3.9.10

Bila Mahu Lena

Malam bila hampir tiba jam 12, aku akan mengantuk dan menguap tak sudah. Kemudian mungkin terlelap. Kadang-kadang bila bergayut dengan Zura, mata ini terasa amat berat hinggakan apa yang aku bicara dengannya terasa seperti dalam mimpi. Mamai sebenarnya.

Lalu aku cuba lelapkan mata. Lelap.

Sepuluh minit kemudian aku kembali terjaga dan selepas itu, langsung tidak boleh pejam mata untuk kembali lena. Sering terjadi begini dan ianya menyusahkan aku. Akibatnya, di siang hari kelak di pejabat, aku akan kembali mengantuk kerana tidak cukup tidur. Hingga kadang-kadang aku berdengkur di pejabat. Sudahlah dengkuran aku kuat, jadi agak malu sebenarnya untuk aku tidur di pejabat. Seboleh mungkin aku cuba bertahan dari terlena. Sering juga gagal. Kadang-kadang kena perli dengan orang di pejabat. Aku bodohkan diri saja.

Kalau aku mahu betul-betul segar ketika di pejabat, aku perlu tidur seawal jam sembilan malam. Tetapi aku biasanya degil untuk lena waktu sebegitu. Banyak perkara yang aku mahu buat; makan, mandi, basuh pakaian, belek internet, bergayut dengan Zura. Bila lewat malam, sudah tidak boleh tidur pula. Bertambah satu lagi masalah.

Kurang tidur menyebabkan aku lebih mudah letih dan gemuk. Seperti keadaan fizikal aku sekarang. Sudah sebulan lebih tidak bersenam (berbasikal). Badan terasa begitu letih dan tidak segar sepanjang masa. Tekad aku sebaik kembali dari bercuti raya nanti, aku akan berbasikal setiap hari, kalau cuaca dan keadaan mengizinkan. Bila aku penat berbasikal, aku akan balik mandi dan tidur lebih awal dari biasa. Tapi bila sekarang sudah ada Zura, tidur awal aku agak terbatas. Malam kadang-kadang aku pergi berjumpa dengannya atau kami berbual di telefon. Bukan aku salahkan perhubungan ini, aku sendiri mahukan ianya begini. Aku cuma perlu lebih bijak menjaga masa dan mengawal keadaan fizikal. Kalau orang lain boleh buat semua itu tanpa alasan, aku juga boleh.

Jadi Zura bukanlah masalah, malah dia adalah rahmat yang diberikan oleh Tuhan. Zura sebenarnya banyak menjaga hal aku. Cuma selalunya aku degil untuk menuruti pandangan beliau. Jadi, salah sendiri, bukan? Betul. Jangan cari punca salah pada orang lain. Tengok diri sendiri dulu. Kalau ada yang salah dan silap, perbaiki.

Harapnya aku boleh jadi manusia yang lebih baik selepas ini. InshaAllah.

No comments:

Post a Comment