29.8.08

Menilai Hidup Ini - Babak 2

Kemudian, kami terus berbual lagi mengenai hal-hal peribadi dan termasuklah cliche kehidupan. Pandangan lelaki terhadap perempuan dan sebaliknya. Bagaimana realitinya banyak lelaki yang berbuat perkara jahat tapi apabila mencari pasangan hidup, mahu mencari yang paling baik dan paling terpuji.

Juga bagaimana apabila berkahwin nanti, watak-watak cliche suami isteri dimainkan atas nama harmoni sebuah rumahtangga; sang suami bekerja (dan kini selalunya isteri turut bekerja), pulang kerumah isteri menyiapkan makanan, membasuh baju dan menyediakan segalanya untuk si suami yang duduk di sofa membaca surat khabar (sedang dalam hati bersyukur kerana tidak perlu lagi bersusah payah mengemas rumah dan lain-lain) sambil menonton berita atau rancangan TV. Ya, segalanya yang cliche tentang perihal suami isteri. Tidak semua begitu tapi kebanyakkan.

Aku tidak berpegang kepada pendirian tersebut. Kalau selama berbelas tahun aku boleh hidup sendiri, basuh kain sendiri, masak makanan sendiri (walau hanya mee segera) dan gosok baju sendiri, kenapa selepas kahwin aku tidak terus melakukannya? Kenapa mengharapkan isteri? Aku yakin, ramai lelaki yang berkahwin, salah satu yang ditunggu-tunggu adalah kebebasan daripada melakukan semua itu. Perkara leceh bagi mereka.

Masalahnya pula, si isteri juga berfikiran sebegitu. Apabila kahwin kelak, mereka mahu melayan suami mereka sebaik mungkin; sediakan makan minum, bersihkan pakaian dan lain-lain lagi. Seperti satu suis dalam badan mereka tiba-tiba ON selepas berkahwin supaya mereka menjadi 'suri rumah'. Kalau mereka si isteri tidak mampu melakukan semua itu, pada fikiran mereka sendiri, diri mereka bukanlah isteri yang baik. Kenapa begitu? 

Itu yang aku bualkan bersama kenalan aku kerana dia menceritakan pengalaman hidupnya semasa bercinta dahulu. Sedikit sebanyak aku sedar bahawa dia sendiri dalam fikirannya, dia tidak sempurna menjadi seorang isteri kiranya semua itu dia tidak mampu lakukan. Nah, sebenarnya sifat-sifat cliche suami isteri sudah tertanam secara automatik dalam diri kita, mungkin sajalah.

Ada yang rebel. Ada yang tidak mahu terpasung dalam keadaan sebegitu. Pada fikiran mereka, mereka lebih liberal dan terbuka. Tapi tidak ramai. Malah kadang-kadang ada yang akui mereka liberal tapi sebenarnya mereka tidak lebih, masih sama dengan keadaan cliche yang aku sebutkan tadi.

Hidup ini sentiasa ada pilihan. Itu prinsip aku. Sebab aku rabun warna, jadi aku sentiasa tiada kepastian terhadap sesuatu perkara. Jadi aku perlu lebih peka dan lebih banyak membuat penilaian terhadap sesuatu warna. Aku cuma mahu pastikan bahawa warna merah yang aku hendak guna adalah benar-benar merah, bukan pink atau coklat. Itu contoh.

Hidup aku, aku sentiasa beri pilihan untuk aku. Ada perkara, penilaian aku boleh lakukan dengan pantas. Tapi ada waktunya aku perlukan masa.

Kenalan aku mungkin masih ada banyak cerita yang hendak dikongsi. Tapi masa ketika itu sudah terlalu mencemburui kami berdua. Ketika aku berjalan naik ke pejabat aku terfikir. Kalau manusia ini sebenarnya sentiasa diberi pilihan; baik atau jahat, kaya atau miskin, rajin atau malas, diam atau bising... apa saja, kenapa ada di kalangan kita yang masih mahu mengongkong orang lain dari membuat pilihan? Masih tidak faham bahawa manusia ini adalah istimewa dan akal fikiran manusia juga adalah istimewa.

Adakah selama ini kita membataskan ruang hidup kita berdasarkan kepada beberapa set peraturan baik dari segi agama mahupun undang-undang hanya untuk kita terus hidup?

Kalau peraturan dan undang-undang tidak ada dan yang ada hanya pilihan dalam hidup kita, apa yang kamu pilih pada setiap pilihan dalam hidup kamu?

Jadi, kalaulah ketika berjalan naik ke pejabat aku sedang membuat penilaian sebegitu, adakah aku akan berpusing dan pergi dapatkan kenalan aku lalu berkata,

"aku sukakan kamu..."

Atau aku teruskan saja perjalanan naik ke pejabat, dan duduk, dan mengadap iMac dan meneruskan kerja-kerja aku?

Heh...

No comments:

Post a Comment