30.9.10

Lotus Baru

Aku ambil gambar-gambar Lotus baru ini dari laman forum di internet. Aku tidak bertanggungjawab mengenai hak cipta sebab aku tidak diberitahu mengenainya. :-)

Tengok sendiri arah tuju Lotus. Lupakan seketika sengketa Lotus Group/Proton dengan Lotus Racing/Tony Fernandes.

Lotus Elise
Lotus Elise redesign. Nampak lebih kepada street car berbanding track day car sebelum ini. 400 paun Lebih berat berbanding model sebelum.



Lotus Elan
Lotus Elan adalah everyday sport car Lotus yang baru. Mengembalikan nama Elan yang pernah digunakan sebelum ini. Lebih berkuasa daripada Elise.



Lotus Elite
Lotus Elite adalah model GT (Gran Turismo) dengan 2+2 tempat duduk serta berenjin depan. Bumbungnya juga boleh dibuka, ala Ferrari California. Tidak hairan kerana designer Elite adalah orang yang sama design California.



Lotus Esprit
Super car lagenda Lotus Esprit kembali! Lebih berkuasa dan nampak lebih cool. Cuma design sedikit membosankan.



Lotus Eterne
Lotus Eterne adalah model Lotus empat pintu yang pertama. Design hampir sama dengan Aston Martin Rapide dan Porsche Panamera. Bagi aku design ini agak meragukan. Mungkin Lotus boleh touch up supaya jadi lebih menarik.


29.9.10

Dust In The Wind



Dust In The Wind - Kansas


I close my eyes
only for a moment
and the moment's gone
all my dreams
pass before my eyes a curiosity
dust in the wind
all we are is dust in the wind

Same old song
just a drop of water
in the endless sea
all we do
crumbles to the ground
though we refuse to see
dust in the wind
all we are is dust in the wind

Now, don't hang on
nothing last forever
but the earth and sky
it slips away

And all your money
won't another minute buy

Dust in the wind
all we are is dust in the wind
dust in the wind
everything is dust in the wind

27.9.10

Cuaca

Aku baru hendak menulis,

"Cuaca di luar sangat cantik. Aku mahu berbasikal petang ini, InshaAllah".

Tetapi bila aku lihat kembali di luar, aku dapati cuaca semakin mendung. Hujan semakin tiba. Aku mahu kembali berbasikal setelah berehat sekian lama, sejak dari sebelum berpuasa lalu.

Harapnya cuaca kekal baik sehingga lewat petang, agar dapat aku berbasikal semula hari ini.

Sleeping Sun



Sleeping Sun - Nightwish featuring Tarja Turunen


The sun is sleeping quietly
Once upon a century
Wistful oceans calm and red
Ardent caresses laid to rest

For my dreams I hold my life
For wishes I behold my night
The truth at the end of time
Losing faith makes a crime

I wish for this night-time
to last for a lifetime
The darkness around me
Shores of a solar sea
Oh how I wish to go down with the sun
Sleeping
Weeping
With you

Sorrow has a human heart
From my god it will depart
I'd sail before a thousand moons
Never finding where to go

Two hundred twenty-two days of light
Will be desired by a night
A moment for the poet's play
Until there's nothing left to say

I wish for this night-time...

I wish for this night-time...

====

Aku ingat dulu aku pernah dengar mengenai kumpulan Nightwish tetapi tidak pernah dengar lagunya. Hari ini baru aku dapat dengar lagu-lagu Nightwish tetapi dengan penyanyi baru Anette Olzon. Lagu menarik tetapi suaranya agak lari daripada irama. Bila baca komen di YouTube, aku dapati bahawa Nightwish ada seorang bekas penyanyi yang begitu popular, Tarja Turunen. Bila aku dengar lagu Nightwish dengan Tarja Turunen sebagai penyanyi, barulah aku faham kenapa Nightwish begitu popular suatu masa dulu.

Tarja Turunen seorang penyanyi yang mempunyai vokal opera. Suaranya sungguh merdu dengan muzik heavy metal sebagai irama. Rugi, agak lambat kenal Nightwish. Tetapi untung ada YouTube. Apa saja boleh dicari. Oh ya, lirik lagu di atas agak pelik bunyinya. Mungkin kerana kumpulan Nightwish ini berasal dari Finland. :-)

Tarja Turunen, aku sudah menjadi peminat kamu!

Hijau Lumba British, Kebanggaan Malaysia

Sebagai peminat perlumbaan F1, aku sering mengikuti perkembangan pasukan Lotus Racing. Pasukan ini adalah pasukan milik Malaysia yang diketuai oleh Tony Fernandes, CEO AirAsia. Secara teknikal, ianya bukan pasukan asal Lotus iaitu Team Lotus. Nama Lotus digunakan dengan kebenaran Lotus Car. Sedang Team Lotus iaitu pasukan F1 asal Lotus tidak ada kena mengena dengan Lotus Cars.

Tetapi mulai tahun 2011, Lotus Racing akan 'ditukar' kepada nama asal Team Lotus, nama pasukan lagenda F1 yang begitu masyhur di seluruh dunia. Logo pasukan juga akan menggunakan logo asal Team Lotus, maka secara rasmi, kembalilah Team Lotus ke dunia F1 setelah lebih 15 tahun tidak bertanding.

Aku respek usaha Tony Fernandes dalam menjayakan pasukan Lotus Racing/Team Lotus ini. Dia bersungguh-sungguh menunjukkan jalan bagi membuktikan kepada orang ramai bahawa dia serius dalam mengembalikan prestij pasukan F1 yang sangat popular, mungkin berada cuma setangga di bawah Scuderia Ferrari dari segi populariti dan kejayaan.

Aku juga respek kreativiti dalam mempopularkan kembali pasukan Lotus. Lihat saja kapal terbang AirAsia yang diwarnakan mengikut warna pasukan (seperti gambar di bawah). Amat-amat cool. Malah ianya mendapat pujian ramai orang terutama peminat kapal terbang. Tidak saja usaha promosi sendiri, ada syarikat dan individu lain yang mendapat inspirasi daripada pengaruh Lotus Racing. Basikal Mountain Bike Downhill Inspire 9 (gambar bawah) adalah contoh inspirasi berjaya diserlahkan dengan begitu baik.


