31.1.11

Team Lotus TL11 2011

Kereta lumba F1 pasukan Team Lotus, TL11 tahun 2011 baru.



27.1.11

Menjadi Lebih Baik

Sudah ada lebih 1000 post di blog ini. Pada tahun 2008 ada 250, 2009 ada 454 dan pada tahun 2010 ada 365 posting. Tahun lepas aku sasarkan untuk menyaingi jumlah posting tahun 2009 namun gagal. Sukar untuk menulis sebegitu banyak.

Tahun ini matlamat aku berbeza. Aku tidak mahu menulis sebegitu banyak tanpa sebab. Aku mahu setiap tulisan aku diolah dengan baik dan mempunyai informasi yang 'menyelerakan' untuk pengunjung membacanya. Matlamat aku adalah untuk menyuarakan pendapat dan pandangan aku tentang sesuatu isu dengan lebih jelas dan terperinci. Aku mahu pada setiap penulisan (kalau boleh), aku mampu berfikir di luar kotak dan menghuraikan isu dengan lebih kreatif dan inovatif.

Aku boleh saja tukar blog ini menjadi blog komersial untuk mengaut untung yang banyak melalui pengiklanan. Aku terbaca di akhbar arus perdana bagaimana penulis blog di Malaysia kini boleh meraih ribuan ringgit sebulan. Menarik. Zura juga bertanya mengenainya.

Namun begitu, aku lebih suka blog aku begini. Orang datang membaca dan aku mahu biarkan mereka berfikir dengan lebih kritis terhadap sesuatu isu. Kita cabar diri kita untuk berfikir dengan lebih mendalam. Pertama, ianya baik untuk otak kita. Kedua, harap ianya juga baik untuk orang lain juga.

Jadi maaf kiranya aku tidak lagi menulis sekerap dulu. Matlamat sudah berubah. :-)

24.1.11

Negara Yang Bahagia

Kelmarin aku terbaca di internet mengenai senarai 10 negara penduduknya paling bahagia; baca SINI. Tempat pertama, Norway. Kedua, Denmark dan ketiga, Finland. Ketiga-tiga negara ini terletak di kawasan Scandinavian, atau Eropah Utara. Kedudukan Malaysia? Malaysia berada di tangga ke 43 daripada 110 negara yang dinilai. Kira boleh tahan.

Jiran kita? Singapura yang kita sering kata sangat uptight dan kiasu berada di tangga ke 17. Thailand di tangga ke 52, Filipina di tangga ke 64 dan Indonesia di tangga ke 70. Tiada data Brunei. Arab Saudi yang begitu tegas dengan rakyatnya di tangga ke 49.

Banyak aspek diukur melalui penilaian yang dibuat; taraf hidup, KDNK, kemudahan hospital, suasana politik, kebebasan rakyat dan kesenangan memulakan perusahanaan serta inovasi antara yang diambil kira. Malah suasana persekitaran juga dinilai.

Aku tahu kenapa negara kita jauh lebih rendah berbanding Singapura. Politik kita kucar kacir dengan penuh bau-bau perkauman sepanjang masa. Ekonomi kita masih seperti menyeret diri sendiri dan masih belum sembuh dari luka. Pendidikan kita sama taraf seperti mesin fotostat; lebih banyak kita keluar pelajar, lebih baik. Sistem kesihatan kita walaupun percuma tetapi sangat minimal. Persekitaran kita semakin lama semakin tercemar dengan pembangunan tanpa perancangan teliti. Kebebasan rakyat? Kamu sendiri tahu bagaimana keadaannya.

Aku harap kerajaan tidak meremehkan hasil kajian ini sebagai usaha pihak barat untuk memperlekehkan Malaysia. Kalau tidak betul, masakan setiap hari kita boleh dengar rungutan rakyat mengenai masalah hidup yang dialaminya.

Juga, kita perlu kaji kenapa negara-negara di Scandinavia semuanya mencapai tahap top 10 dalam senarai. Apa yang membuat mereka berada di tahap tertinggi dalam ranking dunia. Antara faktor yang dirungkai dalam Forbes.com adalah negara-negara tersebut mempunyai sistem politik dan tahap kebebasan bersuara paling terbuka. Keterbukaan ini yang sering dimomok oleh pemimpin kita sebagai tidak sesuai untuk dilaksanakan di negara yang berbudaya timur seperti Malaysia. Maksud mereka, kita sebagai orang timur tidak boleh menerima teguran dan kritikan secara terbuka? Atau kita tidak boleh berbincang secara 'berkongsi' kerana ianya bukan budaya kita?

Masalah dengan pemimpin kita adalah kerana mereka masih berfikiran secara feudalistik; pemimpin lebih tahu apa yang bagus untuk rakyat yang dipimpinnya. Maka segala pembangunan dan usaha yang dibuat oleh kerajaan jarang sekali melibatkan pandangan dan pendapat orang ramai, iaitu rakyat yang memilih mereka. Pemimpin kita bila dilantik mengetuai kita bertindak seperti tok demang atau orang besar yang hanya tahu memungut cukai dari rakyatnya dan hidup berlandaskan kepentingan diri sendiri dahulu, baru kemudiannya untuk rakyat jelata. Mereka secara halusnya adalah 'raja kecil'; perlu dihormati dan disembah, perlu diusung dan dinobat.

