Semalam aku ke Pulau Ketam. Ada majlis Jabatan di sana. Kalau tidak kerana ada program di sana, aku tidak fikir aku ada motif yang kukuh hendak ke sana. Kata orang makanan laut di sana sedap. Entah, aku bukan peminat tegar makanan laut. Awal pagi tiba di jeti Pelabuhan Klang menunggu bot ke Pulau Ketam. Ingatkan tunggu bot yang biasa aku lihat sewaktu aku bekerja di sana suatu masa dulu. Rupa-rupanya yang menanti kami adalah bot laju dengan enjin besar!
Biasanya perjalanan ke Pulau Ketam mengambil masa lebih 30 minit. Tetapi dengan bot laju, ianya cuma lebih kurang 20 minit.
Tengok, enjin bot laju yang sungguh besar. Enjin lejang V8 dengan 400 kuasa kuda. Tapi paling tidak menarik adalah tiadanya bantuan keselamatan di dalam bot laju ini. Pelampung cuma ada lapan biji. Tangki minyak boleh nampak jelas dari tempat kita duduk.
Tiba di Pulau Ketam, air dalam keadaan pasang. Jadi tidak nampak pantai paya bakau yang ada di sekitar jeti.
Berhampiran jeti Pulau Ketam, ada restoran makanan laut dan hotel. Selain daripada itu, aku sedari bahawa Pulau Ketam masih kurang sesuai untuk dijadikan destinasi pelancongan. Kawasannya agak kotor dengan sampah sarap dan keadaan persekitaran nampak lebih seperti kampung terapung biasa. Tidak banyak istimewa di Pulau Ketam.
Sebelum dan selepas program di sebuah sekolah rendah di sana, sempat juga aku merakam suasana dan kehidupan sehari di Pulau Ketam.
Aku boleh simpulkan bahawa mereka yang ada di sini sejak bergenerasi lalu adalah manusia yang tabah menghadapi apa jua rintangan yang mendatang. Arus permodenan dibawa secara perlahan tetapi jelas di sini. Laluan yang dulunya dibuat daripada kayu, kini sudah ditukar konkrit simen. Rumah juga begitu.
Ini suatu pengalaman baru yang menarik bagi aku. Aku mungkin tidak akan datang lagi ke Pulau Ketam kemudian hari. Tetapi kenangan tetap ada.
|
Balai Polis Pulau Ketam. Kecil. |
|
Main road di Pulau Ketam. Daging babi di jual sepanjang jalan ini. Kalau kamu yang tidak tahan, jangan lalui jalan ini. |
|
Salah sebuah tokong yang terdapat berhampiran kawasan kedai di atas. |
|
Ada rumah yang masih diperbuat daripada kayu tetapi majoriti sudah beralih kepada simen dan konkrit yang lebih kukuh. |
|
Buat Kuih Sepit. Ada selera hendak makan? |
|
"Back Alley" di Pulau Ketam. Sunyi je. |
|
Basikal adalah satu-satunya mod pengangkutan yang dibenarkan di pulau ini. |
|
Laluan lama yang diperbuat daripada kayu. Tengok di atas tanah payah bawah laluan. Kotor! |
|
Permandangan sebahagian daripada kawasan kampung di Pulau Ketam. |
Pengalaman yang sungguh menarik.
No comments:
Post a Comment