Kalau ianya boleh popular di negara asing dan menjadi inspirasi kepada orang lain, kenapa di Malaysia ini orang kira lebih suka mengkritik dan memberi pandangan negatif? Tambah lagi, apa saja yang dikaitkan dengan Malaysia, maka mereka kaitkan juga dengan penggunaan wang rakyat yang kononnya membazir dan lebih baik digunakan untuk perkara yang lebih berfaedah.

Aku fikir usaha promosi seperti meletakkan nama Malaysia di kereta lumba F1 adalah satu usaha promosi yang sangat baik. Ianya meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai Malaysia. Potensi pelancongan sangat tinggi dan pulangan dari segi wang juga adalah tinggi.

Saya yakin, Tony Fernandes adalah seorang yang cintakan negaranya. Kamu boleh baca di dalam blog dan twitternya sendiri bagaimana semangat sebagai seorang warganegara Malaysia begitu tebal dalam sanubarinya. Malah mungkin lebih tebal daripada kita sendiri. Kita tidak perlu persoal kenapa kereta F1 Lotus tidak menggunakan corak bendera Malaysia dan warnanya. Lotus F1 sinonim dengan warna British Racing Green atau hitam dan emas John Player Special. Adalah lebih logik untuk kekal dengan tradisi daripada mengubah tradisi untuk kepentingan nasionalistik. Orang masih kenal Lotus Racing sebagai kereta lumba F1 milik rakyat Malaysia.

Semoga Lotus Racing/Team Lotus akan lebih berjaya di masa akan datang.

Shweeb!

Manusia sekarang begitu sibuk mencari mod atau kaedah pengangkutan yang efisien dan boleh digunakan bagi mengganti penggunaan bahan bakar petroleum. Kita percaya suatu masa nanti, bahan bakar petroleum ini akan habis disedut oleh manusia dan kita terpaksa mencari alternatif sumber tenaga untuk menggerakkan jentera pengangkutan kita.

Kita juga tahu (kalau mengikut teori si Morpheus dalam cerita Matrix) bahawa badan manusia mengandungi cukup bahan bakar (tenaga) melebihi bateri 120-volt atau 25,000 BTU. Kalau ianya digunakan sebagai bahan bakar untuk menggerakkan mesin pengangkutan, sudah tentu masalah bahan bakar boleh diatasi sedikit. Mesin sedia ada yang paling dekat dengan mesin pengangkutan adalah basikal. Hampir sesiapa saja boleh menggunakan basikal. Boleh mengayuhnya dari satu destinasi ke destinasi lain.

Kini terdapat sebuah mod pengangkutan awam yang dicadangkan iaitu monorel berbasikal. Sebuah syarikat daripada New Zealand percaya, monorel berbasikal yang dicipta dan diberi nama Shweeb (diambil dari bahasa Jerman, Schweben yang bermaksud terapung) mampu mengatasi masalah pengangkutan awam sedia ada. Pengguna boleh menggunakan Shweeb dari poin A ke poin B (jarak yang dekat) dengan lebih mudah pantas.



Aku fikir ianya suatu idea yang menarik. Google sendiri fikir begitu juga. Jadi tidak hairan kenapa mereka menderma USD1 juta kepada syarikat tersebut untuk membangunkan lagi projek ini. Tetapi aku dapat lihat masalah yang timbul jika ianya mahu dibina di Malaysia. Contohnya;


  • Malaysia sangat panas. Menggunakan Shweeb yang tertutup seperti dalam kapsul akan menyebabkan pengguna kepanasan. 
  • Rakyat Malaysia ramai yang pemalas bersukan. Kalau di Putrajaya itu penuh dengan laluan berbasikal, kadang-kadang aku jumpa beberapa orang saja yang berbasikal setiap petang. Malam hujung minggu memang ramai tetapi berbasikal secara umumnya tidak digemari sebagai mod pengangkutan di Putrajaya dan di mana-mana bandar di Malaysia.
  • Rakyat kita kurang bertimbang rasa. Ramai antara kita yang cepat marah dan cepat naik angin bila di dalam kereta atau atas motor sewaktu di atas jalanraya. Bayangkan sedang kita berkayuh dalam kapsul, kita nampak pengguna di hadapan kita sedang berkayuh agak perlahan. Kita tidak boleh potong kerana laluan monorel ini cuma satu. Pengguna lain tidak boleh memotong. Nak bagi lampu tinggi pun tidak boleh!
  • Kos akan jadi melampau tinggi. Kalau sistem monorel Shweeb itu sebenarnya dikoskan berharga lebih kurang RM1 bilion, di sini nanti akan jadi berkali ganda lebih mahal keuntungan 'lebih' akan diberikan kepada orang tertentu.
Tapi kalau ada, apa salahnya, bukan? Kalau bukan untuk pengangkutan awam, kita boleh jadikan ianya sebagai permainan di taman tema. Mesti fun!

25.9.10

Kontrak

Blog ini sudah mencecah sembilan tahun. Aku wujudkannya secara sepenuh masa pada pertengahan 2001. Dulu aku menggunakan laman web di mana aku terpaksa update HTML secara manual, setiap kali aku menulis satu post. Kemudian aku gunakan server blog yang ada di internet seperti uJournal dan Diaryland. Masa itu sudah ada Blogspot tetapi amat sukar untuk digunakan berbanding sekarang.

Namun begitu menjelang 2004, aku sudah menggunakan BlogSpot sepenuh masa dengan address; ahmadsharidan.blogspot.com. Nama blog sejak dari dulu adalah frossonice. Pada tahun 2007, aku membuat keputusan untuk membeli alamat internet eksklusif bagi memudahkan pengunjung datang ke laman blog aku. frossonice.com wujud sejak dari itu hingga sekarang.

Awal bulan oktober nanti, tempoh belian alamat blog ini akan tamat. Aku sudah diingatkan beberapa kali oleh penyedia perkhidmatan agar menyambung kontraknya. Kos sambungan kontrak tidak mahal, tidak lebih daripada RM50 dengan menggunakan penyedia perkhidmatan tempatan.

