Seperti yang kita tahu, bio-fuel (ini lebih senang disebut) sekarang mendapat perhatian yang amat serius dari segenap pelusuk pemikiran dan pemerintah. Malah di negara-negara barat sudah pun wujud stesen-stesen bio-fuel untuk kegunaan umum. Aku tidak mahu membicarakan mengenai penggunaannya. Aku cuma mahu berbicara mengenai kesan alam sekitar yang bakal dibawa bersama sekiranya bio-fuel ini diterima oleh orang ramai.
Pertamanya, mungkin berlaku peningkatan terhadap penanaman tumbuh-tumbuhan yang digunakan untuk menghasilkan bio-fuel, seperti contoh di Malaysia, kelapa sawit. Kalau buat masa ini kelapa sawit lebih digunakan sebagai bahan masakan, kini, syarikat-syarikat peladangan mungkin akan menambah kembali saiz ladang kelapa sawit demi membolot peluang menghasilkan bio-fuel yang aku fikir jauh lebih berharga dari membina kawasan perumahan segera yang berlaku sekarang. Hasil menukarkan ladang menjadi kawasan perumahan cuma sekali kalau di bandingkan penggunaan bio-fuel yang wujud sepanjang masa selagi diperlukan.
Akibat daripada penanaman semua tumbuh-tumbuhan ini juga bakal membantu mengurangkan masalah pembotakkan tanah, malah membantu meningkatkan kembali kawasan hijau di mana-mana saja di dunia ini. Cuma masalahnya yang timbul adalah akibat kerakusan ini juga bakal memberi bahaya kepada kawasan tumbuhan semulajadi yang wujud sedia ada.
Mungkin juga akibat daripada penggunaan bio-fuel ini, negara-negara yang selama ini tidak mempunyai sumber minyak asli tetapi ada kawasan yang boleh digunakan sebagai penanaman tumbuhan penghasil bio-fuel boleh menjadi kaya serta merta. Orang kampung yang ada ladang kelapa sawit pun sekarang mungkin sepatutnya berfikir dua kali sebelum menjualnya atau menukarkannya kepada tanaman lain. Aku yakin berdasarkan perkembangan pesat teknologi bio-fuel, dalam masa 10 tahun lagi ia akan menjadi komoditi utama yang mahal dan boleh memewahkan orang-orang kampung.
Mungkin ada yang mengatakan bahawa hibrid dan hidrogen dilihat lebih cerah peluang sebagai bahan bakar masa depan. Melainkan jurutera dan saintis dapat meningkatkan efisiensi teknologi hibrid dan menyelesaikan masalah penyimpanan hidrogen dalam tangki kereta, bio-fuel lebih jelas dan mudah untuk di adaptasi. Malah kita tidak perlu tukar apa-apa dalam kenderaan (biasanya yang berenjin diesel) kerana konsepnya hampir sama dengan bahan bakar hidrokarbon sedia ada. Malah volkswagen telah membuktikan bahawa dengan teknologi yang betul, kenderaan berenjin diesel boleh menjadi lebih efisien dan menjimatkan berbanding kenderaan hibrid seperti Toyota Prius. Malah kesan pencemaran akibat daripada penggunaan bio-fuel pada kenderaan diesel yang efisien adalah jauh lebih rendah daripada kendaraan hibrid.
Potensi besar yang ada dalam masa 10 tahun lagi yang aku boleh lihat, kelapa sawit. Ianya sudah terbukti boleh dijadikan bio-fuel. Memandangkan ianya tanaman sedia ada yang wujud di Malaysia (walau bukan berasal dari sini), jadi kita tidak perlu meneroka jenis tanaman lain untuk menghasilkan bio-fuel. Ianya lebih menjimatkan kerana teknologi dan kemahiran penanaman kelapa sawit di Malaysia diakui seluruh dunia.
Kepada pencinta alam, mungkin ini mimpi basah mereka yang paling menggiurkan. Manusia kembali beramai-ramai menanam pokok walaupun tujuan untuk menghasilkan bahan bakar, ianya tetap usaha yang aku anggap boleh di panggil 'neutral'.
Secara umumnya, kalau ikut perjalanan sejarah manusia, apabila sampai satu tahap, manusia akan menoleh kembali kepada alam untuk mendapatkan jalan penyelesaiannya terhadap satu-satu masalah. Solar, cahaya, hidrogen dan bio-fuel adalah contoh manusia kembali kepada alam untuk mencapai penyelesaian.
Bio-fuel adalah penyelesaian, walau mungkin hanya untuk sementara waktu.
No comments:
Post a Comment