28.12.09

Kisah Air Jambu Batu

Semalam, dek kerana masih mengidam air jambu batu, aku keluar mencarinya. Kawasan sekitar rumah memang tiada yang menjualnya. Putrajaya apatah lagi. Lalu aku ke Dengkil, dengan sedikit harapan.

Cuaca mendung, tanda-tanda hujan semakin tiba. Perlahan aku memandu dan memerhati di kiri dan kanan jalan. Buah durian, buah manggis, pisang goreng dan air buah-buahan lain. Aku tidak mahu semua itu.

Bila hampir tiba di persimpangan dalam pekan Dengkil, aku terpandang sebuah gerai tepi jalan menjual air jambu batu. Ada. Sebuah gerai tanpa pengunjung. Pemilik gerai nampak terbaring di kerusi malas menunggu lesu. Musim hujan, tidak ramai yang suka berhenti tepi jalan membeli makanan dan minuman.

Lalu aku berhenti, muka tersenyum dan terus berjalan ke gerai. Aku memesan buah jambu batu bercecah serbuk asam boi dan segelas besar air jambu batu berinti serbuk asam boi. Anehnya, untuk serbuk asam boi, aku kena tambah 50 sen. Mahal!

Tetapi tidak mengapa. Demi untuk memuaskan kehendak aku, aku beli. Aku bayar harga barang dan terus ke kereta. Tiba dalam kereta, aku jadi tidak keruan. Aku pasti sangat segelas air yang aku sedang hirup tidak mencukupi.

Aku keluar dan dengan tersenyum (sekali lagi), aku memesan segelas besar air jambu batu berinti serbuk asam boi. Aku pastikan dia tidak letak lebih dari satu sudu air gula. Perlu aku ingatkan, kelmarin (Sabtu) semasa di Pasar Malam Jalan Tunku Abdul Rahman (dengan 'dia'), aku membeli segelas air jambu batu. Aku tidak mahu diletak air gula di dalamnya. Hasilnya, aku menghirup air jambu batu yang tawar tanpa rasa. Jelas penjual di Pasar Malam TAR menambah air biasa berlebihan.

Selesai membeli, aku menikmatinya di dalam kereta sambil memandu tanpa arah. Aku tiada arah tuju kerana aku cuma mhu menikmati air jambu batu dan jambu batu. Itu saja. Aku fikir, ketika itu hidup ini terasa mudah. Tidak perlu memikirkan hal dunia. Tumpuan aku hanya kepada air jambu batu di dalam gelas berstraw dan buah jambu batu dalam plastik bercecah serbuk asam boi. Oh ya, sudah semestinya tertumpu ke jalan raya juga.

Teringat kepada pertama kali menikmati jambu batu, sekitar penghujung 80an di Kuala Kangsar. Seorang nyonya cina menjual buah jambu batu di tepi supermarket lama. Aku pernah ceritakan mengenai ini dulu.

Begitu obsesi aku tentang sesuatu perkara. Aku akan tetap cuba cari dan memilikinya. Kalau dapat, syukur. Kalau tidak, lain hari ada. Sehingga aku bosan.

p/s: Dia suka jambu batu dan laksa. Itu aku tidak pernah tahu. Sama seperti aku. :-)

No comments:

Post a Comment