31.12.09

Merentas Masa (Lalu) Ketika Ini

Tahun lalu, di penghujung tahun sebegini, aku ceritakan mengenai ritual aku lalui hari seperti tahun baru dan hari lahir. Aku ceritakan bagaimana pada hari lahir, biasanya aku sambut seorang diri di sebuah restoran makanan segera menikmati makan sambil membaca. Aku juga ceritakan bagaimana di hari pertama tahun baru atau hari lahir, aku mahu ke Port Klang merakam suasana petang dan duduk menikmati angin laut (walaupun baunya kurang enak).

Dua tahun sebelum, aku cerita mengenai bahagia. Aku kronologikan hidup aku dan apa yang aku telah lalui hingga saat itu. Aku ceritakan bagaimana aku berusaha untuk bahagia dan nampak bahagia di mata kamu semua. Walaupun hakikatnya tidak, tetapi aku tetap nyatakan aku bahagia. Ketika itu, mungkin kerana aku bersedih akibat kisah yang berlaku. Aku sedari sekarang, baru lebih kurang dua tahun ianya berlaku. Aku sudah dapat melupakan sepenuhnya. Sekurang-kurangnya aku berfikir begitu.

Tiga tahun lalu, di penghujung tahun seperti ini, aku ceritakan mengenai tugas yang aku sedang laksanakan di Genting Highlands ketika itu sebagai urus setia sebuah kursus. Aku juga selitkan sebuah gambar aku dan Aliah. Ketika itu aku cuma baru beberapa hari mengenali Aliah. Sekarang dia sudah mempunyai seorang cahaya mata yang amat comel, Fisya dan sudah berpindah kerja di Johor Bahru.

Empat tahun lalu, aku selitkan lirik lagu Seven Nation Army oleh The White Stripes dalam post aku. Aku sendiri sudah lupa apa sebabnya. Sekarang, Seven Nation Army masih menjadi lagu kegemaran dan sering dimainkan di MP3 modulator di dalam kereta.

Lima tahun lalu, di penghujung tahun 2004, aku selitkan link ke laman web berkaitan Putrajaya. Mungkin kerana ketika itu aku baru berpindah kerja dari Petaling Jaya ke Putrajaya. Aku komen kerana tiada maklumat lengkap mengenai Putrajaya di dalam laman web tersebut.

Kalau tidak kerana blog ini, aku pasti tidak ingat apa yang berlaku di penghujung tahun seperti ini, pada tahun-tahun yang telah berlalu. Semuanya ada tertulis di dalam blog ini. Syukur sangat kerana aku aktif menulis di sini. Ya, benar, ini jurnal kehidupan aku sebenarnya. Kamu tiada hak untuk mempersoalkan apa isinya.

Harapnya, 10 tahun dari sekarang, aku dapat ulang menulis seperti ini dan mengimbau kembali apa yang aku pernah lakukan di penghujung setiap tahun selama 10 tahun dari sekarang.
InsyaAllah.

Merakam Cahaya

Kononnya nak tunggu senja, mahu rakam cahaya senja terakhir tahun 2009. Akhirnya aku batalkan saja niat tersebut. Hari ini langit penuh dengan awan. Sempat cuma merakam cahaya bersinar membelah awan buat seketika.

Jadi, cuma yang sempat aku rakam hanya cahaya petang (rujuk post sebelum). Itu sudah cukup, aku fikir.

Aku semakin mengantuk. Aku mungkin tidak sempat melihat pertunjukkan bunga api menandakan bermula tahun 2010 malam ini kerana sudah tertidur nanti. Esok entah ke mana destinasi. Kalau siang tadi aku tidak sempat menanti senja, mungkin esok awal pagi aku boleh merakam cahaya pagi pula.

Mungkin menarik. Amat jarang aku merakam cahaya pagi. Tetapi di mana ya?

Petang Penghujung Tahun

Aku menunggu senja di pejabat. Aku ingin rakamkan suasana senja di penghujung tahun 2009.



Sementara itu, aku rakamkan suasana petang penghujung 2009.

30.12.09

Filem & Siri TV Terbaik 2009

Aku teruskan siri anugerah. Heh. Ramai yang tahu aku suka menonton filem (walaupun seorang diri) di pawagam. Cuma kamu perlu ingat, biasanya aku hanya akan menonton filem yang aku suka. Aku senaraikan filem dan juga siri TV yang aku fikir terbaik dalam tahun 2009.

Filem Animasi Terbaik

Up
Filem animasi UP karya studio Pixar meneruskan kehebatan filem animasi keluaran studio tersebut. Up juga melangkah lebih jauh dengan memasukkan elemen kemanusiaan yang biasa dipertonton dalam filem-filem tontonan dewasa saja. Pilihan kedua aku adalah Ponyo On The Cliff By The Sea karya Miyazaki Hayao, tetapi ceritanya agak pelik.

Filem Aksi Terbaik

Angels & Demons
Filem ini bagi aku meletakkan kembali status novel karya Dan Brown ke tempatnya. Kalau dulu filem The Da Vinci Code dihasilkan secara porak peranda tanpa sedikit pun memperdulikan estatika novel, Angels & Demons nampak lebih teliti dan berkesan dalam menterjemahkan novel Dan Brown. Tom Hanks juga nampak lebih segak berambut pendek (berbanding semasa filem The Da Vinci Code). Pilihan ke dua aku adalah Transformers: Revenge Of The Fallen. Kalau tidak kerana ianya agak meleret dan merimaskan, pasti Transformers menjadi pilihan nombor satu untuk kategori ini.

Filem Fiksyen Sains Terbaik

Avatar
Seperti ramai pengkritik filem menulis, The King Is Back! Betul, James Cameron kembali menghasilkan filem yang begitu mengkagumkan seperti Avatar. Menonton Avatar dalam dua versi (biasa dan 3D) memperlihatkan dunia CGI tahap tertinggi (setakat ini) dan bakal menjadi tanda aras untuk filem intensif CGI lain. Pilihan ke dua aku adalah Star Trek. Cerita menarik cuma tidak dapat menandingi Avatar dari segi hasil CGI.

Nampaknya aku salah menilai. Star Trek mempunyai jalan cerita yang lebih menarik daripada Avatar. Jalan cerita Avatar adalah ringkas dan ringan sebenarnya. Tetapi pengalaman keseluruhan menonton kedua-dua filem ini menjadi pemberat pilihan aku. Avatar lebih menarik untuk ditonton.

Filem Romantik/Komedi Terbaik

(500) Days Of Summer
Ringkasnya, secara peribadi, filem ini adalah filem terbaik tahun ini. Menyentuh perasaan dan mengenangkan aku dengan hidup aku sendiri. Itu saja.


Siri Televisyen Terbaik

James May's Toy Stories
Aku tahu. James May's Toy Stories tidak ditayangkan di siaran televisyen Malaysia. Malah rasanya, di Astro juga masih tiada. Aku menontonnya di YouTube. Cerita bagaimana James May yang popular dengan siri Top Gear berusaha untuk merealisasikan impian menghasilkan/bermain permainan kegemaran beliau dalam skala yang lebih besar. Rumah Lego bersaiz besar, taman plasticine, jambatan Meccano, kapal terbang AirFix skala penuh, perlumbaan kereta Scalextric menggunakan trek lumba kereta pertama di UK (Brookland) dan perjalanan keretapi mainan di atas bekas trek keretapi sebenar sejauh 10 batu. Epik. Pilihan kedua aku adalah siri Top Gear musim 14.

