31.3.09

Ya, Aku Anti Rokok!

Tak payah cari, tiada fotografi terbaru. Siang tadi Isnin. Orang sibuk hari Isnin. Tunggu hujung minggu. Aku terfikir hendak merakam gambar flamingo di tasik Putrajaya. Kalau dapat dan kalau ada masa.

Malam, balik dari pejabat aku terus ke McDonald's. Itu saja yang boleh aku pergi dengan mudah. Beli makanan, baki duit dalam poket cuma RM2. Itu kerana sebelum ke McD, aku isi minyak kereta. Kalau tidak bolehlah aku beritahu aku ada berpuluh ringgit dalam poket. Jadi, biar sajalah baki RM2. Itu pun dalam hati masih menghasut suruh habiskan dengan membeli pie apple. Aku tidak mahu.

Lalu aku duduk makan sambil membaca majalah TopGear keluaran bulan Mac (yang keluar lewat Februari). Baru nak baca. Minggu lepas aku sudah beli keluaran bulan April, masih belum baca. Sambil melakukan dua perkara itu, aku juga membalas mesej seorang sahabat, yang kemudiannya sudi datang untuk turut sama makan. Lalu kami duduk makan dan berbual hingga jam 10 malam. Mungkin lebih sikit.

Sahabat baru aku ini bertanyakan satu soalan (ya, baru sebab itu pertama kali aku bertemu dengannya). Adakah aku merokok?

Pantas aku jawab tidak dan aku tambah, aku benci merokok dan mungkin, aku juga benci perokok. Benci bukan benci orangnya, lebih bersifat membenci perbuatannya itu, merokok. Realitinya, aku adalah seorang anti-rokok tegar. Aku pernah bising kepada ayah kerana tabiat merokoknya. Malah aku pernah sengaja sorokkan rokok beliau. Aku juga pernah menolak permintaannya untuk membeli rokok. Bila dia suruh aku beli, aku jawab,

"Suruh orang lain. Orang tak suka rokok."

Memang kurang ajar ye? Tapi ayah memang faham pendirian aku ketika itu. Cuma sekarang, kalau dia suruh beli, aku akan beli. Aku tidak akan menolak dan persoalkan tabiat ayah. Cuma aku sentiasa berharap, kalaulah dia tidak merokok sejak awal dulu, pasti dia akan jauh lebih sihat sekarang.

Entahlah, aku tidak nampak apa hebatnya merokok. Aku tidak nampak apa coolnya merokok. Aku rasa orang merokok adalah orang paling tidak cool kerana mereka perlu merokok untuk nampak cool. Which is stupid. Hisap paip mungkin ada sedikit suasana cool tetapi ianya adalah amat 'tua'. Begitu juga hisap shisha atau hookah. Apa jadah la... Si Dolmat main belon adalah jauh lebih cool.

Ada cara lain untuk melepaskan gian atau nampak cool tetapi merokok bukan salah satu darinya. Kalau ikut kehendak dan kalau aku diktator zalim, aku haramkan merokok serta tembakau sama seperti dadah diharamkan.

Esok lusa pasti aku akan digulingkan oleh perokok tegar...

30.3.09

Basikal Cabuk

Aku dok tengok Facebook. Mengintai-intai gambar kawan-kawan lama dan aktiviti yang mereka lakukan sekarang. Seperkara yang aku perasan, ada beberapa orang dari mereka yang menjadikan basikal sebagai aktiviti sukan mereka.

Ada yang guna race bike dan ada yang guna mountain bike. Tak kisah mana pun. Ceritanya, hampir semua dari mereka ini semasa di maktab dulu memang tidak terlibat dalam aktiviti berbasikal. Maktab memang ada "kelab" lumba basikal. Tidak rasmi pun. Ada beberapa orang saja yang terlibat; aku, Amron Roni (bekas produser TV9), Shah Jihan, Suffian (Panjang) dan seorang dua lagi yang join sekali sekala. Ikut asalnya, cuma aku dan Amron saja yang memulakan "kelab" ini. Malah pertama kali berbasikal mengelilingi Pulau adalah aku dan dia saja.

Kami jumpa beberapa basikal lumba lama di sebuah stor tepi kelas. Kami keluarkan dan ada lebih kurang 5 buah basikal yang masih elok walaupun uzur. Kami baikinya dan selebihnya hantar ke kedai untuk dibaik pulih. Aku masih ingat tokey kedai basikal itu marah kepada aku bila aku tanya kepada dia,

"Tokay, itu ball bearing kalau saya pasang sendiri boleh ka? Saya beli, lepas tu saya pasang."
"Aiya... Apa lu susah. Lu hantar sini kasi saya pasang la."
"Alah, saya nak belajar la tokey."
"Lu baca itu buku sudah. Ini kerja bagi saya buat. Lu tak payah buat."

Kurang asam punya tokey.

Aku pernah cerita mengenai berbasikal semasa di maktab dulu. Jadi aku tak payah cerita lagi. Cuma aku tertarik bila ada kawan-kawan lama yang dulu tidak pernah join berbasikal, sekarang menjadikan basikal sebagai aktiviti sukan mereka.

Dulu, kami guna basikal lumba usang yang dibaiki sendiri. Sekarang, basikal yang mereka pakai berharga ribuan ringgit dan siap lengkap dengan set pakaian serta aksesori seperti cermin mata, thigh short, kasut basikal dan lain-lain lagi.

Aku semasa di maktab, pakai baju t-shirt biru oversized (hadiah Kak Fizah), seluar thigh harga RM20, cermin mata oversized juga yang dibeli di Komtar dengan harga RM10 dan kasut getah. Botol air pun takde. Topi keselamatan? Lagilah takde. Yang ada cuma keseronokan dan semangat dare devil yang tinggi ketika menuruni laju liku-liku jalan ke Balik Pulau mengikuti rapat Penang Yellow Bus dengan jurang tinggi di sebelah.

Ahhh... Muda-muda dulu. Berani tak bertempat.

Sekali Sekala

Dalam sibuk kerja, lepas juga 50 post dalam blog untuk bulan ini. Tiga bulan yang amat aktif, agaknya. Tahun ini juga lebih banyak fotografi dalam blog ini. Mungkin kerana aku jumpa cara yang lebih senang untuk linkkan foto-foto di akaun picasaweb ke blog ini. Banyak lagi yang aku boleh sumbat di picasaweb tu. Sekarang baru setakat 28% kapasiti digunakan. Jadi aku tidak fikir aku akan berhijrah ke Flickr atau Fotopages dalam masa terdekat (sebenarnya aku ada akaun dua foto site tu).

Cuma aku teringin hendak berubah server untuk blog. Namun setakat ini, tiada yang memberikan perkhidmatan yang mudah dan sebaik Blogspot. Wordpress walaupun menarik tetapi banyak sangat limitasi terutama kalau hendak guna domain name sendiri seperti yang aku guna ini. Jadi, buat masa sekarang juga, aku takkan berhijrah ke mana-mana blog provider lain. Cukup dengan Blogspot.

Tengok betul-betul akaun Blogspot aku. Sejak dari 2002. Awal dulu untuk update di Blogspot ini macam pengalaman membedah pesakit (aku sendiri tiada pengalaman sebegitu). Susah dan menyusahkan. Akibatnya ketika awal dulu, aku lebih senang menghasilkan page blog aku sendiri menggunakan Dreamweaver dan upload ke server internet. Macam buat website. Memang website pun. Kalau kamu rajin cari, kamu boleh jumpa laman web lama aku yang ada blog.

Seingat aku juga, aku mula menulis blog beberapa minggu sebelum kapal terbang pengganas meruntuhkan World Trade Center di New York dan aku ada menulis mengenainya.

Kalau kamu masuk sini kemudian aku baca cerita sebegini, itu maknanya aku tidak ada idea dan sesedap rasa bercerita juga semata-mata untuk membuang masa kamu.

29.3.09

Manusia Terprogram?

Seorang housemate agak pelik. Aku tidak tahu sama ada perbuatannya itu adalah kerana ignorant atau semata-mata refleks semulajadi dia sendiri.

Malam seperti begini biasanya lampu dan kipas di ruang tamu akan ditutup kerana masing-masing berada di dalam bilik, sama ada surfing internet, menonton movie atau tidur.

Dia, setiap kali keluar dari bilik, mungkin untuk ke tandas atau sengaja keluar tanpa sebab, pasti akan pasang lampu dan kipas di ruang tamu kemudian masuk kembali ke bilik meninggalkan lampu dan kipas terpasang tanpa sesiapa di ruang tamu. Setiap kali begitu, biasanya aku akan keluar menutup balik suis sambil menyumpah seranah perbuatan dia.

Pernah aku tegur beberapa kali perbuatan dia dan soalan paling selalu keluar,

"Engkau ni apa motif pasang kipas dan lampu depan, lepas tu tinggalkan terpasang?"

Kalau kamu lihat riak muka dia ketika itu, kamu akan andaikan dua perkara. Pertama, dia blur habis seperti dia tidak pasti apa yang sudah berlaku. Atau dia buat tak kisah seperti tiada apa yang berlaku.

Pernah tegaskan agar jangan membazir. Mungkin kerana pendapatan bulanannya lebih RM5,000, elektrik sebulan RM20 bagi dia tidak sebanyak mana. Aku pun tidak berkira sangat tapi ikut logiklah. Apa kes keluar bilik, pasang suis kipas dan lampu ruang tamu kemudian masuk balik bilik tanpa menutup suis tersebut? Kalau dia pasang kemudian duduk seketika, tidak mengapa. Ini tidak, keluar bilik, pasang suis. Masuk kembali ke bilik.

Apa kes?

Entah. Kadang-kadang aku tak faham housemate aku seorang ni. Kerja di bank terkemuka dalam bahagian IT. Tapi dia adalah penyokong fanatik UMNO dan BN hingga tiada ayat lain lebih selesa di ungkap setiap kali mendengar berita mengenai pemimpin parti pembangkang di peti TV,

"Tangkap je semua dan humban dalam penjara. Senang sikit."

Atau...

"Tembak je bagi mati."

Pelik juga kenyataan ini keluar dari seorang pakar IT lulusan universiti terkemuka. Pelik juga memikirkan pandangan chauvinis dia dan reaksinya apabila melihat perempuan berbikini; seperti tidak pernah tengok perempuan. Aku bukan mengutuk. Aku cuma mengkaji profil manusia. Kenapa ada manusia bersikap begitu kontra dengan latar belakang normal seorang lulusan universiti terkemuka dan bekerja di sebuah bank dalam bidang IT. Macam tak masuk akal tapi itulah realiti sahabat sebumbung aku. 

Aku pasti, tidak lama selepas aku selesai menulis ini, dia akan keluar dari bilik dan terus pasang suis kipas dan lampu di ruang tamu sebelum kembali beredar ke bilik senddiri.

Aku seperti terbayangkan seekor anjing yang mendengar loceng untuk mendapatkan makanan. Boleh ke manusia juga di pengaruhi sebegitu rupa?

Maaf, sekali lagi. Ini bukan ceritam mengutuk. Ini lebih bersifat evaluasi individu yang kita kenal. Sifat dan cara berfikir serta tindakan separa sedang yang sering dia lakukan sentiasa menarik minat aku. Mungkin aku boleh cuba ini. Aku boleh cuba matikan aliran elektrik ke kipas dan lampu di ruang tamu dan lihat apa yang berlaku. Adakah dia akan terus cuba memasang lampu dan kipas tersebut?

Menarik tetapi pelik.

27.3.09

Aku Anti PTK (kerana...)

Exam PTK untuk kakitangan kerajaan ini sebenarnya mengelirukan aku. Apa yang hendak dicapai? Untuk menilai prestasi kakitangan melalui ujian bertulis (kalau kerani tu, setakat tanda jawapan yang betul) sebagai tiket asas untuk kenaikan gaji dan permohonan kenaikan pangkat?

Apa pun jua niatnya, aku fikir menggunakan peperiksaan untuk menilai individu adalah cara paling leceh dan tidak adil. Ada sesetengah manusia (aku contohnya) yang betul-betul bengap untuk menjawab periksa, apatah lagi untuk study bagi menjawab peperiksaan. Ada golongan manusia yang 'thrive' dalam bidang menjawab peperiksaan. Study, baca nota, hafal nota dan lain-lain lagi ada perkara biasa dan 'fun' bagi mereka.

Agaknya kita memang tidak boleh puaskan hati semua orang, bukan?

