9.12.09

Seketika

Maaflah kepada rakan-rakan yang mengundang ke majlis perkahwinan mereka dan aku tidak dapat menghadirinya. Hujung minggu tempohari aku ada mesyuarat. Hujung minggu ini aku mahu balik kampung, seperti yang telah dijanjikan kepada emak beberapa bulan lalu. Minggu hadapan mungkin aku dapat penuhi satu jemputan.

Jemputan daripada aku? Tunggu.

====

Seorang kenalan kehilangan neneknya semalam. Aku tumpang simpati. Datuk dan nenek aku sudah meninggal dunia lama dulu. Aku sudah lupa kenangan bersama mereka. Masih ada tetapi tidak banyak.

Datuk sebelah ayah selalu duduk di sudut kecil di beranda rumah sambil merenung ke arah jalanraya tidak jauh dari rumah. Di belakang tempat duduknya ada sebilah pedang, kenangan semasa beliau berkhidmat sebagai anggota bomba dahulu. Aku sering duduk menemani beliau di situ. Beliau meninggal dunia awal 80an. Aku tidak pernah ingat dia sebagai seorang yang garang. Bagi aku dia adalah amat baik dan sentiasa melayan karenah cucunya.

Nenek sebelah ayah meninggal dunia ketika aku sedang menghadapi peperiksaan di sekolah. Awal 90an. Inilah nenek yang paling aku kenal dan paling rapat. Sentiasa berbaju kebaya nyonya, rokok di tangan dan dengan gaya percakapan seperti orang dulu-dulu. Semasa hayatnya, beliau berniaga di kantin sekolah dan aku belajar berniaga di situ. Menjual air sirap berharga 10 sen segelas dan kuih muih yang dibuat sendiri oleh nenek dan anak-anaknya. Di penghujung hayatnya, dia memanggil aku dan ramai ahli keluarga dan memberi nasihat serta amanat terakhir, seperti tahu masanya sudah tiba untuk pergi. Aku masih terkenang saat-saat itu.

Datuk sebelah emak meninggal tahun dalam tahun 90an. Berbadan besar dan berambut putih, beliau adalah salah seorang yang diiktiraf sebagai pejuang kemerdekaan. Beliau suka berjenaka dan bergurau senda dengan cucu-cucunya. Aku yakin, sesiapa saja yang mengenali beliau, akan mudah mesra dengannya. Aku belajar sesuatu daripadanya, cuma lama selepas itu baru aku menyedarinya. Aku ditunjukkan bagaimana menjadi seorang manusia yang berguna dan bertanggungjawab. Aku sentiasa mengeluh bila ada saja kerja yang disuruh aku buat sedang ada cucu-cucunya yang lain di sekeliling. Aku mula fikir ianya tindakan berat sebelah. Tetapi lama kemudian aku sedari, ianya lebih kerana beliau tahu aku boleh melakukannya berbanding cucunya yang lain. Ianya suatu penghargaan dan penghormatan.

Nenek sebelah emak adalah yang paling akhir meninggal dunia, lewat 90an. Orangnya kecil dan sentiasa bersuara halus. Kalau sekarang aku mahu melihat nenek, emak adalah gambaran paling jelas; saling tidak tumpah sama perwatakannya. Mungkin emak sendiri tidak menyedarinya.

Tiada yang lebih berbeza kalau hendak dibandingkan dengan cara hidup datuk dan nenek sebelah ayah, dan datuk dan nenek sebelah emak. Sebelah ayah, hidupnya di bandar dan penuh dengan pergerakan. Nenek sebelah ayah ligat bergerak ke sana ke mari sedang datuk cuma duduk di sudut dalam keadaan tenang dan damai. Sebelah emak, datuk adalah orang yang aktif ke sana ke mari sedang nenek lebih selesa duduk di sudut dapur dan diam membaca surat khabar.

Mereka semua sudah lama meninggal dunia. Tetapi aku masih ingat dan sentiasa akan ingat.

Aku simpati dengan kehilangan nenek seorang sahabat. Lebih kerana sahabat ini sentiasa begitu istimewa dalam hidup aku. Dialah yang sentiasa aku harap-harapkan, sehingga saat ini. Jadi, apa yang pedih dalam hidupnya, aku juga terasa.

Semoga tenang hidupmu menghadapi dugaan.

====

Esok siang, kembali bersenam setelah lama tertangguh.

No comments:

Post a Comment