Apa pula pilihan kamu?

Anugerah Fotografi frossonice.com

Sepanjang tahun 2009, aku telah menulis lebih 450 post untuk blog ini. Banyak antara post tersebut melibatkan fotografi. Sempena penghujung tahun 2009, aku ingin senaraikan hasil fotografi terbaik yang dirakam sepanjang tahun 2009. Ini semata-mata berdasarkan pendapat dan pandangan aku sendiri. Kalau kamu berminat untuk menilai, sila rujuk post aku berkaitan Fotografi dan pilih fotografi yang anda fikir terbaik aku hasilkan tahun ini.

Terimalah.

Fotografi Lanskap Terbaik
Tasik yang membiru dan air yang begitu tenang berserta langit membiru dan awan yang memutih. Tasik Temoh aku rakamkan dalam perjalanan pulang dari Kuala Kangsar ke Ibu Kota. Aku suka simplicity dan "kayanya" suasana gambar ini.

Fotografi Potret (Dewasa) Terbaik
Potret Izana, rakan pejabat yang aku rakam semasa majlis pertunangan beliau. Agak senang untuk merakamkan potret Izana kerana beliau pandai memberi pose yang menarik tanpa perlu dipaksa. Aku cuma minta dia memandang ke arah kotak di atas katil dan merakam aksinya.

Fotografi Potret (Kanak-Kanak) Terbaik 
Fisya! Potret ini langsung aku tidak jangka hasilnya. Dalam keadaan agak suntuk kerana cahaya semakin menghilang (menjelang senja), aku memetik picu kamera sepantas mungkin untuk merakam aksi Fisya yang agak aktif. Tidak sangka beliau pandai memberi pose termasuk senyuman yang amat comel.

Post: Fisya

Fotografi Haiwan Terbaik
Aku rakamkan gambar helang terbang ini dalam keadaan bot yang terumbang ambing dan aku berada di tengah-tengah bot sambil dikelilingi oleh orang lain. Sudut mengambil gambar amat terhad kerana bot tersebut mempunyai bumbung. Menggunakan lensa zoom, aku cuba merakam sepantas mungkin burung helang yang terbang melintasi bot. Memang helang dan Langkawi sinonim. 

Post: Helang

Fotografi Tumbuhan Terbaik
Gambar bunga melur ini dirakam di Taman Botani, Putrajaya semasa aku berkunjung ke sana sendirian tidak lama dulu. Ianya dirakam secara close-up dengan zoom sekitar 70mm untuk menghasilkan imej kabur di belakang kuntuman bunga. Memang terlalu banyak gambar di Taman Botani yang cukup menarik untuk dipilih. Tetapi aku memilih gambar ini kerana ianya nampak seperti 3D (Tiga Dimensi).


Fotografi Potret Peribadi Terbaik

Menjelang hampir penghujung tahun, aku sedari amat kurang gambar peribadi yang aku rakam. Kalau ada, biasanya cuma di PhotoBooth iMac. Suatu hari menjelang senja, aku berhenti di tepi tasik Putrajaya dan rakamkan potret peribadi ini. Bukan paling sempurna tetapi ekspresi muka aku cukup berkesan dalam suasana begini.


Semua gambar yang aku pilih di sini adalah gambar-gambar yang pernah tersiar di blog ini. Ada banyak yang menarik. Tetapi setelah aku lihat semula, aku fikir semua gambar di atas adalah ambar pilihan terbaik daripada aku untuk tahun 2009.

Bagaimana pula pilihan kamu?

29.12.09

Potret Diri - Penutup 2009




Dah makin tua. Hehe.

28.12.09

Kisah Air Jambu Batu

Semalam, dek kerana masih mengidam air jambu batu, aku keluar mencarinya. Kawasan sekitar rumah memang tiada yang menjualnya. Putrajaya apatah lagi. Lalu aku ke Dengkil, dengan sedikit harapan.

Cuaca mendung, tanda-tanda hujan semakin tiba. Perlahan aku memandu dan memerhati di kiri dan kanan jalan. Buah durian, buah manggis, pisang goreng dan air buah-buahan lain. Aku tidak mahu semua itu.

Bila hampir tiba di persimpangan dalam pekan Dengkil, aku terpandang sebuah gerai tepi jalan menjual air jambu batu. Ada. Sebuah gerai tanpa pengunjung. Pemilik gerai nampak terbaring di kerusi malas menunggu lesu. Musim hujan, tidak ramai yang suka berhenti tepi jalan membeli makanan dan minuman.

Lalu aku berhenti, muka tersenyum dan terus berjalan ke gerai. Aku memesan buah jambu batu bercecah serbuk asam boi dan segelas besar air jambu batu berinti serbuk asam boi. Anehnya, untuk serbuk asam boi, aku kena tambah 50 sen. Mahal!

Tetapi tidak mengapa. Demi untuk memuaskan kehendak aku, aku beli. Aku bayar harga barang dan terus ke kereta. Tiba dalam kereta, aku jadi tidak keruan. Aku pasti sangat segelas air yang aku sedang hirup tidak mencukupi.

Aku keluar dan dengan tersenyum (sekali lagi), aku memesan segelas besar air jambu batu berinti serbuk asam boi. Aku pastikan dia tidak letak lebih dari satu sudu air gula. Perlu aku ingatkan, kelmarin (Sabtu) semasa di Pasar Malam Jalan Tunku Abdul Rahman (dengan 'dia'), aku membeli segelas air jambu batu. Aku tidak mahu diletak air gula di dalamnya. Hasilnya, aku menghirup air jambu batu yang tawar tanpa rasa. Jelas penjual di Pasar Malam TAR menambah air biasa berlebihan.

Selesai membeli, aku menikmatinya di dalam kereta sambil memandu tanpa arah. Aku tiada arah tuju kerana aku cuma mhu menikmati air jambu batu dan jambu batu. Itu saja. Aku fikir, ketika itu hidup ini terasa mudah. Tidak perlu memikirkan hal dunia. Tumpuan aku hanya kepada air jambu batu di dalam gelas berstraw dan buah jambu batu dalam plastik bercecah serbuk asam boi. Oh ya, sudah semestinya tertumpu ke jalan raya juga.

Teringat kepada pertama kali menikmati jambu batu, sekitar penghujung 80an di Kuala Kangsar. Seorang nyonya cina menjual buah jambu batu di tepi supermarket lama. Aku pernah ceritakan mengenai ini dulu.

Begitu obsesi aku tentang sesuatu perkara. Aku akan tetap cuba cari dan memilikinya. Kalau dapat, syukur. Kalau tidak, lain hari ada. Sehingga aku bosan.

p/s: Dia suka jambu batu dan laksa. Itu aku tidak pernah tahu. Sama seperti aku. :-)

Menunggumu: Penjelasan

Dua potret dalam post sebelum mungkin mengelirukan kerana ianya sengaja dipaparkan begitu agar hanya orang yang tahu sahaja, tahu.

Dan tajuknya juga memberi makna yang jelas. Kerana aku sedang menunggu jawapan. Tiga tahun menunggu.

Dalam masa itu, biarkanlah ianya begitu tanpa persoalan daripada kamu, ya.

