3.0). Network ketika itu sama seperti menyediakan sebuah enjin kereta. Susah. Perlu ada scripting dan pelbagai networking tool yang sekarang adalah terlampau kuno.

Mereka yang datang ketika itu adalah budak-budak sekolah dan pelajar-pelajar universiti. Ada sekali sekala lewat malam lelaki bujang (pekerja kilang) yang datang untuk chatting di MiRC dan mengumpul sebanyak kenalan wanita yang mereka dapat (walau hanya sekadar nicknames). Kepantasan internet ketika itu cuma 56 kbps (kilobit per saat) dengan menggunakan dial-up. Setiap kali tiada pengunjung, dial-up perlu dimatikan untuk jimat kos. Aku tak lama di sana. Tapi ianya pengalaman yang cukup menarik.

Sekarang kafe siber lebih bersifat kedai games dengan StarCraft, FIFA Soccer dan pelbagai games network yang disediakan. Internet dan chatting adalah perkara sampingan. Malah kalau kamu masuk di kafe siber dan kamu jumpa orang yang menggunakan internet, kamu pasti nampak mereka sudah tua atau mat kilang yang mengumpul nicknames Friendster dan YMS.

Tentang Hidup

Asyikin sudah hampir menamatkan zaman bujangnya. Mungkin penghujung tahun ini atau awal tahun hadapan. Aku tumpang gembira, aku agak bersedih.

Bersedih kerana sudah tiba masa untuk aku berada lebih jauh dari sekarang. Tidak boleh lagi aku berkata-kata dan memberikan yang indah-indah untuk dia lagi. Bukan tak boleh tapi aku tak mahu menyusahkan dia (kamu tahu, orang lelaki ini terlampau cemburu sebenarnya).

Tak mengapa. Cuma aku sedang fikirkan cara bagaimana. 6 tahun aku rapat dengan Asyikin dengan cara sekarang. Jadi agak sukar untuk aku fikirkan cara yang sepatutnya aku berhadapan dengan dia di masa akan datang. Aku tahu kamu kata ianya tidak susah. Jadi, tidak mengapa. Biar aku yang hadapinya nanti.

Jadi aku bila lagi? Sudah 33 tahun bukan? Aku cuma mampu tersenyum sekarang.

Entah. Itu jawapan aku. Kalau ada, insyaAllah. Mungkin belum sekarang. Aku tahu kenapa tapi biar aku seorang saja yang tahu. Orang sering kata aku jual mahal dan aku terlalu memilih. Tapi kalau aku ada pilihan, bagus juga. Sekarang tidak ada, okay. Jadi tidak perlu kata aku terlalu memilih. Lagipun perkataan memilih adalah amat tidak tepat bagi aku. Fizikalnya, aku tidak dikategorikan orang yang cukup hebat untuk punyai pilihan. Melainkan orang melihat aku seperti Jack Black. Hahaha...

Kamu mahu aku ceritakan juga? Maaflah, tak mahu. Aku sedar blog ini sekarang semakin dibaca oleh orang-orang yang aku kenali dan mengenali aku. Jadi aku tidak mahu diluar nanti mereka akan datang kepada aku dan mempersoalkan segalanya. Aku letih nak jawab nanti. Jadi anggaplah blog ini 1/2 saja cerita aku dan selebihnya aku simpan.

Televisyen

TV aku rosak angkara housemate yang degil dan tidak faham maksud "menghargai harta benda orang lain". Ya, aku salahkan orang lain kerana selama 4 tahun aku gunakannya, ianya sentiasa elok. Puncanya? Apabila kita tutup Astro, TV masih terbuka dan tidak bertukar kepada skrin biru. Skrin TV nampak hitam seperti sudah ditutup juga. Itulah yang mereka lakukan. Padahal electron-gun TV masih lagi aktif. Jadi bayangkan TV terpancar gelap dalam masa yang lama, pasti akan rosak.

Kata mereka, mereka mahu membaikinya. Aku cakap terpulang kerana aku sudah hilang minat. Suatu hari tidak lama dulu, mereka cakap mereka mahu beli TV baru untuk ganti TV aku yang rosak. Aku tanya TV apa? Kata mereka TV 29 inci tapi jenama biasa yang murah. Aku diam dan terus menonton TV lama aku yang rosak.