Cuma, aku fikir ada banyak lagi cara yang lebih adil untuk menilai individu. Juga aku rasa sebab utama peperiksaan PTK diadakan adalah kerana pembuat dasar itu adalah seorang yang kaki study dan suka menjawab peperiksaan atau mungkin juga manusia yang malas hendak buat kerja lebih lalu menyusahkan semua orang dengan mengadakan PTK.

Aku rasa, sekarang sudah tiba masanya kita beralih dari evaluasi mental secara peperiksaan kepada evaluasi yang lebih menyeluruh dan adil. 

Aku membebel kerana aku masih belum study dan exam cuma tinggal 9 jam dari sekarang.

Sigh... 

Esok

Esok exam.

Study? Belum.

Ready? Belum.

Jadi? Apa-apa pun, tulis blog dulu.

:-)

Detik-Detik Tanpa Suara - 2

Aku sedang bosan di dalam majlis rasmi ketika mengambil gambar-gambar ini.









Aku perlu lebih banyak belajar.

Ukelele dan Gitar

Entah kenapa, aku sekarang sering mendengar lagu Somewhere Over The Rainbow nyanyian mendiang Israel Kamakawiwo'ole, penyanyi kelahiran Hawaii. Mungkin versi yang dibawa beliau begitu mendamaikan. Petikan ukelele itu mungkin menambah rasa senang apabila diadun dengan suara beliau.

Aku pernah sediakan link ke youtube video clip beliau namun video tersebut telah ditarik balik. Jadi kamu pandai-pandailah cari sendiri lagu tersebut. Kalau susah nak jumpa, tunggu di penghujung cerita 50 First Date lakonan Adam Sandler dan Drew Berrymore.

Kamu tahu, sejak dulu aku mahu belajar bermain gitar. Aku mahu membeli sebuah kitar akustik dan belajar bermain. Namun sehingga kini, impian masih lagi hanya impian. Berkali-kali aku masuk ke kedai menjual alat muzik dan membelek gitar-gitar yang dipamerkan.

Masalah sikit bagi aku yang kidal, aku perlu beli gitar untuk orang kidal atau paling mundah, beli saja gitar klasikal. Aku tidak boleh sesedap rasa beli gitar.

Jadi mungkin itu azam aku tahun ini (sudah agak lambat). Aku mahu membeli sebuah gitar dan belajar bermainnya. Dan bila diperlukan suatu masa nanti, aku boleh terus nyanyikan sebuah lagu bersama petikan gitar di hadapan si dia.

Jangan tanya. Entah bila.

Talentime

Tidak pernah seumur hidup aku hampir-hampir mengalir air mata (mungkin ada sikit) kerana melihat dialog bisu seorang remaja india yang jatuh cinta dengan remaja melayu namun tidak mendapat restu dari ibunya. Bisu kerana remaja india itu memang bisu dan pekak dan hanya mampu berbicara dalam bahasa isyarat.

Namun, sungguh menyayat hati adegan dari filem Talentime, arahan Yasmin Ahmad.

Kamu bayangkan, sambil melutut depan ibunya, dia mohon ibunya tunjukkan jalan bagaimana hendak dia lupakan si gadis itu kerana hatinya tidak mampu untuk melakukannya. Dia minta ibu beri jalan dan ajar dia bagaimana hendak meninggalkan si gadis melayu itu kerana dia tidak mampu hendak melakukannya sendiri. Ibunya berlalu pergi begitu saja. Si gadis juga langsung tidak mampu untuk melakukan apa-apa dan hanya melihat dalam kesedihan di dalam kereta bersama ibunya sendiri.

Oh, aku sepatutnya suruh kamu pergi menontonnya sendiri.

Bukanlah filem terbaik dari Yasmin Ahmad. Tetapi seperti filem-filem beliau sebelum ini, pengajaran dan ceritanya harus kamu teliti dan berfikir. Filem ini agak 'patchy' dan melompat kesana kemari seperti tiada jalan cerita yang sempurna. Tetapi watak-watak dalam filem itu sendiri yang menyempurnakan cerita ini. Bagi aku temanya adalah mudah; kesucian cinta dan untuk mengajar kita menjadi betul-betul color blind dalam erti kata, tidak memandang bangsa, agama, pangkat, sifat dan apa saja yang membenarkan kita menilai dan menjadi judgemental terhadap seseorang individu lain. Hidup ini terlalu kompleks untuk kita lalui dengan mudah dan damai. Filem ini bagi aku menunjukkan cara yang ringkas, hidup ini boleh jadi lebih mudah bila kita tidak terlalu 'menilai' orang lain. Terima mereka seadanya.

Aku bukan pengkritik filem. Jauh sekali hendak menerangkan apa yang aku faham tentang sesuatu filem. Mungkin pengarah atau pembikin filem hanya mahu menerangkan sesuatu perkara. Namun, tidak salah bagi aku untuk menafsirnya mengikut persepsi aku sendiri. Dengan itu, filem-filem yang aku tontoni akan menjadi lebih bermakna.

Aku balik dan rasa, ah... hidup ini sebenarnya lebih damai dan tenang bila kita tidak terlalu merumitkan hidup kita sendiri. Tidak terlalu judgemental dan juga tidak sentiasa fikir diri kita cukup bagus. Biarlah hidup ini menjadi seringkas mungkin tanpa sesiapa peduli asal kita lebih puas dan lebih senang dengan hidup kita sendiri.

Betuls. Siang tadi, aku berfikir bila aku balik ke rumah, aku akan menulis sebanyak mungkin mengenai karenah dan politik di pejabat. Selepas menonton Talentime, aku tidak mahu pedulikan semua itu lagi. Aku tiada sebab untuk membebankan diri aku dengan bagaimananya kompleksnya manusia atau bagaimana sesuatu perkara itu yang sebenarnya kecil aku sering perbesarkan agar nampak gah di mata orang lain.

Rating aku untuk filem Talentime? 4 bintang (daripada 5) hanya kerana untuk beberapa babak, mampu membuat aku mengalir air mata. Which is weird for a malay (campur rojak sebenarnya) movie.

Pergilah menonton, kamu takkan menyesal.

P/S: Cuma bila aku terdengar borak-borak orang sebelah mengatakan filem ini racist, menyentuh isu sensitif dan lain-lain perkara negatif, biarkan mereka. Mereka tidak faham jalan cerita, atau sibuk raba awek sebelah atau raba diri sendiri.

25.3.09

Tiga Hari

Kelmarin dia berikan aku senyuman dan sinar matanya.

Semalam, walau dia di depan, bual bicara hanya seketika waktu.

Esok pagi, pasti aku tidak akan ketemui dia.

Itu Semua Okay

Kenapa, surat khabar "arus perdana" tidak dijual untuk ahli parti politik saja? Bukankah syarikat surat khabar ini milik parti politik dan begitu banyak penulisan mereka begitu pro parti politik yang memiliki mereka dan sentiasa menghentam habis-habisan parti lawan mereka?

Oh ya, ini Malaysia. Itu semua adalah okay.

Sinar Mata Dan Senyumannya

Dalam puluhan manusia di hadapan aku ketika itu, aku terlihat wajahnya. Hanya kerana kilauan matanya, aku tahu dia melihat aku, lalu aku tersenyum padanya dan hanya dia yang tahu itu maksud aku.

Dalam puluhan manusia di hadapan aku ketika itu, seperti jasad lain kabur dari pandangan dan hanya dia di hadapan tidak sejengkal di depan mata walau dia nun jauh di atas tangga sana, disebalik puluhan orang lain.

Dan matanya bersinar seperti ianya bersinar setiap kali memandang wajahnya dan juga setiap kali terbayang wajahnya.

Serta senyumannya paling indah seperti ianya sentiasa tersenyum di hadapan diri ini dan setiap kali terbayang senyumannya.

Kalaulah...

Kalaulah boleh aku beritahu (bisikkan ke telinganya) disebalik puluhan manusia di situ bahawa sepanjang waktu ini, aku masih menghargai dirinya dan memendam seribu hadapan dan satu impian terhadapnya. Kalaulah begitu mudah.

Kerana,

Aku tahu sejauh mana aku melangkah menghampiri dirinya, aku takkan dapat menghampirinya. Setiap waktu aku memberi nafas kepada harapan dan impian aku terhadap dirinya, setiap waktu itu juga harapan dan impian ini mati. Begitu aku berputus asa.

Ya, sudah putus asa terhadap dirinya.

Cukuplah sekadar sedetik dapat melihat sinar mata dan senyumannya itu disebalik puluhan orang lain di hadapan yang memerhatikan aku serentak sementara aku mengetip butang kamera.

Kerana aku tahu senyuman dan sinar matanya itu adalah untuk aku; walau hanya untuk waktu itu.

Terima kasih dan aku amat menghargainya. 

24.3.09

Somewhere Over The Rainbow

23.3.09

Ucapan

Teringat mengenai talian telefon bimbit yang tidak boleh diguna, aku fikir ada bagusnya.

Suatu masa dulu aku selalu rajin mengirimkan ucapan selamat malam dan selamat tidur kepada beberapa orang (lebih daripada 10 orang).

Kadang-kadang aku terima dua ucapan balas.
Kadang-kadang aku terima satu.
Selalunya langsung tiada balasan.

Terima kasih. Aku tetap menghargainya.

Selamat malam dan selamat tidur. Semoga damai hatimu sepanjang masa.

Diam Terbisu

Malam ini cuaca panas. Tiada langsung angin yang membuai langsir di jendela. Malam ini juga aku terasa begitu lama waktunya untuk mencecah lewat malam. Sekarang masih 11.25 malam. Ada 35 minit lagi sebelum tiba penghujung hari dan hari esok bermula. Aku menguap dan mengantuk. Selesai aku menulis ini, aku akan tidur, insyaAllah.

Tiada apa yang hendak diceritakan. Hidup ini biasa saja. Sibuk kerja di pejabat juga adalah perkara biasa. Bosan di rumah pun adalah biasa. Aku mahu pulang ke Kuala Kangsar di penghujung minggu ini. Sudah lama tidak melakukannya. Itu dalam perancangan. Jadi atau tidak, masih belum tahu. Aku malas memandu beratus kilometer dan aku juga rimas menaiki bas ekspres yang tidak keruan. Aku masih tunggukan kereta api elektrik yang sudah begitu lama dijanjikan. Kalau ada itu, pasti selalu akan aku balik ke Kuala Kangsar.

Siang tadi, tiga mesej aku terima di telefon bimbit. Pertama, bertanyakan mengenai anugerah yang pernah JPN terima pada tahun 2007, dia mahukan kepastian. Kedua, bertanyakan mengenai kepastian bahawa penempatan dia bila menjawat jawatan baru nanti di mana. Sudah aku beritahu sebelum ini dan dia masih perlukan kepastian. Ketiga, menceritakan bagaimana ada seorang di jauh sana yang suaranya hampir sama dengan suara aku. Kesemua mesej itu aku tidak balas. Atau aku tidak boleh balas kerana tempoh aktif prepaid aku sudah tamat. Aku masih belum ada kesempatan untuk memperbaharuinya. Jadi aku biarkan saja walaupun di Outbox, sudah ada tiga jawapan terhadap tiga soalan tadi.

Sepanjang perjalanan pulang dari kerja, radio kereta memainkan lagu-lagu instrumental tarian melayu. Sambil itu juga kepala aku bergoyang-goyang mengikut irama lagu tersebut dan membayangkan bagaimana tarian ditarikan bersama irama yang berkumandang di corong speaker. Kamu pelik aku dengar lagu instrumental tarian melayu? Itulah, kamu perlu lebih terbuka.

Aku ini asasnya buta irama dan lagu. Aku langsung tiada asas dalam bidang ini. Malah aku begitu berat untuk bernyanyi karaoke dihadapan orang lain. Tegas aku menolak walau bos besar sendiri yang menyuruh. Kata aku, suara aku tidak sesuai untuk bernyanyi. Tapi tanyalah Aliah dan mana-mana yang pernah mendengar aku bernyanyi. Mereka sukakannya walaupun aku langsung tidak nampak apa yang menarik.

Aku juga masih ingat suatu ketika dahulu ada seorang anak gadis yang sentiasa menelefon aku di awal pagi hanya kerana untuk mendengar suara aku. Apabila ditanya kenapa, jawabnya dia suka mendengar suara aku di telefon. Aku tidak pernah bersua langsung dengan dia. Cuma melalui gambar di emel dan suara di telefon. Sekarang, dia entah di mana.