Itu antara kecacatan sistem politik kita. Kita tidak boleh salahkan sistem politik itu sendiri. Kita perlu salahkan pendukung sedia ada dan bakal pendukungnya kemudian nanti. Kita juga perlu salahkan diri sendiri kerana tidak tahu membezakan mana satu politik, mana satu sifat fanatik.

Kemudian dalam ulasan Forbes itu lagi, ekonomi yang mantap dengan sistem yang memudahkan kita mewujudkan usahawan adalah salah satu faktor penting dalam penentuan tahap kebahagiaan. Ekonomi yang kukuh mampu meningkatkan rasa senang di hati rakyat. Norway dengan KDNK per kapita sebanyak $53,000USD adalah yang tertinggi didunia, ianya hampir tujuh kali lebih tinggi dari Malaysia. Singapura dengan kawasan yang sempit dan penduduk yang kecil mempunyai KDNK hampir sebanyak itu juga berada di kedudukan ke 17. Kita tidak boleh semata-mata meremehkan mereka lagi. Pencapaian mereka adalah suatu kenyataan. Jangan dengki tidak tentu pasal. Apa yang kita perlu buat, tingkatkan keupayaan ekonomi kita dengan kadar segera atau kita akan lebih jauh ketinggalan dari mereka.

Perlu kita lihat juga secara spiritual. Penduduk di negara Scandinavia secara puratanya kurang 'beragama'. Secara purata, hanya 13% daripada penduduk mengunjungi gereja. Bukan apa. Semasa zaman kegemilangan Islam dulu pun, tiada penekanan khusus mengenai segalanya mereka islamik. Malah, tiada definisi khusus mengenai perkara islamik yang dilakukan. Perjanjian tetap dilakukan dengan golongan yahudi di Madinah walaupun akhirnya perjanjian itu dikhianati. Kita tidak nampak mereka bina masjid sebesar-besarnya hanya untuk menunjukkan mereka itu Islam. Malah, kalau kita dengar cerita mengenai bagaimana perundangan Islam dilaksanakan, ianya lebih 'ringan' daripada yang sering dirancang oleh kita pada masa kini.

Islam itu sendiri adalah cara hidup. Jadi secara asasnya, bila kehidupan kita seharian itu berdasarkan Islam, perlu apa lagi sebuah negara Islam (untuk dilaungkan kepada dunia)? Adakah kita perlu membuktikan kepada semua orang betapa islamiknya kita di mata orang lain? Itu yang sedang berlaku di Malaysia. Kita berlumba-lumba untuk menunjukkan kita lebih islamik berbanding orang lain. Berbanding dengan negara lain. Kita buat kepompong dan masuk ke dalamnya. Entah berapa lama kita hendak berhibernasi. Orang di sekeliling sudah semakin jauh meluncur. Kita masih tidur.

Sekarang, mahukah kita persoalkan kebahagian orang lain atau mahukah kita turut sama bahagia dengan melaksanakan pendekatan lebih proaktif dalam merancang masa depan negara kita? Kalau kita hendak cari kambing hitam memang senang. Tapi selepas itu, apa? Kita akan terus kekal begitu.

Mungkin ada baiknya kita berubah menjadi lebih baik daripada memperlekehkan 'kebaikan' orang lain.

19.1.11

Tahun Ke-10

Kenapa sekarang aku kurang bercerita mengenai diri sendiri dan lebih mengenai perkara lain? Rasanya 9 tahun mengomel mengenai diri sendiri di dalam blog sudah cukup lama. Tahun 2011 ini adalah tahun ke 10 aku menulis blog. Aku bermula menulis blog pada 20 September 2001, beberapa hari selepas peristiwa serangan World Trade Centre di New York. Itu secara rasmi. Secara tidak rasmi, aku cuba menulis di beberapa laman penulisan blog seperti di LiveJournal dan Diaryland tetapi aku gagal temui keserasian.

http://fross.8m.com/index.htm
Pada ketika itu, aku terpaksa update blog secara manual. Tambahan pula blog tersebut asalnya adalah sebahagian daripada website peribadi aku, maka setiap update yang aku buat adalah menggunakan Macromedia Dreamweaver sepenuhnya dan terpaksa diupload ke server setiap kali untuk post baru disiarkan. Satu kerja yang amat leceh dan menyusahkan.

Namun paling menarik, pada awal permulaan menulis blog, aku menulis dalam bahasa Inggeris. Kalau aku menulis dalam bahasa Melayu pun, kerana aku tidak puas hati akan sesuatu.

