5.8.08

Hujung Minggu Lalu

Hujung minggu lalu sepatutnya aku ada dua destinasi untuk aku pergi. Pertama adalah Proton Technology Week di kilang mereka di Shah Alam. Ini paling utama kerana sejak membacanya di blog seorang designer Proton, aku bertekad untuk pergi. Tahun lepas aku terlepas peluang untuk pergi. Keduanya, aku ditanya oleh Asyikien samada aku akan pergi ke PC Fair atau tidak. Memang kalau diikutkan hati, aku tak berminat untuk pergi kerana hidup aku sudah tidak perlu menggunakan PC Wintel lagi. iMac tidak memberi keseronokkan membuat upgrading. iMac adalah cuma iMac, sebuah PC yang 'sempurna'.

Tiba hari Sabtu, aku terperap di pejabat hingga petang. Tengahari aku kelaparan dan kebetulan di sebelah bangunan ada Karnival Gegar. Aku pergi dengan niat mencari makanan untuk mengalas perut. Tapi kamera tidak aku tinggal. Mana tahu aku boleh mengambil gambar beberapa aksi yang menarik. Sampai di tapak Karnival, aku terpinga-pinga melihat sekumpulan 'mat rempit' dengan motosikal yang telah diubahsuai sepenuhnya.

Aku hairan. Apa yang sedang berlaku? Sebahagian Persiaran Perdana ditutup dan ada beberapa orang polis dan Rela sedang berkawal. Aku berjalan lagi dan akhirnya baru aku sedar yang ada pertandingan 'drag race' atau 'sprint-test' motosikal dan kereta.


Aku tidak mahu bercerita sangat mengenai apa yang berlaku semasa hari tersebut. Aku cuma lebih tersentuh dan berminat mengenai usaha ubahsuai motosikal oleh sekumpulan pemuda. Ubahsuaian mereka adalah pada tahap yang ekstrem. Pastinya kalau di jalanraya, motosikal ini takkan lepas dari dikejar oleh polis atau JPJ, itu pun kalau boleh dikejar.

Sebenarnya, timbul rasa hormat dan kagum aku kepada anak-anak muda ini. Mereka punyai bakat dan kemahiran yang tinggi. Cuma rasanya, modal saja yang kurang. Aku pasti kebanyakkan motosikal yang digunakan adalah motosikal curi. Tapi itu bukan masalahnya.

Aku mahu lihat dari sudut yang berbeza. Kalau mereka ini diberi sedikit modal atauditaja oleh korporat-korporat yang terlebih untung, mereka boleh hasilkan motosikal drag yang jauh lebih hebat dan mungkin, mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Secara asasnya, drag-race memang wujud di beberapa negara di dunia ini. USA dan Australia ada kejohanannya sendiri dan motosikal yang digunakan adalah motosikal berkuasa tinggi yang hebat serta memperolehi tajaan syarikat-syarikat antarabangsa. Aku pasti suatu ketika dahulu, mereka juga bermula sebagaiamana anak-anak muda kita ini lakukan.

Bezanya mereka mendapat galakan dan sokongan. Jadi akhirnya drag-race di negara barat menjadi maju dan popular. Aku yakin, sekiranya ada organisasi di Malaysia ini ikhlas dan bersungguh-sungguh untuk membantu, drag-race di Malaysia boleh menjadi popular dan jentera yang digunakan pastinya hebat dengan teknologi terkini. Keadah tuning dan setting jentera boleh dilakukan dengan komputer berbanding sekarang yang hanya sedap telinga mendengar dan 'pengalaman'.


Malah, kalau dilatih dengan betul dan diberi pendedahan yang sewajarnya, 'jurutera' yang membangunkan motosikal rempit ini boleh diketengahkan untuk menjadi jurutera motosikal profesional yang mampu bersaing diperingkat yang lebih tinggi.

Tapi itulah masalahnya di Malaysia ini. Padang golf untuk permainan orang kaya jauh lebih banyak dari orang kaya sendiri. Tapi untuk bina litar lumba di setiap negeri yang pastinya boleh menarik puluhan ribu orang pun susah nak dilaksanakan. Mungkin kerana target pasaran adalah dikalangan orang-orang biasa yang tidak berkereta BMW atau Mercedes-Benz, jadi ianya tidak signifikan.