Realitinya, dalam hidup ini, suara aku ini amat jarang didengari. Aku adalah orang yang pendiam dan sentiasa berseorangan. Kemana saja aku pergi, aku berseorangan. Kalau aku beli tiket di pawagam, biasanya aku akan cakap sebaris ayat iaitu tajuk filem dan waktu tayangan. Selebihnya aku cuma menunjukkan isyarat jari bila ditanya untuk berapa orang dan jari juga aku guna untuk menunjuk tempat duduk pilihan. Begitu juga ketika membeli barangan. Aku cuma suakan barangan ke cashier dan tunggu dia beritahu jumlah harga. Aku bayar dan pergi.

Kecuali dengan orang yang mengenali aku dan aku kenal mereka. Aku akan cakap banyak dan membebel. Loyar buruk pun juga. Ada juga sedikit cemburu melihat begitu mudah orang lain mesra dengan kenalan baru sedang aku terkial-kial untuk mendapatkan seorang kawan. Ini akibat sifat aku yang introvert.

Patutlah aku sentiasa berseorangan. Bila aku baca balik semua ini, aku faham kenapa. Sigh.

22.3.09

Kamera Di Sana Sini

Sampai di pejabat, aku terus berjalan ke tapak pesta belon udara panas. Belon-belon besar sedang dinaikkan. Aku tidak berminat untuk mengambil gambar belon, aku sudah ada banyak gambar tersebut yang aku ambil sejak hari Khamis lalu. Aku cuma ingin melihat suasana sekeliling.

Aku sedari sesuatu. Hampir semua orang yang ada di situ (kecuali sebilangan besar budak kecil) ada kamera di tangan mereka, baik dari jenis apa pun. Dari kamera bodoh di telefon bimbit hinggalah DSLR (aku rasa aku ada nampak SLR biasa juga) paling canggih, semua ada di situ. Dari lensa mati telefon bimbit hinggalah lensa telefoto panjang milik jurufoto profesional (atau orang perasan bagus?). Ramai sungguh!

Aku juga pasti, ramai antara pengguna DSLR yang aku nampak hanya menggunakan mod AUTO sepenuhnya untuk mengambil gambar. Ini lebih-lebih lagi kalau mereka sekadar guna lensa kit asal yang dibeli bersama body kamera. Semakin popular DSLR di Malaysia hatta orang yang tidak pernah langsung guna DSLR pun sekarang mahu beli. Mungkin antara punca mereka beli kerana dipengaruhi dengan "kenyataan" gambar yang dirakam adalah lebih baik dari kamera digital biasa. Atau saja hendak menunjuk kepada kawan yang dia ada kamera lebih canggih.

Apa pun jua niat dan tujuan mereka, aku merasa teruja melihat gelagat mereka. Aku ingat dulu orang kalau boleh nak beli kamera senipis mungkin. Sekarang mungkin tidak lagi. Orang lebih suka beli DSLR. Kalaulah suatu masa nanti harga DSLR jatuh di bawah paras RM1,500, pasti lebih ramai akan menggunakannya. Lebih lagi kalau kebanyakkan DSLR sekarang sudah ada fungsi live view, sama seperti kamera digital biasa. Apa bestnya guna benda tu? Orang guna DSLR untuk kita teropong lubang fokus kecil. Itulah 'essence"nya bagi sebuah SLR. Kalau sudah ada live view, baik beli saja kamera digital prosumer biasa. Lebih bagus.

Aku berjalan balik dan berfikir. Aku perlukan dua lensa sekarang. Pertama 10-22mm. Kedua, 28 - 300mm kalau ada. Cukup. 50mm? Aku kurang mahir dengan potret.

Sambung kerja.

Sekejap Sebelum Ke Pejabat

Agaknya aku benar-benar keletihan. Selepas isyak, terus aku lena hingga aku tersedar kembali dan melihat jam sudah hampir 6 pagi. Lama sungguh. Biasanya hujung minggu aku akan tidur lama. Kononnya menggantikan waktu tidur aku yang kurang sepanjang minggu. Mentaliti aku sudah begitu rasanya menyebabkan hujung minggu pasti aku terasa keletihan.

Awal pagi Ahad ini aku akan ke pejabat lagi. Menyiapkan beberapa kerja yang perlu aku siapkan. Tidak mengapa. Hujung bulan, nak ke shopping complex tak berbaloi. Baik di pejabat saja menyiapkan kerja dan mengumpul duit.

Aku baru teringat, sejak dari aku makan Mcdonald's dengan baki duit RM18, tolak RM9.65 dan tolak lagi RM5 semalam, aku masih belum keluarkan duit dari mesin ATM. Berjimat sungguh. Tapi realitinya aku sendiri malas ke mesin ATM. Nasib juga sejak kebelakangan ini selera makan kurang. Kalau tidak, aku tak fikir RM3 yang ada dalam poket ini akan cukup.

Aku tak rasa aku selalu membazir seperti dulu. Sekarang, di penghujung bulan aku boleh nampak ada baki wang belanja. Kalau dulu, hujung bulan duit aku takkan pernah cukup. Agaknya kalau aku betul-betul tegas dengan diri sendiri, wang simpanan akan jadi lebih banyak. Tapi berbaloikah memaksa diri sampai begitu sekali?

Lagipun aku bujang dan masih muda (rasanyalah). Bak kata Chandler Bing dalam cerita Friends,

"Aku masih muda. Siapa yang perlukan wang simpanan?"

Nice one.

21.3.09

Petang Sabtu Di Putrajaya (Ada Belon Udara Panas!)

Sabtu petang di Putrajaya. Jalan jem teruk akibat pesta belon udara panas. Ramai orang berpusu-pusu ke Putrajaya untuk menyaksikan belon-belon besar terbang ke udara.

Namun angin hari ini agak kuat menyebabkan belon tidak boleh dinaikkan. Lewat petang barulah belon-belon ini naik. Untung juga cuaca hari ini amat cantik dan nyaman.

Pemandu kereta mencari ruang meletak kereta. Akhirnya ruang tepi jalan itu juga yang jadi tempatnya. Padang yang kosong dan luas itu? Terbiar saja. Tiada jalan untuk masuk.

Belon-belon udara panas mula naik satu persatu setelah lewat petang. Namun cuaca amat cantik dan cerah.

Shot ini aku sengaja ambil kerana bangunan di kanan itu adalah bangunan JPN. Aku suka awan di jauh sana.

Dari arah yang sama dalam bentuk potret pula. Lebih bertambah cantik awan sana. Belon masih ada dalam gambar ini. Seperti belon itu terbang begitu tinggi walau hakikatnya cuma beberapa ratus meter saja dari darat.

Belon menuju ke awan...


Dan semakin jauh dari mata yang memandang.

Petang ini sungguh indah. Cuma...

Jalan di luar sana amat sibuk dan jem. Jadi, terpaksalah aku tunggu lebih lama di dalam pejabat ini.

Therru's Song

Therru's Song - Music Video nyanyian Aoi Teshima


Therru's Song - Original Movie Soundtrack dari anime Tales From Earthsea keluaran Studio Ghibli.


Kalau ada yang melagukan irama nyanyian merdu ini ke telinga aku, pasti aku lena sepanjang malam.

Cari sendiri terjemahan liriknya. Mana satu versi pun yang kamu dapat, kamu pasti akan terkedu.

Kerana aku sentiasa rasa begitu, setiap masa.

20.3.09

Cari Makan

Seluk poket seluar, ada RM18. Fikir, apa yang hendak dijamah dengan RM18? Ada duit lain tetapi sekarang di dalam poket, cuma RM18.

Hampir tiba di rumah, aku belok ke kiri.

Singgah di McDonald's dan pesan set double-cheese burger saiz sederhana. RM9.65.

Susah betul hendak fikir pasal makan sekarang.

Makan dan sambil menulis ini.

Mencari Damai

Entah kenapa, terasa seperti ada sedikit kelainan kebelakangan ini. Atau aku yang agak sensitif. Itu masalah kalau aku selalu suka sangat menilai perwatakan setiap orang yang aku kenal. Apa saja lenggok badan mereka, aku tafsir. Itu masalah.

Kerana aku tidak suka dengan jawapan yang aku perolehi. Melemaskan aku dengan segala konflik dan ketidakserasian aku dengan hidup sekeliling. Agak lebih bagus kalau aku tinggal di rumah, dalam bilik berkunci sepanjang masa. Mudah sikit untuk akal fikiran ini berehat dan tidak menilai sesiapa atau apa pun.

Kemudian aku terasa begitu lama aku tidak berjalan-jalan di penghujung petang sambil menanti matahari berlabuh. Aku buat. Aku turun dari pejabat dan menuju ke tapak pesta belon udara panas. Sedikit hujan rintik sedang turun tetapi aku tidak peduli. Aku mahu berjalan. Mahu pergi ke destinasi yang tidak aku rancang. Aku memerhatikan belon terbang semakin tinggi dan jauh. Aku berjalan kembali ke pejabat.

Dan aku lihat ini...


Sesungguhnya manusia seperti aku sering mencari suram dan bisu kehidupan. Sedang hidup ini penuh warna dan cahaya yang kalau diberi ruang, akan menghadiahkan kita dengan permandangan yang amat indah. Ada pelangi turut serta dalam suasana sebegini. Tetapi biar itu hanya aku nikmati.

Terima kasih, Tuhan.

19.3.09

Ibu Dan Anak

Aliah dengan anaknya, Nafizah Zahirah singgah di pejabat petang semalam.


Ibu dan anak.


Nafisah Zahirah.

Belon Udara Panas

Bila hampir tiba di pejabat, aku dapati belon-belon besar sedang dipanaskan. Rupanya Fiesta Belon Udara Panas Putrajaya sudah bermula hari ini. Segera aku naik ke pejabat yang kebetulan mempunyai pemandangan yang menarik ke arah tempat pesta belon ini diadakan.

Belon-belon mula membesar dan menanti untuk dinaikkan.

Belon pertama naik sekitar 8.00 pagi. Ramai staf di pejabat sudah teruja.

Aku fikir inilah belon paling menarik yang berbentuk peacock. Eh, kenapa aku lupa namanya dalam Bahasa Melayu? Ahh.. Burung Merak.


Belon gajah comel sedang melintasi masjid Putrajaya yang sedang dibina. Aku rasa semua belon ini akan mendarat di PLF (Perdana Leadership Foundation). Agaknya lah.

Datanglah tengok fiesta ini kalau kamu berminat. Ianya akan berakhirnya 22hb nanti. Ada banyak aktiviti lain. Motorised Para-Sailing pun ada. Tapi aku tak sempat mengambil gambarnya. Petang nanti aku akan sambung sesi fotografi belon-belon ini.

18.3.09

Dia Ini Adalah Orang Yang Lain

Aku tetap menelefon dia walaupun beberapa hari lalu aku bertegas untuk tidak mahu lagi melakukannya. Lemah sungguh. 

Kemudian kami berbual di corong telefon. Lama. Lebih dari yang aku jangkakan.

Kalau antara dia dan aku berbual, dia begitu manja. Mengadu seribu cerita segala peristiwa yang meruntun jiwanya. Lalu aku dengar dan memujuk sedang bisikan hati sebelah kanan mempersoalkannya dan bisikan hati sebelah kiri pula berkata,

"Seize the day!"

Bagaimana caranya? Kamu sendiri tiada jawapan. Kerana setiap kali perbualan berlaku, aku tidak lebih dari seorang abang. Itu saja. Setiap kali juga aku menegaskan kepadanya, masih tiada siapa di hati ini. Belum milik siapa. Setiap kali itu juga dia langsung tidak mempercayainya.

Mungkin, mungkin aku boleh pergi dan berdiri dekat di hadapannya dan mata dan bibir aku tidak lebih sejengkal jari dari mata dan mulutnya lalu aku berkata,

"Masih belum ada! Aku masih mengharapkan kamu."

Bahagian mana ayat itu yang kamu tidak faham?

Oh ya, aku lupa. Kamu sudah berpunya.

Sigh...

Aku sudah letih kecewa jadi aku takkan kecewa. Tidak perlu. Susah sangat ke? Apa lagi perlu aku buat?

Ah, sini bukan tempat yang sesuai untuk kata-kata sebegitu.

Itulah, sentiasa mengejar bayang-bayang. Kemudian orang kata aku terlalu memilih. Kalau ada 10 orang dan aku sedang memilih, mungkin betul. Sekarang, seorang pun tidak ada jadi apa yang hendak aku pilih?

Dia tetap akan manja dalam bual bicaranya setiap masa dengan aku. Biarpun masa mendatang akan menjauhkan lagi kami, suasananya tetap sama. 

Tidak, aku tidak mengeluh lagi. Aku cuma fikir, sampai bila.

Insomnia, Mungkin

Kononnya hendak tidur awal.

Sudah 12.43 malam.