Sampai aku akan menulis blog? Sekarang sudah 10 tahun. Kita lihat berapa lama aku boleh pergi. :-)

18.1.11

Revolusi Fikiran

Aku menulis semalam bagaimana 'monyet tupai' (squirrel monkey) yang hidup di benua Amerika Selatan boleh membantu penemuan penawar kepada rabun warna. Malah ada di dalam forum yang menyatakan, kerana sifat rabun warna itu tidak jauh bezanya dengan sifat buta secara akibat-akibat tertentu, maka mungkin buta juga dapat diubati suatu masa nanti.

Teori Evolusi Darwin
Semasa menonton rencana tersebut di siaran 554 Astro, punca monyet dipilih sebagai alat ujikaji adalah kerana ianya mempunyai lebih kurang 99% persamaan dengan manusia. Tentunya teori evolusi Darwin memainkan peranan yang sangat penting dalam membuat manusia di barat tidak putus-putus menyelidiki sifat monyet. Sedang kita sebagai umat Islam awal-awal lagi menolak teori Darwin tersebut.

Aku juga tidak mempercayai teori Darwin tersebut tetapi aku percaya wujudnya evolusi terhadap tumbuh-tumbuhan dan haiwan di alam ini. Manusia, aku duga adalah spesis yang terasing daripada haiwan. Namun apa yang menyebabkan manusia dan monyet mempunyai banyak persamaan dari segi fizikal dan genetik?

Masalah dalam pengajaran Islam masakini, apabila sesuatu perkara itu sudah dijelaskan sebagai haram, tidak boleh dan atau tidak dibenarkan, maka perkara itu akan terhenti di situ saja tanpa diberi perhatian langsung lagi. Sama seperti persoalan kenapa babi dan anjing itu haram. Akhirnya bila ditanya kepada beberapa ulamak dangkal, jawapan mereka mudah; itu sudah ketentuan Tuhan, kita tidak perlu persoalkan lagi.

Maka setiap ketika kita sebagai seorang umat Islam terbatas pemikiran dan ilmu kerana kita 'tidak dibenarkan' mengetahui lebih daripada yang 'sepatutnya'. Tidak pernah pula kita mahu membuat kajian kenapa monyet mempunyai ciri-ciri yang hampir sama dengan manusia? Bagaimana kita hendak menangkis teori Darwin kalau hanya dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran dan Hadith tanpa bukti yang lebih kukuh? Memang betul al-Quran dan Hadith itu benar dan tepat di kalangan umat Islam. Tetapi bukan Islam tidak peduli semua itu. Kita patut jadikan al-Quran dan Hadith sebagai pedoman untuk membuka mata manusia terhadap kekuasaan Tuhan. Jadikan itu sebagai asas untuk kita mengkaji sesuatu.

Kadang-kadang kita boleh jadi teruja bila melihat video di YouTube bagaimana dibuktikan oleh orang barat bahawa daging babi masih mengandungi ulat dan kuman biarpun setelah dimasak (kamu cari sendiri video tersebut di YouTube). Masalahnya kenapa tidak orang Islam yang menemui dan membuktikannya? Kenapa kita tidak cari punca kenapa anjing diharamkan sedang kita lihat bagaimana anjing menjadi 'teman paling setia' di kalangan bukan Islam? Kalau setakat kita cakap itu dan ini haram tanpa alasan yang munasabah, orang tidak akan peduli.

Orang kata, arak haram. Kenapa? Kerana ianya memabukkan dan akan menyebabkan kita lalai dan seterusnya boleh menimbulkan masalah sosial yang serius. Itu sajakah? Ada informasi lain yang boleh membantu mengukuhkan hujah kenapa arak haram? Kamu tahu, kita bersungguh-sungguh menyiar dan menghebahkan betapa buruknya tabiat merokok itu terhadap kesihatan manusia. Siap kita letak gambar ngeri di kotak rokok. Tetapi orang Islam masih hisap rokok kerana tiada fatwa khusus yang mengatakan ianya haram. Arak? Mana informasi dan hujah yang kita boleh sebarkan? al-Quran dan Hadith? Cukup?

Kalau cukup, kenapa di zaman kegemilangan sains dalam Islam dulu, ramai ilmuan Islam membuat pelbagai kajian mengenai bulan bintang, alam, matematik, chaos, perubatan, fizik dan banyak lagi ilmu dan ianya bukan sekadar bersandarkan al-Quran dan Hadith semata-mata. Bila mengkaji bulan dan bintang, ahli astronomi Islam masa lampau membuat cerapan bulan dan bintang. Mereka tidak rujuk al-Quran dan Hadith semata-mata dan temui segala jawapan.

Gerhana Bulan oleh Al-Biruni
Paling aku sedar, alam sekeliling kita dicipta untuk kita fikir apakah fungsi dan rahsianya. Tuhan tidak akan mencipta sesuatu hanya semata-mata untuk kita kagumi kebesaranNya. Tuhan tidak jadikan sesuatu tanpa sebab. Tuhan tidak jadikan monyet supaya Darwin boleh wujudkan teori evolusinya. Tuhan tidak jadikan anjing dan babi untuk diberitahu ianya haram semata-mata. Kita kaji dan cari apa kebaikan dan keburukan untuk manusia sejagat.

