Kita juga tahu (kalau mengikut teori si Morpheus dalam cerita Matrix) bahawa badan manusia mengandungi cukup bahan bakar (tenaga) melebihi bateri 120-volt atau 25,000 BTU. Kalau ianya digunakan sebagai bahan bakar untuk menggerakkan mesin pengangkutan, sudah tentu masalah bahan bakar boleh diatasi sedikit. Mesin sedia ada yang paling dekat dengan mesin pengangkutan adalah basikal. Hampir sesiapa saja boleh menggunakan basikal. Boleh mengayuhnya dari satu destinasi ke destinasi lain.
Kini terdapat sebuah mod pengangkutan awam yang dicadangkan iaitu monorel berbasikal. Sebuah syarikat daripada New Zealand percaya, monorel berbasikal yang dicipta dan diberi nama Shweeb (diambil dari bahasa Jerman, Schweben yang bermaksud terapung) mampu mengatasi masalah pengangkutan awam sedia ada. Pengguna boleh menggunakan Shweeb dari poin A ke poin B (jarak yang dekat) dengan lebih mudah pantas.
Aku fikir ianya suatu idea yang menarik. Google sendiri fikir begitu juga. Jadi tidak hairan kenapa mereka menderma USD1 juta kepada syarikat tersebut untuk membangunkan lagi projek ini. Tetapi aku dapat lihat masalah yang timbul jika ianya mahu dibina di Malaysia. Contohnya;
- Malaysia sangat panas. Menggunakan Shweeb yang tertutup seperti dalam kapsul akan menyebabkan pengguna kepanasan.
- Rakyat Malaysia ramai yang pemalas bersukan. Kalau di Putrajaya itu penuh dengan laluan berbasikal, kadang-kadang aku jumpa beberapa orang saja yang berbasikal setiap petang. Malam hujung minggu memang ramai tetapi berbasikal secara umumnya tidak digemari sebagai mod pengangkutan di Putrajaya dan di mana-mana bandar di Malaysia.
- Rakyat kita kurang bertimbang rasa. Ramai antara kita yang cepat marah dan cepat naik angin bila di dalam kereta atau atas motor sewaktu di atas jalanraya. Bayangkan sedang kita berkayuh dalam kapsul, kita nampak pengguna di hadapan kita sedang berkayuh agak perlahan. Kita tidak boleh potong kerana laluan monorel ini cuma satu. Pengguna lain tidak boleh memotong. Nak bagi lampu tinggi pun tidak boleh!
- Kos akan jadi melampau tinggi. Kalau sistem monorel Shweeb itu sebenarnya dikoskan berharga lebih kurang RM1 bilion, di sini nanti akan jadi berkali ganda lebih mahal keuntungan 'lebih' akan diberikan kepada orang tertentu.
Tapi kalau ada, apa salahnya, bukan? Kalau bukan untuk pengangkutan awam, kita boleh jadikan ianya sebagai permainan di taman tema. Mesti fun!
No comments:
Post a Comment