Pagi tadi ketika bangun dari tidur, aku ada sebab untuk tersenyum sendirian.
Semalam ketika menunggu waktu untuk tidur, aku menonton satu rencana di saluran Discovery Science (554) mengenai warna. 15 minit di penghujung rencana, mereka membincangkan mengenai rabun warna dan potensi penawarnya.
Kajian dilakukan ke atas Squirrel Monkey oleh Professor William Hauswirth melalui seekor monyet jantan yang rabun warna (kebanyakkan squirrel monkey betina tidak rabun warna) yang telah disuntik virus yang mengandungi gen tertentu ke dalam biji mata monyet tersebut.
Setelah beberapa minggu, monyet jantan yang pada asalnya rabun warna, telah diuji dan hasilnya, monyet tersebut tidak lagi mengalami rabun warna! Perlu kita ingat bahawa rabun warna pada squirrel monkey jantan ini adalah bersifat genetik iaitu keturunan, bukan akibat kecederaan. Sama seperti aku, rabun warna aku adalah akibat genetik atau keturunan.
Jadi secara teori dan hasil ujian terhadap squirrel monkey, rabun warna dapat diubati. Ini adalah berita gembira kepada lebih 200 juta manusia di seluruh dunia. 1 daripada 10 lelaki adalah rabun warna manakala 1 daripada 200 wanita juga rabun warna. Potensi penawar rabun warna ini mampu memberi nafas baru kepada ramai manusia. Kalau ianya terbukti berkesan, selepas mereka boleh mengenal semua warna yang sepatutnya mereka kenali, ruang hidup mereka pasti akan lebih besar. Orang rabun warna yang selama ini bercita-cita mahu jadi juruterbang boleh melakukannya. Begitu juga jika mereka mahu menjadi tentera, polis atau sekadar mahu memilih warna pakaian yang betul di pasaraya.
Penemuan ini masih di peringkat pemulaan. Professor Hauswirth masih menunggu kelulusan untuk ujian ke atas manusia. Kita masih perlu menunggu beberapa tahun untuk melihat potensi keberkesanannya. Harap-harap ianya boleh menjadi sinar baru kepada ratusan juta manusia rabun warna.
Baca SINI untuk informasi lebih lanjut.
No comments:
Post a Comment