Haiwan kecil nun jauh di benua Amerika Selatan mampu membantu menyelesaikan masalah rabun warna kalangan manusia. Kenapa tidak Tuhan letak saja binatang itu di benua Arab atau Taman Negara supaya mudah kita kaji? Sebab pada pendapat aku, Tuhan mahu kita luaskan pandangan mata kita, akal fikiran kita dan kefahaman kita terhadap segala sesuatu ciptaanNya. Agar bila kita temui sesuatu itu, kita sedar bahawa kekuasaan Tuhan itu tidak terkira besarnya. Maha hebat caranya.

Aku pernah tegur seorang rakan yang sedang membaca buku mengenai peringatan supaya kita sentiasa mengingati mati. Aku tanya, kenapa kita perlu sentiasa baca buku sebegitu? Atau lebih khusus lagi, kenapa saban hari kita perlu dalami ilmu agama semata-mata? Kamu pergi kedai buku orang kita dan lihat sendiri. Penuh dengan bacaan agama seperti dua tiga buah buku mengenai cara sembahyang tidak cukup untuk mengajar kita bagaimana untuk bersembahyang. Kita perlu ada berpuluh buku untuk menerangkan perkara yang sama.

Masalah umat Islam masa kini adalah kerana mereka tidak lihat ilmu lain selain daripada ilmu agama sebagai tiket ke syurga, tiket menemui Tuhan. Mereka fikir hanya dengan ilmu agama yang cukup banyak akan membuat seseorang itu lebih dekat dengan Tuhan dan lebih kasihiNya. Maka kita sebagai umat yang dijadikan Tuhan sebagai khalifah di muka bumi ini sebenarnya dalam keadaan yang amat-amat rugi. Kita gagal untuk mengenal dan mengkaji apa yang wujud di sekeliling kita untuk kebaikan manusia sejagat kerana ianya tidak nampak begitu penting berbanding ilmu agama untuk menemui Tuhan kelak. Lihat betapa 'selfish' jadinya diri kita. Kita mahu hidup dan mati semata-mata untuk diri kita sendiri. Kita mahu rangkul sebanyak mungkin pahala kebaikan untuk persediaan ketika mati. Bagaimana? Dalami ilmu agama dan bersedia untuknya sepanjang masa. Perkara lain? Tidak perlu diutamakan sangat kerana tidak membantu.

Aku fikir membantu lebih 200 juta umat manusia yang rabun warna kembali dapat melihat warna alam sebenar adalah jauh lebih mulia di sisiNya daripada mengejar ilmu agama untuk kepentingan diri sendiri. Sayangnya yang menemui penawar rabun warna itu bukan orang Islam.

17.1.11

Saintis Temui Penawar Rabun Warna?

Pagi tadi ketika bangun dari tidur, aku ada sebab untuk tersenyum sendirian.

Semalam ketika menunggu waktu untuk tidur, aku menonton satu rencana di saluran Discovery Science (554) mengenai warna. 15 minit di penghujung rencana, mereka membincangkan mengenai rabun warna dan potensi penawarnya.

Kajian dilakukan ke atas Squirrel Monkey oleh Professor William Hauswirth melalui seekor monyet jantan yang rabun warna (kebanyakkan squirrel monkey betina tidak rabun warna) yang telah disuntik virus yang mengandungi gen tertentu ke dalam biji mata monyet tersebut.

Setelah beberapa minggu, monyet jantan yang pada asalnya rabun warna, telah diuji dan hasilnya, monyet tersebut tidak lagi mengalami rabun warna! Perlu kita ingat bahawa rabun warna pada squirrel monkey jantan ini adalah bersifat genetik iaitu keturunan, bukan akibat kecederaan. Sama seperti aku, rabun warna aku adalah akibat genetik atau keturunan.

Jadi secara teori dan hasil ujian terhadap squirrel monkey, rabun warna dapat diubati. Ini adalah berita gembira kepada lebih 200 juta manusia di seluruh dunia. 1 daripada 10 lelaki adalah rabun warna manakala 1 daripada 200 wanita juga rabun warna. Potensi penawar rabun warna ini mampu memberi nafas baru kepada ramai manusia. Kalau ianya terbukti berkesan, selepas mereka boleh mengenal semua warna yang sepatutnya mereka kenali, ruang hidup mereka pasti akan lebih besar. Orang rabun warna yang selama ini bercita-cita mahu jadi juruterbang boleh melakukannya. Begitu juga jika mereka mahu menjadi tentera, polis atau sekadar mahu memilih warna pakaian yang betul di pasaraya.

Penemuan ini masih di peringkat pemulaan. Professor Hauswirth masih menunggu kelulusan untuk ujian ke atas manusia. Kita masih perlu menunggu beberapa tahun untuk melihat potensi keberkesanannya. Harap-harap ianya boleh menjadi sinar baru kepada ratusan juta manusia rabun warna.

