21.9.10

MazdaSpeed 3 Merah - Seksinya!

Semalam, dalam perjalanan balik ke rumah dari pejabat aku terserempak dengan MazdaSpeed 3 berwarna merah (seperti gambar di bawah). Bukan aku tidak pernah lihat gambar dan video sebelum ini. Ianya adalah salah satu kereta kegemaran aku. Namun begitu, melihatnya di depan mata lebih menarik. Tambah menarik bila ianya dipandu oleh seorang perempuan bertudung. Itu cerita lain.

Aku sentiasa tertarik dengan desain kereta keluaran Mazda. Ianya menyelerakan dan seksi. "Design Language" yang berasal dari konsep Nagare hasil ciptaan Laurens van den Acker adalah adunan alunan garisan yang lembut di samping menimbulkan karakter kereta yang begitu seronok untuk dipandu. Paling jelas dengan konsep Nagare ini adalah gril depan yang sentiasa tersenyum lebar, menarik minat sesiapa saja yang memandangnya.

Apa yang lebih menarik semalam adalah saiznya. Kebetulan MazdaSpeed 3 ini sedang bergerak di belakang Proton Perdana. Ianya begitu besar jika dibandingkan dengan Proton Perdana padahal model siri 3 Mazda adalah model dalam lingkungan seperti Honda Civic dan Toyota Corolla saja.

Ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa semakin hari kereta yang dikeluarkan semakin membesar. Ada yang berkata ianya berpunca daripada aspek-aspek keselamatan yang cuba disumbat masuk sebanyak mungkin kedalam sebuah kereta. Tetapi aku rasa ianya lebih mahu membeli jiwa pembeli dari negara barat, khususnya Amerika Syarikat yang mempunyai penduduk bersaiz besar.

Konsep Nagare yang diterjemahkan dengan baik melalui MazdaSpeed 3 ini sudah pun 'dibersarakan' oleh Mazda dan digantikan dengan Konsep Kodo pula. Ianya lebih 'muted' tetapi dari model konsep pertamanya, Mazda Shinari, nampak masih cool dan seksi. Mazda berjaya menterjemahkan desain yang baik di setiap rekaan kereta mereka. Aku harap Proton juga dapat melakukan yang sama di masa akan datang.

No comments:

Post a Comment