Aku sebenarnya mahu menukar kepada penyedia perkhidmatan luar negeri kerana kosnya jauh lebih murah. Untuk sambungan kontrak, aku cuma perlu bayar tidak lebih daripada RM30. Sekarang aku masih berfikir. Adakah aku mahu terus menggunakan alamat frossonice.com, atau aku kembali menggunakan ahmadsharidan.blogspot.com atau aku tukar alamat lain.

Tutup terus blog ini? Tidak sama sekali!

22.9.10

Ambil Yang Baik

Ada perkara yang kita boleh kritik, jika ianya tidak bagus (dari sudut pandangan kita). Ada perkara yang kita boleh terima dengan baik dan menyokongnya. Aku begitu. Sini, ada beberapa perkara kerajaan sedang dan ingin lakukan yang aku fikir sangat bagus dan patut aku sokong.

HSR dari Pulau Pinang ke Singapura

High Speed Rail (HSR) atau Keretapi Berkelajuan Tinggi adalah mod pengangkutan yang sangat efisien terutama di negara seperti Malaysia. Aku rasa sudah sampai masanya kerajaan kurangkan pembinaan lebuhraya banyak lorong dan tumpukan kepada pembangunan keretapi laju/elektrik sebagai bentuk transportasi efisien.

HSR dengan kelajuan lebih 250km/j boleh menjimatkan masa perjalanan dengan ketara berbanding lebuhraya. Malah secara rasional juga, ianya lebih selamat berbanding pengangkutan lain, kecuali kapal terbang. Ia juga boleh memaju pembangunan ekonomi negara dengan lebih cekap dan menyeluruh.

Cuma, kalau boleh, HSR sepatutnya melingkari seluruh Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak.  Kita tahu, dari skel ekonomi, keretapi laju dari Kota Kinabalu ke Kuching nampak tidak membawa apa-apa manfaat. Tetapi ianya sama seperti pembangunan lebuhraya utara selatan di pantai barat Semenanjung dulu. Sekarang kita boleh lihat apa yang berlaku terhadap kawasan di sepanjang lebuhraya.

Kita juga tidak boleh abaikan pantai timur Semenanjung. Malah ianya patut dijadikan keutamaan kerana dengan adanya mod pengangkutan awam yang lebih pantas dari pantai barat ke pantai timur, pembangunan sebelah pantai timur dijangka akan lebih pesat. Ini boleh mengurangkan proses imigrasi orang dari pantai timur ke kota-kota di pantai barat, sekaligus boleh mengurangkan kesesakan yang sedang berlaku terutamanya di Lembah Klang.

Orang kata pembangunan HSR dari Pulau Pinang ke Singapura akan menguntungkan Singapura kerana lebih ramai tenaga kerja Malaysia akan mahu bekerja di sana. Aku fikir sebaliknya. Aku jangkakan kawasan berhampiran laluan HSR akan mengalami pertumbuhan akibat daripada limpahan penanaman modal daripada pengusaha dari Singapura. Jangkamasa perhubungan yang singkat membenarkan pengusaha dari Singapura membina kilang dan infrastruktur di Malaysia tanpa perlu mereka berpindah ke sini untuk memantaunya.

Lihat di negara Jepun, kebanyakan negara Eropah Barat dan sekarang China. Pembangunan HSR secara umumnya membantu meningkatkan efisiensi perhubungan mereka, seterusnya membantu meningkatkan ekonomi negara masing-masing.

Gagasan 1Malaysia

Panggil apa pun; 1Malaysia atau Malaysian Malaysia atau Middle Malaysia. Paling penting yang perlu ada di negara yang sedang membangun seperti Malaysia ini adalah kesamaan hak dan keterbukaan. Kita tidak boleh lagi tinggal di bawah tempurung bangsa masing-masing.

Aku masih tidak faham kenapa orang melayu begitu takut dengan keterbukaan sedang mereka sedar bahawa hak-hak orang melayu sentiasa terpelihara melalui Perlembagaan. Sepatutnya kita perlu sedar, yang memundurkan orang melayu adalah orang melayu itu sendiri. Kita tidak mahu bebas dari kepompong budaya dan agama.

Aku bukan suruh tolak agama, tolak budaya. Agama adalah petunjuk asas cara hidup kita. Paling mudah; jujur ketika berurus niaga, tidak mengamalkan rasuah dan tidak menjalankan aktiviti ekonomi yang memudaratkan. Tetapi budaya rasuah itu seperti tidak sedar ianya sering sangat berlaku di kalangan orang melayu sendiri.

Budaya boleh kita kekalkan. Kalau Jepun yang maju (sangat-sangat maju) boleh terus membangun dan dalam masa yang sama masih mengekalkan pengaruh budaya, kenapa kita tidak boleh? Aku sering mendengar instrumental muzik tarian melayu. Kadang-kadang aku dicemuh kerananya. Aku tidak salahkan mereka. Persekitaran yang menyebabkan mereka menolak budaya. Saban hari kita disumbat dengan budaya lain terutama melului media arus perdana kita sendiri.

Aku sering tekankan bahawa untuk menjadi satu negara yang mempunyai bangsa yang bersatu padu, kita perlu mulakan dari sekolah lagi. Sekolah di Malaysia WAJIB mempunyai SATU aliran saja. Kita sudah tidak perlu sekolah aliran Cina, India dan Agama. Kita sudah 53 tahun merdeka. Adakah wajar kita mengekalkan sekolah aliran bangsa dan agama? Sekolah Nasional perlu diwujudkan tanpa mempunyai pengaruh elemen mana-mana bangsa sekalipun. Selalu kita lihat, Sekolah Kebangsaan sekarang sentiasa mempunyai elemen melayu dan sering juga diselit dengan elemen agama Islam. Bagaimana kita mahu menarik minat bukan melayu dan bukan Islam untuk belajar di sekolah sebegitu? Sekolah Nasional mestilah bersifat kebangsaan secara total. Guru-guru perlu dilatih untuk mengenepikan semangat bangsa masing-masing dan mengutamakan Bangsa Malaysia sebagai model membentuk anak-anak muda. Agama tidak perlu disisihkan secara total dari sekolah. Sebaliknya agama boleh diajar di sekolah berasingan; sekolah yang lebih komprehensif. Sekolah Nasional dibiarkan untuk mengajar ilmu dunia dan bahasa pengantar utama adalah Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi. Bahasa Inggeris diwajibkan kepada semua pelajar. Bahasa kaum boleh dijadikan bahasa ketiga dan setiap pelajar dimestikan mengambil bahasa kaum ini sebagai mata pelajaran elektif. Ini termasuk orang melayu sendiri.

