Tengok. Tengok.
Selama yang aku perhatikan, wakil rakyat di parlimen tidak lebih daripada menjaga periuk nasi dan partinya dulu sebelum mengambil berat hal rakyat. Selama ini yang bertelagah di parlimen itu bukan kerana mempertahankan hak rakyat tetapi hak individu dalam sesebuah parti dan parti itu sendiri. Maka saban hari kita lihat parti politik bergaduh antara satu sama lain dan itu kerja yang orang ramai sangka, berjuang untuk mereka.
Bab mana yang mereka berjuang untuk rakyat? Lepas bergaduh dalam parlimen, mereka masih boleh bergelak ketawa sambil hisap rokok di lobi parlimen. Dalam dewan, semua mahu jadi singa.
Seperti yang aku pernah kata dulu, sistem politik di Malaysia masih bersifat feudalistik. Pemimpin diagung-agungkan dan berkuasa lebih dari yang sepatutnya. Rakyat yang memilih pemimpin pula kemudiannya ditekan dan diminta untuk menyembah hormat kepada pemimpin ini. Tengok bila ada perjumpaan dengan wakil rakyat; berapa lama rakyat kena tunggu untuk jumpa wakil mereka yang sering lambat tiba. Atau kita kena berbaris sepanjang jalan menyambut wakil kita. Apa motif kita panggil dia wakil kalau kita kena sembah dia macam dewa?
Mereka, sang wakil rakyat ini sepatutnya bekerja untuk rakyat. Masuk parlimen kemudian mengadu,
"Jalan di hulu ceruk ini masih belum ditar sejak merdeka dulu dan orang di kawasan itu sejumlah 100 orang mengarahkan saya menyuarakannya di dalam dewan ini!"
Tetapi tidak. Sebaliknya mereka akan masuk dalam dewan kemudian mengeluarkan segala konsep, cadangan dan hujah yang kononnya untuk kebaikkan rakyat. Ada tanya rakyat dulu ke sebelum mencadangkannya? Mereka akan jawab tidak perlu kerana mereka tahu apa yang baik untuk rakyat.
Tengok. Mereka kata mereka tahu apa yang baik untuk rakyat. Jadi apa motif kalau kita pilih seseorang menjadi wakil kita tetapi tidak mahu ambil pusing dengan cadangan dan keluhan kita? Sebaliknya mereka rasa mereka lebih tahu dan lebih senang kalau mereka tolong fikirkan untuk kita. Kita tidak perlu buat apa-apa kecuali pada setiap kali pilihanraya, kita undi mereka.
Hasilnya nanti, saban tahun pembangunan akan dibawa ke tempat kita (kalau wakil rakyat itu ada pengaruh untuk melakukannya) sikit-sikit supaya orang nampak dia buat kerja. Sokong lagi, maka kita akan dapat lagi. Kalau kita tidak sokong dan pilih parti lawan yang tidak memerintah, maka kita akan dibiarkan. Padan muka, siapa suruh tidak sokong.
Itu bukan feudalistik namanya?
Aku bukan mahu membodek kamu supaya menyokong mana-mana pihak. Aku mahu kita sebagai rakyat dan ada hak mengundi dan memilih wakil kita supaya menjadi lebih bijak. Orang yang kita pilih itu adalah wakil kita. Pecacai kita. Kita suruh dia buat kerja. Malah mereka dibayar gaji (melalui cukai yang dikutip daripada kita) supaya buat kerja untuk kita. Bukan buat kerja sesedap perut mereka.
Aku hendak beritahu kamu apabila wakil rakyat hendak jumpa kamu, wakil rakyat sepatutnya datang dulu dan tunggu kamu, bukan sebaliknya. Dia cuma wakil, bukan raja. Dia cuma orang yang diamanahkan untuk menjalankan tugas, bukan sultan yang memerintah negeri ini. Wakil kita, kita tentukan siapa dia. Bukan dia desak kita tentukan siapa dia. Wakil rakyat yang tidak menjalankan tugas, bila-bila masa pun kita boleh desak dia letak jawatan. Kita boleh pilih orang lain. Agak-agak bila kita desak wakil rakyat kita sekarang, mahu atau tidak dia letak jawatan? Melainkan dia mati, rasanya susah sangat.
Aku faham. Kita pilih dia sebagai wakil rakyat. Jadi kita perlu hormat dia sebagai wakil kita. Tapi hormat kita itu biarlah berpada-pada. Jangan sampai hormat seperti kita hormat dewa atau raja. Kita hormat sebagai seorang yang memegang amanah dan tanggungjawab yang besar. Sepatutnya datang hormat itu dimulakan daripada wakil rakyat itu sendiri. Dia perlu sentiasa hormat dengan pemilih dia. Bila itu ada, baru timbul hormat orang terhadap dia. Baru timbul rasa bangga dan rasa bertuah orang terhadap dia.
Tetapi bila dia kata dia lebih tahu daripada kita dan tidak peduli kita, kita masih mahu sokong dia? Dia tahu keadaan itu lalu dia kata, jangan pilih dia, pilih parti yang diwakilinya. Bullshit. Keadaan akan terus sama kalau begitu. Dia kekal di tempat yang sama tanpa perlu bersusah payah membantu kita. Kita akan terus bayar cukai untuk bayar gaji dia. Itu feudalistik namanya.
Jadi pengundi yang bijak. Jadi manusia yang bijak.
No comments:
Post a Comment