9.8.08

Hujung Minggu

Sukan Olimpik

Aku tak tengok upacara pembukaan secara live. Sibuk dengan menonton wayang, Meet Dave lakonan Eddie Murphy. Cerita yang menarik tapi meleret. Lawak pada mulanya memang gila tapi lama-lama dah bosan. Apa motif Meet Dave sebenarnya?

Berbalik kepada Sukan Olimpik. Aku rasa kali ini aku boleh ikuti dengan sepenuhnya. Pertama, aku ada Astro di rumah dan siang tadi aku sampai naik bosan dengan liputan sukan Olimpik. Mungkin belum ada acara yang menarik seperti olahraga dan renang.

Nampaknya China benar bersungguh-sungguh untuk anjurkan sukan Olimpik yang terhebat. Upacara pembukaan saja sudah cukup memukau. Pastinya hasil kerja hebat pengarah-pengarah filem terkenal China yang diupah untuk menghasilkannya. Melihat upacara pembukaan seperti melihat filem period China masa kini hasil karya Zhang Yimou dan Ang Lee. Hebat.

Kamu fikir Malaysia boleh buat sebegitu? Boleh. Tapi ruginya pasti kerana yang lebih ditonjolkan adalah budaya melayu dan sedikit-sedikit budaya etnik bangsa lain. Kenapa? Sebab realitinya bila upacara sebegini, yang menjadi ketua adalah Dato' Seri-Dato' Seri, Dato'-Dato' dan ketua-ketua jabatan yang ada kepentingan politik, dan semestinya 99% daripada mereka berbangsa melayu. Aku pun melayu juga tapi aku sedar yang dalam Malaysia ini bukan orang melayu saja yang ada seni dan budaya. Bangsa lain pun ada seni dan budaya yang menarik. Kamu lihat citrawarna dan apa saja upacara peringkat kebangsaan dan kamu pasti akan fikir,

"Takde bangsa lain ke di Malaysia ni?"

Ya, aku bosan dengan tarian Macinda (melayu, cina dan india) yang sering diperlihat dalam upacara rasmi kerajaan. Balik-balik benda yang sama.

Erm... Berbalik kepada sukan Olimpik. Apa peluang atlet Malaysia? Tak banyak sebenarnya. Melainkan mereka tiba-tiba dirasuk semangat yang tinggi atau mungkin memang mereka sudah benar-benar hebat seperti Nicol David (sayangnya Skuash bukan acara Olimpik), aku tak nampak macamana mereka boleh menang. Kamu lihat di mata atlet-atlet yang bertanding dan memang benar-benar hebat, jelas kita nampak mereka mahu dan akan lakukan sedaya upaya mereka untuk berjaya.

Carl's Jr.

Aku pernah ceritakan mengenai Carl's Jr. tidak lama dulu. Tadi siang aku pergi ke Sunway Pyramid untuk menjamah burger yang sedap di sana. Burger Carl's Jr. memang sedap. Itu tidak dinafikan. Cuma, aku pelik dengan saiz restoran Carl's Jr. Apa kes kecil sangat? Bukan di Sunway Pyramid saja, tapi di MidValley pun kecil. Nasib di Pavillion dan One Utama agak besar.

Mungkin pada fikiran pengusaha francais Carl's Jr. di Malaysia, orang kita akan keberatan nak makan burger yang berharga RM25. Aku ada. Aku makan burger RM25. Memanglah bukan selalu tapi aku tetap makan kalau ianya sedap dan memuaskan hati. Bukan aku saja, ramai lagi akan makan. Sehingga beberapa buah meja makan kamu akan sentiasa penuh kerana memang ramai orang Malaysia akan makan biarpun burger Carl's Jr. berharga RM25.

Oit, bangun! Orang Malaysia bukan berkira macam dulu. Buat restoran Carl's Jr. yang besar sikit. Aku faham keadaan restoran sekarang yang membataskan penambahan tempat makan kerana konsep tempat makan kamu tidak sama macam McD atau KFC. Restoran Carl's Jr. lebih bersifat American Deli yang bermeja besar dan berkerusi empuk. Itu yang menarik minat aku kesana, terutama kotak tisu yang klasik di setiap meja.

Sekarang, kalau nak makan Carl's Jr. tanpa perlu bersusah payah tunggu orang lain habis, pergi Pavillion. Besar dan selesa.

Cyber Cafe

Aku menaip post ini di kafe siber berhampiran rumah. Skrin PC ini cukup besar, LCD 19 inci.

Aku ingat pertama kali aku bekerja di sebuah kafe siber sekitar tahun 1998. Kecil saja dengan PC sebanyak 5 buah dan kesemuanya adalah PC 2nd-hand berkuasa Intel Pentium II dengan 256MB RAM. Skrin monitor CRT 14 inci. Ketika itu masih menggunakan Windows 95 dengan Internet Explorer 4.0 baru saja keluar. Netscape Navigator masih popular (aku hasilkan website pertama aku dengan Netscape Composer 3.0). Network ketika itu sama seperti menyediakan sebuah enjin kereta. Susah. Perlu ada scripting dan pelbagai networking tool yang sekarang adalah terlampau kuno.

Mereka yang datang ketika itu adalah budak-budak sekolah dan pelajar-pelajar universiti. Ada sekali sekala lewat malam lelaki bujang (pekerja kilang) yang datang untuk chatting di MiRC dan mengumpul sebanyak kenalan wanita yang mereka dapat (walau hanya sekadar nicknames). Kepantasan internet ketika itu cuma 56 kbps (kilobit per saat) dengan menggunakan dial-up. Setiap kali tiada pengunjung, dial-up perlu dimatikan untuk jimat kos. Aku tak lama di sana. Tapi ianya pengalaman yang cukup menarik.