26.12.09

Deria Ke Enam



Menjelang dekad seterusnya, beginilah mungkin cara manusia berinteraksi dengan persekitarannya. Aku harap aku cukup bertuah untuk menikmati teknologi sebegini, hasil ciptaan si genius, Pranav Mistry, seorang warga India. Kamu boleh fikirkan sendiri potensinya. Kamu boleh bayangkan bagaimana Orang Kurang Upaya dapat berinteraksi dengan lebih mudah. Itu contoh paling jelas.

Sungguh ini membuat aku kagum.

25.12.09

Izana & Feroz

Tahniah Izana dan Feroz sempena pertunangan hari ini.







Kena tunggu Jun tahun hadapan pula untuk majlis perkahwinan.

Observasi

Aku memerhati dan mendengar derap kasut berbunyi memecah kesunyian ruang. Aku andaikan mereka ini sedang dalam keadaan tergesa-gesa menuju destinasi mereka. Aku berjalan sama laju dengan mereka. Tetapi detik waktu terasa begitu perlahan berbanding dengan bunyi yang keluar dari kasut pada setiap langkah diambil.

Seperti stop motion; nampak pantas, namun realitinya tidak lebih daripada satu detik rakaman dilakukan dalam satu masa.

Keliru? Tidak mengapa. Kamu tidak perlu faham sebenarnya.

Kalau masih hendak aku jelaskan, penjelasannya sangat mudah dan seperti yang pernah aku berikan sebelum ini. Aku terasa seperti dunia pantas berlalu sedang aku masih di sini. Kaku berdiri melihat suasana berubah. Keadaan berubah.

Pernah kamu rasa begini?

24.12.09

Bukan Kerana Wang Ringgit

Aku diminta untuk merakamkan gambar majlis pertunangan seorang rakan pejabat pada hari jumaat ini. Aku terima dan aku sebenarnya tidak letak apa-apa bayaran dan syarat. Aku akan pergi dan rakamkan gambar.

Aku sedari sesuatu. Aku berbincang dengan seorang rakan lain mengenai majlis tersebut. Dia bertanyakan kepada aku sama ada aku mengenakan bayaran untuk itu. Aku kata tidak. Dia agak marah/bising mengenainya dan berkata aku sepatutnya kenakan bayaran.

Aku cakap, ini adalah kawan. Aku tidak sanggup untuk minta sebegitu daripada kawan.

Aku bukan seorang yang pandai menilai perkara-perkara sebegini. Dia bertegas bahawa aku masih perlu menuntut bayaran atas perkhidmatan yang diberikan, walaupun kecil. Lalu dia tawarkan diri untuk membantu mengendalikan urus niaga. Namun, jauh di sudut hati, aku tidak mahu dia melakukannya. Aku tidak mahu kenakan apa-apa bayaran atas kerja aku ini

Aku sedari sesuatu. Fotografi adalah minat dan hobi aku. Aku kurang pandai melukis. Aku tidak pandai mewarna kerana aku seorang yang rabun warna. Tetapi bila berfotografi, bagi aku itu adalah seni. Sesuatu yang aku lakukan dengan penuh tumpuan dan "passion". Berapa nilainya kalau hendak dinilai?

Aku tidak tahu.

Aku tidak mahu tahu. Kerana harganya telah dibayar apabila hasil rakaman gambar itu memuaskan hati aku dan juga orang lain yang melihatnya. Ketika itu, tiada harga yang dapat membeli kepuasan hati aku apabila berfotografi.

Aku harap kamu faham. Tiada nilai untuk rakaman fotgrafi aku.

Ubahsuai

Menjelang tahun 2010, aku menukar sedikit warna blog ini. Aku juga menukar banner blog ini; gambar Masjid Sultan Mizan di Putrajaya berlatarkan suasana senja. Ini adalah potret natural yang sempat aku rakam. Tiada edit, kecuali crop untuk muat di dalam ruang banner di atas.

Juga, tiada niat apa-apa mengenai gambar masjid yang diletakkan sebagai banner. Aku sekadar suka gambar ini dan aku fikir memandangkan ianya adalah antara gambar permandangan terakhir yang aku rakam tahun ini, aku mahu jadikan ia penyambut kedatangan tahun yang baru.

Kenapa latar belakang hitam dan tulisan juga ditukar kepada kehitaman? Aku mahu lebih kontras, itu saja. Ruang putih ditulis dengan baris-baris kata dan berlatarkan warna hitam nampak lebih elegan dan cool.

Kalau mengikut perkiraan, tahun ini adalah tahun yang ke 10 aku menulis di dalam web. Dulu aku menulis dalam bentuk jurnal di laman web sendiri. Letih untuk siapkannya satu per satu. Kini ianya amat senang. Buka dan tulis dan post. Itu saja yang diperlukan.

Semoga blog ini akan berterusan untuk satu jangkamasa yang lama.

22.12.09

Jus Jambu Batu

Kalau aku balik ke kampung lagi nanti, aku pasti akan berhenti di hentian Tapah untuk membeli buah jambu batu. Bukan untuk dimakan, tetapi untuk diminum. Mungkin juga aku kena beli mesin pengisar buah. 

Aku mahu hasilkan jus jambu batu.

Ini semua kerana penangan jus jambu batu di Seksyen 18, Shah Alam tempohari. Sedap, sedar dan nikmat. Aku cuba cari di kawasan sekitar Seri Kembangan dan Putrajaya. Memang tiada.

Aku salahkan kamu kerana tidak beritahu aku awal-awal.

Hehe.

Aku Ingin Tahu Maksud Itu

"Menatap indahnya senyuman di wajahmu, membuat ku terdiam dan terpaku..."

Pada ketika itu, mahu saja aku genggam tangannya dan berkata,

"Telah lama perasaan ini dipendam, sejak tiga tahun dulu. Hari ini sekali lagi ingin ku beritahu kepadamu mengenainya, agar dirimu tahu, ianya masih tetap sama."

Kalaulah aku sebegitu berani.

"Aku ingin engkau selalu, hadir dan temani aku..."

Maka saat-saat itu berlalu begitu saja tanpa aku melakukan apa-apa. Aku pergi dan dalam keadaan hati sedang membisu, memandu tanpa arah tuju mencari ruang untuk berasa damai seketika. Kerana ketika itu, hati sedang gusar. Sedang berduka. Tersia-sia tiga tahun itu, fikirku.

Kemudian dia datang bertanya, di mana aku sedang berada.

Mahu saja aku jawab,

"Sangat dekat dengan dirimu"

Tetapi kerana gusar, aku tidak mahu melangkah sejauh itu, walau hanya dengan kata-kata. Lalu aku katakan aku jauh darinya, ketika itu secara literal. Lama kemudian, dia bertanya lagi aku sedang berada di mana.

Mahu saja aku jawab,

"Sentiasa dekat dengan dirimu"

Tetapi kerana hampa, aku tidak menuruti desakan hati untuk meluahkannya. Lalu aku katakan aku masih berada di tempat yang sama, ketika itu secara literal.

Malam itu dan siang tadi aku menatap kembali baris-baris katanya, cuba untuk aku fahami kenapa. Apa yang cuba disampaikannya dalam setiap pertanyaan itu; soalan yang sama.

Tadi, dia bertanya lagi, aku sedang berada di mana.

Mahu saja aku jawab,

"Tidak sedetik lagi, aku akan berada di sisimu."

Namun seperti biasa, jawapan aku tidak begitu.