Ain, insomnia ke ni?

Mungkin lagu Somewhere Over The Rainbow nyanyian Judy Garland yang sedang berkumandang di corong speaker laptop ini boleh melenakan aku.

Tidak mungkin...

17.3.09

Bos, Jom Kongsi Teh Tarik

Keadaan di pejabat agak sibuk. Sibuk dengan persiapan amalan 5S sebenarnya. Kalau di tempat lain, ianya mengambil masa yang agak lama untuk menyiapkannya, di pejabat, kami perlu siapkan dalam masa sebulan setengah saja.

Maka kelam kabut anak buah menyiapkan itu ini sedang bos sendiri seperti terpinga-pinga tidak tahu hendak buat apa. Kemudian mereka tambah lagi dengan kerja yang bukan-bukan, kononnya amat penting dan perlu disiapkan segera. Begitu selalu keadaannya.

Bos ini kadang-kadang ada yang tidak langsung prihatin dengan apa yang berlaku disekeliling mereka. Mereka terlalu terperosok dengan tugas atau terlalu ignorance untuk memperdulikan apa yang berlaku disekeliling. Tiket jawatan mereka itu membuatkan mereka rasa berhak untuk mengarah apa saja kepada anak buat mereka.

Tidak cukup dengan itu, anak buah ini disumbat dengan falsafah multi-skilling dan diterapkan dan propaganda bahawa pekerja yang baik boleh melakukan beberapa kerja dalam satu masa. Bullshit. Kamu bos ada buat ke?

Kemudian kamu jawab, tanggungjawab kamu lebih penting dan lebih berat. Kena buat decision making itu ini dan kena pantau banyak hal. Yada... yada... Realitinya, banyak bos di pejabat kerajaan tidak lebih bertindak sebagai rubber stamp. Cop apa saja yang mereka fikir menyenangkan tugas mereka kemudian nanti. Oh, bukan menuduh ya. Tidak semua bos begitu. ADA yang bagus, itu aku tidak nafikan.

Banyak juga bos di pejabat kerajaan tidak lebih dari "talk only, no action". Mereka amat-amat pandai berkata-kata. Kalau dengar mereka berhujah, kamu fikir mereka lebih layak jadi ahli politik. Suruh buat kertas kerja, aku pasti mereka boleh hasilkan dalam masa yang cepat dan pantas karangan indah tugasan yang perlu disiapkan.

Suruh buat? Belum tentu ada yang mahu buat. Akhirnya semua tugas itu jatuh ke tangan anak-anak buah ini. Biar bertindan sebanyak mana tugas sekalipun, itu tidak penting. Janji, sebagai bos, tugas sudah selesai.

Lepas itu kamu boleh marah anak buah kiranya mereka lambat buat atau lembab buat. Tanya, ada pernah buat kajian atau evaluasi terhadap anak buah kamu? Tengok berapa topi yang dia boleh pakai dalam satu masa (thinking hats - tahu ke ni?) dan keupayaan kerja mereka? Ada buat kajian sebegitu? Jarang sekali kerana kamu fikir kamu sudah arif dengan anak buah kamu. Tidak perlu kaji, tengok pun sudah tahu, bukan?

Kadang-kadang aku kesian melihat orang bawahan ini. Mereka bekerja sepanjang masa tanpa komplen. Ada, memang ada. Tapi setiap kali itu juga mereka sering diingatkan dengan frasa "saya yang menurut perintah". Manusia bodoh manalah yang cipta frasa tu. Patut ditembak saja dengan senapang gajah. Okay, aku sudah ulang balik cerita lama.

Masalahnya, tengok dulu keadaan sekeliling dan cuba sedikit menjadi prihatin. Anak buah bukan robot. Mereka mahu ruang masa juga. Peliknya juga kamu suruh mereka buat kerja. Kemudian bila mereka buat claim, kamu begitu cerewet dengannya. Ingat, gaji, bonus, imbuhan itu adalah peransang untuk setiap orang berkerja dengan lebih gigih. Takkan suruh buat kerja kemudian bila buat claim, kamu tahan. Kamu fikir dia akan buat lepas itu? Susahlah. Be reasonable.

Bos yang bagus adalah bos yang tahu isi hati anak buahnya. Bos yang memahami perasaan dan sensitiviti setiap anak buahnya. Bos yang bila membuat keputusan, bukan untuk dirinya semata-mata tetapi untuk semua subordinatnya. Bos yang bila ditegur atau dimarahi oleh ketua bos, tidak akan menunding jari kepada anak buahnya bagi melepaskan dirinya dari salah. Oh ada, tengok cermin kalau tidak percaya.

Kalau menyuruh orang menyiapkan 5S secepat mungkin kemudian kamu ignorant mengenainya, kamu bukanlah bos yang bagus. Kalau kamu menyuruh anak buah menyiapkan 5S kerana kamu mahu nama dan penghargaan, lebih baik kamu jadi pelakon drama swasta. Bukan perkara seperti 5S saja. Banyak hal lain. Perlu prihatin dan perlu bijak. Bukan emosional kemudian kamu lempar emosional itu kepada anak buah kamu. Kamu ingat emosional kamu tu hebat sangat ke? Nasib baik kerja di pejabat kerajaan ini majoritinya melayu yang kurang sangat sikap melawan.

Kalau tidak, mungkin ada yang kena tembak tiba-tiba.

Holier Than Thou

Angkat tangan kalau kamu rasa kamu Holier Than Thou.

Okay. Sudah.

Ini bukan tempat kamu.

Mungkin

Jarang aku menulis banyak post dalam sehari sekarang. Mungkin aku sudah penat.

Mungkin tidak ada apa yang hendak diperkatakan.

Mungkin juga kamu terlalu banyak membuang masa di sini.

:-)

16.3.09

Menghukum Komen

Kamu bertindak hebat dengan mengukum mereka yang membuat komen terhadap kamu. Jadi kamu fikir orang di sekeliling akan berasa takut dan lebih berhati-hati kemudian nanti?

Orang sebenarnya akan lebih jelik, marah dan geram. Pastinya begitu. Akhirnya nanti, kamu juga yang rugi.

Fikirlah jalan yang lebih baik.

Kitaran Hidup

2.46 pagi dan masih berjaga.

3.00 pagi nanti pun masih belum tentu tidur.

6.30 pagi nanti pasti akan tersedar bila penggera di telefon bimbit berbunyi.

7.00 pagi barulah aku mandi dan bersiap untuk ke pejabat.

7.25 pagi di dalam kereta menunggu enjin panas. Amat jarang aku tunggu.

7.50 pagi tiba di pejabat, punch card (lebih berupa touch-in guna MyKad). On iMac. Turun ke kafe mencari karipap panas (memang panas) dan teh tarik (sekali sekala).

8.30 pagi masih surfing internet membaca berita semasa.

10.00 pagi melilau dan mamai akibat mengantuk yang amat sangat.

12.00 tengahari menjadi waktu sibuk menyiapkan kerja yang kebanyakkannya kerja ad-hoc.

1.00 tengahari dan aku masih di meja menyiap kerja selagi mood masih ada dalam keadaan mengantuk.

1.30 tengahari barulah aku turun ke kafe mencari makanan atau minuman. Biasanya balik dengan tangan kosong. Aku mahu sushi, mungkin.

2.00 petang dan aku sudah lama berada di meja mengadap iMac sambil membaca berita semasa.

4.30 petang, mengantuk sudah mencapai tahap paling maksima dan idea mencurah-curah datang di kepala.

5.00 petang dan sedikit demi sedikit rakan sekerja pulang ke rumah. Aku  masih di meja dan asyik dengan kerja.

5.30 petang barulah terasa hendak balik tetapi masih tidak mahu kerana pastinya akan aku tempuhi jam pada waktu ini.

6.30 petang adalah waktu paling awal aku bergerak pulang.

7.00 petang kalau aku mahu balik agak lewat.

8.00 malam dan aku di hadapan laptop di atas tilam sambil membaca segala blog, laman web dan berita yang biasa aku singgah di internet.

11.59 malam barulah aku tersedar yang aku masih belum mandi selepas balik kerja dan pakaian untuk esok belum bergosok.

12.45 tengah malam baru aku selesai melakukan semua di atas pada 11.59 malam.

1.30 pagi aku masih membaca beberapa blog yang selalu update lewat malam.

2.00 pagi barulah aku update blog sendiri.

2.46 pagi dan aku masih berjaga...

Berlalu Pergi Dan Semakin Jauh

Lama juga aku mencari-cari keretanya. Maklumlah, dia sudah tukar kereta. Sudah lama, katanya. Seperti biasa, perkara sebegitu aku takkan tahu, apatah lagi hendak diberitahu.

Bila akhirnya aku temui kereta dia, aku menjenguk ke dalam. Ada dua pasang cermin mata hitam tergantung di cermin pandang belakang. Satu untuk lelaki. Aku pasti tidak akan ada perempuan yang pakai cermin mata sedemikian, melainkan dia seorang fasionista. Dia bukan. Kemudian aku melihat tag universiti di cermin kereta. Ada dua universiti yang berlainan. Betullah apa yang aku fikirkan selama ini.

Hati menjadi sayu selepas itu. Aku masuk ke kereta sendiri lalu pergi. Lagu di corong speaker kereta adalah irama instrumental yang mendayu. Cukup sempurna untuk sebuah hati yang lara, rasanya. Cukup sempurna untuk aku dengar sambil memandu dalam hujan lebat di penghujung senja. Atau tengahari jumaat menuju ke masjid.

Hakikatnya dia tidak ada apa-apa dalam diri ini. Kalau ada pun, itu cerita dulu yang sudah puas aku buang dan tidak mahu lagi aku kenang. Untuk aku, dia tidak lebih sebagai sahabat yang kadang-kadang hadir untuk memberi gembira di waktu sedar. Kalau dia tiada sekalipun, aku tidak akan merasainya. Begitu yang aku fikir dan begitu jua yang aku rasa beberapa ketika sebelum peristiwa menjenguk ke keretanya jumaat lalu.

Hingga hari ini, hati masih sayu. Entah kenapa. Aku tidak mengharapkan apa-apa pun. Malah, kalau hendak dipertahankan, aku sudah ada seseorang yang aku fikir boleh terima aku sekiranya ada rezeki aku nanti. Dan dia adalah segala yang aku mahukan.

Namun, hati masih tetap sayu. Sayu mungkin kerana memikirkan dia sudah terlalu jauh pergi; dalam banyak perkara. Sayu memikirkan dia akan pergi lebih jauh selepas ini. Sayu memikirkan, untuk sekian waktunya dulu, aku begitu mendambakannya. Dan dia mengetahui ini semua, hingga kini. Sayu juga memikirkan, sejak awal lagi aku tidak sepatutnya menaruh rasa kepadanya kerana ianya tidak akan mungkin, tidak akan pernah mungkin dapat berlaku apa-apa. Hakikatnya begitu.

Macam menulis novel? Ya, ini novel. Cerita hidup aku.

14.3.09

Hujan Tiba Dan Jambatan

Menjelang petang di Putrajaya, hujan pula tiba. Aku masih belum keluar dari pejabat. Angin di luar begitu kuat menderu dan mengeluarkan bunyi yang sureal.


Bagaimana keadaan pun, jambatan ini (Jambatan Seri Wawasan) tetap akan berkilauan. Antara jambatan paling cantik pernah aku temui dan lalui. Alangkah bagusnya kalau jambatan-jambatan di Malaysia dibina dengan seni dan teknologi sebegini. Mungkin tidak sepenuhnya begini. Maksud aku, aku mahu jambatan di Malaysia punyai nilai estatika yang tinggi dan sedap mata memandang.

Jambatan sebenarnya adalah simbol dan benar, begitu banyak maksud di sebalik jambatan. Sebab itu di negara barat dan juga mungkin, China dan Jepun begitu menitik berat nilai estatika apabila membina jambatan. Kalau hendak difikirkan, kenapa perlu membazir membina jambatan yang cantik?

Jawapan aku mudah, orang tidak semata-mata memandu ke Millau di Perancis untuk melalui Millau Viaduct. Orang mahu melihat kehebatan senibinanya. Begitu juga apabila orang mengatakan mengenai Golden Gate Bridge atau Sydney Harbour Bridge.

Mungkin, salah satu petunjuk kemodenan sesebuah negara adalah apabila mereka mampu membina jambatan-jambatan hebat dan menakjubkan. Jadi tidak hairan melihat negara China begitu bersungguh-sungguh membina ratusan jambatan mega yang hebat dan cantik untuk merentasi sungai, delta dan lautan mereka.