Universiti juga sepatutnya begitu. Terbuka dan berdasarkan meritokrasi. Tetapi kita tidak boleh nafikan peratusan bangsa penduduk sebagai aspek yang perlu juga diambil kira. Malah tempat kerja juga begitu, baik di sektor awam, mahupun sektor swasta. Peratusan anggota kerja mestilah seimbang dengan peratusan bangsa yang ada di Malaysia. Jadi tidak perlu ada kewajiban untuk pemilikan syarikat mesti ada peratusan bumiputra atau tidak. Kerajaan boleh secara efektif memantau peratusan bangsa yang bekerja di sesuatu organisasi. Mungkin kita boleh usulkan, dalam satu-satu masa, satu syarikat tidak boleh mengandungi peratus pekerja satu bangsa melebihi 60%.

Semua usul di atas adalah permulaan ke arah mewujudkan Bangsa Malaysia. Bila idea dan 'roh' Bangsa Malaysia sudah terserap sepenuhnya dalam sanubari seluruh rakyat Malaysia, mereka tidak akan lagi kenal dan membezakan sesama sendiri mengikut bangsa asal mereka. Sebaliknya mereka akan kenal semasa sendiri sebagai Bangsa Malaysia secara total.

Aku faham, aku sedang bayangkan situasi yang 'terlampau ideal'. Sekurang-kurangnya kita boleh cuba.

Perkhidmatan Awam Yang Lebih Efisien

Umum sedia maklum, sekarang terdapat lebih kurang 1.2 juta penjawat awam di Malaysia. Seorang dari setiap 28 orang yang ada di Malaysia ini adalah penjawat awam. Aku fikir nisbah 1:28 ini adalah terlalu tinggi. Lebih jelas, orang ramai masih mengkritik dan membuat komen terhadap mutu perkhidmatan yang diberikan oleh penjawat awam.

Pada pendapat aku, 1.2 juta penjawat awam adalah satu pembaziran. Bukan saja pembaziran dari segi ekonomi, ianya juga pembaziran dari segi masa dan 'talent'. Perkhidmatan awam perlu lebih efisien. Perkara pertama yang perlu dibuat adalah mengurangkan jumlah penjawat awam. Streamline. Kita tidak perlu pecat atau buang kerja. Sebaliknya kita kurangkan jumlah pengambilan penjawat awam hingga ianya mencapai tahap yang difikirkan sesuai. Untuk sebuah negara yang membangun seperti Malaysia, aku fikir had jumlah penjawat awam yang sesuai adalah sekitar 500 ribu. Itu pun sudah terlalu tinggi jika dibandingkan dengan negara lain. 700 ribu selebihnya boleh diserapkan kedalam sumber ekonomi lain.

Kerajaan perlu pertimbangkan untuk menaikkan tahap gaji minima semua sektor pekerjaan untuk menarik minat rakyat Malaysia bekerja di sektor-sektor yang sekarang ini dikuasai oleh pekerja asing. Sudah sampai masa Malaysia meninggalkan tag "kos rendah" dan naik ke tahap efisiensi tinggi. Efisiensi tinggi memerlukan kos tenaga kerja yang mahal. Tetapi kita tidak perlu menggaji jutaan pekerja asing yang rakyat sering komplen menyusahkan dan menimbulkan masalah sosial lain.

Penilaian tahap mutu kerja penjawat awam juga perlu diubah. Kaedah sekarang yang bersifat membodek sangat-sangat tidak bagus dan tidak membantu meningkatkan mutu kerja. Penjawat awam perlu 'earn' jawatan yang dipegang. Sekarang mereka rasa selamat kerana tidak ada 'cara ugutan' untuk mereka 'perform'. Jadi ada yang datang bekerja, sekadar duduk baca surat khabar dan menunggu waktu balik kerja. Mereka tidak takut dengan tindakan tatatertib yang boleh dikenakan kerana mereka tahu kerajaan sangat 'bertimbang rasa'.

Oh, bila sudah kurangkan jumlah penjawat awam, naikkan juga gaji. Ianya penting sebagai sumber motivasi kerja mereka.

====

Dalam semua perkara yang aku sokong, aku tidak menceritakan negatifnya. Aku tidak perlu ceritakan kerana ramai orang di Malaysia ini sering berfikir secara negatif. Mereka boleh beri 1001 sebab negatif terhadap semua ini.

21.9.10

MazdaSpeed 3 Merah - Seksinya!

Semalam, dalam perjalanan balik ke rumah dari pejabat aku terserempak dengan MazdaSpeed 3 berwarna merah (seperti gambar di bawah). Bukan aku tidak pernah lihat gambar dan video sebelum ini. Ianya adalah salah satu kereta kegemaran aku. Namun begitu, melihatnya di depan mata lebih menarik. Tambah menarik bila ianya dipandu oleh seorang perempuan bertudung. Itu cerita lain.

Aku sentiasa tertarik dengan desain kereta keluaran Mazda. Ianya menyelerakan dan seksi. "Design Language" yang berasal dari konsep Nagare hasil ciptaan Laurens van den Acker adalah adunan alunan garisan yang lembut di samping menimbulkan karakter kereta yang begitu seronok untuk dipandu. Paling jelas dengan konsep Nagare ini adalah gril depan yang sentiasa tersenyum lebar, menarik minat sesiapa saja yang memandangnya.

Apa yang lebih menarik semalam adalah saiznya. Kebetulan MazdaSpeed 3 ini sedang bergerak di belakang Proton Perdana. Ianya begitu besar jika dibandingkan dengan Proton Perdana padahal model siri 3 Mazda adalah model dalam lingkungan seperti Honda Civic dan Toyota Corolla saja.

Ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa semakin hari kereta yang dikeluarkan semakin membesar. Ada yang berkata ianya berpunca daripada aspek-aspek keselamatan yang cuba disumbat masuk sebanyak mungkin kedalam sebuah kereta. Tetapi aku rasa ianya lebih mahu membeli jiwa pembeli dari negara barat, khususnya Amerika Syarikat yang mempunyai penduduk bersaiz besar.

Konsep Nagare yang diterjemahkan dengan baik melalui MazdaSpeed 3 ini sudah pun 'dibersarakan' oleh Mazda dan digantikan dengan Konsep Kodo pula. Ianya lebih 'muted' tetapi dari model konsep pertamanya, Mazda Shinari, nampak masih cool dan seksi. Mazda berjaya menterjemahkan desain yang baik di setiap rekaan kereta mereka. Aku harap Proton juga dapat melakukan yang sama di masa akan datang.

Kamera Idaman

Dalam jangkamasa terdekat ini, tiga buah model kamera DSLR baru dikeluarkan oleh Canon dan Nikon. Canon dengan EOS 60D yang secara rasminya menggantikan EOS 50D, manakala Nikon dengan D3100 yang menggantikan D3000 dan D7000 yang diselitkan antara D90 dan D300S.

Canon EOS 60D secara rasminya menggantikan EOS 50D sebagai kamera "pertengahan" profesional. Pada mulanya aku teruja melihat kamera ini tetapi apabila melihat skrin LCD yang boleh diputar (lihat gambar), aku rasa tawar hati.

Bukan aku tidak suka dengan fungi ini. Skrin yang boleh diubah kedudukan ini boleh membantu memudahkan fotografi tetapi fungsi sebenarnya adalah lebih kepada membantu menyenangkan rakaman video. Pengguna DSLR sebenar lebih suka membidik melalui corong bidik ketika merakam gambar. Secara asasnya, EOS D60 lebih mengetengahkan keupayaan fungsi rakaman video daripada fungsi fotografi sebenar. Harga EOS D60 pasti lebih murah daripada EOS 7D. Ianya bakal menarik minat ramai pengguna kamera DSLR terutama mereka yang mahu upgrade daripada kamera Canon siri 400D - 550D. Maklumat lain, sila rujuk di www.canon.com.my atau www.dpreview.com.

Nikon D3100 pula adalah kamera DSLR model asas keluaran Nikon yang menggantikan D3000. Beza ketara D3100 dengan D3000 adalah penggunakan sensor resolusi 14.2 megapiksel mengganti sensor lama bersaiz 10 megapiksel, julat ISO yang lebih tinggi dan juga keupayaan rakaman video HD.

Kalau dibandingkan dengan Canon 1000D iaitu model asas DSLR oleh Canon, Nikon D3100 ini jauh lebih berkuasa dengan kepelbagaian fungsi yang lebih menarik. Ianya kamera yang sangat sesuai untuk sesiapa yang teringin untuk terjun ke dunia fotografi DSLR. Harganya mungkin sedikit mahal berbanding model Sony dan Canon tetapi pasti lebih berbaloi dengan ringgit yang kamu bayar. Rujuk www.nikon.com.my atau www.dpreview.com untuk maklumat lebih lanjut.

Model DSLR daripada Nikon adalah model yang aku tunggu-tunggu selama ini. Nikon D7000 dianggap sebagai pengganti kepada model yang amat popular, Nikon D90. Aku hampir membeli Nikon D90 jika tidak menelusuri internet dan membaca mengenai model terbaru ini.

Dulu ianya diramal akan menggunakan nama model Nikon D95 atau D100 (mengikut aturan berturutan nama model Nikon; D70 -> D80 -> D90). Jelas D7000 ini membezakan tingkat kedudukannya, antara D90 dan D300S. Kiranya, bukan menggantikan D90 tetapi sebagai model baru tambahan kepada model sedia ada. Dengan resolusi sensor sebesar 16.2 megapiksel, ianya lebih tinggi daripada resolusi D300S tetapi bentuk dan saiz badan masih hampir sama dengan D90.

Aku tidak mahu ulas secara teknikal kerana kamu boleh lihat sendiri di www.nikon.com.my atau www.dpreview.com. Cukup aku katakan, kalau diberi pilihan antara Nikon D7000 dan Canon EOS 60D, aku akan ambil Nikon bila-bila masa. Nikon D7000 berjaya kekal bentuk dan fungsinya sebagai sebuah kamera DSLR tradisional tanpa mengenepikan ciri-ciri tambahan lain. Malah secara asasnya juga, Nikon D7000 adalah kamera untuk seorang jurugambar, berbanding Canon EOS 60D yang jelas lebih mahu menarik minat juruvideo menggunakannya.

Ada beberapa kamera DSLR yang dikeluarkan oleh syarikat lain seperti Sony SLT-A55, Pentax K-5, Pentax K-r dan Olympus E5. Namun begitu, kerana semua jenis kamera ini tidak popular di kalangan rakyat Malaysia, tidak perlu aku beritahu dengan terperinci.

Aku sedang tunggu berapa harga Nikon D7000!

20.9.10

Cuti Panjang Dan Kesannya

Aku tidak sedar waktu rehat tengahari sudah tiba tadi. Aku sedang asyik menyiapkan kerja. Cuti lebih seminggu amat membantu mengembalikan idea dan kreativiti. Hasilnya, kerja pertama di awal pagi tadi siap dalam tempoh tidak sampai 10 minit. Ya, ianya cuma alterasi mudah terhadap desain sedia ada. Tetapi kalau sebelum bercuti tempohari, kerja sebegitu pastinya mengambil masa lebih setengah hari.

Kemudian aku teruskan dengan kerja yang lagi satu; menyiapkan sebuah buletin. Sebelum bercuti tempohari, aku sia-siakan masa di pejabat tanpa ada idea yang keluar untuk aku desain. Tadi, dua desain utama sudah aku siapkan dan di benak otak ini masih ada banyak yang mahu keluar. Harap dalam masa seminggu ini aku boleh siapkan sepenuhnya buletin tanpa apa-apa pindaan lagi. Aku mahu jadikan ia sebagai penandaaras untuk penghasilan buletin di masa hadapan.