Takpe, aku beli TV baru aku sendiri, kata hati aku. Biar ianya berjenama dan tahan lama.

Handphone

Sudah rosak juga. Berbaloi dengan harganya yang murah. Telefon bimbit bagi aku adalah telefon bimbit. Buat panggilan, jawab panggilan, hantar SMS dan terima SMS. Cukup. Kamera, aku sudah ada Canon Digital SLR 400D. Muzik, cukup sekadar dengar di iMac atau depan TV. Bluetooth, WiFi, 3G... sungguh, kita perlukah dengan semua itu sepanjang masa?

Jadi semalam aku berjalan-jalan di the Mines dan melihat telefon bimbit baru yang harganya berpatutan. Mungkin bulan hadapan aku akan beli. Aku sudah jelak dengan Samsung. Aku mahu kembali mencuba Nokia. Atau Sony Ericsson.

Kamera

Semalam juga aku mencari-cari lensa 50mm 1.8 untuk 400D aku. Aku jumpa dengan harga RM300 dan keatas. Aku mahu cari lagi nanti. Semasa aku di Pulau Pinang, satu kedai di Prangin Mall menawarkan aku dengan harga RM290. Mungkin betul orang cakap, harga di Pulau Pinang lebih murah. Aku juga nampaknya memerlukan flash. Tapi 430ex pun sudah berharga lebih RM1000. Mungkin aku boleh dapatkan yang 2nd-hand di ebay. Nanti aku akan cuba cari.

Aku sudah semakin mahir bermain-main dengan polariser. Aku perlu berlatih lagi. Esok mungkin masa yang sesuai.

Esok

Aku ke Manjung untuk menghadiri majlis perkahwinan Asyikin. Bukan Asyikin adik angkat aku, tapi Asyikin sahabat kerja. Perjalanan yang jauh.

8.8.08

Mellow...

Oh ya... Aku sedang mellow.

7.8.08

My Muse



This is my dear angel, my muse.

Menjelang masanya nanti, semua itu hanya akan tinggal kenangan...

6.8.08

Geografi Dan Lambaiannya


Teluk Cempedak, Kuantan, Pahang

Semasa di sekolah dulu, subjek paling aku suka adalah Geografi. Sehingga seorang cikgu Geografi aku meminta kertas soalan SRP (ye, sebelum PMR) yang baru lepas aku jawab untuk dia periksa. Dia kata dapat A1.

Kenapa? Kerana melalui Geografi aku mengenal dunia. Aku suka pada gambar-gambar dalam buku teks Geografi yang memaparkan suasana dan kehidupan manusia di pelusuk alam. Sementara itu aku bayangkan aku berada di tempat tersebut. Mungkin disebabkan itu, aku minat dengan fotografi.


Bandar Kuantan, Pahang

Jadi setiap kali aku ke Facebook, aku akan lihat gambar-gambar kawan-kawan yang ada. Aku tidak sangat melihat mereka tapi lebih melihat apa yang ada di belakang mereka. Lokasi mereka berada dan harapkan (jauh di sudut hati) aku dapat kesitu juga.

Akhirnya apabila berkarier dan karier yang perlu duduk di kubikel sepanjang masa, aku langsung tak kemana. Kalau berjalan di hujung minggu pun, sekadar yang dekat. Masalahnya, apa yang kamu mahu lihat di sekeliling Selangor dan Kuala Lumpur? Tiada ada yang menarik. Sesak dan panas.