Jadi aku agak kecewa apabila kerajaan mengeluarkan contoh rekabentuk jambatan kedua Pulau Pinang tidak lama dulu. Terlalu membosankan. Namun begitu, suatu masa nanti, aku mahu melihat kiranya ada kerjasama antara Malaysia dan Singapura membina jambatan paling cantik dan menakjubkan bagi menggantikan tambak Johor yang usang dan menyesakkan itu.

Tunggu sajalah. Bila, belum tahu.

Dari Berat Hati Hingga Melalut

Hati dan badan amat berat untuk bangun dari tilam, untuk mandi, pakai baju, pandu kereta ke pejabat. Berat. Aku mahu rehat.

"Jadi, rehat sajalah!"

Tak boleh. Perlu juga ke pejabat kerana masih ada kerja yang hendak diselesaikan; sekurang-kurangnya sehingga penghujung petang ini. Kemudian esok mungkin, aku mahu ke tepi pantai, atau kemana-mana saja untuk sesi fotografi. Belajar bermain dengan mode Manual sepenuhnya dan mendapatkan shot yang terbaik.

Aku perlu kumpul duit sedikit untuk mendapatkan lensa 50mm (murah saja sebenarnya, kalau dibandingkan dengan harga lensa lainlah) seperti yang selalu orang sarankan kepada aku. Cuma aku lebih suka wide angle. Lensanya agak mahal. Lebih mahal dari gaji sebulan aku, mungkin.

Dan sementara aku masih ingat, aku juga perlu ke gimnasium di pejabat seperti yang sudah aku rancang. Senaman. Itu saja tujuan ke gim, bukan? Lagipun gimnasium pejabat mengamalkan jadual berasingan untuk lelaki dan wanita. Jadi tiada motif untuk aku mencari mereka di situ.

Hati dan badan masih berat untuk meninggalkan katil. Masih meniarap di katil sambil menaip baris-baris ini. Kamu fikir aku suka ke pejabat setiap masa? Ada waktunya, aku lebih rela mundar mandir sekeliling ruang lain asal dapat saja aku perolehi sedikit rasa santai dan tenang.

Ya, aku tahu. Kamu berfikir, bagaimana aku boleh membina ayat sebegitu. Pertama, kamu kena faham setiap maksud perkataan. Kemudian, kamu kena berani mengubah mentaliti susunan ayat ala yang selalu diajar di sekolah. Atau untuk lebih baik lagi, baca penulisan sebelum tahun 70an dan lebih awal, seperti di zaman sebelum merdeka. Susunan bahasa ketika itu agak pelik tetapi cukup cantik kalau dibandingkan dengan sekarang.

Gaya penulisan dulu, pada fikiran aku, lebih mirip kepada gaya perbualan biasa. Sekarang, ianya lebih bersikap,

"Jangan membazir dakwat pen atau memenatkan jari untuk menaipnya."

Ringkaskan dan mudahkan. Tawarkan rasanya.

Dan, ahli bahasa, cendiakawan dan malah bos-bos di pejabat juga terlalu taksub dengan susunan ayat dan maksud perkataan hingga akhirnya bahasa yang ditulis menjadi mirip kepada bahasa undang-undang yang membosankan daripada bahasa penulisan yang mengasyikkan. Kemudian mengadu bahawa bahasa Melayu amat terbatas perkataan dan susunannya.

Kamu yang membataskannya!

Dari Senja Hingga Lewat Malam

Sepatutnya awal senja aku sudah pulang kerumah untuk berehat setelah tiga hari berbengkel dan memerah otak menyiapkan projek di pejabat. Namun kerana ada jemputan menghadiri majlis sosial di bumbung pejabat, aku sertai dan hanya pulang selepas lewat malam dan mata semakin mengantuk, badan semakin lesu.

Namun sepanjang menunggu masa majlis tiba dan semasa majlis itu sendiri, aku sempat mengambil beberapa shot fotografi untuk memahirkan lagi aku dengan mode manual pada kamera yang selama ini amat aku abaikan. Hasilnya agak memuaskan hati aku sendiri. Ada beberapa perkara aku masih perlu belajar. Tetapi semakin hari, aku semakin suka mengambil shot senja dan lewat senja. Cuma agak rugi, setakat ini aku masih belum berpeluang mengambil shot subuh dan awal pagi.


Cuaca agak suram di Putrajaya. Langit penuh dengan awan menyebabkan cahaya natural tidak boleh menembusinya. Aku perlu tunggu hingga lewat senja untuk mendapatkan shot sebegini. Aku tidak menggunakan tripod, jadi gambar agak kabur kalau dilihat betul-betul.



Semasa di majlis, atas bumbung pejabat, aku sempat mengambil shot kerja-kerja pembinaan bangunan komersial di sebelah pejabat. Sekali lagi, kerana aku tidak menggunakan tripod, hasilnya tidak seberapa.



Dua gambar bawah adalah shot dari sudut yang hampir sama pada berlainan waktu.


Shot di atas di ambil mengarah ke jalan utama ke parkir pejabat waktu senja berlabuh. Manakala gambar bawah pula adalah sekitar 10 malam di lokasi yang sama. Suatu ketika dulu, pembikin filem amat gemar menggunakan ruang jalan ini untuk merakamkan filem mereka. Sekarang sudah amat jarang.



Dua shot di bawah pula adalah permandangan menara utama kompleks pejabat JPN di Putrajaya pada waktu senja dan malam.



Gambar atas dan bawah sebenar agak kabur tetapi masih boleh diterima. Aku tertarik dengan gambar bawah kerana aku sebenarnya tidak perasan ada bulan di sebalik awan.



Begitu lebih kurang eksperimentasi fotografi aku. Masih amat banyak yang aku aku belajar. Terima kasih sahabat yang sering memberi komen dan galakan. Ada yang mencadangkan agar aku pamerkan koleksi fotografi ini di galeri. Maaf, aku tidak fikir hasil kerja aku sebegitu hebat. Belum sampai masa untuk dibuat sebegitu.

Esok kalau diizinkan keadaan, aku mahu bergerak sekeliling Putrajaya untuk merakamkan shot siangnya. Kalau tidak hujan. Tidak mengapalah. Aku selesaikan kerja lain dulu.

13.3.09

Slumdog Millionaire

...beautiful

12.3.09

Protes Jiwa

Jauh lagi ke hendak berlari? Aku sendiri tidak tahu.

Seorang itu sudah pergi. Seorang lagi bakal menuruti tidak lama lagi. Walaupun tidak jauh, tetapi sudah cukup jauh dalam ukuran pembaris aku.

Penatlah. Aku malas lagi hendak terkejar-kejar bayang-bayang. Aku mahu duduk, tunggu sini sampai bila-bila. Kalau boleh. Tapi mana mungkin boleh sedang aku sudah tidak tahu apa makna putus asa dan apa makna kecewa. Aku keliru dengan kedua-dua perkataan tersebut.

Kamu pernah lihat budak-budak pungut gula-gula dan genggam sebanyak mungkin di tangan? Begitulah yang dirasakan. Pasti ada yang berciciran bila semakin banyak yang hendak dikutip. Sedar atau tidak, yang tercicir itulah yang terbaik dan yang paling enak.

Jadi, biar aku duduk saja dan menikmati apa yang ada di hadapan mata tanpa perlu aku berkejar-kejar kesana kemari mencari sesuatu yang tidak pasti. Biarpun yang ada di depan mata hanyalah diri sendiri, tidak mengapa. Bukankah aku sudah beritahu, aku tidak faham lagi apa maksud putus asa dan kecewa.

Ketika dan saat ini, alangkah baiknya kalau masa dapat diubah untuk aku perbetulkan segala kesilapan. Sigh... Beranganlah. Terus tidur dalam mimpi sendiri.

11.3.09

Senja

Biasanya kalau hendak mengambil shot senja atau malam atau mana-mana shot dalam gelap, perlu ada tripod untuk menstabilkan kamera agar tiada gegaran yang boleh menyebabkan gambar menjadi kabur.

Senja tadi aku tidak sempat mengambil tripod sedang suasana nampak begitu damai dan aku tahu, ianya tidak akan lama begitu. Jadi dengan tangan aku yang sentiasa tidak stabil, aku berpangkukan dinding tingkap pejabat untuk mengambil shot dibawah. Sebenarnya semua gambar ini agar kabur akibat gegaran tangan. 

Mulalah dalam kepala berfikir untuk membeli lensa yang ada fungsi image stabilizer. Mahal. Aku masih belum mampu.


Dua shot di bawah pula adalah dalam ruang masa yang sama tetapi dengan bukaan (exposure) yang berbeza. Tidaklah menarik. Cukup untuk belajar.




Tidak seperti orang lain, aku rabun warna menyebabkan aku tidak dapat menilai secara terus hasil kerja aku di situ. Aku tidak kenal dengan warna-warna yang wujud. Tidak mengapalah. Itu bukan masalah untuk terus meminati seni fotografi.

Lagi...

Ahad lepas baru selesai program kursus.

Hari ini hingga Jumaat kembali ke ruang yang sama untuk berbengkel pula.

Sesungguhnya amat memenatkan.

10.3.09

Cerah

Cuaca tidak selalunya mendung. Hidup tidak selalunya suram. Ada waktunya, apabila kita berpeluang melihat suasana sebegini di tengah perit jerih kerja; aman.

Sekitar jam 12 tengahari di pejabat, aku menjenguk ke luar tingkap. Terpegun melihat langit yang begitu biru dan cahaya yang begitu cerah menerangi pelusuk Putrajaya. Kerana sebelum ini aku siarkan gambar mendung yang menyelubungi Putrajaya, gambar-gambar ini pula adalah penawarnya.



Apabila melihat awan-awan berarak, aku sering teringatkan suatu cerita anime Jepun karya Miyazaki Hayao dari studio Ghibli bertajuk Laputa : Castle In The Sky. Sering secara diam aku seperti cuba melihat-lihat kalau benar ada istana di atas awan seperti yang tergambar dalam filem tersebut dan juga dalam buku Gulliver's Travels karya Jonathan Swift.


Dan setakat jam 1.20 tengahari ini, suasana masih tetap sama; langit masih biru dan awan masih memutih indah. Kalau setiap hari begini, aku bakal tersenyum setiap masanya.



Terima kasih, Tuhan.

Lihat Damai Sebalik Sana

Aku ke hospital siang tadi, menemui Aliah yang masih belum keluar dari hospital setelah lebih dua bulan melahirkan anaknya. Tadi dia beritahu, beberapa hari ini dia akan keluar. Syukurlah. Gambar anaknya yang comel tadi memberitahu aku bahawa si kecil sudah membesar dan begitu sihat.

Kemudian aku berbual mengenai hal pejabat. Aku fikir itulah Aliah mahu tahu daripada aku bertanyakan perkara yang sama mengenai hospital dan anaknya di situ. Tiga bulan meninggalkan pejabat, pasti banyak yang hendak diketahui. Entahlah, aku fikir di hospital, orang yang sakit tidak selalu mahu tahu atau beritahu orang yang sihat mengenai sakitnya dan masalahnya. Mereka lebih sedia untuk mendengar perkara yang baik dan ceria. Itulah yang akan memberi mereka kekuatan untuk mereka kembali sihat.

Lebih 10 tahun dulu, begitulah juga aku lakukan terhadap arwah Kak Nor. Semasa sakitnya, aku kata aku rindukan masa-masa kami habiskan dengan berbual-bual tentang kehidupan. Rindu mendengar suaranya yang sudah begitu lama tidak aku dengar ketika itu. Jawapanya membenarkan harapan aku. Arwah Kak Nor mahu bila sihat kelak, kami akan berbual-bual selama mungkin. 

Manusia sentiasa mahukan damai, ceria, bahagia dan gembira. Pencuri mencuri kerana ingin hidup lebih senang, mungkin. Setiap orang yang hidup, takkan suka dengan kesusahan dan keperitan melainkan dia gila. Malah, sedang manusia gila sekalipun, mereka sentiasa mencari kebahagiaan untuk diri sendiri.

Semoga damai hidup ini sepanjang masa.

9.3.09

Tanam Pokok Belacan Untuk Dapat Belacan?

Ya, aku sedar. Sekarang sedang sibuk dengan gerakan mansuhkan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Ada yang menyokong dan ada yang menentang. Seperti biasa, di Malaysia, apa saja akan dipolitikkan. Segala-galanya adalah politik di Malaysia.

Lubang tandas tersumbat pun akibat sengketa politik!

