20.9.10

Kita Kongsi Sama-sama, Boleh?

Lewat malam (sudah 2.30 pagi) dan aku masih belum tidur. Esok kembali bekerja setelah lebih seminggu bercuti menyambut Aidil Fitri. Pada mulanya aku mahu berhenti menggunakan internet dan tidur. Kemudian aku teringatkan sesuatu. Lalu aku cari video ini;



Tonton hingga habis, kemudian terus membaca kembali, okay.

Seminit terakhir video ini menerangkan segala-galanya. James May (yang popular dengan siri TopGear) mengandaikan jika setiap orang daripada kita diberi peluang untuk menaiki pesawat Lockheed U2 Spy Plane dan terbang hingga ke paras 70,000 kaki di angkasa, ianya mampu mengubah persepsi manusia mengenai politik, agama dan sosial.

Maksudnya jelas. Sedang kita di Malaysia ini setiap hari bergaduh dan bertelagah mengenai hak istimewa sesuatu kaum, isu-isu perkauman dan kedangkalan akal fikiran, manusia di barat sedang sibuk mengejar apa yang ditulis di dalam al-Quran. Kita membataskan diri kita dengan sentimen perkauman dan hak kita sebagai manusia di samping manusia lain.

Kita lalai melihat dunia ini sebenarnya sebuah perkongsian. Perkongsian antara manusia terhadap suatu pinjaman yang diberikan oleh Tuhan. Kita marah orang lain mengambil hak kita. Kita bising. Kita merajuk. Kita mendesak dan mengugut. Bab 'dunia hanya pinjaman' yang sering kita sebut bila berbicara dalam 'mod' agama, kita tolak tepi dulu.

Kita jadi manusia tanpa mempunyai arah tujuan sebenar. Semua kita mahu dan semua kita tidak mahu. Mana-mana belah pun, orang lain tidak boleh memilikinya juga sebelum kita tentukan apa yang kita mahu buat dengan apa yang kita ada.

Sudah-sudahlah berpolitik dan bersuara dengan sentimen perkauman. Bangun kembali sebagai manusia dan kejar apa yang lebih perlu. Lihat video. Dunia ini bentuknya begitu. Tidak ada bezanya dari pandangan sesiapa pun. Kalau benar 'dunia ini hanya pinjaman', apa perlu kita sibuk pertahankan 'hak' kita? Kongsi pun boleh, bukan?

No comments:

Post a Comment