Sepanjang Jalan Dari Manjung ke Teluk Intan

Setiap kali aku bertugas di sebagai urus setia di Cameron Highland dahulu, aku bukan suka kerana tugas. Tapi lebih sukakan suasananya. Segar dan permandangan yang indah (walaupun sungainya amat-amat tercemar...). Salah satu sebab aku terima undangan untuk bertukar ke bahagian Latihan suatu ketika dahulu adalah kerana andaian aku dapat berjalan dan melihat tempat orang. Ya, sekurang-kurangnya aku dapat lakukan walaupun tidak sekerap mereka yang lain.  Kalau rakan-rakan sekerja, mereka kebanyakkannya lebih berminat untuk membeli belah apa yang ada di sesuatu tempat. Aku lebih suka berjalan dan melihat keadaan tempat tersebut. Nampaknya aku agak terlewat membeli kamera SLR. Kalau tidak, pasti banyak gambar lokasi-lokasi yang pernah aku pergi.


Lumut, Perak

Mahu saja aku bercuti lama atau berhenti kerja. Aku mahu berjalan-jalan dan melihat dunia. Itu pun kalau aku modal dan tenaga untuk melakukannya. Tenaga ada, modal yang susah hendak aku sediakan.

Jadi buat masa ini aku hanya mampu melihat potret-potret di Facebook kawan-kawan dan juga menelusuri internet.

5.8.08

Hujung Minggu Lalu

Hujung minggu lalu sepatutnya aku ada dua destinasi untuk aku pergi. Pertama adalah Proton Technology Week di kilang mereka di Shah Alam. Ini paling utama kerana sejak membacanya di blog seorang designer Proton, aku bertekad untuk pergi. Tahun lepas aku terlepas peluang untuk pergi. Keduanya, aku ditanya oleh Asyikien samada aku akan pergi ke PC Fair atau tidak. Memang kalau diikutkan hati, aku tak berminat untuk pergi kerana hidup aku sudah tidak perlu menggunakan PC Wintel lagi. iMac tidak memberi keseronokkan membuat upgrading. iMac adalah cuma iMac, sebuah PC yang 'sempurna'.

Tiba hari Sabtu, aku terperap di pejabat hingga petang. Tengahari aku kelaparan dan kebetulan di sebelah bangunan ada Karnival Gegar. Aku pergi dengan niat mencari makanan untuk mengalas perut. Tapi kamera tidak aku tinggal. Mana tahu aku boleh mengambil gambar beberapa aksi yang menarik. Sampai di tapak Karnival, aku terpinga-pinga melihat sekumpulan 'mat rempit' dengan motosikal yang telah diubahsuai sepenuhnya.

Aku hairan. Apa yang sedang berlaku? Sebahagian Persiaran Perdana ditutup dan ada beberapa orang polis dan Rela sedang berkawal. Aku berjalan lagi dan akhirnya baru aku sedar yang ada pertandingan 'drag race' atau 'sprint-test' motosikal dan kereta.


Aku tidak mahu bercerita sangat mengenai apa yang berlaku semasa hari tersebut. Aku cuma lebih tersentuh dan berminat mengenai usaha ubahsuai motosikal oleh sekumpulan pemuda. Ubahsuaian mereka adalah pada tahap yang ekstrem. Pastinya kalau di jalanraya, motosikal ini takkan lepas dari dikejar oleh polis atau JPJ, itu pun kalau boleh dikejar.

Sebenarnya, timbul rasa hormat dan kagum aku kepada anak-anak muda ini. Mereka punyai bakat dan kemahiran yang tinggi. Cuma rasanya, modal saja yang kurang. Aku pasti kebanyakkan motosikal yang digunakan adalah motosikal curi. Tapi itu bukan masalahnya.

Aku mahu lihat dari sudut yang berbeza. Kalau mereka ini diberi sedikit modal atauditaja oleh korporat-korporat yang terlebih untung, mereka boleh hasilkan motosikal drag yang jauh lebih hebat dan mungkin, mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Secara asasnya, drag-race memang wujud di beberapa negara di dunia ini. USA dan Australia ada kejohanannya sendiri dan motosikal yang digunakan adalah motosikal berkuasa tinggi yang hebat serta memperolehi tajaan syarikat-syarikat antarabangsa. Aku pasti suatu ketika dahulu, mereka juga bermula sebagaiamana anak-anak muda kita ini lakukan.

