9.11.11

Scientologi di Perpustakaan Pejabat

Lama aku tidak menjenguk ke perpustakaan di pejabat. Siang tadi aku masuk. Perkara pertama yang aku terpandang adalah deretan buku baru yang cukup menarik warnanya (sedangkan aku rabun warna).

Aku membelek. Penulisnya adalah L. Ron Hubbard. Macam aku pernah dengar atau baca. Kemudian aku lihat kulit buku. Antara tulisan yang terpapar adalah Dianetic dan Scientology.  Sah aku tahu siapa L. Ron Hubbard dan aku juga tahu apa itu Scientology. Untuk memastikan lagi telahan aku, aku lihat penerbitnya. Hubbard dan Church of Scientology.



Wah... Ada juga buku ini di Malaysia ya. Lebih memeranjatkan aku, ianya ada di perpustakaan di pejabat. Lalu aku bertanyakan kepada perpustakawan kenapa buku sebegini boleh ada di perpustakaan pejabat. Perpustakawan menjelaskan bahawa buku-buku ini diterima secara percuma pada tahun 2009. Mulanya beliau tidak berani hendak meletak buku tersebut di rak perpustakaan. Tetapi sewaktu beliau di Perpustakaan Negara, koleksi buku yang sama ada di sana. Maka beliau letak buku-buku ini di rak perpustakaan pejabat.

Aku sebenarnya tidak ada masalah jika buku ini hendak dikekalkan di rak-rak perpustakaan. Pertama, hak manusia untuk mencari ilmu, siapa boleh larang. Kedua, jika iman seseorang itu kuat, buku sebegini tidak akan membawa apa-apa makna. Namun, perpustakawan memberi jaminan bahawa beliau akan tarik balik buku-buku tersebut dari rak perpustakaan.

Aku terus berjalan melintasi baris-baris rak di perpustakaan. Di baris terakhir, rak paling bawah, aku temui Holy Bible, bersebelahan dengan sebuah buku agama Islam. Benar perpustakaan itu adalah gedung ilmu.

No comments:

Post a Comment