18.11.11

Rumah Yang Dirindui


Lebih enam bulan dulu, balik rumah selepas kerja adalah perkara terakhir dalam fikiran. Jika tiada malam, rasanya sepanjang hari itu aku akan merayau kemana saja mengikut gerak hati; membaca di kedai buku, makan di restoran makanan Thai atau menonton filem di pawagam.

Kerana balik rumah itu perkara yang sangat melecehkan. TV walau ada Astro terasa hambar kerana siaranya diulang-ulang selalu. Apa motif bayar puluhan ringgit untuk menonton siaran ulangan? Sewaktu bujang dulu, balik rumah dan di rumah biasanya aku terperap di dalam bilik, menanti waktunya terlelap. Rutin seharian begitu membosankan.

Itu enam bulan lalu.

Hari ini, aku tidak sabar menanti waktu untuk balik rumah. Ada TV besar yang masih menyiarkan siaran-siaran ulangan Astro saban hari. Ada sofa empuk yang menjadi pelabuhan merehatkan lelah setelah pulang dari kerja. Ada katil bertilam empuk dilapisi comforter yang gebu. Paling utama, ada Zura, isteri tersayang yang sentiasa mahu dekat di sisi saban waktu, setiap hari.

Jika dulu aku boleh keluar pagi seawal mungkin dan tiba di pejabat jam 7.30 walaupun waktu masuk kerja adalah jam 8.00 pagi semata-mata kerana memikirkan tidak ada apa yang hendak dilakukan lagi setelah bangun subuh. Tidak ada apa yang hendak ditinggalkan.

Sekarang, pagi adalah sesuatu yang sangat berat hendak dilalui. Paling sukar, hendak meninggalkan isteri di rumah tanpa teman.

Hidup ini ternyata sangat indah.

No comments:

Post a Comment