Kamu beritahu aku, apa yang dia mahu dalam setiap soalan yang sama itu?

20.12.09

Jauh Perjalanan, Banyak Kritikan

Selesai menghadiri majlis perkahwinan sahabat di Gombak petang tadi, aku terus memandu ke arah Ulu Yam. Sudah lama aku tidak ke sana. Lebih setahun, mungkin. Pertamanya, aku mahu menyampaikan cermin mata Pak Ngah di rumahnya. Dia tertinggal di Kuala Kangsar tempohari.

Keduanya, hajat di hati ingin berjumpa seorang sahabat lama, sahabat semasa di universiti suatu masa dulu. Sampai di tepi jalan masuk ke rumahnya di Kampung Kalong Tengah, aku menelefonnya. Dia tiada di rumah. Tidak mengapalah. Aku mahu balik dan berehat.

Kerana aku sudah jauh di Ulu Yam, aku terus saja balik melalui Serendah, Rawang dan Selayang, seterusnya ke Kuala Lumpur. Lama juga aku tidak lalui jalan ini. Banyak yang sudah berubah. Suasana dan keadaan sekeliling juga sudah berubah.

Lembah Klang terlalu cepat membangun. Jalanraya semakin berlingkaran keluar dan masuk. Susur keluar bertingkat di setiap simpang yang kamu jumpa pasti akan membuatkan kamu keliru. Mungkin lima tahun dari sekarang, aku perlukan sebuah alat GPS untuk mencari laluan di Lembah Klang.

Hujung minggu juga tidak terlepas dari kesesakan jalanraya. Aku masih ingat ketika aku baru tiba di Kuala Lumpur sekitar penghujung 1992 dan bekerja sementara di sebuah syarikat jual beli saham sehingga pertengahan 1993, hujung minggu adalah hari paling selesa untuk ke sana sini. Bas mini langsung tidak sesak, jalanraya juga tidak sesak. Keluar di hujung minggu adalah santai. Kamu tidak perlu risau terperangkap dalam kesesakan jalanraya, kecuali sewaktu hari-hari bekerja.

Siang tadi, di mana-mana saja kamu lalui, berlaku kesesakan jalanraya. Dua buah kereta yang cuma bergesel sedikit di bonet, boleh menyesakkan jalanraya hingga berkilometer jauhnya. Ralatnya, kerana bergesel sedikit di tengah jalanraya, pemandu kenderaan berhenti di tengah-tengah jalanraya dan berbincang. Kalau kamu mahu polis selesaikan, lain cerita. Ini hendak berbincang sesama sendiri, alihkanlah kereta ke tepi jalan atau berhenti di mana-mana. Catat saja nombor pendaftaran kereta kalau tidak yakin. Janganlah jadi bebal sangat.

Begitu juga kalau kamu baru datang ke kotaraya atau kurang mahir memandu, maka kamu memandu 40 - 50 kilometer sejam di laluan tengah dalam keadaan kurang pasti hendak ke mana. Kenapa laluan tengah? Kenapa tidak di laluan paling tepi saja? Bukankah lebih selamat dan lebih senang hendak keluar ke susur keluar nanti? Pemandu sebegini aku anggap mereka terlalu pentingkan diri sendiri dan tidak peka dengan keadaan. Malas kata bodoh kerana mereka sebenarnya tahu itulah maksud aku.

Kamu tahu apa yang aneh sepanjang aku memandu siang tadi? Aku tidak nampak sebuah kereta polis, motosikal peronda polis atau anggota polis di mana-mana pun. Mana mereka pergi? Rasanya polis memang ramai di Malaysia. Tetapi siang tadi dalam keadaan sesak, mereka tiada.

Paling menarik, malam sewaktu menonton Avatar di Alamanda, aku disaman kerana meletak kereta di tepi jalan. Tertulis di surat saman pada jam 2.05 pagi, aku mengganggu lalu lintas jalan. 2.05 pagi di Alamanda, aku mengganggu lalu lintas jalan! Kamu tiada kerja lain ke, encik Polis? Atau mahu cukupkan kuota saman kamu sebulan?

Aku juga lihat sebuah kereta di tahan di tepi jalan sebaik keluar dari Alamanda selepas menonton Avatar. Aku hairan. Apa masalah polis di Putrajaya? Sudah tidak ada kerja lain nak buat?

Bukan aku mahu kritik polis. Tapi kadang-kadang tindakan mereka seperti memperbodohkan diri sendiri. Polis akhirnya jadi agensi yang dibenci dan ditakuti kerana tindakan mereka ini. Sepatutnya Polis menjadi agensi contoh yang dihormati dan di sanjungi. Sebaliknya berlaku.

Sama seperti media arus perdana yang terlalu bebal. Kamu fikir dengan 'black-out' berita parti politik lawan, kamu boleh mempengaruhi pemikiran orang? Internet ada. Lama-lama kamu akan jadi pembungkus kacang putih, kalau penjual mahu guna kertas surat khabar. Kalau tidak, kamu jadi sampah.

Perkara kecil ini sepatutnya pemimpin kita lihat dan perbetulkan kalau mahu memenangi hati rakyat. Bukan melaungkan di atas puncak dunia tentang kehebatan kamu.

Huh.. melalut dah aku.

19.12.09

Runut Bunyi

Runut bunyi di dalam hati berbunyi ceria;

Doom doom doom
Dam dam dam

La la la
Na na na

Hey hey hey
Hoo hoo hoo

Hey hey hey
Hee hee hee
Hoo hoo hoo

Doom doom doom
Dam dam dam

La la la
Na na na

La la la
Na na na...

Hati masih tetap tidak mahu senyum.

Biarkanlah.

Dom dom dom
Dam dam dam

La la la
Na na na

Hey hey hey
Hoo hoo hoo

Hey hey hey
Hee hee hee
Hoo hoo hoo...

17.12.09

Avatar



Aku menonton filem Avatar karya James Cameron tadi. Filem fiksyen sains sepanjang hampir 3 jam (dekat jam 3 pagi baru aku keluar pawagam) ini bagi aku adalah filem terbaik (kategori fiksyen sains) tahun ini.

Malah, kalau hendak difikirkan kembali, Avatar merupakan revolusi besar dalam pembikinan filem. Bukan sekadar mengaburi garisan antara realiti dan animasi komputer, ianya memadam terus garis sempadan itu. Sepanjang filem itu, kamu tahu ianya animasi komputer tetapi kamu juga mahu percaya ianya benar-benar wujud kerana suasananya sungguh realistik.

Kamu juga terpanggil untuk berfikir, sejauh mana imaginasi manusia. Kita mampu mencipta sebuah dunia yang begitu berbeza dengan apa yang ada di sekeliling kita tetapi dalam masa yang sama, begitu dekat dengan kita. Kita boleh rasakannya.

Selebih daripada itu, Avatar adalah pembuka mata dan secara literalnya, kamu perlu buka mata seluas mungkin untuk melihat betapa "kaya"nya sinematografi filem ini. Flora fauna di planet Pandora dan kehidupan makhluk yang diberi nama Na'vi. Kalau hendak dibandingkan dengan siri Lords Of The Ring, aku fikir Avatar sudah semakin jauh ke hadapan. Motion Capture yang dilakukan (sama seperti yang dilakukan untuk watak Gollum dalam LOTR) jauh lebih sempurna dan berkesan.

