24.1.11

Negara Yang Bahagia

Kelmarin aku terbaca di internet mengenai senarai 10 negara penduduknya paling bahagia; baca SINI. Tempat pertama, Norway. Kedua, Denmark dan ketiga, Finland. Ketiga-tiga negara ini terletak di kawasan Scandinavian, atau Eropah Utara. Kedudukan Malaysia? Malaysia berada di tangga ke 43 daripada 110 negara yang dinilai. Kira boleh tahan.

Jiran kita? Singapura yang kita sering kata sangat uptight dan kiasu berada di tangga ke 17. Thailand di tangga ke 52, Filipina di tangga ke 64 dan Indonesia di tangga ke 70. Tiada data Brunei. Arab Saudi yang begitu tegas dengan rakyatnya di tangga ke 49.

Banyak aspek diukur melalui penilaian yang dibuat; taraf hidup, KDNK, kemudahan hospital, suasana politik, kebebasan rakyat dan kesenangan memulakan perusahanaan serta inovasi antara yang diambil kira. Malah suasana persekitaran juga dinilai.

Aku tahu kenapa negara kita jauh lebih rendah berbanding Singapura. Politik kita kucar kacir dengan penuh bau-bau perkauman sepanjang masa. Ekonomi kita masih seperti menyeret diri sendiri dan masih belum sembuh dari luka. Pendidikan kita sama taraf seperti mesin fotostat; lebih banyak kita keluar pelajar, lebih baik. Sistem kesihatan kita walaupun percuma tetapi sangat minimal. Persekitaran kita semakin lama semakin tercemar dengan pembangunan tanpa perancangan teliti. Kebebasan rakyat? Kamu sendiri tahu bagaimana keadaannya.

Aku harap kerajaan tidak meremehkan hasil kajian ini sebagai usaha pihak barat untuk memperlekehkan Malaysia. Kalau tidak betul, masakan setiap hari kita boleh dengar rungutan rakyat mengenai masalah hidup yang dialaminya.

Juga, kita perlu kaji kenapa negara-negara di Scandinavia semuanya mencapai tahap top 10 dalam senarai. Apa yang membuat mereka berada di tahap tertinggi dalam ranking dunia. Antara faktor yang dirungkai dalam Forbes.com adalah negara-negara tersebut mempunyai sistem politik dan tahap kebebasan bersuara paling terbuka. Keterbukaan ini yang sering dimomok oleh pemimpin kita sebagai tidak sesuai untuk dilaksanakan di negara yang berbudaya timur seperti Malaysia. Maksud mereka, kita sebagai orang timur tidak boleh menerima teguran dan kritikan secara terbuka? Atau kita tidak boleh berbincang secara 'berkongsi' kerana ianya bukan budaya kita?

Masalah dengan pemimpin kita adalah kerana mereka masih berfikiran secara feudalistik; pemimpin lebih tahu apa yang bagus untuk rakyat yang dipimpinnya. Maka segala pembangunan dan usaha yang dibuat oleh kerajaan jarang sekali melibatkan pandangan dan pendapat orang ramai, iaitu rakyat yang memilih mereka. Pemimpin kita bila dilantik mengetuai kita bertindak seperti tok demang atau orang besar yang hanya tahu memungut cukai dari rakyatnya dan hidup berlandaskan kepentingan diri sendiri dahulu, baru kemudiannya untuk rakyat jelata. Mereka secara halusnya adalah 'raja kecil'; perlu dihormati dan disembah, perlu diusung dan dinobat.

Itu antara kecacatan sistem politik kita. Kita tidak boleh salahkan sistem politik itu sendiri. Kita perlu salahkan pendukung sedia ada dan bakal pendukungnya kemudian nanti. Kita juga perlu salahkan diri sendiri kerana tidak tahu membezakan mana satu politik, mana satu sifat fanatik.

Kemudian dalam ulasan Forbes itu lagi, ekonomi yang mantap dengan sistem yang memudahkan kita mewujudkan usahawan adalah salah satu faktor penting dalam penentuan tahap kebahagiaan. Ekonomi yang kukuh mampu meningkatkan rasa senang di hati rakyat. Norway dengan KDNK per kapita sebanyak $53,000USD adalah yang tertinggi didunia, ianya hampir tujuh kali lebih tinggi dari Malaysia. Singapura dengan kawasan yang sempit dan penduduk yang kecil mempunyai KDNK hampir sebanyak itu juga berada di kedudukan ke 17. Kita tidak boleh semata-mata meremehkan mereka lagi. Pencapaian mereka adalah suatu kenyataan. Jangan dengki tidak tentu pasal. Apa yang kita perlu buat, tingkatkan keupayaan ekonomi kita dengan kadar segera atau kita akan lebih jauh ketinggalan dari mereka.

Perlu kita lihat juga secara spiritual. Penduduk di negara Scandinavia secara puratanya kurang 'beragama'. Secara purata, hanya 13% daripada penduduk mengunjungi gereja. Bukan apa. Semasa zaman kegemilangan Islam dulu pun, tiada penekanan khusus mengenai segalanya mereka islamik. Malah, tiada definisi khusus mengenai perkara islamik yang dilakukan. Perjanjian tetap dilakukan dengan golongan yahudi di Madinah walaupun akhirnya perjanjian itu dikhianati. Kita tidak nampak mereka bina masjid sebesar-besarnya hanya untuk menunjukkan mereka itu Islam. Malah, kalau kita dengar cerita mengenai bagaimana perundangan Islam dilaksanakan, ianya lebih 'ringan' daripada yang sering dirancang oleh kita pada masa kini.

Islam itu sendiri adalah cara hidup. Jadi secara asasnya, bila kehidupan kita seharian itu berdasarkan Islam, perlu apa lagi sebuah negara Islam (untuk dilaungkan kepada dunia)? Adakah kita perlu membuktikan kepada semua orang betapa islamiknya kita di mata orang lain? Itu yang sedang berlaku di Malaysia. Kita berlumba-lumba untuk menunjukkan kita lebih islamik berbanding orang lain. Berbanding dengan negara lain. Kita buat kepompong dan masuk ke dalamnya. Entah berapa lama kita hendak berhibernasi. Orang di sekeliling sudah semakin jauh meluncur. Kita masih tidur.

Sekarang, mahukah kita persoalkan kebahagian orang lain atau mahukah kita turut sama bahagia dengan melaksanakan pendekatan lebih proaktif dalam merancang masa depan negara kita? Kalau kita hendak cari kambing hitam memang senang. Tapi selepas itu, apa? Kita akan terus kekal begitu.

Mungkin ada baiknya kita berubah menjadi lebih baik daripada memperlekehkan 'kebaikan' orang lain.

No comments:

Post a Comment