Seminggu lebih aku bercuti untuk menyambut Aidil Fitri. Lebih tepat lagi, aku bercuti selama 11 hari dan 10 hari daripadanya aku habiskan masa di Kuala Kangsar. Duduk di rumah santai dan biarkan saja orang lain menyambut Hari Raya. Kecuali ke beberapa rumah saudara dan rumah Zura di Kuala Kedah, waktu lain aku habiskan dengan hanya berehat, makan, tidur dan lebih berehat.

Akibatnya, perut semakin membesar. Seluar semakin ketat. Badan semakin berat dan nafas semakin lesu. Tetapi benak otak penuh dengan idea dan kreativiti. Itu yang penting. Ada gunanya di pejabat ini. Rupanya begitu. Aku perlu rehat sebegitu untuk 're-charge' kembali kudrat bekerja.

Hakikatnya aku cuma tidur dua jam lebih malam tadi. Sepatutnya di waktu ini, mata aku makin berat dan otak makin tepu. Namun begitu, sebaliknya berlaku. Aku tidak sabar untuk meneruskan kerja selepas menulis post ini.

Bagus juga kalau boleh bercuti raya lebih 10 hari setiap bulan, bukan?

Hurt



Hurt - Johnny Cash


I hurt myself today
to see if I still feel
I focus on the pain
the only thing that's real
the needle tears a hole
the old familiar sting
try to kill it all away
but I remember everything
what have I become?
my sweetest friend
everyone I know
goes away in the end
and you could have it all
my empire of dirt

I will let you down
I will make you hurt

I wear this crown of thorns
upon my liar's chair
full of broken thoughts
I cannot repair
beneath the stains of time
the feelings disappear
you are someone else
I am still right here

what have I become?
my sweetest friend
everyone I know
goes away in the end
and you could have it all
my empire of dirt

I will let you down
I will make you hurt

if I could start again
a million miles away
I would keep myself
I would find a way

====

Baru jumpa. Ahh... Sungguh teruja.

Kita Kongsi Sama-sama, Boleh?

Lewat malam (sudah 2.30 pagi) dan aku masih belum tidur. Esok kembali bekerja setelah lebih seminggu bercuti menyambut Aidil Fitri. Pada mulanya aku mahu berhenti menggunakan internet dan tidur. Kemudian aku teringatkan sesuatu. Lalu aku cari video ini;



Tonton hingga habis, kemudian terus membaca kembali, okay.

Seminit terakhir video ini menerangkan segala-galanya. James May (yang popular dengan siri TopGear) mengandaikan jika setiap orang daripada kita diberi peluang untuk menaiki pesawat Lockheed U2 Spy Plane dan terbang hingga ke paras 70,000 kaki di angkasa, ianya mampu mengubah persepsi manusia mengenai politik, agama dan sosial.

Maksudnya jelas. Sedang kita di Malaysia ini setiap hari bergaduh dan bertelagah mengenai hak istimewa sesuatu kaum, isu-isu perkauman dan kedangkalan akal fikiran, manusia di barat sedang sibuk mengejar apa yang ditulis di dalam al-Quran. Kita membataskan diri kita dengan sentimen perkauman dan hak kita sebagai manusia di samping manusia lain.

Kita lalai melihat dunia ini sebenarnya sebuah perkongsian. Perkongsian antara manusia terhadap suatu pinjaman yang diberikan oleh Tuhan. Kita marah orang lain mengambil hak kita. Kita bising. Kita merajuk. Kita mendesak dan mengugut. Bab 'dunia hanya pinjaman' yang sering kita sebut bila berbicara dalam 'mod' agama, kita tolak tepi dulu.

Kita jadi manusia tanpa mempunyai arah tujuan sebenar. Semua kita mahu dan semua kita tidak mahu. Mana-mana belah pun, orang lain tidak boleh memilikinya juga sebelum kita tentukan apa yang kita mahu buat dengan apa yang kita ada.

Sudah-sudahlah berpolitik dan bersuara dengan sentimen perkauman. Bangun kembali sebagai manusia dan kejar apa yang lebih perlu. Lihat video. Dunia ini bentuknya begitu. Tidak ada bezanya dari pandangan sesiapa pun. Kalau benar 'dunia ini hanya pinjaman', apa perlu kita sibuk pertahankan 'hak' kita? Kongsi pun boleh, bukan?

10.9.10

Meriam Buluh Kuala Kangsar

Setiap tahun di Talang, Kuala Kangsar, aktiviti bermain meriam buluh (yang sebenarnya meriam besi) berlangsung pada malam terakhir Ramadhan sebagai tanda tamatnya bulan Ramadhan dan bermulanya Syawal. Bunyi gegak gempita meriam 'buluh' ini memecah kesunyian malam dari tengah malam hingga awal pagi, menjelang subuh.

Saban tahun, ianya menjadi agenda wajib di sini. Ianya juga semakin popular terutama bila semakin banyak video permainan meriam buluh ini disiar di YouTube. Bagi aku, selagi ianya masih selamat dan dimain dengan berhati-hati dengan pemantauan orang yang mahir, permainan tradisi ini patut diteruskan. Ianya mengingatkan kita dengan budaya tempat asal usul kita.





Baju Melayu Raya 2010

Lama tak beli baju melayu raya. Tahun ini kena beli sebab si Zura ada. Dia yang pilih. Semestinya aku suka.

7.9.10

3.9.10

Pendapat: Adakah Namewee Seorang Rasis?

Sekarang kecoh pasal si cina, Namewee (sebutannya, Name+Wee), bukan?

Maka yang melayu dalam diri kita amat marah kerana ianya menyinggung agama kita. Maka yang hantu berpolitik di kalangan kita amat marah kerana ianya menyinggung parti politik kegemaran kita. Maka yang bebal tidak tahu apa-apa amat marah tanpa sebab kerana terpengaruh dengan kata-kata orang lain mengenainya.