Paling menarik dalam Avatar adalah perkara kecil yang menjadi daya penarik sampingan. Tumbuh-tumbuhan dan kehidupan hutan di Pandora adalah di luar jangkaan kita. Watak dan sifat haiwan juga berbeza. Malah, flora yang terdapat dalam filem ini begitu unik, kamu mahu ianya wujud di dunia nyata.

Cuma ada beberapa ralat. Na'vi saling tidak tumpah dengan kaum Red Indian di Amerika Syarikat, baik dari segi gaya mahupun budaya. Ianya adalah persamaan paling hampir dengan manusia. Watak antagonisnya, Colonel Miles Quaritch seperti terlalu obses dengan berperang sedang dia cuma askar upahan syarikat korporat yang melombong di planet Pandora (yang menimbulkan semua konflik). Seperti tidak ada tangan yang lebih untuk menghalang gila perangnya. Percubaan untuk 'memanusia'kan Na'vi. Aku fikir manusia tidak begitu ego untuk mengubah hidup makhluk lain. Paling jelas adalah persamaan sifat kehidupan dan matlamat cerita dengan filem-filem anime Jepun yang biasa kita lihat seperti Gaia, pokok induk yang besar dan hubungan antara makhluk dan bumi yang diduduki mereka. Hampir sama saja idealisme dengan anime/filem Jepun.

Secara keseluruhan, Avatar adalah filem yang cukup hebat. Karya James Cameron tidak pernah mengecewakan. Kalau Avatar sudah begini hebat, aku tidak dapat bayangkan filem Battle Angel yang bakal keluar pada 2011 nanti.

Aku pasti kamu tidak rugi apabila menonton Avatar. Tontoni untuk mengagumi hasil sinematografi dan kesan khasnya. Kamu akan terpesona. Kalau aku perlu beri rating antara 1 hingga 10, aku beri 9.

15.12.09

Cas Negatif

Aku pelik dengan rakyat Malaysia sekarang. Apa saja dipolitikkan dan semuanya dikaitkan dengan politik. Malaysia menang perlawanan bolasepak sukan SEA pun dipolitikkan. Jambatan runtuh, dipolitikkan. Orang mati, dipolitikkan. Kucing beranak, pun dipolitikkan.

Ini tandanya orang kita tiada kerja lain selain berpolitik. Kemudian sibuk kata negara kita ketinggalan dari segi ekonomi berbanding Singapura atau Thailand. Kalau semua perkara dipolitikkan, memang kita akan kena tinggallah. Politik ini macam kamu letak pagar berduri setiap meter laluan kamu dan kamu perlu melangkahnya. Kalau laluan kamu itu 100 meter, bila kamu sampai di penghujung, kamu koyak rabak seluar, calar balar kalau tidak cedera teruk kaki, tangan, badan dan segalanya.

Tapi kalau itu kamu tetap mahu lakukan atas alasan nak memperbetulkan salah yang ada dalam politik negara, aku fikir kamu berhak melakukannya. Cuma, lama-lama orang akan bosan. Bila orang sudah mula bosan, mereka tidak ada jalan lain selain daripada berpaling pergi meninggalkan kita yang tidak sudah-sudah masih mahu berpolitik.

Aku juga tidak faham di mana letak kewarasan orang kita berfikir. Segala yang dilakukan nampak negatif saja. KLCC, negatif. Putrajaya, negatif. Formula 1, negatif. Lebuhraya Utara Selatan, negatif. Internet, negatif. Tapi mereka juga adalah antara manusia yang menggunakan sebahagian daripada bahan kritikan itu.

Aku nampak orang kita memilih untuk sentiasa berfikiran negatif, terutamanya apa-apa perkara berkaitan dengan kerajaan yang memerintah sekarang. Kita boleh jadi pembangkang, tapi jadilah pembangkang yang bijak. Kita memberi pandangan negatif, kita juga perlu menyediakan sebuah penyelesaian yang positif. Kalau tidak, apa yang kita cakap adalah kosong semata-mata. Macam ketuk tong kosong; bunyi saja kuat tapi isi langsung tiada.

Manusia yang marah ini, yang menghampurkan kata-kata kesat dan kemarahan mereka di segala ceruk tempat, aku simpati dengan mereka. Mereka tidak mampu berfikir dengan positif. Atau cuba mempositifkan perkara-perkara negatif dalam keadaan di Malaysia ini. Seperti contoh, orang yang kata Putrajaya membazir. Kalau dari segi kos, mungkin membazir. Tapi aku rasa Putrajaya menyelesaikan banyak perkara. Juga menambah banyak perkara. Kamu tidak perlu bersusah payah untuk berfikir. Datang setiap hujung minggu waktu malam di hadapan masjid Putra. Lihat betapa ramai keluarga dan anak-anak kecil mereka di situ. Kamu tidak akan nampak perkara yang sama di Kuala Lumpur. Kalau kamu faham maksud akulah. Tapi kalau kamu masih hendak berfikir secara negatif, terpulang.

Cukuplah berfikiran negatif. Aku letih hendak membaca rakyat kita sendiri mengutuk negara di laman web antarabangsa. Kononnya mereka mewakili rakyat Malaysia yang tidak puas hati. Tapi kalau membaca gaya tulisan mereka, ianya tidak lebih daripada perbuatan bodoh orang yang tidak berfikir panjang. Pelik juga bila kamu lihat di laman web antarabangsa menyiarkan berita positif mengenai Malaysia tetapi orang Malaysia sendiri meninggalkan komen yang negatif di berita itu. Kamu bodoh ke?

Cuba berfikir secara positif, 5 minit pun cukuplah sebelum kamu mengkritik sesuatu perkara itu. Kalau kamu masih juga tidak nampak apa-apa, kutuklah. Betul, kita sedang menghasilkan rakyat Malaysia "Tak" Boleh! Sudah semakin ramai. Kerana mereka memilih untuk tidak melihat dari sudut positif.

Tidak mengapa, betul juga kata kamu itu. Itu hak kamu. Aku mana boleh masuk campur. Teruskan.

Ringkas

Tiba dari Kuala Kangsar jam 10 malam tadi, agak keletihan. Memandu malam memerlukan tumpuan lebih tinggi terutama bila berhadapan dengan lampu belakang lori yang malap dan sekecil semut. Kenapa agaknya lori yang amat besar tetapi lampu belakang sentiasa kecil dan malap? JPJ, daripada kamu tahan orang tinted cermin, lebih baik tahan lori yang lampu belakang begitu. Bahaya, tahu? Patut wajibkan semua lori guna lampu LED yang sekarang semakin popular.

Aku sebenarnya memandu tadi dalam keadaan sakit kepala. Migrain agaknya. Sampai sekarang masih sakit. Baru telan panadol. Lepas ini aku perlu tidur. Esok kerja. Kalau ada kerja di pejabat hendak dibuat. Rasanya tiada.

Kamu, tidur!

14.12.09

Kereta Sudah Okay Dan.... Hehehe, Menarik Juga

Kereta Sudah Okay. Tapi nak balik ke tak?

Nak balik ke tak?

Nak balik ke tak?

...

Tunggu jam enam petang. Ikut gerak hati aku.

Tapi tengahari tadi aku jumpa orang. Orang lain, bukan yang semalam. Kali ini dekat saja. Di Kuala Kangsar. Bila tahu cerita sebenar, aku tersenyum.

Patutlah.

Tetapi amat menarik juga.

