11.1.11

Masa Untuk Kembali Cergas!

Isnin, 3hb Januari lepas adalah hari pertama aku kembali berbasikal setelah sekian lama terhenti. Ada beberapa faktor yang menyebabkan aku tidak berbasikal; hujan, sibuk dengan kerja, sibuk dengan aktiviti sosial (dating la ni) dan paling utama, malas.


Bila tiba awal tahun, aku sedari butang seluar sudah semakin sukar hendak dipasang. Perut semakin membesar dan badan semakin berat. Tinggal enam bulan dan badan masih seperti badak air. Jadi aku mulakan kembali usaha untuk berbasikal, dengan tujuan utama untuk kembali sihat. Tujuan kedua, untuk kurus.

Begini, tanpa senaman yang cukup, kamu buatlah apa saja pun, badan kamu yang besar tidak akan mengurus dengan elok. Kamu boleh diet, sila. Tetapi risiko yang bakal melanda adalah boleh membahayakan organ dalaman badan. Diet yang terkawal lebih baik daripada crash-course. Tetapi cara yang terbaik adalah tetap dengan senaman. Awal berbasikal dulu aku memang jaga pemakanan. Aku kira setiap kalori yang diambil dan aku sasar jumlah kalori yang turun setiap kali berbasikal. Hasilnya, dalam masa sebulan aku berbasikal, aku berjaya turunkan berat badan sebanyak 5kg, ditambah dengan daya tahan dan 'fitness' badan yang meningkat. Suruh panjat tangga 10 tingkat bangunan pun aku boleh tanpa rasa penat melampau.

Ianya bukan berapa banyak kamu berjaya kurangkan berat badan. Apa yang lebih penting, tenaga dan daya tahan badan meningkat. Itu sasaran aku.

Jadi aku masih boleh makan apa yang aku suka makan tanpa perlu berkira dengan kalori yang masuk kerana kalau ikut catuan betul, kalori yang keluar sepatutnya lebih atau sekurang-kurangnya seimbang. Sekarang, aku sudah mula kembali melakukan perkara sebegitu, dan lebih lagi. Tahun ini aku perlu kurangkan berat badan dan dalam masa yang sama, meningkatkan 'fitness'.

Semalam aku berkayuh pada kelajuan purata 22km/j. Sasaran aku adalah sekitar 27km/j, iaitu kelajuan purata ketika aku aktif berbasikal beberapa bulan lalu. Pada kelajuan purata 22km/j, aku boleh habiskan satu pusingan pulau sejauh lebih kurang 11.7km (di core island, Putrajaya) dalam masa sekitar 32 minit. Sasaran aku adalah di bawah 30 minit. Kalau tercapai, aku boleh buat dua pusingan sehari dalam masa sejam.

InshaAllah ianya boleh dicapai. Bergantung juga kepada keadaan. Cuaca sekarang tidak menentu. Semalam aku cuma sempat berkayuh selama lebih kurang 40 minit sebelum hujan turun. Hari ini tidak tahu lagi.

Betul, ada alternatif lain daripada berbasikal yang jauh lebih murah dan boleh dilakukan sepanjang masa. Aku habiskan lebih RM1,500 untuk basikal. Kasut jogging mungkin berharga kurang daripada RM200. Tali skipping jauh lebih murah. Tetapi aku pilih basikal kerana 'perjalanannya' dan suasananya. Aku senang dibelai damai suasana alam. :-)

No comments:

Post a Comment