Kadang-kadang aku tertanya-tanya, mana pergi otak, mana pergi akal fikiran dalam kebanyakan daripada kita? Atau kita lebih mudah dan suka disuap saja oleh orang lain dan bila ianya dirasa masin, maka sahlah ianya akibat garam? Bukan sebab-sebab lain? Kenapa tidak diselidik dulu puncanya?

Maaf, aku bukan hendak mempertahan atau menyokong Namewee. Jauh sekali aku menyukai caranya. Tetapi cuba sekali sekala dengan teliti dengar apa yang hendak dia beritahu. Contohnya mengenai TNB (kes blackout di Muar) dan seorang cikgu sekolah yang disangka rasis. Faham baris-baris katanya dan kamu dapati ianya tidak rasis sama sekali. Biadap dan kurang ajar, ya. Rasis tidak langsung.

Seperti kes TNB. Aku rasa kalau kamu di tempat dia, tahap marah kamu pun akan sampai macam dia. Dia cuba bandingkan bahawa selama enam tahun dia tinggal di Taiwan, tidak pernah terjadi sekalipun blackout walaupun kita tahu Taiwan termasuk dalam Lingkaran Api Pasifik yang sering dilanda gempa bumi. Apa yang cuba disampaikan adalah mudah. Kita sebagai pengguna ada hak untuk komplen terhadap TNB atau mana-mana pembekal perkhidmatan. Kita ada hak marah kalau perkhidmatan tidak mencapai tahap yang dikehendaki. Paling utama, untuk menjadi sebuah negara yang efisien, dinamik dan maju, sebuah perkara remeh seperti blackout tiga kali setahun di Muar tidak sepatutnya terjadi.

Sekali lagi, aku tidak menyokong dan atau mempertahankan Namewee. Aku rimas dengan bahasa kesat yang dikeluarkannya. Malah aku rimas dengan sifat kurang sabar beliau ketika berurusan dengan pihak TNB. Patutnya sebagai manusia yang bertamadun, beliau lebih bersopan. Cuma kadang-kadang kamu perlu fikir balik, kamu sendiri selalu terserempak dengan keadaan begini, bukan? Keadaan di mana orang marah dan baran akibat masalah yang dihadapinya.

Kes video beliau mengenai cikgu sekolah yang disangka bersikap rasis, aku sudah menonton video tersebut. Kalau tidak ada bahasa kesat dan rangkapnya mengenai puasa, aku rasa sesiapa yang menonton video tersebut akan bosan dan tidak akan berkata apa-apa mengenainya. Betul. Tonton sendiri dan cuba secara virtual, asingkan bahasa kesatnya dan rangkap mengenai puasa dan kamu akan dapati ianya cuma sebuah kritikan keras terhadap rasisme.

Masalahnya mungkin kerana Namewee berkata-kata dengan bahasa yang kurang menyenangkan orang lain. Masalahnya juga mungkin kerana dia seorang cina. Kerana kita tahu, sekarang semakin ramai di kalangan kita yang suka bermain dengan api bangsa. Aku salahkan politik dan ahli politik.

Mengenai rangkap berkaitan puasa. Kamu rasa apa? Kita nak pertahankan apa? Kamu lihat sendiri di luar sana, orang Islam tanpa segan silu makan dan tidak puasa. Bila orang bukan Islam yang tidak faham senario sebenar melihatnya, tentulah pada andaian mereka bahasa puasa itu bukan sesuatu yang suci di kalangan umat Islam. Ianya adalah parodi. Kritikan sosial keadaan kita yang kononnya Islamik tetapi langsung tidak faham bila orang berkata begitu.

Kemudian kita melompat marah. Marah kerana ianya berkait dengan agama kita. Tiada siapa dalam dunia ini boleh mempersoalkan agama yang kita anuti. Entah bila kita benar-benar mempertahankan agama kita? Selama ini yang aku tengok, agama dilacurkan untuk kepentingan diri sendiri.

Kita mudah. Kita cara scapegoat, si kambing hitam untuk ditunding jari dan dijatuhkan hukum. Maka Namewee, si cina berbahasa kesat yang bersuara lantang dengan kritikan pedas adalah boneka paling ideal untuk dikambing hitamkan. Betul, orang kita lebih suka meletakan kesalahan di atas bahu orang lain. Jangan harap kita mahu mengaku salah. Itu pantang larang datuk nenek kita (ciptaan baru-baru ini saja).

Aku saran kamu masuk blog Namewee dan lihat apa usahanya terhadap menjayakan 1Malaysia. Mungkin kamu akan malu dengan diri sendiri nanti. Sekurang-kurangnya dia berusaha untuk menjayakannya.

Kita? Kita kononnya pendokong di belakang Perdana Menteri, DS Najib, sebenarnya adalah manusia bebal yang cuba meroboh idealisme 1Malaysia.

I'm sorry if you still don't understand what I'm talking about. Aku tidak mahu jelaskan lagi. Pointless sebab ramai sangat di kalangan kita yang malas hendak berfikir dan berusaha. Cie la vie.

Bila Mahu Lena

Malam bila hampir tiba jam 12, aku akan mengantuk dan menguap tak sudah. Kemudian mungkin terlelap. Kadang-kadang bila bergayut dengan Zura, mata ini terasa amat berat hinggakan apa yang aku bicara dengannya terasa seperti dalam mimpi. Mamai sebenarnya.

Lalu aku cuba lelapkan mata. Lelap.

Sepuluh minit kemudian aku kembali terjaga dan selepas itu, langsung tidak boleh pejam mata untuk kembali lena. Sering terjadi begini dan ianya menyusahkan aku. Akibatnya, di siang hari kelak di pejabat, aku akan kembali mengantuk kerana tidak cukup tidur. Hingga kadang-kadang aku berdengkur di pejabat. Sudahlah dengkuran aku kuat, jadi agak malu sebenarnya untuk aku tidur di pejabat. Seboleh mungkin aku cuba bertahan dari terlena. Sering juga gagal. Kadang-kadang kena perli dengan orang di pejabat. Aku bodohkan diri saja.