13.12.09

Kereta Rosak Dan... Hehehe, Menarik

Ya, kereta rosak.

Kalau aku tak balik ke Putrajaya esok, korang tahu kenapa.

Rosak atas highway dalam perjalanan ke Ipoh siang tadi. Sebenarnya dari pergi JB tempohari sudah rosak. Cuma aku fikir ianya tidak serius. Tadi, kereta aku menunjukkan betapa seriusnya dia rosak. Terdampar aku di RNR tepi sungai Perak menanti adik aku datang, bawa kereta ganti. Aku perlu ke Ipoh untuk, heh... jumpa orang.

Kereta tinggal situ sampai esok. Sudah ambil barang yang perlu dibaiki. Esok boleh pasang terus. Emak tadi suruh aku beli saja kereta baru. Ye lah, tahun depan. InsyaAllah. Nissan GTR atau Lotus Evora. Tunggulah. :p

Jumpa siapa di Ipoh siang tadi? Adalah. Menarik orangnya. Jumpa di luar lebih menarik. Baru tahu sifat sebenar. Cuma tidak menariknya, ada orang lain bersama. Jadi, kurang selesa untuk lebih mesra. Okay, cukuplah untuk menimbulkan kontroversi.

Kalau kereta okay esok, esok aku balik. Kalau tidak, err... lusa balik.

Bina Semula Kuala Kangsar!

Lepas maghrib, bandar Kuala Kangsar jadi sunyi sepi. Kalau bising pun, mungkin kedai makan di tepi Sungai Perak atau di Benteng. Atau di pasaraya (ada sebuah saja), KFC dan 7Eleven.

Malam, Kuala Kangsar adalah bandar mati. Dan aku salahkan Majlis Perbandaran dan agensi yang sepatutnya memeriahkan musim cuti sekolah dan waktu malam di Kuala Kangsar. Kamu tengok anak-anak muda melepak di kedai makan, tepi jalan, bawah jet A4 Skyhawk yang diletakkan di atas jaluran air (mungkin maksudnya jet pejuang itu selalu terhempas ke dalam air - suatu ketika dulu).

Musim cuti sekolah beginilah sepatutnya agensi (terutamanya Majlis Perbandaran) mengambil inisiatif untuk memeriahkan suasana bandar. Adakan program-program yang boleh menarik minat ramai orang untuk menyertainya. Jangan tertumpu program motivasi di masjid saja.

Kadang-kadang aku hairan, apa orang dalam Majlis Perbandaran buat? Fikirlah secara kreatif sikit untuk menarik minat orang datang ke bandar mereka. Ini tidak, mereka langsung tidak peduli mengakibatkan anak-anak muda melepak dan membuang masa.

Aku anggap agensi yang bertanggungjawab semua adalah tidak sensitif dan tidak pedulikan manusia lain. Mereka lebih rela lakukan kerja pejabat 24x7. Kalau rajinlah tu.

Entahlah, Bandar Kuala Kangsar perlu ubahsuai semula agar ianya boleh menjadi sebuah bandar yang dinamik, menarik dan cool untuk datang. Tapi jangan haraplah kalau selagi mentaliti tidak berubah.

Jangan Ada Benda Yang Tiada!

En. Maxis, lain kali kalau area coverage tiada HSDPA atau 3G, jangan mengaku ada. Aku di tengah Bandar Kuala Kangsar dan coverage sini macam zaman batu.

Untung nak, tapi servis macam ini, kamu memang menyusahkan.

Aku bercakap mengenai broadband.

11.12.09

Nostalgia

Banyak video lama kita boleh jumpa dalam YouTube. Tambah menarik kalau video-video nostalgia yang mengembalikan kenangan lama.







Kita tidak boleh pusing balik masa. Tapi sekurang-kurangnya kita boleh kenang melalui cara ini.

Berharap

Akhir perbualan (menerusi SMS) dengannya tadi, aku mengirim sebaris ayat,

"Awak jauh cuma pada lokasi saja, diri awak sendiri masih dekat."

Lama kemudian baru aku terfikir, bodohnya aku. Aku sekali lagi lalui jalan yang tidak sepatutnya aku lalui. Aku masih hendak mengharunginya walaupun sebelum ini, sudah berkali-kali ianya gagal. Dengan orang yang sama.

Masalah dengan dia adalah kerana dia tetap akan kembali walaupun dia menghilang diri. Kadang-kadang dalam masa yang sangat lama bila hati ini sudah reda gelodaknya, dia datang ketika itu. Masalah juga kerana selama ini juga, sejauh mana pun dia pergi, aku rasakan dia sentiasa dekat. Maknanya aku sentiasa masih berhadap. Which is bad.

Sedang tiada sepatah dalam baris-baris katanya itu yang memberi pengharapan. Atau memberi petunjuk ke arah itu. Baris-baris kata dari dia biasanya biasa saja. Tidak menujukkan apa jua keadaan yang dia memberi harapan. Tidak dan tiada. Cuma aku, dalam keadaan hati yang rapuh (terhadapnya), masih buta mungkin untuk melihat realiti.

Aku pasti kamu juga ada kelemahan sebegini. Aku harap ianya tidak menyusahkan diri kamu sepanjang masa.

9.12.09

Seketika

Maaflah kepada rakan-rakan yang mengundang ke majlis perkahwinan mereka dan aku tidak dapat menghadirinya. Hujung minggu tempohari aku ada mesyuarat. Hujung minggu ini aku mahu balik kampung, seperti yang telah dijanjikan kepada emak beberapa bulan lalu. Minggu hadapan mungkin aku dapat penuhi satu jemputan.

Jemputan daripada aku? Tunggu.

====

Seorang kenalan kehilangan neneknya semalam. Aku tumpang simpati. Datuk dan nenek aku sudah meninggal dunia lama dulu. Aku sudah lupa kenangan bersama mereka. Masih ada tetapi tidak banyak.

Datuk sebelah ayah selalu duduk di sudut kecil di beranda rumah sambil merenung ke arah jalanraya tidak jauh dari rumah. Di belakang tempat duduknya ada sebilah pedang, kenangan semasa beliau berkhidmat sebagai anggota bomba dahulu. Aku sering duduk menemani beliau di situ. Beliau meninggal dunia awal 80an. Aku tidak pernah ingat dia sebagai seorang yang garang. Bagi aku dia adalah amat baik dan sentiasa melayan karenah cucunya.

Nenek sebelah ayah meninggal dunia ketika aku sedang menghadapi peperiksaan di sekolah. Awal 90an. Inilah nenek yang paling aku kenal dan paling rapat. Sentiasa berbaju kebaya nyonya, rokok di tangan dan dengan gaya percakapan seperti orang dulu-dulu. Semasa hayatnya, beliau berniaga di kantin sekolah dan aku belajar berniaga di situ. Menjual air sirap berharga 10 sen segelas dan kuih muih yang dibuat sendiri oleh nenek dan anak-anaknya. Di penghujung hayatnya, dia memanggil aku dan ramai ahli keluarga dan memberi nasihat serta amanat terakhir, seperti tahu masanya sudah tiba untuk pergi. Aku masih terkenang saat-saat itu.