Bezanya mereka mendapat galakan dan sokongan. Jadi akhirnya drag-race di negara barat menjadi maju dan popular. Aku yakin, sekiranya ada organisasi di Malaysia ini ikhlas dan bersungguh-sungguh untuk membantu, drag-race di Malaysia boleh menjadi popular dan jentera yang digunakan pastinya hebat dengan teknologi terkini. Keadah tuning dan setting jentera boleh dilakukan dengan komputer berbanding sekarang yang hanya sedap telinga mendengar dan 'pengalaman'.


Malah, kalau dilatih dengan betul dan diberi pendedahan yang sewajarnya, 'jurutera' yang membangunkan motosikal rempit ini boleh diketengahkan untuk menjadi jurutera motosikal profesional yang mampu bersaing diperingkat yang lebih tinggi.

Tapi itulah masalahnya di Malaysia ini. Padang golf untuk permainan orang kaya jauh lebih banyak dari orang kaya sendiri. Tapi untuk bina litar lumba di setiap negeri yang pastinya boleh menarik puluhan ribu orang pun susah nak dilaksanakan. Mungkin kerana target pasaran adalah dikalangan orang-orang biasa yang tidak berkereta BMW atau Mercedes-Benz, jadi ianya tidak signifikan.

Cadangan aku; buat litar lumba skala kecil di setiap negeri. Tidak perlu secanggih litar F1 Sepang. Biar cukup dengan keperluan asas dan tahap keselamatan yang baik. Anjurkan pertandingan sukan permotoran. Letak beberapa peringkat. Maksudnya dari peringkat profesional hingga amatur. Peringkat amatur boleh disertai oleh sesiapa saja yang mahu dengan sedikit bayaran minima. Maksud aku tidak mencecah ribuan ringgit. Atau sediakan jentera yang boleh disewa semasa perlumbaan seperti BMW sediakan untuk Formula BMW.

Lambat laun kita akan temui jaguh sukan permotoran di Malaysia. Kamu orang kaya nak buat duit juga ke? Kamu masuk bertanding atau kalau lebih hebat, taja pasukan untuk bertanding atau buat sindiket betting.

Pada hari Ahad, aku pergi ke Proton Technology Week di kilang Proton, Shah Alam. Oh, memang tidak menyesal. Aku puas hati walaupun agak terkilan tidak berpeluang untuk mencuba litar ujian Proton. Takpe, aku pernah memandu selaju 220 km/j dan aku faham apa makna 'laju' (come to think of it, bodohnya aku memandu 220 km/j di KESAS!).

Banyak kereta prototaip (walau sebenarnya cuma kereta biasa yang diubahsuai) yang dipamerkan semasa pameran tersebut.


Atas adalah sebuah Proton Saga Pickup dan bawah pula adalah Proton Satria Neo Pickup. Aku sebenarnya tidak faham kenapa Proton begitu obses dengan kereta pickup. Tapi mungkin kerana di Australia, kereta pickup Proton mendapat sambutan yang baik. Jadi mungkin ianya cuma niche, tapi masih ada pelanggan. Malah aku tengok Pest Control di Malaysia juga ada menggunakan kereta Pickup Proton. Mungkin Proton boleh bertindak lebih berani dengan mengeluarkan Pickup yang sebenarnya seperti Toyota HiLux dan Mitsubishi Triton. Boleh eksport ke Thailand. Sana pasaran besar (ya, aku tahu mereka ada banyak pilihan yang lebih 'sejuk').


Kemudian aku lihat kereta ini, di bawah. Kereta konsep Proton MSX. Aku tidak pasti apa maksud MSX tapi ianya tidak ada kaitan langsung dengan Ajinomoto dan MSGnya. Yang pasti, MSX adalah amat-amat 'sejuk' (cool). Aku pernah lihat kereta ini beberapa tahun lalu. Ianya adalah kereta konsep Lotus APX. Namun ketika itu, APX lebih bersifat crossover seperti BMW X3 atau Mitsubishi Air Trek. MSX juga dikelaskan sebagai crossover dan pada carta informasi, MSX telah dibandingkan dengan Porsche Cayenne dan BMW X5. Tapi aku lebih lihat ianya seperti Toyota Caldina. Bentuk dan ketinggian pun lebih kurang sama dengan Caldina.