Baca SINI untuk informasi lebih lanjut.

Terminal Bersepadu Bas - Bandar Tasik Selatan

Tempohari semasa dalam perjalanan ke terminal bas sementara Bukit Jalil untuk membeli tiket balik kampung Zura, kami melencong sementara ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Bandar Tasik Selatan. Terminal bas moden ini terletak bersebelahan dengan stesen ERL, KTM Komuter dan LRT Bandar Tasik Selatan. Pada asalnya, terminal bas ini dirancang untuk digunakan sebagai terminal bas ekspres laluan arah selatan Semenanjung Malaysia iaitu semua destinasi ke Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Namun kalau mengikut saiz infrastruktur yang dibangunkan, TBS mampu mengendalikan semua perjalanan bas ekspres laluan utara, timur dan selatan untuk jangkamasa sekurang-kurangnya 10 tahun. Jadi kerajaan boleh jimat kos pembinaan terminal arah lain buat masa ini (kalau betul kerajaan kurang dana sekarang) dan satukan terminal arah utara dan selatan di TBS saja. Terminal arah timur masih sesuai digunakan di Terminal Putra berhampiran PWTC. Terminal Puduraya yang sekarang masih dalam proses renovasi aku fikir lebih baik dijadikan terminal regional lembah Klang bagi mengurangkan kesesakan di CBD (Central Business District) Kuala Lumpur.

Berada di TBS seperti berada di lapangan terbang. Papan tanda arah, skrin monitor pemberitahuan ketibaan dan pelepasan bas serta suasana persekitaran yang luas dan selesa membuat aku berfikir dua kali sama ada aku sedang berada di sebuah terminal bas atau terminal kapal terbang. Kemudahan lain yang disediakan juga sangat menarik. Kaunter tiket bersepadu yang cuba dipraktikkan di TBS adalah langkah bijak untuk menghindar ulat tiket yang biasa kita lihat di stesen bas. Kaunter tiket juga berfungsi secara digital sepenuhnya dan ini boleh mempercepatkan proses urus niaga. Ada juga terdapat kaunter tiket khas untuk OKU dan warga emas, dan juga terminal tiket automatik (buat masa ini masih belum beroperasi). Ruang khidmat pelanggan yang berada bersebelahan dengan kaunter tiket adalah lokasi bijak untuk memudahkan pelanggan berinteraksi sekiranya mereka memerlukannya.

Berlainan dengan terminal Puduraya, aras kaunter tiket BTS bukan berfungsi sebagai aras menunggu bas. Sebaliknya, ruang menunggu terletak di bawah aras kaunter tiket. Ada tiga set eskalator untuk turun dan naik ke ruang menunggu dan ianya dikawal oleh polis bantuan. Dalam masa yang sama, petugas bantuan BTS juga sentiasa di sekitar ruang legar untuk memberi bantuan.

Berbeza juga dengan terminal Puduraya, BTS mengasingkan ruang menunggu pelepasan bas dengan ruang ketibaan bas. Ruang ketibaan bas terletak di sebelah selatan, sama aras dengan ruang kaunter tiket.    Konsep parkir bas di TBS adalah bersifat sementara dan segera. Bas hanya dibenarkan untuk berhenti mengambil dan menurunkan penumpang di lot yang disediakan dalam masa yang terhad. Malah terdapat 'Bus Holding Bay' di luar daripada bangunan terminal untuk bas diletakkan sementara menunggu waktu untuk bergerak. Bagus, kurang asap berbahaya.

Aku dapati, ruang atas dari ruang kaunter tiket telah dikhaskan untuk restoran, kedai makan dan kedai runcit beroperasi. Meja makan yang disediakan cukup banyak dan selesa. Cuma kadang-kadang kita kena faham, orang kita agak ganas. Aku kira sekejap saja nanti semua perabot ini akan rosak.

Ada beberapa kritikan terhadap BTS. Pertamanya tandas. Setakat yang aku nampak, cuma ada dua set tandas bagi setiap aras. Paling penting, cuma ada satu set tandas di persimpangan ruang ketibaan, tepi kaunter tiket dan jalan hubungan antara BTS dan stesen rel lain. Aku fikir set tandas ini akan menerima beban penggunaan paling banyak. Risiko overloading dan breakdown tentu tinggi. Ruang ketibaan bas (unloading bay) yang bersifat terbuka dengan bumbung yang tinggi; kamu boleh bayangkan keadaannya waktu hujan turun. Tempias pasti akan mengganggu keselesaan penumpang yang tiba.

Satu aspek yang perlu diambil perhatian dalam di TBS sendiri walaupun ianya bersebelahan dengan terminal rel (ERL, KTM dan LRT), tiada langsung kaunter atau sekurang-kurangnya mesin tiket automatik yang diletakkan. Pengguna terpaksa pergi ke stesen-stesen rel tersebut untuk membeli tiket dan ini langsung tidak menampakkan ciri-ciri integrasi yang dibangga-banggakan.