Datuk sebelah emak meninggal tahun dalam tahun 90an. Berbadan besar dan berambut putih, beliau adalah salah seorang yang diiktiraf sebagai pejuang kemerdekaan. Beliau suka berjenaka dan bergurau senda dengan cucu-cucunya. Aku yakin, sesiapa saja yang mengenali beliau, akan mudah mesra dengannya. Aku belajar sesuatu daripadanya, cuma lama selepas itu baru aku menyedarinya. Aku ditunjukkan bagaimana menjadi seorang manusia yang berguna dan bertanggungjawab. Aku sentiasa mengeluh bila ada saja kerja yang disuruh aku buat sedang ada cucu-cucunya yang lain di sekeliling. Aku mula fikir ianya tindakan berat sebelah. Tetapi lama kemudian aku sedari, ianya lebih kerana beliau tahu aku boleh melakukannya berbanding cucunya yang lain. Ianya suatu penghargaan dan penghormatan.

Nenek sebelah emak adalah yang paling akhir meninggal dunia, lewat 90an. Orangnya kecil dan sentiasa bersuara halus. Kalau sekarang aku mahu melihat nenek, emak adalah gambaran paling jelas; saling tidak tumpah sama perwatakannya. Mungkin emak sendiri tidak menyedarinya.

Tiada yang lebih berbeza kalau hendak dibandingkan dengan cara hidup datuk dan nenek sebelah ayah, dan datuk dan nenek sebelah emak. Sebelah ayah, hidupnya di bandar dan penuh dengan pergerakan. Nenek sebelah ayah ligat bergerak ke sana ke mari sedang datuk cuma duduk di sudut dalam keadaan tenang dan damai. Sebelah emak, datuk adalah orang yang aktif ke sana ke mari sedang nenek lebih selesa duduk di sudut dapur dan diam membaca surat khabar.

Mereka semua sudah lama meninggal dunia. Tetapi aku masih ingat dan sentiasa akan ingat.

Aku simpati dengan kehilangan nenek seorang sahabat. Lebih kerana sahabat ini sentiasa begitu istimewa dalam hidup aku. Dialah yang sentiasa aku harap-harapkan, sehingga saat ini. Jadi, apa yang pedih dalam hidupnya, aku juga terasa.

Semoga tenang hidupmu menghadapi dugaan.

====

Esok siang, kembali bersenam setelah lama tertangguh.

8.12.09

Azam Sekarang

Luar sana hujan rintik-rintik sejak tadi. Sejuk cuaca alam, ditambah dengan deruan angin dari kipas yang berputar semeter jaraknya dari kepala. Aku suka cuaca sejuk. Baik atau tidak untuk kesihatan, itu tidak penting.

Malam tadi baru aku selesai menontoh filem New Moon, sebuah daripada saga Twilight. Cerita yang menarik. Kebetulan beberapa hari sebelum, semasa di Thistle Johor Bahru, aku menonton Twilight di Star Movie. Itulah pertama kali aku menonton saga Twilight. Mungkin sedikit aku boleh katakan, aku sudah menjadi peminatnya. Tetapi tidak mungkin aku akan membaca novelnya. Mana ada masa. Novel Pramoedya aku beli tempohari pun masih belum aku sentuh.

Kata sudah tiba waktu santai hingga pertengahan Januari nanti. Nah... Belum rasanya. Ada lagi kerja yang mendesak di pejabat. Sesuatu yang aku rimas. Kerja orang lain, terpaksa aku lakukan. Cukup mengenai pejabat.

Secara nyata juga, kamera Canon 400D aku sebenarnyalah yang rosak, bukan lensa Tamron yang aku baru beli kira-kira 6 bulan lalu. Aku masih berkira-kira sama ada aku mahu membaikinya atau aku kumpul duit dan beli kamera baru. Pilihan untuk membeli yang baru itu amat menarik kerana kamera sekarang agak usang dari segi teknologi dan keupayaannya. Walaupun aku tidak perlukan megapiksel yang besar, aku masih perlukan teknologi memproses gambar di dalam kamera yang lebih canggih dan aku rasa aku sedikit perlukan fungsi "live view" iaitu fungsi merakam gambar melalui sudut skrin LCD.

Tetapi kamera Canon 500D atau Nikon D90 agak mahal harganya. Aku tidak berminat dengan Canon 450D atau Nikon D3000 kerana ianya agak biasa dari segi keupayaan.

Oleh itu, aku perlu kumpulkan duit. Maka aku mula berniaga. Aku menjual laptop/notebook PC dari jenama HP, Compaq, Acer dan Toshiba pelbagai model. Aku akan senaraikan kemudian nanti. Ianya sedikit murah daripada harga pasaran. Ianya unit-unit baru (fresh), bukan second-hand. Kalau kamu berminat, emel atau hubungi aku. Jumlah agak terhad.

Selebih daripada itu, aku perlu tidur. Jam sudah 1.58 pagi.


Keajaiban Hidup Ini

Bila aku jumpa si Fisya tempohari di Johor Bahru, tidak lepas dari ingatan aku betapa berbezanya beliau suatu ketika dulu, sewaktu baru dilahirkan. Tinggal di dalam inkubator selama beberapa bulan kerana dilahirkan pra-matang, cukup kecil dan "rapuh".


Menjelang umur Fisya tidak sampai sebulan dari sekarang, kamu boleh lihat seorang manusia yang sempurna sifatnya, yang hidup penuh gembira seperti tiada apa yang pernah berlaku terhadapnya suatu ketika dulu.



Keajaiban hidup ini.

7.12.09

Fisya

Semasa di Johor Bahru, aku berkesempatan bertemu Aliah dan anaknya, Fisya. Sudah besar si Fisya dan sudah semakin lincah.









Semoga Fisya terus membesar dengan sihat.

Sambung Sikit Lagi

PM kata, "Tuhan suruh berdoa yang baik-baik, bukan yang buruk".

Tuhan juga kata, jangan menzalimi orang, terutama rakyat di bawah pemerintahan sesebuah kerajaan.

Cukup.

5.12.09

Melangkah Lebih Jauh

Seperti biasa, kalau aku datang ke sesuatu tempat atas urusan kerja, jarang aku mahu bersiar-siar atau sekurang-kurangnya merakamkan suasana sekeliling melalui lensa kamera. Biasanya aku lebih suka berehat di bilik hotel. Atau merayau-rayau seketika. Aku cuba sumbat masuk seberapa banyak "imej" tempat tersebut ke dalam benak otak. Kemudian, suatu hari nanti aku akan datang kembali untuk bercuti.

Sepanjang empat hari di Johor Bahru, aku menginap di Hotel Thistle. Pada aku, khidmat pelanggan hotel ini adalah antara yang terbaik pernah aku alami. Aku bertanyakan meja untuk VIP, mereka tawarkan meja VIP, alas kerusi dan dome untuk menyimpan makanan. Aku mohon agar kopi dan teh dibiarkan di tepi bilik mesyuarat kerana bos mahu bermesyuarat hingga lewat malam, mereka tawarkan kopi dan teh dan pelayan untuk menghidang kopi dan teh.

Semuanya tanpa perlu mereka rujuk kepada penyelia atau orang atasan. Mereka tawarkan terus. Mereka sanggup mengambil satu langkah ke hadapan demi memuaskan hati pelanggan mereka.

Pejabat aku patut belajar serba sedikit mengenai perkhidmatan pelanggan sebegini.

Menuruti Kehendak

Di hotel Thistle Johor Bahru tempat aku sedang mengendalikan mesyuarat, ada tempat makan yang menyediakan live band. Menariknya, sedang kami makan malam, kami dihiburkan dengan nyanyian merdu dan irama piano yang menyenangkan. Waktu ketika itu lebih kurang 7.15 petang.