Statistik MSX hebat, 250km/j, 0 - 100 km/h dalam masa 5.9 saat dan semua itu jauh lebih hebat dari Cayenne dan X5. Kalaulah MSX direalisasikan, pastinya Jeremy Clarkson akan terpegun sementara sehinggalah dia sedar yang dia sedang memandu kereta Proton.

Proton contohnya,  boleh keluarkan dalam dua versi; versi 'baik' dengan enjin 1.8 liter dan versi 'jahat' dengan enjin 3.0 V6 yang penuh ganas.


Aku juga berkesempatan melihat rangka model MPV Proton yang baru. Lebih kurang sama dengan Toyota Wish. Tidak hairan kerana Chief Designer Proton adalah peminat Toyota Wish.


Kalau lihat dari segi kerangka, aku nampak ianya adalah rekaan yang baik dan menarik. Lebih besar sedikit daripada Wish tapi tidak terlalu besar seperti Kia Carnival (ya, Naza Ria juga)  atau Toyota Estima. Tidak juga terlalu leper dan rendah seperti Honda Stream yang aku fikir tidak efisien berbanding Wish. Juga tidak terlalu kecil seperti Nissan Grand Livina yang aku masih keliru, kenapa orang Malaysia sukakannya.

Memang puas dapat habiskan masa beberapa jam melihat teknologi yang ada di Proton. Aku perlu akui yang Proton bukanlah sebuah syarikat automotif yang besar, jadi teknologi yang ada tidak secanggih syarikat lain. Namun, Proton juga tidak kurang hebatnya. Jadi aku rasa kalau ada yang mahu kutuk buta mengenai Proton, kamu perlu pergi ke pameran mereka tahun hadapan.

Selepas melawat pameran Proton, mulanya aku mahu terus ke KLCC untuk ke PC Fair pula. Tapi aku batalkan niat aku kerana pastinya aku cuma akan buang masa di sana.

Aku bergerak ke Putrajaya. Kamera ada ditangan, jadi sekurang-kurangnya aku boleh ambil beberapa gambar bangunan dan matahari senja. Destinasi aku adalah di bangunan Putrajaya Corporation (PJC) berhadapan dengan Istana Keadilan. Dekat dengan pejabat. Aku mundar mandir melihat hasil senibina yang menarik bangunan PJC. Tidak hairan semakin banyak iklan dan drama yang menggunakan premis PJC ini sebagai lokasi mereka.


Gambar atas kononnya aku cuba bermain dengan teknik blur dan pada imej depan dan belakang sambil imej tengah adalah tepat. Nampaknya lensa asas memang tak membantu langsung. Fokus aku pada Lot 2 manakala Lot 3 dan Lot 1 nampak kabur. Nampak?


Aku tak sangka pula bangunan PJC ada jambatan menghubung bangunan. Aku dongak ke atas dan nampak. Aku suka dengan garis-garis lurus yang ada dalam gambar tersebut. Juga aku suka pantulan cermin yang memperlihatkan seolah-olah jambatan itu bersambung lebih jauh lagi.


Ini shot senja Masjid Putrajaya yang sedang dibina berlatar kiri dan kanan bangunan PJC. Memang lensa biasa tidak boleh menghasilkan shot yang menarik. Aku guna CPL untuk kurangkan glare pada cermin di kiri dan kanan.


Gambar atas adalah beranda yang ada di PJC. Menariknya shot ini kita lihat beranda itu keluar dari dinding cermin. Sementara dinding batu sebelah kiri ditampal mozek bersegi yang mudah tapi menyerlahkan keseluruhan suasana. Aku kagum dengan senibina PJC kerana rekaannya begitu teliti tetapi 'mudah'. Sepatutnya bangunan-bangunan awam dan kerajaan perlu direka sebegini kerana ianya memperlihatkan suasana yang mesra, luas dan minimalis (nampak murah). Kamu lihat Putra Perdana dengan kubah bawangnya dan tiang besarnya. Nampak berat dan mewah. Tidak kena sangat dengan sebuah bangunan awam. Ianya seperti berkata,
 
"Lihat, aku besar dan mewah. Kamu jangan cuba datang dekat!"