Ini pandangan aku. Pertama, aku perlu bertanya dulu kepada kamu. Pernah kamu menonton filem Dead Poet Society dan Dangerous Minds? Kalau belum, pergi cari filem itu dan tontonnya dulu sebelum kamu sambung membaca ini (aku pasti kamu takkan lakukannya).

Apa tujuan mengajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris? Adakah ianya untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris atau untuk meningkatkan penguasaan dalam sains dan matematik? Ianya perkara yang berbeza.

Kalau kamu hendak meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris melalui pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, ianya tindakan paling bodoh aku pernah tahu. Ianya tidak akan menyelesaikan apa-apa pun. Kerana bahasa Inggeris bukanlah bahasa unggul untuk sains dan matematik. Malah, kalau difikirkan, matematik tidak merujuk kepada apa-apa bahasa sekalipun. Ianya adalah formula dan numerikal. Simbol x, + dan lain-lain takkan berubah hanya kerana bahasa perantaraannya berubah. Kamu masih perlu selesaikannya dengan majoriti penggunaan nombor dan formula.

Sains juga tidak pernah membuat bahasa Inggeris sebagai bahasa unggul. Banyak terma-terma sains berasal dari bahasa Latin dan Arabik, mungkin. Jadi kalau hendak difikirkan balik, ada baiknya Sains diajar dalam bahasa Latin atau Arab, bukan bahasa Inggeris. Cuma mungkin kerana banyak sumber ilmu yang tertulis adalah dalam bahasa Inggeris menyebabkan ada logiknya mengajar sains dalam bahasa Inggeris.

Tetapi, masih belum nampak signifikannya.

Kalau hendak menguasai bahasa Inggeris, sepatutnya belajar bahasa itu sendiri. Belajar bahasa Inggeris, bukan belajar sains, matematik, geografi, sejarah atau apa saja dalam bahasa Inggeris. Setakat yang aku lihat, pembelajaran bahasa Inggeris di sekolah dan universiti tidak lebih dari retorik semata-mata. Untuk menyedapkan hati beberapa kerat manusia di Malaysia. Untuk membuktikan kepada dunia bahawa Malaysia adalah negara moden melalui pembelajaran bahasa Inggeris.

Aku masih ingat semasa di sekolah rendah sekitar 80an. Setiap hari Rabu setiap minggu diadakan hari berbahasa Inggeris dimana cikgu dan anak murid digalakkan menggunakan bahasa Inggeris dalam perbualan dan pembelajaran. Efektif? Tidak. Cikgu yang pandai-pandai mewujudkan program tersebut sendiri tidak pernah mahu menggunakan bahasa Inggeris. Itu masalahnya.

Kemudian aku masih ingat semasa di Maktab. Maktab mengambil dua orang tenaga pengajar berbangsa Inggeris untuk mengajar bahasa Inggeris kepada pelajar. Mereka tidak pula mengajar subjek sains, matematik atau subjek lain. Sebaliknya mereka hanya mengajar bahasa Inggeris.

Semasa di universiti, agak pelik bila aku rasa aku kembali belajar bahasa Inggeris tingkatan satu. Apa logiknya pergi ke universiti dan salah satu subjek wajib adalah bahasa Inggeris tetapi kamu terpaksa belajar bahasa Inggeris tingkatan satu? Mana? UiTM...

Kalau bertegas juga mahu mengajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, apa terjadi kepada subjek bahasa Inggeris sendiri? Apakah tahap bahasa Inggeris dalam subjek bahasa Inggeris berbanding subjek sains dan matematik dalam bahasa Inggeris? Kamu tidak fikir ianya pelik kerana sedang kamu sibuk belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, kamu juga perlu belajar tatabahasa, susunan ayat dan segala perkara asas dalam bahasa Inggeris di kelas bahasa Inggeris? Mana logiknya?

Sebab itu aku perlu kembali kepada filem Dead Poet Society dan Dangerous Minds. Selama ini apabila kita belajar bahasa Inggeris di sekolah dan universiti, ianya terlalu teknikal dan lurus sedang bahasa sebenarnya tidak begitu. Salah satu cara untuk menguasai bahasa adalah dengan mempelajari puisi dalam bahasa tersebut. Bila kita sebut puisi, ianya tidak semesti puisi yang seperti kita tahu. Ianya boleh jadi lirik lagu dan juga baris-baris kata dalam filem.

Semasa di tingkatan satu di SMK Clifford Kuala Kangsar, seorang cikgu bahasa Inggeris mengajar kami bahasa Inggeris melalui petikan gitar akustik (nyanyian) dan juga filem. Filem yang bersarikata bahasa Melayu akan ditutup sarikata tersebut dengan sekeping kertas dan kami perlu tumpukan perhatian dengan perbualan bahasa Inggeris dalam filem tersebut. Selepas itu kami perlu terangkan balik apa yang kami faham dari perbualan itu. Kami juga diajar membuat puisi dan lirik lagu yang mudah dalam bahasa Inggeris.

Kemudian semasa di MRSM Balik Pulau, aku masih ingat cikgu Azlan, cikgu bahasa Inggeris kami menulis di atas penjuru papan hitam ayat ini,

"Reading Maketh A Man."

Terpinga-pinga juga memikirkan apa maksudnya sehinggalah diberitahu ianya sepotong ayat Old English.

Jadi, olah semula pengajaran bahasa Inggeris di sekolah agar ianya lebih menarik. Itu solusi paling bagus daripada memaksa budak sekolah belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris hanya kerana mahu mereka lebih bagus dalam bahasa Inggeris. Ianya seperti kamu menanam jagung untuk menghasilkan popcorn. Kamu hanya akan dapat jagung. Popcorn kamu kena goreng... Atau tanam pokok belacan untuk dapat belacan. Bodohlah.

Aku letih sebenarnya. Sepatutnya aku menulis lebih panjang. Maaf.

Detik-Detik Tanpa Suara - 1

Ada waktunya, kamu tidak perlu menerangkan apa-apa mengenai sesuatu perkara. Kamu cuma berikan tanda dan mungkin, perlambangan. Itu saja.

Telur bungkus.

Duri.

Pondok atas air.


Belon.


Burung terbang.


Siang menjelang tiba.

Mendung

Foto-foto ini aku rakam minggu lepas sewaktu mendung tiba melitupi bumi Putrajaya. Mulanya aku mahu edit gambar-gambar ini supaya nampak lebih suram dan misteri. Sebelum ini, aku langsung tidak berkesempatan melihat kembali gambar ini selepas aku download ke komputer.

Namun begitu, apabila melihatnya kembali, aku fikir aku tidak perlu lakukan apa-apa lagi kerana suasananya sendiri sudah cukup jelas untuk memperlihatkan keadaan suram dan misteri.

Menjadi masalah ketika foto ini dirakam adalah tiupan angin yang begitu kencang menyebabkan tingkap di pejabat mengeluarkan bunyi yang menyeramkan. Ada tingkap yang tidak bertutup rapat menyebabkan berlakunya bunyi tersebut. Mulanya aku cuba membuka tingkap untuk merakamkan gambar ini bagi mengelakkan refleksi kaca tingkap. Namun akibat tiupan angin yang begitu kuat, aku terpaksa tutup tingkap dan merakamkan gambar ini dibalik kaca tingkap. Namun hasilnya agak memuaskan hati.


Masjid Putrajaya yang masih dalam pembinaan dengan kren yang berdiri di atasnya. 


Gambar atas agak senget. Namun itu yang terbaik boleh aku lakukan dalam masa yang singkat.


Mendung di atas Putrajaya dan di hujung sana adalah suasana cerah akibat pancaran cahaya matahari.


Permandangan arah barat Putrajaya.

Malam Biasanya Begini

Malam tadi, aku masukkan DVD filem Lemony Snicket's A Series Of Unfortunate Events lakonan Jim Carrey ke dalam laptop, kemudian tidur. Filem terus bermain dan aku lena tidur. Begitu setiap malam. Aku biarkan filem-filem bermain di laptop dan aku melelapkan mata.

Kenapa? Kerana aku rimas bila terjaga 20 minit kemudian dalam keadaan sunyi. Itu selalu terjadi. Kalau aku terjaga sekalipun, biar ada filem yang masih bermain supaya mata aku yang tiba-tiba segar setelah hanya 20 minit tidur sedangkan sebelum ini sudah hampir seharian berjaga dapat menontonnya. Mata aku, bukan aku. Aku sebenarnya sudah keletihan.

Sekarang, aku perlu ke pejabat. Ada kerja yang hendak diselesaikan, walaupun hari ini hari cuti umum.

5.3.09

Sebelum Pergi

Bulan lepas, sebelum aku pergi kursus, aku tinggal beberapa post di sini supaya orang tidak tertunggu-tunggu dan tertanya-tanya. Kali ini, aku tidak dapat melakukannya. Aku agak keletihan, mental.

Lewat tengah malam, baru selesai aku packing pakaian dan barangan yang perlu dibawa pergi bersama esok. Biasanya dulu, aku sumbat apa yang ada kedalam beg. Kali ini dek kerana terlalu leka menonton DVD sambil mengemas barang, satu beg pun masih ada 1/4 yang kosong. Sedangkan dulu, dengan jumlah pakaian yang sama banyak, aku terpaksa masukkan ke dalam beg laptop.

Sebenarnya aku teringatkan teknik menyusun baju ke dalam beg melalui satu siri TV yang dikendalikan oleh lima orang pengacara gay, Queer Eyes For The Straight Guy. Lama sudah menyepi siri ni kan? Dulu di 8TV, mereka siarkan lewat malam dan ianya menimbulkan sedikit kontroversi. Maklumlah, bukan semua orang boleh menerima gay, apatah lagi rancangan TV kendalian orang gay. Lagi pun, akal masyarakat kita ni cetek sangat. Lelaki gay berlima itu punya agenda untuk "menggaykan" masyarakat lah kononnya. Diluar norma orang Islam kononnya.

Kalau sesuatu perkara yang ditunjukkan baik, apa salah kita ikut? Kalau kamu bukan gay, kamu takkan jadi gay melainkan kamu sendiri yang mahu. Itulah, betul juga kata orang. Kita sini mudah terpengaruh. Patutlah ada orang beria-ia hendak halang segala kebebasan manusia di Malaysia kerana orang kita amat-amat mudah terpengaruh... agaknyalah.

Berbalik kepada siri TV itu (aku peduli apa dengan kamu punya retorik). Salah satu cara lipatan yang bagus untuk disimpan kedalam beg adalah dengan menggulung baju-baju kita dan kemudian simpan ke dalam beg. Ia sebenarnya boleh menjimatkan ruang disamping menjaga baju kita dari kedutan. Jadi, aku cuba.

Menjadi. Empat gulungan baju T boleh aku susun satu baris dalam beg dan ianya masih hanya setinggi 2 lipatan baju T secara biasa. Jadi teorinya, aku jimat ruang sebanyak 2 baris lipatan baju T. Cubalah. Lipat baju macam biasa dulu. Bila siap, baru gulung lipatan tersebut.

Tidak salah kalau kita belajar perkara baik, bukan?

Melalui siri itu juga aku pelajari bahawa apabila di restoran dan kamu membawa teman wanita/isteri atau sesiapa saja perempuan, pastikan mereka duduk menghadap ruang restoran atau ruang yang lebih luas. Kalau di tepi tingkap, biarkan mereka duduk menghadap tingkap. Aku lupa apa rasional tapi rasanya kerana mata lelaki lebih liar. Agaknya. 

Banyak yang aku pelajari. Banyak bagusnya. Yang baik itulah yang kita ambil.

Esok pagi walaupun hari perjalanan, aku perlu ke pejabat awal. Ada program yang perlukan kendalian aku. Tengahari nanti barulah bergerak ke Agrotek Resort. Balik mungkin pada Ahad malam. Esoknya boleh rehat di rumah. Lagipun, isnin minggu depan adalah hari cuti umum.

Tapi aku rasa aku perlu ke pejabat juga pada Isnin nanti. Sigh...

4.3.09

Dia Masih Ada

Aku sudah lama tahu, dia memang seorang yang cantik. Kalau kamu selalu berhadapan dengannya pun, kamu akan berkata begitu. Melainkan citarasa kamu bukan terhadap orang sebegitu.

Namun, tidak pernah pula aku puji kecantikkan dia di hadapannya. Bukan ruang yang sesuai, mungkin. Bukan juga cara aku, agaknya. Jadi, biar aku saja yang mengetahui cantiknya dia tanpa peduli apa orang lain fikir.

Kemudian seorang sahabat mengatakan memang dia cantik.

Begitu juga dengan seorang sahabat yang lain.

Serta seorang lagi...

Betullah agaknya.

