Aku tidak sedar waktu rehat tengahari sudah tiba tadi. Aku sedang asyik menyiapkan kerja. Cuti lebih seminggu amat membantu mengembalikan idea dan kreativiti. Hasilnya, kerja pertama di awal pagi tadi siap dalam tempoh tidak sampai 10 minit. Ya, ianya cuma alterasi mudah terhadap desain sedia ada. Tetapi kalau sebelum bercuti tempohari, kerja sebegitu pastinya mengambil masa lebih setengah hari.
Kemudian aku teruskan dengan kerja yang lagi satu; menyiapkan sebuah buletin. Sebelum bercuti tempohari, aku sia-siakan masa di pejabat tanpa ada idea yang keluar untuk aku desain. Tadi, dua desain utama sudah aku siapkan dan di benak otak ini masih ada banyak yang mahu keluar. Harap dalam masa seminggu ini aku boleh siapkan sepenuhnya buletin tanpa apa-apa pindaan lagi. Aku mahu jadikan ia sebagai penandaaras untuk penghasilan buletin di masa hadapan.
Seminggu lebih aku bercuti untuk menyambut Aidil Fitri. Lebih tepat lagi, aku bercuti selama 11 hari dan 10 hari daripadanya aku habiskan masa di Kuala Kangsar. Duduk di rumah santai dan biarkan saja orang lain menyambut Hari Raya. Kecuali ke beberapa rumah saudara dan rumah Zura di Kuala Kedah, waktu lain aku habiskan dengan hanya berehat, makan, tidur dan lebih berehat.
Akibatnya, perut semakin membesar. Seluar semakin ketat. Badan semakin berat dan nafas semakin lesu. Tetapi benak otak penuh dengan idea dan kreativiti. Itu yang penting. Ada gunanya di pejabat ini. Rupanya begitu. Aku perlu rehat sebegitu untuk 're-charge' kembali kudrat bekerja.
Hakikatnya aku cuma tidur dua jam lebih malam tadi. Sepatutnya di waktu ini, mata aku makin berat dan otak makin tepu. Namun begitu, sebaliknya berlaku. Aku tidak sabar untuk meneruskan kerja selepas menulis post ini.
Bagus juga kalau boleh bercuti raya lebih 10 hari setiap bulan, bukan?
No comments:
Post a Comment