Kalau aku mahu betul-betul segar ketika di pejabat, aku perlu tidur seawal jam sembilan malam. Tetapi aku biasanya degil untuk lena waktu sebegitu. Banyak perkara yang aku mahu buat; makan, mandi, basuh pakaian, belek internet, bergayut dengan Zura. Bila lewat malam, sudah tidak boleh tidur pula. Bertambah satu lagi masalah.

Kurang tidur menyebabkan aku lebih mudah letih dan gemuk. Seperti keadaan fizikal aku sekarang. Sudah sebulan lebih tidak bersenam (berbasikal). Badan terasa begitu letih dan tidak segar sepanjang masa. Tekad aku sebaik kembali dari bercuti raya nanti, aku akan berbasikal setiap hari, kalau cuaca dan keadaan mengizinkan. Bila aku penat berbasikal, aku akan balik mandi dan tidur lebih awal dari biasa. Tapi bila sekarang sudah ada Zura, tidur awal aku agak terbatas. Malam kadang-kadang aku pergi berjumpa dengannya atau kami berbual di telefon. Bukan aku salahkan perhubungan ini, aku sendiri mahukan ianya begini. Aku cuma perlu lebih bijak menjaga masa dan mengawal keadaan fizikal. Kalau orang lain boleh buat semua itu tanpa alasan, aku juga boleh.

Jadi Zura bukanlah masalah, malah dia adalah rahmat yang diberikan oleh Tuhan. Zura sebenarnya banyak menjaga hal aku. Cuma selalunya aku degil untuk menuruti pandangan beliau. Jadi, salah sendiri, bukan? Betul. Jangan cari punca salah pada orang lain. Tengok diri sendiri dulu. Kalau ada yang salah dan silap, perbaiki.

Harapnya aku boleh jadi manusia yang lebih baik selepas ini. InshaAllah.

2.9.10

Nasi Ayam Penyek

Pertama kali aku makan nasi ayam penyek adalah semasa di Kuching pada penghujung tahun 2008 dulu. Ianya pengalaman yang tidak menarik. Rasanya kurang enak dan aku tidak faham langsung dengan konsep nasi ayam penyek. Apa yang menarik? Jadi sejak dari itu aku tidak fikir untuk makan nasi ayam penyek. Sehinggalah kira-kira dua bulan lalu apabila bos belanja makan di restoran Wong Solo di Bangi.

Rasanya begitu berlainan dengan apa yang pernah dirasakan sebelum ini. Lebih sedap dan lebih menarik. Minggu lepas aku berbuka puasa bersama Zura di Wong Solo Bangi. Namun begitu agak ralat kerana aku tidak tahu yang Zura kurang makan ayam kampung. Tetapi dia jenis memahami.

Aku pesan nasi ayam penyek dan Zura memesan nasi ayam panggang (walaupun realitinya masih ayam yang sama).
Mungkin aku akan datang makan lagi. InshaAllah

Progres Bangunan Sebelah

Sudah lama aku tidak ceritakan mengenai projek pembangunan di sebelah pejabat. Berbulan lamanya aku diam sambil cuma memerhatikan saja apa yang berlaku. Kalau tengok suasananya, kerja-kerja pembangunan semakin pesat dijalankan. Tanah sedang dikorek dan dialihkan dari lokasi ke tempat lain. Cerucuk utama sudah kelihatan. Aku jangkakan dalam masa sebulan dua lagi kerja-kerja pembinaan bangunan sebenar akan bermula.

Selepas siap bangunan ini nanti, kuranglah lagi permandangan yang menarik dari tempat kerja aku ini.

Teppanyaki

Bulan Ramadhan tahun ini, dua kali aku berbuka puasa dengan teppanyaki. Lebih tepat, beef teppanyaki dan teh hijau panas. Sebenarnya, hanya itu saja yang aku akan pesan setiap kali aku makan di restoran teppanyaki. Aku kurang suka ayam kerana ianya digoreng bersama kulit dan lemak. Sotong tidak menarik perhatian manakala ikan rasanya kurang sedap.

Kalau orang tanya kenapa aku suka makan teppanyaki, jawapan aku mudah. Teppanyaki adalah satu-satunya makanan yang aku boleh makan lebih banyak sayur daripada nasi dan daging. Maksud aku, lihat sendiri berapa banyak taugeh yang diletak atas pinggan. Banyak!

Mana tahu kalau-kalau minggu depan aku akan berbuka dengan teppanyaki lagi. :-)

1.9.10

Tiga Bulan

2.30 pagi dan masih berjaga. Mata sudah terasa berat tetapi hati masih mendesak untuk terus membuka luas kelopak mata ini.

Tidak ada apa yang merunsingkan fikiran. Hati begitu tenang, jiwa begitu damai. Kasih sentiasa di hati, hidup sentiasa bahagia. InshaAllah.

Aku mengingatkan diri ini bahawa masa untuk bersendirian sudah tidak lama tinggal. Kelak tidak ada lagi sunyi hendak diadu di sini. Tidak ada lagi baris-baris kata menceritakan perilaku seorang diri seperti yang sering berlaku dulu.

Aku perlu belajar hadapi sesak manusia di Jalan Masjid India sebanyak empat kali dalam sebulan. Aku perlu belajar apabila memesan makanan, pastikan ianya pedas dan cukup masinnya. Aku perlu belajar untuk beli apa yang perlu dan kalau ianya tidak perlu, jangan beli. Aku perlu belajar mengenali sanak saudara yang dekat dan jauh supaya silaturrahim sentiasa terikat mesra.

Banyak yang aku perlu belajar. Banyak yang aku perlu buang perangai tidak baik dan gantikan dengan perangai baik.

Tidak ada persoalan untuk apa semua ini. Kamu sendiri sudah tahu.

Hari ini, genap tiga bulan aku mengenali Zura. Bila berbual di telefon (bergayut) lewat malam tadi, kami sedar ianya baru tiga bulan tetapi suasananya seperti sudah tiga tahun. Seperti sudah terlalu lama mengenali Zura. Maka apa saja langkah yang sedang berlaku, dirasakan ianya seperti rutin hidup bersama selama ini. Ianya membuat aku tersenyum.

Bertahun aku mencari (dan letih mencari), tiga bulan selepas mengenali Zura, ianya dirasakan begitu berbaloi!