Agaknya, kalau kamu sudah suka, lembu dipakaikan gown pun kamu akan kata cantik. Itu kata-kata Haji Bakhil dalam cerita Nasib Labu Labi. Itu Haji Bakhil. Sinikal.

Ini realiti. Dia memang cantik di mata dan di hati ini.

Aku tidak terbayangkan orang sebegitu dalam hidup, namun dia ada. Cuma, jalannya masih jauh dan aku perlu amat-amat bersabar. Akhirnya nanti belum aku tahu apa. Dia tahu. Sudah semestinya dia tahu. Kerana dia pun menyatakan perasaan yang sama. Hanya masalahnya, ada yang perlu diselesaikan dan aku tahu. Aku biarkan ruang yang amat luas untuk itu.

Aku suka dengar dia mengadu mengenai hidupnya. Kerjanya. Aku sukakan semua itu. Kamu boleh asyik sepanjang masa hanya untuk mendengar suaranya meluahkan segala kelesuan hidup dan kerja. Kemudian dia gembira kembali setelah beban itu dikongsi. Walau dengan hanya sekadar mendengar. Aku tetap suka. Itu peluang yang takkan aku lepaskan.

InsyaAllah, jalan itu ada. Aku cuma perlu jadi orang yang lebih sabar.

3.3.09

Aku Bukan Kidal, Tetapi Crossed-Dominance

Rupa-rupanya aku ini bukanlah boleh dianggap kidal 100%. Aku lebih bersifat crossed-dominance di mana aku berkeupayaan untuk melakukan kerja melalui kedua-dua belah anggota kiri dan kanan badan aku. Ianya lebih bersifat preference. Sebelah mana kita lebih selesa apabila melakukan sesuatu perbuatan.

Mulanya aku fikir aku adalah bersifat ambidexterity atau berkeupayaan mengawal sepenuhnya pergerakan kedua-dua belah badan kita. Aku tidak sampai kesitu rasanya. Aku masih tidak boleh menulis dengan baik menggunakan tangan kanan tetapi amat mahir dengan perkara lain menggunakan tangan kanan walau secara jelasnya, aku bersifat kidal. Tapi aku juga bukan kidal sepenuhnya.

Kidal sepenuhnya adalah bila mana seseorang hanya boleh bergantung kepada sebelah kiri badan saja dalam melakukan majoriti perkara seharian. Begitu juga orang yang dianggap pengguna tangan kanan. Mereka ada right-handed tegar apabila hampir semua kerja mereka adalah melalui badan sebelah kanan sahaja.

Aku pula tidak. Menulis, tangan kiri. Menggunakan mouse, tangan kanan. Makan dengan sudu dan garpu, tangan kiri. Makan dengan tangan, tangan kanan. Tendang bola, kaki kanan. Mengambil sesuatu barang, tangan kiri. 

Umumnya, aku agak cenderung kepada tangan kiri. Itu yang aku fikir. Tetapi tangan kanan dan juga kaki kanan aku boleh menjalankan fungsi autonomi yang baik. Tidak kekok dan tidak pula terencat perbuatan. Maka, aku bukanlah seorang yang kidal sepenuhnya.

Aku adalah crossed-dominance.

Apa pula keadaan kamu?

Hoi!

Hoi ahli politik Perak! Bubarkan saja Dewan Undangan tu. Apa yang bodoh sangat hah? Menyusahkan rakyat Perak lah.

Tak tahu malu ke?

Kamu fikir orang suka sangat ke?

Aku Perlu PDA (Rasanyalah)

Aku sedari, sudah beberapa ketika aku tidak menulis mengenai diri sendiri. Kalau ada pun dalam tulisan sebelum ini, ianya lebih bersifat kaitan saja, bukan secara langsung.

Khamis nanti, seperti biasa, aku akan ke Agrotek Resort, Hulu Langat sekali lagi. Kursus Team Building kembali untuk edisi ke-2. Menjadi urus setia kursus ini sebenarnya menarik. Ganjaran memanglah menarik tetapi yang lebih menarik adalah peluang kita untuk belajar (kalau bos besar ada) sesuatu perkara baru seperti belajar membuat penilaian dan memahami situasi atau seseorang individu. Jadi sering aku datang bukan saja sebagai seorang urus setia tetapi seorang pelajar yang sedang mendalami ilmu.

Aku fikir ada gunanya di masa akan datang sekiranya aku berpeluang untuk naik pangkat dan jadi ketua. Ilmu di kursus itu insyaAllah boleh aku guna untuk membantu tugas aku. Sebab itu aku cakap aku belum bersedia untuk memimpin. Biar orang kata aku rugi (duit la ni...), tidak mengapa. Aku lebih yakin untuk melakukan sesuatu sekiranya aku faham dan tahu apa yang aku lakukan. Bukan cara belajar sikit-sikit melalui pengalaman kerja seperti orang selalu cakap. Itu betullah. Tapi kalau kamu tidak ada ilmu asas, tidak ada gunanya juga. Apa yang kamu belajar itu tidak boleh guna untuk kebaikan sebab kamu sebenarnya tidak faham.

Kemudian, kalau mengikut kalendar di telefon (telefon bimbit aku sudah jadi kalendar...), minggu seterusnya ada bengkel AKPM di pejabat dan disusuli dengan bengkel yang sama di Sarawak. Bengkel di Sarawak itu tidak pasti memandangkan telah terjadi rombakan besar siang tadi atas tugas-tugas yang perlu dilakukan. Harapnya masih boleh berlangsung kerana aku mahu ke Serian, Sarawak untuk merakamkan potret-potret JPN Serian (yang hebat katanya...).

Nampaknya, cuma minggu terakhir Mac saja yang agak santai. Bolehlah aku balik ke kampung, insyaAllah. Lama juga tidak balik. Sejak hujung tahun lepas rasanya. Kalau emak melihat jadual anaknya seorang ini, pasti dia faham kenapa. Bukan memberi alasan, cuma keadaan yang berbatas. 

Sebenarnya, bukanlah aku tidak boleh balik ke kampung pada hujung minggu. Ada waktunya, kursus cuma habis pada hari jumaat. Sabtu dan Ahad sudah lapang. Cuma, di penghujung jumaat itu, aku sudah keletihan mental dan fizikal. Tiada berdaya untuk memandu pulang 300KM ke kampung. Akhirnya aku terdampar lena di tilam rumah pada hujung minggu merehatkan badan dan otak yang keletihan sepanjang minggu. Itu pun, kalau tiada kerja di pejabat. Selalunya, aku masih perlu ke pejabat pada hujung minggu.

Ya, aku tahu. Aku sendiri keliru. Ini kerja kerajaan, bukan kerja swasta. Kerja swasta pun tidak memaksa kamu bekerja di hujung minggu. Tidak memaksa kamu pulang dari pejabat lewat petang ahad kelmarin kerana menyiapkan kertas-kertas untuk mesyuarat esoknya. 

"Bukan engkau sorang saja yang sibuk, Dan. Orang lain pun sibuk juga. Tapi masih ada masa untuk keluarga..."

Itu yang kamu hendak cakap, bukan? Ya, kerana aku juga bukan kamu. Sifat-sifat aku juga tidak sama dengan sifat kamu. Kamu kalau hendak bandingkan diri kamu dan diri aku, kita jauh berbeza dari segi sifat dan tingkah laku. Jadi kamu jangan samakan sesiapa saja dan bandingkan sesiapa saja dengan diri kamu. Kalau kamu boleh buat, tidak semestinya orang lain boleh buat. Begitu sebaliknya. Kalau kamu masih mahu cakap,

"Hendak seribu daya, tidak mahu seribu dalih..."

Aku boleh juga cakap, aku sudah tidak berdaya. Dan dalih-dalih aku adalah perkara yang sama sejak dulu. Bacalah sendiri blog ini dan kamu faham maksud aku.

"Itulah, pandai sangat. Orang cakap, ada saja alasannya..."

Aku tidak boleh cakap apa lagi bila aku cakap begini. Kerana apa yang dia nampak adalah negatif sepanjang masa. Jadi perlu apa lagi aku bertelagah dengan orang begini.

Andaian saja semua itu. Pasti tidak ada orang yang akan cakap begitu kepada aku. Mereka yang aku kenal adalah orang yang baik dan sentiasa memahami. InsyaAllah. Mereka ambil berat sebenarnya. Mereka sentiasa tanyakan aku (walaupun sekali sekala).

Terima kasih. Aku amat menghargainya.

Sudahlah, pergi tidur. Malam sudah amat lewat.

Myer-Briggs Type Indicator

Berkaitan dengan MBTI - Myer-Briggs Type Indicator,


Sebenarnya kita yang lebih mengenali diri sendiri. Itulah asas MBTI. Jadi, aku lebih bersifat

  1. Introvert
  2. Intuition
  3. Feeling
  4. Judging
Maknanya, mengikutkan pandangan aku sendiri, aku terletak dikalangan orang yang bersifat INFJ (tengok wikipedia link yang aku berikan tu). Atau tergolong dalam lebih kurang 1.5% orang di US yang miliki sifat yang sama. :-)

Menarik bukan? Baca dan cuba analisa diri sendiri dan di mana letaknya diri kamu.

2.3.09

Transformasi Pentadbiran Awam

Edisi Diperbaharui Pada 12.27 pagi/3 Mac 2009

Entah sudah okay atau masih belum internet di rumah. Harapnya sudah kerana aku perlu buat sedikit kerja di rumah. Kerja peribadi. Dalam pejabat, takkan aku mahu tulis panjang-panjang pula dan buat kerja peribadi melalui internet.

Hari ini ada dua mesyuarat yang berselang 20 minit. Awal pagi mesyuarat Star Rating dan pembentukkan pasukan pengurus projek yang berdasarkan kriteria di dalam Star Rating. Aku masih ingat Bos Besar minta supaya pasukan yang ditubuhkan ini mesti berdasarkan skop setiap kriteria yang tersedia. Walaupun kriteria tersebut terbahagi dalam topik-topik yang berlainan, ianya mesti ada perbezaan. Jadi kumpulan tidak wajar dibahagikan mengikut topik, seperti yang disarankan awal dulu.

Tapi itu jugalah yang dilakukan oleh pasukan perancang walaupun Bos Besar sudah ingatkan tidak lama dulu. Maka, hari ini mereka terima padah akibat 'degil'. Aku sendiri sudah ingatkan bahawa perlu dibahagikan mengikut apa yang dikatakan oleh Bos Besar. Tapi suara aku, faham-faham sajalah. Setakat pangkat aku ini, siapa yang mahu dengar?

Aku fikir lebih logik mengikut cara yang Bos Besar sarankan. Bukanlah susah seperti yang difikirkan. Ia sebenarnya lebih memudahkan kemudian nanti. Cuma, seperti biasa, kalau di pejabat sebegini, akan ada orang yang buat kerja dan betul-betul buat serta akan ada orang yang tak buat kerja dan pura-pura buat. Itu yang akan menyusahkan kemudian hari. Itu pasukan perancang tidak mahu terjadi (pasti akan terjadi).

Jadi, aku diamkan saja. Kerana aku pasti tiada guna aku bersuara kalau mereka tidak mahu dengar.

Kemudian masuk mesyuarat kedua yang cuma berselang 20 minit daripada mesyuarat pertama. Bos Besar masih menjadi pengerusi. Seperti yang aku duga, pasti dikaitkan suasana dengan mesyuarat pertama. Dia masih memperkatakannya. Itu tandanya dia tidak puas hati. Aku terangkan situasi dan dia kata,

"Dan, kalau engkau faham apa yang aku nak cakap tapi orang-orang atas engkau yang pangkat 52, 54  tu tak faham, aku tak tahu nak cakap apa dah..."

Bukan bos besar puji aku atau aku sengaja tunjuk bagus. Baca betul-betul ye. Ini bunyi orang yang kecewa atau putus asa dengan orang bawahannya hingga dia bandingkan orang yang gred bawah dengan gred atas (terlampau atas). Dia biasanya tidak akan buat perbandingan begini kerana kalau kamu kenal Bos Besar, dia seorang yang amat bangga dengan skim perjawatannya.

Begitu agaknya rasa kecewanya dia dengan mereka. Aku tidak salahkan Bos Besar. Aku faham aspirasinya. Dulu pun aku pernah benci dia, walau ketika itu aku langsung tidak pernah faham dan tidak ada usaha nak faham apa yang dia sedang lakukan.

Sekarang bila aku faham, aku sokong apa yang sedang lakukan walaupun tidak semua. Kebanyakkan bos yang ada, sama ada mereka tidak mahu menyusahkan diri sendiri atau degil. Itu saja. Tapi itu dari segi kerja.

