Wall.e
Petang kelmarin sempat aku menonton Wall.e, sebuah animasi digital karya Pixar. Menonton Wall.e seperti menonton sebuah filem yang penuh emosi sedang watak-watak utamanya adalah robot-robot dan seekor cengkerik kecil.
Memikirkan keupayaan emosi yang ada pada Wall.e, aku bayangkan masa hadapan di mana wujud dalam dunia ini robot-robot yang mempunyai emosi yang 'hidup' di kalangan kita. Bagaimana respon kita terhadapnya nanti?
Aku fikirkan David (A.I.), Andrew (Bicentennial Man) dan C3PO (Star Wars) yang berkata-kata seperti manusia biasa sedang mereka tidak lebih dari robot ciptaan manusia. Bayangnya sudah pun wujud masa kini. Lihat Asimo, keluaran Honda. Lihat iklan di bawah dan kamu dapat 'rasakan' emosi robot setinggi budak sekolah rendah ini. Aku pernah lihat dekat aksi Asimo dan memang aku kagum.
Bersediakah manusia untuk menerima robot dikalangan kita nanti?
Berbalik kepada Wall.e. Wall.e adalah seperti kucing. Sentiasa curious dan sentiasa cuba mencari jawapan. Kamu dapat rasakan sunyi hidup Wall.e selama 700 tahun di muka bumi dengan hanya bertemankan cengkerik kecil. Kamu lihat pula kerja bosannya setiap hari sebagai robot pemampat sampah. Kerana tugas yang diberikan, Wall.e terus melakukannya walau sudah 700 tahun tuannya iaitu manusia meninggalkan bumi kerana terlampau kotor dek sampah yang menimbun.
Kemudian Wall.e bertemu EVE, robot pencari hidupan yang didatangkan khas oleh manusia untuk melihat keadaan bumi samada sesuai untuk diduduki semula. Aku fikir, kenapa EVE disifatkan seperti seorang wanita? Aku faham kerana hanya wanita yang mampu bersabar untuk melakukan kerja-kerja seperti EVE.
Filem Wall.e sebenarnya tidak lebih dari perlakuan Wall.e yang mahukan suasana seperti dalam filem Hello Dolly! yang bermain di iPodnya. Wall.e mahu menggenggam tangan EVE. Itu saja dan kemudiannya mereka membawa penonton ke suatu perjalanan yang sungguh mengasyikkan.
Kamu lihat suasana manusia dalam kapal angkasa AXIOM yang gemuk dan 'pemalas' dan segalanya perlukan bantuan robot untuk berfungsi. Manusia tidak lagi berjalan kerana ianya memenatkan. Malah tidak melakukan apa-apa selain duduk di atas kerusi terapung dan berehat sepanjang masa. Mungkin orang berfikir, ini adalah gambaran salah mengenai manusia.
Cuma apabila diperhatikan balik betul-betul, aku sedari apa yang cuba ditayangkan adalah fungsi 'kontrol' yang diterapkan dalam pemikiran manusia agak manusia sentiasa 'santai' dan 'terkawal'. Kamu tentu sedar dan faham melihat suasana manusia disekeliling kamu bukan? Jika tiada kawalan dalam sebuah kapal angkasa, aku pasti dalam masa 700 tahun manusia berada di situ, semuanya manusia sudah lenyap.
Manusia juga digambarkan gemuk. Realitinya kerana tiada tekanan graviti, maka tidak mustahil manusia akan jadi seperti belon di angkasa.
Secara keseluruhnya aku berpuas hati denga filem Wall.e. Ia adalah standard baru untuk filem-filem sains fiksyen.
Bunga Api
Malam kelmarin juga aku sempat menonton persembahan bunga api di Putrajaya. Bezanya tahun ini dari tahun lepas, tahun ini lebih teratur dan lebih santai. Juga, tidak sesak seperti tahun lepas.
Cuma persembahan dari negara China agak membosankan. Mungkin betul cakap Lea, mereka sudah habiskan banyak bunga api semasa upacara pembukaan Sukan Olimpik tempohari.
Anehnya tahun ini, jalan tidak langsung sesak dengan kereta setelah selesai persembahan. Kalau tahun lepas, untuk sampai ke rumah mengambil masa 2 jam, kali ini cuma 30 minit. Jalan begitu lancar. Mungkin kerana ada pihak polis dan penguatkuasa Putrajaya yang berkawal sekeliling Putrajaya dan ada papan tunjuk arah yang jelas di persimpangan jalan.
Cuma aku agak terkilan melihat perlakuan penguatkuasa Putrajaya (Perbadanan Putrajaya). Mereka menggunakan kuasa mereka untuk memberi layanan VIP kepada saudara mara dan kakitangan mereka semasa persembahan. Sedang orang lain terpaksa meletak kenderaan di bahu jalan dan menonton dari jauh tepi tasik, orang-orang Perbadanan Putrajaya di beri tempat letak kereta istimewa dan dibolehkan melintasi empangan yang terletak berhampiran padang polo Putrajaya untuk pergi menonton persembahan bunga api dengan lebih dekat.
Aku pasti, ramai orang yang berada di tepi tempat kejadian merungut melihat karenah orang-orang Perbadanan Putrajaya ini. Sebenarnya aku tak kisah kalau orang Perbadanan Putrajaya mahu beri keistimewaan dikalangan orang-orang mereka. Tapi perlulah dalam keadaan discreet, sembunyi-sembunyi sikit dari orang ramai. Kamu tidak malu ke berjalan depan orang ramai tanpa segan silu dan ditumpangkan pula ke tengah empangan yang dikawal oleh pengawal untuk mendapat sudut pandangan yang lebih baik sedang orang awam lain dibiarkan terpinggir di tepi jalan?
Orang akan merungut kerana orang tahu untuk tempat yang berbayar cuma ada di PICC dengan bayaran yang mahal. Sedang tepi empangan adalah tempat awam dan kamu halang orang awam menggunakannya kerana mahu melayani saudara mara dan orang-orang Perbandanan Putrajaya.
Entahlah, itu masalah orang kita di Malaysia ini. Kurang sensitif.
Subway
Kamu pernah makan sanwich Subway? Kelmarin petang aku makan yang di bawah ini. Meatball Marinara.
Sedap. Makan roti dengan meatball dan sayur-sayuran lain serta sos yang pelbagai. Kamu patut cuba. Tapi jangan cuba meatball marinara dulu. Kamu patut cuba sanwic lain yang ada di Subway, lebih baik yang dari kategori klasik. Barulah kamu dapat nikmat yang asal memakan sandwic di Subway.
Aku ingat semasa aku bekerja di Petaling Jaya dulu, di AmCorp Mall sudah ada Subway tapi aku tidak pernah berkesempatan untuk mencubanya di situ. Pertamanya kerana aku skeptikal dengan Subway dan keduannya aku tidak berani. Malah semasa Subway pernah ada di Lot 10 dulu aku telah ingin mencubanya, tapi langsung tidak berani. Bila? 14 tahun lalu, mungkin.
Sekarang, selain Carl's Jr., Subway adalah makanan segera kegemaran aku. Oh, aku sudah meluat dengan McD dan KFC malah Kenny Rogers juga. Aku rasa aku pernah makan semua menu yang ada di McD, KFC dan Kenny Rogers. Sanwic Subway masih banyak pilihan yang belum aku cuba.
Kata Subway, sandwic mereka boleh membantu mengurangkan berat badan. Erm... Tapi realitinya tidak begitu mudah.
Hujung minggu aku. Puas? Apa yang hendak aku puas?
No comments:
Post a Comment