Paling aku kecewa adalah penerimaan penyedia perkhidmatan bas ekspres terhadap BTS. Alasan mereka adalah kerana mereka mahu mengendali sendiri kaunter tiket. Itu niat jahat mereka sebenarnya. Kebanyakkan ulat tiket di terminal bas sedia ada berkhidmat dengan penyedia perkhidmatan ini dan mereka berfungsi untuk 'hassle'/mengganggu pengguna dalam membuat keputusan. Harga tiket juga boleh mereka manipulasi apabila kaunter tiket dijaga sendiri oleh mereka.

Adalah tidak adil pengguna perkhidmatan dibuli oleh penyedia perkhidmatan. Kerajaan patut bertindak tegas kepada syarikat bas ekspres yang enggan menggunakan BTS hanya kerana mereka tidak boleh mengendalikan sendiri kaunter tiket. Itu alasan bodoh yang menyusahkan orang ramai kemudian hari.

Sekali lagi aku harapkan agar BTS boleh dijadikan terminal integrasi semua arah, bukan arah selatan saja seperti yang dicadangkan sekarang. BTS ada keupayaan untuk mengendalikan jumlah penumpang yang banyak dalam keadaan yang agak selesa. Jangan membazir projek infrastruktur pengangkutan yang baik seperti BTS. Orang ramai patut bersuara dan menyatakan pendapat mereka. Kita tidak boleh harap wakil rakyat/pemimpin atau pegawai kerajaan untuk bersuara. Jangan harap mereka mahu naik bas ekspres. Naik kereta pun dieskot polis. Redah tol tanpa perlu bayar.

Tahniah kerajaan kerana membina BTS. Sekarang tanggungjawab pihak yang sepatutnya untuk menjalankan operasi dengan baik.

14.1.11

Tambang Murah

Tempohari, sebuah kapal terbang AirAsia terbabas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Sarawak. Katanya ia terbabas kerana mendarat dalam hujan yang sangat lebat. Akibat daripada kejadian tersebut, banyak penerbangan dari dan ke Kuching terpaksa dibatalkan.

Ada juga dakwaan aku baca dalam blog bahawa AirAsia tidak mengamalkan langkah-langkah keselamatan penerbanan yang betul. Malah ada yang mempersoalkan syarikat AirAsia dan pemiliknya sendiri, Tony Fernandes. Ini banyak datang dari blog politik tertentu yang menunding jari kepada hubungan Tony Fernandes dengan beberapa orang ahli politik yang tidak disukai mereka.

Aku sendiri cuma baru beberapa kali menggunakan perkhidmatan AirAsia. Pertama kali pada tahun 2006 untuk perjalanan ke Miri. Kali terakhir aku guna AirAsia atas waran kerajaan bagi satu tugasan di Kuching, hujung Disember lalu. Aku tidak hadapi banyak masalah dengan AirAsia. Mungkin kerana aku tidak letakkan ekspektasi tinggi terhadap mutu layanan dan kualiti perkhidmatan mereka. Kita sendiri tahu dari segi kualiti, mereka masih jauh untuk bersaing dengan MAS.

Cuma kita perlu ingat, bila kita guna perkhidmatan tambang murah, kita jangan harap kita dapat perkhidmatan kualiti hotel lima bintang atau seperti dipandu dalam limosin. Tempat duduk pasti sempit. Makanan perlu bayar kerana semasa kita beli tiket, ianya tidak termasuk dengan harga makanan. Kalau mahu makan 'percuma' dalam kapal terbang (sebab mungkin selalu menonton filem yang ada adegan makan dalam kapal terbang), sila guna MAS atau mana-mana syarikat penerbangan 'full-service'.

Rakan-rakan di pejabat ramai yang menggunakan AirAsia untuk ke destinasi mereka. Ada yang tidak sabar menunggu waktu AirAsia menawarkan harga murah untuk membeli tiket ke Bandung atau balik kampung di Malaysia Timur. Aku tidak pernah dengar mereka merungut dengan perkhidmatan yang diberikan. Maklumnya, hampir semua rakan di unit/bahagian aku ini pernah menaiki MAS dan tahu bagaimana bezanya kualiti perkhidmatan mereka. Jadi, bila naik AirAsia yang awal-awal lagi jelaskan bahawa mereka adalah sebuah syarikat penerbangan tambang murah, tidak perlulah kita harap yang bukan-bukan. Ideanya adalah untuk sampai ke sesuatu destinasi dengan pantas dan murah.