Cadangan aku; buat litar lumba skala kecil di setiap negeri. Tidak perlu secanggih litar F1 Sepang. Biar cukup dengan keperluan asas dan tahap keselamatan yang baik. Anjurkan pertandingan sukan permotoran. Letak beberapa peringkat. Maksudnya dari peringkat profesional hingga amatur. Peringkat amatur boleh disertai oleh sesiapa saja yang mahu dengan sedikit bayaran minima. Maksud aku tidak mencecah ribuan ringgit. Atau sediakan jentera yang boleh disewa semasa perlumbaan seperti BMW sediakan untuk Formula BMW.

Lambat laun kita akan temui jaguh sukan permotoran di Malaysia. Kamu orang kaya nak buat duit juga ke? Kamu masuk bertanding atau kalau lebih hebat, taja pasukan untuk bertanding atau buat sindiket betting.

Pada hari Ahad, aku pergi ke Proton Technology Week di kilang Proton, Shah Alam. Oh, memang tidak menyesal. Aku puas hati walaupun agak terkilan tidak berpeluang untuk mencuba litar ujian Proton. Takpe, aku pernah memandu selaju 220 km/j dan aku faham apa makna 'laju' (come to think of it, bodohnya aku memandu 220 km/j di KESAS!).

Banyak kereta prototaip (walau sebenarnya cuma kereta biasa yang diubahsuai) yang dipamerkan semasa pameran tersebut.


Atas adalah sebuah Proton Saga Pickup dan bawah pula adalah Proton Satria Neo Pickup. Aku sebenarnya tidak faham kenapa Proton begitu obses dengan kereta pickup. Tapi mungkin kerana di Australia, kereta pickup Proton mendapat sambutan yang baik. Jadi mungkin ianya cuma niche, tapi masih ada pelanggan. Malah aku tengok Pest Control di Malaysia juga ada menggunakan kereta Pickup Proton. Mungkin Proton boleh bertindak lebih berani dengan mengeluarkan Pickup yang sebenarnya seperti Toyota HiLux dan Mitsubishi Triton. Boleh eksport ke Thailand. Sana pasaran besar (ya, aku tahu mereka ada banyak pilihan yang lebih 'sejuk').


Kemudian aku lihat kereta ini, di bawah. Kereta konsep Proton MSX. Aku tidak pasti apa maksud MSX tapi ianya tidak ada kaitan langsung dengan Ajinomoto dan MSGnya. Yang pasti, MSX adalah amat-amat 'sejuk' (cool). Aku pernah lihat kereta ini beberapa tahun lalu. Ianya adalah kereta konsep Lotus APX. Namun ketika itu, APX lebih bersifat crossover seperti BMW X3 atau Mitsubishi Air Trek. MSX juga dikelaskan sebagai crossover dan pada carta informasi, MSX telah dibandingkan dengan Porsche Cayenne dan BMW X5. Tapi aku lebih lihat ianya seperti Toyota Caldina. Bentuk dan ketinggian pun lebih kurang sama dengan Caldina.

Statistik MSX hebat, 250km/j, 0 - 100 km/h dalam masa 5.9 saat dan semua itu jauh lebih hebat dari Cayenne dan X5. Kalaulah MSX direalisasikan, pastinya Jeremy Clarkson akan terpegun sementara sehinggalah dia sedar yang dia sedang memandu kereta Proton.

Proton contohnya,  boleh keluarkan dalam dua versi; versi 'baik' dengan enjin 1.8 liter dan versi 'jahat' dengan enjin 3.0 V6 yang penuh ganas.


Aku juga berkesempatan melihat rangka model MPV Proton yang baru. Lebih kurang sama dengan Toyota Wish. Tidak hairan kerana Chief Designer Proton adalah peminat Toyota Wish.


Kalau lihat dari segi kerangka, aku nampak ianya adalah rekaan yang baik dan menarik. Lebih besar sedikit daripada Wish tapi tidak terlalu besar seperti Kia Carnival (ya, Naza Ria juga)  atau Toyota Estima. Tidak juga terlalu leper dan rendah seperti Honda Stream yang aku fikir tidak efisien berbanding Wish. Juga tidak terlalu kecil seperti Nissan Grand Livina yang aku masih keliru, kenapa orang Malaysia sukakannya.

