Pada ketika itu, mahu saja aku genggam tangannya dan berkata,
"Telah lama perasaan ini dipendam, sejak tiga tahun dulu. Hari ini sekali lagi ingin ku beritahu kepadamu mengenainya, agar dirimu tahu, ianya masih tetap sama."
Kalaulah aku sebegitu berani.
"Aku ingin engkau selalu, hadir dan temani aku..."
Maka saat-saat itu berlalu begitu saja tanpa aku melakukan apa-apa. Aku pergi dan dalam keadaan hati sedang membisu, memandu tanpa arah tuju mencari ruang untuk berasa damai seketika. Kerana ketika itu, hati sedang gusar. Sedang berduka. Tersia-sia tiga tahun itu, fikirku.
Kemudian dia datang bertanya, di mana aku sedang berada.
Mahu saja aku jawab,
"Sangat dekat dengan dirimu"
Tetapi kerana gusar, aku tidak mahu melangkah sejauh itu, walau hanya dengan kata-kata. Lalu aku katakan aku jauh darinya, ketika itu secara literal. Lama kemudian, dia bertanya lagi aku sedang berada di mana.
Mahu saja aku jawab,
"Sentiasa dekat dengan dirimu"
Tetapi kerana hampa, aku tidak menuruti desakan hati untuk meluahkannya. Lalu aku katakan aku masih berada di tempat yang sama, ketika itu secara literal.
Malam itu dan siang tadi aku menatap kembali baris-baris katanya, cuba untuk aku fahami kenapa. Apa yang cuba disampaikannya dalam setiap pertanyaan itu; soalan yang sama.
Tadi, dia bertanya lagi, aku sedang berada di mana.
Mahu saja aku jawab,
"Tidak sedetik lagi, aku akan berada di sisimu."
Namun seperti biasa, jawapan aku tidak begitu.
Kamu beritahu aku, apa yang dia mahu dalam setiap soalan yang sama itu?
No comments:
Post a Comment