Kadang-kadang aku hairan dengan kritikan orang terhadap rasional kewujudan AirAsia. Aku bukan penyokong kuat AirAsia walaupun secara jujur, aku hargai kewujudannya. Mereka yang kritik, kalau tidak suka, sila beritahu apa alternatif lain untuk orang ramai bergerak dengan mudah ke sesuatu destinasi? MAS? Mereka mungkin lebih suka naik MAS kerana mereka mampu. Tetapi ramai antara kita yang tidak mampu beli tiket MAS. Kalau ada alteranatif lain, mungkin orang boleh buat pilihan. Tetapi setakat ini syarikat tambang murah lain seperti FireFly mempunyai rangkaian penerbangan yang terhad.

Berbalik kepada berita kapal terbang AirAsia yang terbabas. Ini bukan kejadian pertama. Sudah ada beberapa kejadian yang sama sebelum ini. Aku fikir AirAsia patut memberi penekanan yang lebih serius dalam menangani keselamatan penerbangan mereka. Ianya melibatkan nyawa manusia. Jangan sampai ada nahas buruk yang berlaku kelak.

Orang ramai akan terus menggunakan AirAsia walaupun ada kritikan daripada beberapa pihak. Ini kerana buat masa ini, hanya AirAsia mampu membawa orang ramai ke destinasi yang sungguh meluas dengan harga paling minima. Keselesaan perkara kedua. Orang lebih pentingkan destinasi yang dituju, bukan makanan dalam kapal terbang. Lagipun, semasa aku dihidangkan secara percuma nasi ayam di dalam penerbangan AirAsia tempohari, aku fikir rasa makanan itu sudah cukup sedap tetapi masih tidak sehebat nasi ayam arwah Pak Ngah aku suatu ketika dulu.

12.1.11

Livery Baru Penerbangan Malaysia

Sedar atau tidak, Penerbangan Malaysia (MAS) sedang dalam proses menukar livery kapal terbang mereka. Malah, mereka juga menukar livery krew dan kenderaan darat mereka. Aku cuma berminat dengan livery kapal terbang mereka memandangkan ianya melambangkan imej MAS secara keseluruhan.

Livery MAS lama diperkenalkan pada penghujungan 80an dan ianya direka oleh ITM (Institut Teknologi Mara). Ianya antara livery kapal terbang yang digemari di seluruh dunia dan secara umum, rekaannya adalah selamat dan elegan.

Selama lebih dua dekad MAS menggunakan livery ini dan begitu jarang orang mengkritik mengenainya. Secara jujur, aku rasa livery ini nampak kurang dinamik untuk sebuah syarikat penerbangan yang besar seperti MAS. Sudah sampai masa ianya ditukar, bersesuaian dengan peredaran masa.

Pada tahun 2010, MAS bertindak menukar livery mereka kepada livery baru seperti gambar di sebelah. Mulanya aku ingat ianya syarikat penerbangan dari Filipina. Tetapi bila lihat logo MAS di badan kapal terbang termasuk tulisan Malaysia Airlines, baru aku sedar ianya livery baru MAS.

Komen aku? Buruk dan langsung tidak ada kreativiti atau visi yang boleh dibanggakan. Malah, kalau sekali lihat, aku ingat ianya seperti sebuah kapal terbang tambang murah (LCC). Siapa juga design livery ini patutnya disula kerana merosakkan branding baik yang sudah sedia ada pada MAS. Kalau hendak ubah sekalipun, ubah jadi lebih baik atau lebih menarik. Tengok sendiri, menarik ke?

Kenapa tidak guna livery MAS Hibiscus seperti di gambar sebelah yang cukup cantik dan elegan. Lihat sendiri dan bandingkan dengan livery baru MAS. Mungkin mereka tidak guna kerana harga untuk cat balik lebih mahal?

Malah kalau difikirkan, banyak syarikat penerbangan di seluruh dunia yang guna warna putih sebagai latar utama, kenapa tidak MAS guna warna lain yang lebih unik. Kenapa kita perlu setuju ikut cara orang lain? Sebab itu aku kata rekaan livery baru MAS adalah rekaan yang tidak kreatif dan berpandangan jauh.

Atau, gunakan livery ini, MAS Heliconia Blue yang mendapat pujian di seluruh dunia. Rekaan yang paling cool untuk livery kapal terbang.

MAS, sila pertimbang untuk ubah kembali livery kamu!

11.1.11

MRT

Salah satu rancangan transformasi ekonomi negara adalah pembinaan prasarana pengangkutan awam yang menyeluruh di lembah Klang. MRT (Mass Rapid Transit) adalah salah satu cadangan mod pengangkutan yang akan dibina dengan kos sekitar RM46 bilion.

Bagi aku, apa saja projek yang boleh membantu menaikkan taraf ekonomi dan kualiti hidup rakyat, aku sokong 100%. Aku cuma mahu ianya dilaksanakan dengan adil, telus dan tidak berlaku pembaziran.

RM46 bilion adalah kos yang sangat besar, lebih kurang 1/6 belanjawan negara. Jadi sepatutnya RM46 bilion digunakan sepenuhnya untuk pembangunan MRT. Aku tidak mahu bila dilaburkan RM46 bilion itu, separuh akan masuk ke kantung orang/agensi tertentu. Suku lagi akan habis dibelanja tanpa arah tujuan dan akhirnya suku saja yang benar-benar digunakan untuk pembangunan projek.