Kalau mengikut pandangan aku, kebanyakkan daripada mereka ini adalah graduan jurusan sastera yang lebih pandai menulis dan berbicara sesuatu daripada melakukan sesuatu. Sesuatu yang statistikal, analitikal dan saintifik adalah sebenarnya perkara baru bagi mereka dan mereka perlu tahu walau hanya pada dasarnya.

Kadang-kadang kamu boleh kagum mendengar hujah-hujah mereka mengenai sesuatu perkara. Tapi setakat itu biasanya. Mereka akan amat mudah keliru apabila perkara detail mereka terima untuk mereka kaji dan membuat evaluasi.

Sudah tiba masanya pentadbiran awam (peringkat pengurusan tertinggi) dipilih di kalangan mereka yang boleh melakukan kaji selidik dan evaluasi yang jitu dan berkesan. Bukan hanya pandai bercakap retorik tetapi apabila disuruh, seribu alasan menjadi batu penghalang. Menjadi mangsa nanti, orang bawahan.

Agak pelik juga apabila di dalam mesyuarat tadi aku sedari ramai antara bos yang tidak faham apa yang dikatakan dasar jabatan. Mungkin ada antara mereka yang tidak faham dan tidak boleh membezakan dasar dengan arahan. Sebab itu walaupun aku di bahagian yang sebenarnya menyelaras dasar, tiada usaha-usaha untuk membuat penyelarasan dasar hingga suatu ketika dulu pernah ditanya oleh seorang tok guru KMK,

"Apa fungsi bahagian kamu?"
"Tak nampak" Jawab aku.
"Sudah nama bahagian kamu itu penyelarasan dasar, maka maknanya kenalah kumpul dan selaras semua dasar-dasar jabatan kamu. Itulah yang patut kamu KMKkan..."
"Oooo..."

Lepas daripada itu, baru aku faham. Kemudian bila Bos Besar perincikan apa dia dasar-dasar jabatan, lebih lagilah aku faham. Tapi aku tidak pasti sama ada bos aku dan penolongnya faham juga. Maksudnya sekarang, carta organisasi bahagian sendiri sudah tidak betul. Sepatutnya tidak ada unit kualiti atau unit parlimen. Perlu ada cuma unit penyelarasan dasar dan unit pemantauan saja kerana itulah fungsi asas bahagian. Bawah unit-unit inilah yang sub fungsi lain seperti kualiti, parlimen dan lain-lain patut ditempatkan, bukan mereka yang jadi unit utama. Sekarang kamu faham kenapa aku cakap ada sesetengah pegawai atasan yang tidak faham kerja mereka sendiri.

Tapi memang begitulah kalau tadbir urus sesuatu organisasi diberikan kepada mereka yang hanya belajar secara teori bagaimana hendak mengurus sesebuah organisasi selepas mereka disahkan di dalam jawatan. 

Betul juga apa yang bos besar pernah katakan suatu ketika dahulu. Ada sesetengah orang yang hanya sesuai untuk melakukan sesuatu perkara saja dan tidak perkara lain. Orang yang begitu analitikal dan kerjanya suka bersendirian dan menyiapkan kertas kerja amat tidak sesuai dilantik mengetuai sesuatu bahagian atau jabatan kerana orang tersebut tidak punyai skil untuk menyelesaikan masalah secara real-time. Orang begini lebih cenderung membuat penilaian analitikal dan kajian-kajian yang memerlukan masa untuk menyelesaikannya sedang masa itu adalah begitu terhad jika kamu seorang pentadbir. Begitu juga sebaliknya. Kalau seorang itu amat bijak menyelesaikan masalah secara real-time, apa jadah letak dia di bahagian atau unit yang perlu membuat kajian demi kajian hanya untuk mengeluarkan suatu keputusan. Mampos kering orang tu... Orang yang tidak sabar juga tidak sesuai kamu letak untuk lakukan kerja-kerja analitikal.

Salah satu soalan dalam penilaian Star Rating MAMPU untuk agensi barisan hadapan (yang berkaitan dengan kaunter) adalah penggunaan MBTI - Myer-Briggs Type Indicator untuk menilai seseorang individu bagi kenaikan pangkat dan job-placement. Aku kata, MAMPU ni pandai saja cakap, mereka buat ke? Atau lebih jelas, sesuai sangat ke MBTI itu digunakan untuk menentukan job-placement?

Kadang-kadang, banyak jabatan kerajaan ini hanya pandai mengeluarkan terminologi itu ini yang hebat tapi haram tidak pernah laksana atau tidak pernah faham pun. Atau juga, langsung tidak sesuai dengan keadaan dan sifat sesetengah organisasi. Contohnya, Ketua Setiausaha Negara (KSN) mengeluarkan dasar mengenai No Wrong Door (Tiada Jalan Salah.. agaknyalah). Secara umum ini bermaksud, kalau kita sebagai orang awam dan pergi kemana-mana jabatan kerajaan untuk memohon sesuatu perkhidmatan sedang perkhidmatan itu tidak disediakan oleh jabatan tersebut, jabatan tersebut masih perlu terima permohonan ini dan tidak boleh menolaknya. 

Dalam dunia indah KSN, itu boleh dilakukan. Aku fikir itu memang boleh dilakukan, secara teori. Katakanlah, kita wujudkan di setiap daerah di Malaysia sebuah bangunan persekutuan (memang ada pun) di mana dalam bangunan tersebut semua kaunter-kaunter kerajaan diletakkan dalam satu ruang yang sama. Maka No Wrong Door itu boleh berfungsi dengan baik. Kamu tidak akan ada masalah berurusan dengan jabatan kerajaan melainkan kesesakan umat manusia tahap luar biasa yang kamu perlu hadapi di situ nanti.

Dalam realiti pula, kamu lihat saja suasana kaunter dan perkhidmatan yang diberikan oleh pejabat-pejabat kerajaan. Kamu lihat bentuk kaunter dan sistem menunggu cukuplah. Kaunter di Jabatan Imigresen contohnya, tinggi dan imposing hingga kalau si kenit atau orang yang bantut terpaksa mendongak tinggi untuk berurusan (itu pun kalau petugas kaunter peduli untuk tengok kamu balik). Sedangkan kaunter di JPN adalah rendah, rata dan macam MacDonalds saja rupanya. Itu baru kaunter. Belum konsep tatacara melayan pelanggan lagi.

Kamu tahu apa masalahnya? Kerana polisi dibuat oleh mereka yang berada di atas yang sebenarnya tidak faham apa yang berlaku di bawah tetapi berkeras mengaku faham dan mengambil berat. Well, they are the educated one, don't they? Itu tiket mahal untuk menangkis serangan fakta anak-anak buah mereka. Jadi mereka akan sentiasa boleh duduk selesa di kerusi empuk mereka sambil melakar polisi demi polisi yang sebenarnya bertujuan untuk memudahkan kerja mereka sahaja.

Kamu lihat, polisi sebenarnya ada bentuk birokrasi. Ya, kenyataannya ia bertujuan untuk memudahkan proses kerja, tetapi sehingga tahap mana? Dalam apa jua keadaan, pengurusan atasan amat-amat "sukar" hendak mempercayai orang bawahan mereka yang berurusan di kaunter. Jadi akses kepada capaian rekod sentiasa dihadkan kerana ianya adalah sebagai penghalang kepada salah laku kuasa. Bila ada kesilapan, orang bawahan tetap disalahkan walaupun hakikatnya orang bawahan ini hanya mempunyai capaian yang terhad dan sering bergerak dalam lingkungan had kerjanya saja. Namun dek kerana mereka yang sering berurusan dengan orang ramai, maka salah mereka amat mudah dilihat oleh orang ramai. Jadi, tidak hairanlah orang ramai sentiasa melihat kakitangan awam ini malas, lembab dan korup. Mana tidaknya, dengan gaji yang tidak seberapa, tanggungjawab kamu amat besar tetapi akses kamu amat terhad, siapa yang tidak mahu jadi malas, lembab dan korup untuk melangkau sistem?

Aku fikir, sebenarnya sudah perlu tadbir urus operasi sesuatu jabatan dikembalikan kepada petugas jabatan sendiri. Kalau mereka itu adalah petugas imigresen, maka tinggalkan operasi jabatan kepada anggota yang bergred KP di jabatan tersebut. Gred PTD masih boleh bertugas di situ tetapi tidak lebih sebagai pentadbir dari segi human resources, kewangan dan pembangunan saja dan itupun, perlu ada pemantauan terhadap bidang kerja. Kenapa? Bukan aku meremehkan PTD tetapi kerana jawatan PTD ini sentiasa volatile. Beberapa tahun kerja, kemudian bertukar kerana naik pangkat (aku pelik kenapa PTD cepat naik pangkat). Mana ada ruang waktu mereka untuk menukar sesuatu di jabatan tersebut? Sedangkan dewan rakyat sendiri berfungsi setiap lebih kurang 5 tahun. Ada PTD yang baru setahun kerja di sesuatu jabatan sebagai pengarah contoh, sudah kena bertukar kerana naik pangkat atau atas arahan. Rugi begitu.

Baik jawatan pengarah di jabatan tersebut terutama yang melibatkan dasar dan urus niaga utama diberikan kepada anggota gred yang berkaitan dengan jabatan tersebut. Lebih stabil. Ya, aku tahu pasti ada yang mempersoalkan mengenai tahap pendidikan dan kemampuan tugasnya nanti. Kamu sendiri sudah tahu, ramai antara kakitangan awam biasa sekarang sebenarnya berpendidikan tinggi. Jadi ianya bukanlah masalah sebenarnya. Cuma tiada ruang untuk mereka memperlihatkan kemampuan mereka. Perlu diingatkan juga, walaupun PTD itu dilantik atas tahap pendidikan dan kemampuan mereka, mereka masih perlu pergi kursus itu ini dalam jangkamasa yang lama untuk kemudian keluar sebagai pentadbir yang terlatih. Aku rasa tidak ada masalah untuk kita lakukan perkara yang sama kepada anggota gred lain.

Kenapa aku cakapkan semua ini? Kerana apabila ditanya, bos sekarang ini boleh keluarkan 1001 teori dan kenyataan mengenai perkara tersebut. Tapi realitinya, adakah mereka faham? Adakah mereka mampu melakukannya bila disuruh secara terus untuk melakukannya. Aku yakin ramai antara mereka takkan mampu. Balik-balik nanti, orang bawahan mereka akan menjalankan tanggungjawab tersebut. Orang-orang yang "pakar" dalam bidang di jabatan mereka sebenarnya adalah orang bawahan. Itu realitinya. Pegawai atasan itu ramainya hanya pandai menggoreng fakta saja.

Namun, kita tidak boleh nafikan ada antara mereka yang amat mahir dalam bidang tugas mereka. Cuma, kamu perlu pergi lebih jauh untuk ketahui kenapa begitu. Aku sudah lakukannya. Aku dapati kebanyakkan pegawai yang mahir dalam bidang tugas urus niaga jabatan mereka sebenarnya sudah begitu lama bertugas di jabatan tersebut walaupun tidak di tempat yang sama. Mereka adalah real life pakar. Itu kena terima hakikatnya.

Jadi, berbaliklah kita kepada pusingan kerja yang aku sebut di atas tadi. Kalau seseorang pegawai tadi cuma ada di kerusinya untuk beberapa ketika, apa logiknya kita boleh anggap dia faham apa yang dilakukannya? Dia itu tidak lebih daripada seorang pentadbir yang bijak mengeluarkan ayat-ayat retorik. itu saja. Perencah tetap sama, cara masak saja yang berbeza.

Pengurusan tertinggi perkhidmatan awam perlu bijak menilai. Zaman ini bukan zaman budak darjah enam sekolah melayu boleh jadi pegawai daerah. Sekarang budak darjah enam sudah tidak ada yang layak jadi kerani. Orang yang berijazah dan berdiploma yang memohon kerja sebagai kerani di pejabat kerajaan. Itu realitinya. Jadi value kerani di jabatan kerajaan sebenarnya sudah tinggi. Cuma bila kita letak kerani berdiploma dan berijazah di tempatnya dan kemudian kita layan dia sebagai makhluk kelas ke tiga, maka, otak mereka akan lebih bijak untuk memanipulasi sistem yang ada. Orang lain pun akan ikut samalah.

Sebenarnya begitu panjang lagi hendak aku tulis tapi aku rasa nanti boleh jadi tesis pula. Cukuplah setakat ini dulu. Kamu pun bukan peduli sangat.

p/s : Semua ini pandangan peribadi semata-mata.