Sedang bangunan PJC lebih seperti,

"Datanglah. Kamu pasti damai di sini."

Akhirnya sebelum pulang, aku ambil shot gambar pusat komersial pertama di Presint 2 dan keseluruhan Pusat Putrajaya di pulau utama. Masih belum berpenghuni kerana baru saja siap.



Rekaannya menarik dan bersifat 'bebas'. Garis-garis pada bangunan tidak uniform dan tidak rigid. Rekaan yang bagus, bagi aku.

Jadi sepanjang hujung minggu, aku menjadi 'pengadil' dan 'pemerhati' kepada dunia yang aku lihat. Aku memerhati manusia dengan mesinnya. Aku melihat mesin dan bangunannya. Akhir sekali aku melihat bangunan dan nilai insannya.

Cukup untuk sebuah hujung minggu yang selesa.

2.8.08

Bebel Hujung Minggu

Aku biarkan blog ini diam sementara. Saja hendak melihat respon. Ratusan orang masuk dalam beberapa hari. Hit counter aku naik mendadak dari 24,000 hingga sekarang mencecah hampir 24,500. Banyak tu. Dulu nak dapat 10 hit sehari pun susah. Mungkin sebab aku blog mengenai MRSM Balik Pulau dan reunion yang telah diadakan minggu lepas.

Semasa reunion tempohari, ramai yang memberitahu mereka baca blog ini. Menarik. Dari mana mereka jumpa, aku tak tahu. Tapi sekurang-kurangnya boleh juga aku share cerita dengan mereka.

Bukan aku tak suka Facebook atau Friendster (aku pernah cakap dulu). Aku fikir kedua-duanya overrated dan lebih sesuai sebagai social networking semata-mata. Jadi aku join juga Facebook kerana ramai ex-schoolmate menggunakan Facebook dan aku join Friendster kerana ramai office-mate menggunakannya. Tapi kalau di internet ini, blog ini adalah keutamaan aku. Apa pun yang terkini, cuma ada di blog. Kalau aku rajin, sekali sekala aku akan update Facebook dan Friendster.

Banyak lagi social-networking web yang ada dalam internet. Contohnya Orkut, Fotopages (boleh la juga kira), Tagged, Friendfinder dan MySpace. Aku pasti Facebook yang sedang meletup sekarang bersifat macam Friendster dan MySpace juga. Ianya meletup sekarang dan untuk beberapa ketika ianya akan menjadi amat-amat popular. Bila tiba social-networking web atau apa saja web yang bersifat komuniti lain yang lebih cool dan hebat, Facebook akan jadi tepu dan ditinggalkan. Itu sudah pasti.

Sebab itulah aku lebih utamakan blog kerana ianya bersifat konstant. Kenapa? Blog lebih bersifat peribadi (secara teknikal). Blog mempunyai kadar interaksi yang lebih rendah berbanding dengan social networking. Blog juga bersifat menyediakan ruang dan bukan memaksa pengguna untuk berkongsi ruang seperti yang berlaku dalam social-networking-web (SNW). Kamu tidak perlu untuk mencari rakan-rakan untuk kekal hidup dalam blog. SNW, kamu perlu mencari rakan-rakan untuk berkongsi (sharing), kalau tidak, kamu adalah kera sumbang di dalam SNW walaupun dalam dunia realiti kamu ada sejuta kawan.

Sebab itu aku akan terus blog. Kerana ruangnya lebih terbuka dan lebih 'mudah' walaupun bersifat lebih peribadi daripada SNW.

Entah kenapa, tapi tengok ni, Alexa Top 500 Sites (global). Saja nak tunjukkan kepada kamu, di luar sana ada yang sehebat Facebook dan Friendster. Jadi jangan obses sangat dengan kedua-dua tersebut. Sehingga kamu ada blog, baru aku boleh respek kamu. Kenapa? Bagi aku blog lebih cool. Kalau tidak kamu tidak bersusah payah untuk baca semua ini, perkara yang aku lakukan di hujung minggu iaitu merepek. :-p