Kemudian, mereka juga perlu pastikan sistem yang terbaik saja dipilih untuk dibina dan digunakan. Jangan jadi seperti sekarang. Ada tiga laluan LRT dengan tiga sistem yang berbeza. Tiada langsung keupayaan untuk berintegrasi antara satu sama lain. Pastinya MRT adalah berbeza dengan LRT. Sistem baru ini juga pasti akan berbeza dengan yang sedia ada. Kita perlu pastikan kalau MRT ini mempunyai beberapa laluan, pastikan laluan ini menggunakan satu sistem yang sama.

Laluan yang dirancang juga perlu tepat dan sesuai dengan persekitaran. Jangan jadi seperti laluan sedia ada yang berhenti di hentian tidak masuk akal dan amat membazir. Utamakan kawasan yang mempunyai penduduk menengah rendah dan bawahan kerana mereka lebih mahu guna perkhidmatan awam berbanding golongan atasan.  Tumpukan stesen berhampiran institusi pendidikan dan pasaraya yang memudahkan orang ramai berkunjung.

Apa pun, MRT yang bakal dibina ini diharap boleh mengurangkan pencemaran, menggalakan penggunaan pengangkutan awam yang lebih efisien dan membantu menjimatkan kos hidup seharian orang ramai.

Masa Untuk Kembali Cergas!

Isnin, 3hb Januari lepas adalah hari pertama aku kembali berbasikal setelah sekian lama terhenti. Ada beberapa faktor yang menyebabkan aku tidak berbasikal; hujan, sibuk dengan kerja, sibuk dengan aktiviti sosial (dating la ni) dan paling utama, malas.


Bila tiba awal tahun, aku sedari butang seluar sudah semakin sukar hendak dipasang. Perut semakin membesar dan badan semakin berat. Tinggal enam bulan dan badan masih seperti badak air. Jadi aku mulakan kembali usaha untuk berbasikal, dengan tujuan utama untuk kembali sihat. Tujuan kedua, untuk kurus.

Begini, tanpa senaman yang cukup, kamu buatlah apa saja pun, badan kamu yang besar tidak akan mengurus dengan elok. Kamu boleh diet, sila. Tetapi risiko yang bakal melanda adalah boleh membahayakan organ dalaman badan. Diet yang terkawal lebih baik daripada crash-course. Tetapi cara yang terbaik adalah tetap dengan senaman. Awal berbasikal dulu aku memang jaga pemakanan. Aku kira setiap kalori yang diambil dan aku sasar jumlah kalori yang turun setiap kali berbasikal. Hasilnya, dalam masa sebulan aku berbasikal, aku berjaya turunkan berat badan sebanyak 5kg, ditambah dengan daya tahan dan 'fitness' badan yang meningkat. Suruh panjat tangga 10 tingkat bangunan pun aku boleh tanpa rasa penat melampau.

Ianya bukan berapa banyak kamu berjaya kurangkan berat badan. Apa yang lebih penting, tenaga dan daya tahan badan meningkat. Itu sasaran aku.

Jadi aku masih boleh makan apa yang aku suka makan tanpa perlu berkira dengan kalori yang masuk kerana kalau ikut catuan betul, kalori yang keluar sepatutnya lebih atau sekurang-kurangnya seimbang. Sekarang, aku sudah mula kembali melakukan perkara sebegitu, dan lebih lagi. Tahun ini aku perlu kurangkan berat badan dan dalam masa yang sama, meningkatkan 'fitness'.

Semalam aku berkayuh pada kelajuan purata 22km/j. Sasaran aku adalah sekitar 27km/j, iaitu kelajuan purata ketika aku aktif berbasikal beberapa bulan lalu. Pada kelajuan purata 22km/j, aku boleh habiskan satu pusingan pulau sejauh lebih kurang 11.7km (di core island, Putrajaya) dalam masa sekitar 32 minit. Sasaran aku adalah di bawah 30 minit. Kalau tercapai, aku boleh buat dua pusingan sehari dalam masa sejam.

InshaAllah ianya boleh dicapai. Bergantung juga kepada keadaan. Cuaca sekarang tidak menentu. Semalam aku cuma sempat berkayuh selama lebih kurang 40 minit sebelum hujan turun. Hari ini tidak tahu lagi.

Betul, ada alternatif lain daripada berbasikal yang jauh lebih murah dan boleh dilakukan sepanjang masa. Aku habiskan lebih RM1,500 untuk basikal. Kasut jogging mungkin berharga kurang daripada RM200. Tali skipping jauh lebih murah. Tetapi aku pilih basikal kerana 'perjalanannya' dan suasananya. Aku senang dibelai damai suasana alam. :-)

3.1.11

Kalendar 2011 Kami

2011. Tahun ketiga aku buat kalendar sendiri. Tahun ini ada peneman pada gambar di dalam kalendar.