Memang puas dapat habiskan masa beberapa jam melihat teknologi yang ada di Proton. Aku perlu akui yang Proton bukanlah sebuah syarikat automotif yang besar, jadi teknologi yang ada tidak secanggih syarikat lain. Namun, Proton juga tidak kurang hebatnya. Jadi aku rasa kalau ada yang mahu kutuk buta mengenai Proton, kamu perlu pergi ke pameran mereka tahun hadapan.

Selepas melawat pameran Proton, mulanya aku mahu terus ke KLCC untuk ke PC Fair pula. Tapi aku batalkan niat aku kerana pastinya aku cuma akan buang masa di sana.

Aku bergerak ke Putrajaya. Kamera ada ditangan, jadi sekurang-kurangnya aku boleh ambil beberapa gambar bangunan dan matahari senja. Destinasi aku adalah di bangunan Putrajaya Corporation (PJC) berhadapan dengan Istana Keadilan. Dekat dengan pejabat. Aku mundar mandir melihat hasil senibina yang menarik bangunan PJC. Tidak hairan semakin banyak iklan dan drama yang menggunakan premis PJC ini sebagai lokasi mereka.


Gambar atas kononnya aku cuba bermain dengan teknik blur dan pada imej depan dan belakang sambil imej tengah adalah tepat. Nampaknya lensa asas memang tak membantu langsung. Fokus aku pada Lot 2 manakala Lot 3 dan Lot 1 nampak kabur. Nampak?


Aku tak sangka pula bangunan PJC ada jambatan menghubung bangunan. Aku dongak ke atas dan nampak. Aku suka dengan garis-garis lurus yang ada dalam gambar tersebut. Juga aku suka pantulan cermin yang memperlihatkan seolah-olah jambatan itu bersambung lebih jauh lagi.


Ini shot senja Masjid Putrajaya yang sedang dibina berlatar kiri dan kanan bangunan PJC. Memang lensa biasa tidak boleh menghasilkan shot yang menarik. Aku guna CPL untuk kurangkan glare pada cermin di kiri dan kanan.


Gambar atas adalah beranda yang ada di PJC. Menariknya shot ini kita lihat beranda itu keluar dari dinding cermin. Sementara dinding batu sebelah kiri ditampal mozek bersegi yang mudah tapi menyerlahkan keseluruhan suasana. Aku kagum dengan senibina PJC kerana rekaannya begitu teliti tetapi 'mudah'. Sepatutnya bangunan-bangunan awam dan kerajaan perlu direka sebegini kerana ianya memperlihatkan suasana yang mesra, luas dan minimalis (nampak murah). Kamu lihat Putra Perdana dengan kubah bawangnya dan tiang besarnya. Nampak berat dan mewah. Tidak kena sangat dengan sebuah bangunan awam. Ianya seperti berkata,
 
"Lihat, aku besar dan mewah. Kamu jangan cuba datang dekat!"

Sedang bangunan PJC lebih seperti,

"Datanglah. Kamu pasti damai di sini."

Akhirnya sebelum pulang, aku ambil shot gambar pusat komersial pertama di Presint 2 dan keseluruhan Pusat Putrajaya di pulau utama. Masih belum berpenghuni kerana baru saja siap.



Rekaannya menarik dan bersifat 'bebas'. Garis-garis pada bangunan tidak uniform dan tidak rigid. Rekaan yang bagus, bagi aku.

Jadi sepanjang hujung minggu, aku menjadi 'pengadil' dan 'pemerhati' kepada dunia yang aku lihat. Aku memerhati manusia dengan mesinnya. Aku melihat mesin dan bangunannya. Akhir sekali aku melihat bangunan dan nilai insannya.

Cukup untuk sebuah hujung minggu yang selesa.

2 comments:

aku_ayu said...

idan, kenapa dgn Nissan Grand Livina?

frossonice said...

Kerana Nissan Grand Livina adalah kecil dan sempit serta harganya adalah 10% lebih tinggi dari nilai harga sebenar (itu Nissan a.k.a Tan Chong sendiri akui).

Tapi kita tahu Nissan kelebihannya adalah penjimatan minyak dan kualiti. Banyaknya Nissan Grand Livina di atas jalan sekarang adalah kerana tiada pesaing dalam kategori harganya. Kalau ada pun, tiada siapa yang hendak guna Toyota Innova (chasis Commonrail seperti HiLux dan Fortuner) yang tidak baik.

Post a Comment