24.12.10

Mobiliti

Sekarang sibuk orang memperkatakan mengenai MRT di Lembah Klang. MRT adalah singkatan kepada Mass Rapid Transit, iaitu sistem pengangkutan rel yang lebih besar daripada LRT. Lembah Klang sudah mempunyai LRT; Putra dan Star, dan ianya sudah mencapai tahap kepadatan tinggi di waktu puncak.

MRT adalah penyelesaian logikal terhadap mobiliti dalam bandaraya besar seperti Kuala Lumpur. Singapura mempunyai MRT sendiri. London mempunyai Underground, New York mempunyai Subway dan Jepun mempunyai Metro. Sistem pengangkutan rel skala besar ini sepatutnya sudah lama diwujudkan di Kuala Lumpur dan Lembah Klang.

Malah pada pendapat aku dan aku pernah menulisnya di blog ini, sistem pengangkutan rel adalah mod pengangkutan paling efisien untuk sebuah negara seperti Malaysia. Hubungan pengangkutan seluruh semenanjung Malaysia akan jadi lebih pantas dan efisien sekiranya pengangkutan rel diambil perhatian. Kewujudan lebuhraya melingkari seluruh semenanjung dengan jumlah kenderaan yang semakin meningkat sebenarnya juga akan meningkat risiko berlakunya kemalangan jalanraya. Kita boleh lihat jelas dengan kes-kes kemalangan yang sering berlaku saban hari di sekeliling kita.

Banyak faedah yang boleh diperolehi; penjimatan tenaga karbon (minyak) dengan lebih nyata. Kita tidak akan lagi dengar orang mengeluh harga minyak naik setiap masa. Mereka mempunyai alternatif pengangkutan rel yang boleh membawa mereka kemana-mana dengan pantas dan menjimatkan. Maksud aku, kalau mereka cuma mengambil masa dua jam untuk sampai di Johor Bahru dari Kuala Lumpur, apa motif untuk mereka menggunakan kereta atau bas lagi? Begitu juga kalau mereka boleh tiba di Kota Bharu dari Kuala Lumpur dalam masa tiga jam, aku rasa kita tidak perlu lagi bazirkan duit untuk bina lebuhraya di pantai timur. Malah, kita tidak perlu mengeluh jalan sesak setiap kali musim perayaan tiba.

Kerajaan perlu lebih serius untuk meningkat efisiensi sistem pengangkutan di Malaysia. Ianya mampu menjana ekonomi negara dengan lebih pantas dan menyeluruh. Kita tidak perlu lagi dengar orang komplen mengenai kualiti perkhidmatan AirAsia, harga tiket MAS yang mahal, bahaya naik bas ekspres atau keretapi ekspres senandung malam yang mengambil masa 24 jam untuk tiba di destinasi. Manusia perlukan mobiliti yang lebih pantas dan kerajaan perlu sediakan dengan kadar segera.

No comments:

Post a Comment