Keluar satu persoalan dari seorang rakan setugas.

"Apalah mereka ni. Tak tahu ke time Maghrib ni. Takkan nak nyanyi juga kot."

Mulanya aku mahu berdiam diri, tidak mahu komen mengenainya. Kemudian dia tambah lagi.

"Penyanyi tu pun orang kita juga. Takkan tak tahu kot?"

Aku cuma remark,

"Mungkin mereka tidak faham apa itu maghrib atau maghrib itu tidak wujud di dalam diri mereka."

Bukan, aku tidak mahu menilai rakan aku. Aku cuma mahu menilai mentaliti kita sebagai seorang yang diberi akal fikiran untuk berfikir. Adakah kita selama-lamanya mahu menjadi "selfish" dengan remaks sebegitu? Bagi aku itu adalah remark yang selfish, seperti tiada perkara lain yang wujud dalam dunia ini melainkan apa yang ada disekeliling kita saja. Jadi apa yang ada di sekeliling kita mestilah "confirm" dengan kehendak dan kefahaman kita.

Aku juga fikir aku selalu bersikap selfish sebegitu. Aku sentiasa mahu keadaan dan suasana mengikut kehendak dan kefahaman aku. Kalau ianya tidak mengikut susur peraturannya, kita timbulkan persoalan.

Seperti orang yang tidak membaca doa selepas sembahyang, kita anggap wahabi.
Seperti orang yang tidak pandai berfesyen, kita anggap kampung.
Seperti orang yang tunjuk pandai, kita anggap ego.
Seperti oarng yang tidak mahu mempedulikan kita, kita anggap sombong...

Realitinya, sama ada sedar atau tidak, kita mahu orang itu "confirm" dengan kehendak dan peraturan norma hidup kita. Agaknya kita mungkin lebih mudah mengkritik. Kerana kritik biasanya melibatkan orang lain, bukan kita.

3.12.09

Berlari Sana Sini

Selesai kerja di Putrajaya.

Nak bergerak ke Johor Bahru sekarang. Ada mesyuarat hingga Ahad.

:-)

1.12.09

Berhenti Sekejap, Segarkan Otak

Selesai saja persembahan di penghujung petang tadi, hati berasa amat lega. Apa pun keputusannya nanti, aku tidak peduli. Menang bukan tujuan aku, walaupun ianya suatu pertandingan. Lebih penting dari itu, aku mahu mengasah keupayaan aku mengasilkan slaid persembahan yang lebih menarik, efisien dan menepati citarasa serta keadaan. Untuk siang tadi, aku berpuas hati. Cuma kalau ada lebih masa, pasti hasilnya juga akan lebih menarik.

Aku masih perlu menyiapkan sebuah slaid persembahan untuk majlis pada Khamis nanti. Tetapi biarlah aku berehat dulu malam ini. Tidur awal dan rehatkan fikiran. Mungkin dalam mimpi nanti, aku boleh temui idea yang menarik.

Khamis petang, aku perlu ke Johor Bahru (Lea, nak tengok Fisya!). Ada kerja di sana sehingga penghujung minggu. Selepas itu, santai hingga tahun baru. Adik aku bekerja di sana. Aku baru sedarinya dan ingat kembali apabila emak memberitahu mengenainya semalam.

aku juga sudah tinggalkan janji kepada emak yang aku akan balik pada penghujung minggu hadapan, insyaAllah. Cukuplah balik di penghujung minggu. Berbanding dengan ayah, aku lebih rapat dengan emak. Sejak dari kecil keadaannya begitu. Adik nombor dua aku lebih rapat dengan ayah. Entah kenapa.

Aku mahu pastikan aku tidur sebelum jam 12, malam ini.

Selesai Namun Belum Murni

1.30 Pagi. Selesai kerja. Selesai secara kasar. Esok perlu diperhalusi atau lebih gemar digunakan, perlu "dimurnikan" lagi hasil kerja ini.

Aku sebenarnya perlu asingkan 186 slaid persembahan kepada tiga (3) skrin berbeza yang akan ditayangkan serentak. Hasilnya tadi, setiap skrin akan terdapat lebih kurang 55 slaid. Slaid yang berkaitan antara satu sama lain akan dipaparkan serentak untuk menjimatkan masa.

Ini slaid pertandingan Kumpulan Inovatif & Kreatif. Aku fikir cara menyebarkan slaid ke tiga buah skrin sekaligus adalah cara terbaik dan menjimatkan masa. Ianya lebih efisien, disamping panel dapat lebih lama meneliti slaid yang terpapar (tetapi biasanya mereka lebih selesa rujuk buku di hadapan mata). Ya, kumpulan aku menggunakan tiga skrin (layar projektor) sekaligus, walaupun kalau di peringkat kebangsaan, ianya cuma dihadkan kepada dua. Menggunakan tiga slaid adalah jauh lebih mudah, bagi aku.

Tetapi apa yang aku sering perhatikan dalam persembahan kumpulan lain, mereka tidak mahir atau mungkin tidak faham fungsi dua atau tiga layar. Mereka lebih menumpukan kepada satu layar dengan satu atau dua layar lain dibazirkan dengan informasi yang tidak membantu. Akibatnya mereka perlu menayangkan banyak slaid pada setiap layar. 

Mungkin juga kerana mereka tidak faham apa yang mereka sedang lakukan. Itu aku rasa masalah paling besar. Syukur juga kerana aku sempat belajar memaksimakan impak penggunaan 2 - 3 layar semasa persembahan atau taklimat. 

Kamu hanya perlu menonton "An Inconvenient Truth" oleh Al Gore untuk memahami konsep multi layar yang efektif. Ianya bukan semata-mata fancy atau cool. Ianya lebih bersifat, berapa efektif kita menggunakan ruang layar tersebut untuk menyebarkan informasi.

Aku pernah menawar diri untuk mengajar di pejabat. Tetapi biasalah, kamu sendiri faham. Manusia ini ramai penuh dengan ego. Biarlah. Their lost.

Ringkas

Bila aku lakukan suatu kerja, terutama bila dilakukan di saat-saat genting, aku perlukan tumpuan sepenuhnya. Tidak suka diganggu dan kalau boleh tidak mahu ada suasana yang mengganggu. Dalam suasana yang ideal, kerja yang dihasilkan adalah lebih pantas dan menarik.

Tetapi, terlalu jarang ada suasana yang ideal. Pasti akan ada gangguan. Bila dalam keadaan begitu, biasanya aku diamkan diri dan pekakkan telinga. Kamu panggil aku berapa kali pun, aku tidak akan pedulikan.

Ada keadaan yang menyebabkan aku seperti meninggikan suara. Aku tidak suka berlengah apabila kerja di saat-saat genting. Kalau boleh aku mahu lakukannya secepat mungkin selagi adrenalin aku sedang tinggi. Kalau ianya sudah turun, aku pasti akan tidur saja.

Nampak sangat aku tidak berapa bagus untuk multi-tasking.

====

12 Malam dan aku masih belum tidur. Ada satu kerja yang perlu aku buat. Selepas daripada itu, barulah aku boleh berehat, sehingga esok pagi.

====

Siapa kamu, ya?

Terima kasih atas semua komen. Aku amat menghargainya.