Teori Evolusi Darwin |
Aku juga tidak mempercayai teori Darwin tersebut tetapi aku percaya wujudnya evolusi terhadap tumbuh-tumbuhan dan haiwan di alam ini. Manusia, aku duga adalah spesis yang terasing daripada haiwan. Namun apa yang menyebabkan manusia dan monyet mempunyai banyak persamaan dari segi fizikal dan genetik?
Masalah dalam pengajaran Islam masakini, apabila sesuatu perkara itu sudah dijelaskan sebagai haram, tidak boleh dan atau tidak dibenarkan, maka perkara itu akan terhenti di situ saja tanpa diberi perhatian langsung lagi. Sama seperti persoalan kenapa babi dan anjing itu haram. Akhirnya bila ditanya kepada beberapa ulamak dangkal, jawapan mereka mudah; itu sudah ketentuan Tuhan, kita tidak perlu persoalkan lagi.
Maka setiap ketika kita sebagai seorang umat Islam terbatas pemikiran dan ilmu kerana kita 'tidak dibenarkan' mengetahui lebih daripada yang 'sepatutnya'. Tidak pernah pula kita mahu membuat kajian kenapa monyet mempunyai ciri-ciri yang hampir sama dengan manusia? Bagaimana kita hendak menangkis teori Darwin kalau hanya dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran dan Hadith tanpa bukti yang lebih kukuh? Memang betul al-Quran dan Hadith itu benar dan tepat di kalangan umat Islam. Tetapi bukan Islam tidak peduli semua itu. Kita patut jadikan al-Quran dan Hadith sebagai pedoman untuk membuka mata manusia terhadap kekuasaan Tuhan. Jadikan itu sebagai asas untuk kita mengkaji sesuatu.
Kadang-kadang kita boleh jadi teruja bila melihat video di YouTube bagaimana dibuktikan oleh orang barat bahawa daging babi masih mengandungi ulat dan kuman biarpun setelah dimasak (kamu cari sendiri video tersebut di YouTube). Masalahnya kenapa tidak orang Islam yang menemui dan membuktikannya? Kenapa kita tidak cari punca kenapa anjing diharamkan sedang kita lihat bagaimana anjing menjadi 'teman paling setia' di kalangan bukan Islam? Kalau setakat kita cakap itu dan ini haram tanpa alasan yang munasabah, orang tidak akan peduli.
Orang kata, arak haram. Kenapa? Kerana ianya memabukkan dan akan menyebabkan kita lalai dan seterusnya boleh menimbulkan masalah sosial yang serius. Itu sajakah? Ada informasi lain yang boleh membantu mengukuhkan hujah kenapa arak haram? Kamu tahu, kita bersungguh-sungguh menyiar dan menghebahkan betapa buruknya tabiat merokok itu terhadap kesihatan manusia. Siap kita letak gambar ngeri di kotak rokok. Tetapi orang Islam masih hisap rokok kerana tiada fatwa khusus yang mengatakan ianya haram. Arak? Mana informasi dan hujah yang kita boleh sebarkan? al-Quran dan Hadith? Cukup?
Kalau cukup, kenapa di zaman kegemilangan sains dalam Islam dulu, ramai ilmuan Islam membuat pelbagai kajian mengenai bulan bintang, alam, matematik, chaos, perubatan, fizik dan banyak lagi ilmu dan ianya bukan sekadar bersandarkan al-Quran dan Hadith semata-mata. Bila mengkaji bulan dan bintang, ahli astronomi Islam masa lampau membuat cerapan bulan dan bintang. Mereka tidak rujuk al-Quran dan Hadith semata-mata dan temui segala jawapan.
Gerhana Bulan oleh Al-Biruni |
Haiwan kecil nun jauh di benua Amerika Selatan mampu membantu menyelesaikan masalah rabun warna kalangan manusia. Kenapa tidak Tuhan letak saja binatang itu di benua Arab atau Taman Negara supaya mudah kita kaji? Sebab pada pendapat aku, Tuhan mahu kita luaskan pandangan mata kita, akal fikiran kita dan kefahaman kita terhadap segala sesuatu ciptaanNya. Agar bila kita temui sesuatu itu, kita sedar bahawa kekuasaan Tuhan itu tidak terkira besarnya. Maha hebat caranya.
Aku pernah tegur seorang rakan yang sedang membaca buku mengenai peringatan supaya kita sentiasa mengingati mati. Aku tanya, kenapa kita perlu sentiasa baca buku sebegitu? Atau lebih khusus lagi, kenapa saban hari kita perlu dalami ilmu agama semata-mata? Kamu pergi kedai buku orang kita dan lihat sendiri. Penuh dengan bacaan agama seperti dua tiga buah buku mengenai cara sembahyang tidak cukup untuk mengajar kita bagaimana untuk bersembahyang. Kita perlu ada berpuluh buku untuk menerangkan perkara yang sama.
Masalah umat Islam masa kini adalah kerana mereka tidak lihat ilmu lain selain daripada ilmu agama sebagai tiket ke syurga, tiket menemui Tuhan. Mereka fikir hanya dengan ilmu agama yang cukup banyak akan membuat seseorang itu lebih dekat dengan Tuhan dan lebih kasihiNya. Maka kita sebagai umat yang dijadikan Tuhan sebagai khalifah di muka bumi ini sebenarnya dalam keadaan yang amat-amat rugi. Kita gagal untuk mengenal dan mengkaji apa yang wujud di sekeliling kita untuk kebaikan manusia sejagat kerana ianya tidak nampak begitu penting berbanding ilmu agama untuk menemui Tuhan kelak. Lihat betapa 'selfish' jadinya diri kita. Kita mahu hidup dan mati semata-mata untuk diri kita sendiri. Kita mahu rangkul sebanyak mungkin pahala kebaikan untuk persediaan ketika mati. Bagaimana? Dalami ilmu agama dan bersedia untuknya sepanjang masa. Perkara lain? Tidak perlu diutamakan sangat kerana tidak membantu.
Aku fikir membantu lebih 200 juta umat manusia yang rabun warna kembali dapat melihat warna alam sebenar adalah jauh lebih mulia di sisiNya daripada mengejar ilmu agama untuk kepentingan diri sendiri. Sayangnya yang menemui penawar rabun warna itu bukan orang Islam.
No comments:
Post a Comment