Sekarang kafe siber lebih bersifat kedai games dengan StarCraft, FIFA Soccer dan pelbagai games network yang disediakan. Internet dan chatting adalah perkara sampingan. Malah kalau kamu masuk di kafe siber dan kamu jumpa orang yang menggunakan internet, kamu pasti nampak mereka sudah tua atau mat kilang yang mengumpul nicknames Friendster dan YMS.

Tentang Hidup

Asyikin sudah hampir menamatkan zaman bujangnya. Mungkin penghujung tahun ini atau awal tahun hadapan. Aku tumpang gembira, aku agak bersedih.

Bersedih kerana sudah tiba masa untuk aku berada lebih jauh dari sekarang. Tidak boleh lagi aku berkata-kata dan memberikan yang indah-indah untuk dia lagi. Bukan tak boleh tapi aku tak mahu menyusahkan dia (kamu tahu, orang lelaki ini terlampau cemburu sebenarnya).

Tak mengapa. Cuma aku sedang fikirkan cara bagaimana. 6 tahun aku rapat dengan Asyikin dengan cara sekarang. Jadi agak sukar untuk aku fikirkan cara yang sepatutnya aku berhadapan dengan dia di masa akan datang. Aku tahu kamu kata ianya tidak susah. Jadi, tidak mengapa. Biar aku yang hadapinya nanti.

Jadi aku bila lagi? Sudah 33 tahun bukan? Aku cuma mampu tersenyum sekarang.

Entah. Itu jawapan aku. Kalau ada, insyaAllah. Mungkin belum sekarang. Aku tahu kenapa tapi biar aku seorang saja yang tahu. Orang sering kata aku jual mahal dan aku terlalu memilih. Tapi kalau aku ada pilihan, bagus juga. Sekarang tidak ada, okay. Jadi tidak perlu kata aku terlalu memilih. Lagipun perkataan memilih adalah amat tidak tepat bagi aku. Fizikalnya, aku tidak dikategorikan orang yang cukup hebat untuk punyai pilihan. Melainkan orang melihat aku seperti Jack Black. Hahaha...

Kamu mahu aku ceritakan juga? Maaflah, tak mahu. Aku sedar blog ini sekarang semakin dibaca oleh orang-orang yang aku kenali dan mengenali aku. Jadi aku tidak mahu diluar nanti mereka akan datang kepada aku dan mempersoalkan segalanya. Aku letih nak jawab nanti. Jadi anggaplah blog ini 1/2 saja cerita aku dan selebihnya aku simpan.

Televisyen

TV aku rosak angkara housemate yang degil dan tidak faham maksud "menghargai harta benda orang lain". Ya, aku salahkan orang lain kerana selama 4 tahun aku gunakannya, ianya sentiasa elok. Puncanya? Apabila kita tutup Astro, TV masih terbuka dan tidak bertukar kepada skrin biru. Skrin TV nampak hitam seperti sudah ditutup juga. Itulah yang mereka lakukan. Padahal electron-gun TV masih lagi aktif. Jadi bayangkan TV terpancar gelap dalam masa yang lama, pasti akan rosak.

Kata mereka, mereka mahu membaikinya. Aku cakap terpulang kerana aku sudah hilang minat. Suatu hari tidak lama dulu, mereka cakap mereka mahu beli TV baru untuk ganti TV aku yang rosak. Aku tanya TV apa? Kata mereka TV 29 inci tapi jenama biasa yang murah. Aku diam dan terus menonton TV lama aku yang rosak.

Takpe, aku beli TV baru aku sendiri, kata hati aku. Biar ianya berjenama dan tahan lama.

Handphone

Sudah rosak juga. Berbaloi dengan harganya yang murah. Telefon bimbit bagi aku adalah telefon bimbit. Buat panggilan, jawab panggilan, hantar SMS dan terima SMS. Cukup. Kamera, aku sudah ada Canon Digital SLR 400D. Muzik, cukup sekadar dengar di iMac atau depan TV. Bluetooth, WiFi, 3G... sungguh, kita perlukah dengan semua itu sepanjang masa?

Jadi semalam aku berjalan-jalan di the Mines dan melihat telefon bimbit baru yang harganya berpatutan. Mungkin bulan hadapan aku akan beli. Aku sudah jelak dengan Samsung. Aku mahu kembali mencuba Nokia. Atau Sony Ericsson.

Kamera

Semalam juga aku mencari-cari lensa 50mm 1.8 untuk 400D aku. Aku jumpa dengan harga RM300 dan keatas. Aku mahu cari lagi nanti. Semasa aku di Pulau Pinang, satu kedai di Prangin Mall menawarkan aku dengan harga RM290. Mungkin betul orang cakap, harga di Pulau Pinang lebih murah. Aku juga nampaknya memerlukan flash. Tapi 430ex pun sudah berharga lebih RM1000. Mungkin aku boleh dapatkan yang 2nd-hand di ebay. Nanti aku akan cuba cari.

Aku sudah semakin mahir bermain-main dengan polariser. Aku perlu berlatih lagi. Esok mungkin masa yang sesuai.

Esok

Aku ke Manjung untuk menghadiri majlis perkahwinan Asyikin. Bukan Asyikin adik angkat aku, tapi Asyikin sahabat kerja. Perjalanan yang jauh.

No comments:

Post a Comment