Umum
Post sebelum ini adalah post ke 362. Setahun ada 365 hari. Jadi moleknya, aku lengkapkan sejumlah 365 post untuk tahun ini. Kononnya untuk memperlihatkan bahawa aku menulis di blog ini sehari sekali.
Pertamanya, tahniah kepada pasukan bolasepak Malaysia kerana menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 setelah menewaskan Indonesia dengan agregat 4 - 2. Secara keseluruhan, pujian harus diberikan kepada K.Rajagopal kerana berjaya membentuk sebuah pasukan muda yang mantap dan bersemangat tinggi. Kalau terus dikekalkan pasukan ini, peluang untuk berjaya di kejohanan lebih besar adalah tinggi.
Pasukan Indonesia yang didukung oleh peminat fanatik mereka tidak kurang hebatnya. Mungkin secara jelas, pasukan Indonesia ini adalah yang terbaik dari generasi mereka. Cuma yang sedikit mengelirukan, kenapa dengan 240 juta penduduk, Indonesia masih sibuk mencari pemain luar untuk di'naturalisasi'kan. Perancis dan Belanda melakukan perkara yang sama, Indonesia sedang menirunya. Mungkin suatu hari kita pun akan berbuat begitu?
Kita juga perlu ingat kejayaan pasukan Hoki lelaki kita yang berjaya merangkul pingat perak di Sukan Asia tempohari. Itu juga kejayaan yang patut dibanggakan.
====
Dari sudut politik, ianya masih malap buat demokrasi di Malaysia. Perjuangan politik ala kampungan yang dilakukan oleh semua pihak membuatkan ramai golongan muda yang meluat dengan suasana politik di Malaysia ini.
Keterbukaan dalam menyuarakan pendapat dan membuat pilihan masih tidak dapat dirasakan dengan selesa. Halangan sentiasa ada untuk berpolitik dengan matang. Tetapi perubahan sentiasa ada. Yang membatas hanya akal manusia. Aku kira, rakyat Malaysia kini semakin matang dengan telatah politik di Malaysia. Parti politik yang menguasai kerajaan sekarang perlu lebih bijak menilai dan menganalisis.
====
Filem
Filem terbaik tahun ini, aku nobatkan Inception lakonan Leonardo di Caprio dan Ellen Page. Filem fiksyen pengembaraan ke dalam alam mimpi manusia yang sungguh menarik dan provokatif. Idea mencuri maklumat melalui 'mimpi' manusia ini merupakan sesuatu yang baru, sama seperti idea filem The Matrix lebih sedekad lalu.
Filem animasi 3D terbaik pula adalah How To Train Your Dragon, keluaran DreamWork Animation. Filem yang mengisahkan seorang anak Viking yang dikira lemah di dalam kalangannya sendiri, berjaya menjinakan naga, musuh kaumnya. Malah beliau berkeupayaan berinteraksi dengan naga dan di akhir cerita, secara jujur memaparkan ketidaksempurnaan hidup yang biasa kita lihat dalam filem happy ending lain. Watak utama kehilangan kakinya setelah bertarung dengan raja segala naga. Ini pertama kali filem DreamWork Animation mengatasi Pixar dalam penilaian aku. Filem Toy Story 3 bagi aku lebih menarik berbanding How To Train Your Dragon tetapi aku sedikit kecewa dengan jalan ceritanya. Mungkin aku meletakkan harapan yang terlalu tinggi.
====
Muzik
Lagu tahun ini aku serahkan kepada Muse - Resistance. Tanpa alasan yang nyata. Mungkin kerana pertama kali aku mendengarnya, ianya terasa seperti bagaimana aku pertama kali mendengar lagu-lagu dari Black Album Metallica. Sungguh berbeza.
Selain daripada itu, hendak tidak hendak, aku terpaksa berikan juga kepada lagu Spring - Sejiwa. Kerana lagu ini telah mendekatkan aku dengan Zura. Setiap malam kalau ada ruang, aku akan nyanyikan kepadanya melalui corong telefon. Sehingga bila Zura dengar versi asal, dia hairan kerana berbeza. Agaknya sudah banyak yang aku ubah. :)
====
Fotografi
Tahun ini amat kurang sangat aku berfotografi. Pertamanya kerana kamera DSLR aku sudah rosak. Keduanya, aku jarang kemana-mana seperti tahun-tahun lalu. Aku lebih banyak merakam gambar dengan kamera digital Sony biasa sebelum ianya hilang tempohari.
Fotografi terbaik aku tahun ini adalah gambar di sebelah kiri ini, suasana malam Kuala Lumpur dari Tasik Titiwangsa.
Aku dan Zura ke sana untuk duduk makan sambil menikmati suasananya. Cuaca malam yang baik membenarkan aku merakam gambar yang cukup menarik ini. Mungkin ada gambar lain yang lebih baik dari ini tetapi pilihan aku lebih bersifat peribadi. Aku nampak 'glow' cahaya di atas menara KLCC sebagai petunjuk yang bagus. Ada gambar menarik lain seperti Painted Sky (SINI dan SINI) dan Alir Sungai tetapi KL waktu malam lebih mengujakan aku.
Itu senarai "Yang Terbaik" aku untuk tahun 2010. Aku mahu senaraikan beberapa perkara lagi tetapi mungkin tunggu tahun depan saja untuk menulisnya. Aku mahu membaca kembali ke semua 365 post aku.
:)
Potret
No comments:
Post a Comment